Isnin, 22 Julai 2013

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Surat terbuka untuk perantau Kuala Besut

Posted: 21 Jul 2013 11:18 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Sahabatku perantau

Walau di mana saudara berada, saya doakan saudara semua dalam kesejahteraan dan rahmat Allah.

Saya masih ingat pesanan Tuan Guru Presiden PAS dalam satu program bersama Perantau, "Pulang untuk mengundi parti Islam adalah kewajipan fardhu ain bagi mereka yang berupaya..."

Kita perlu menjadi kuat demi kemenangan Islam. Jangan dihiraukan halangan yang cuba ditimbulkan oleh SPR yang sepatutnya di samping bertindak sebagai pengadil pertandingan, SPR juga perlu bertindak sebagai pemudah cara yang perlu melapangkan jalan seluas  mungkin bagi kemudahan pengundi menunaikan tanggungjawab. Sebarang tindakan untuk menghalang dan menyusahkan kepulangan pengundi untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab di medan demokrasi adalah suatu tindakan tidak beretika yang perlu dicanggah.

Kita mengetahui betapa kesukaran sahabat semua untuk bermusafir dibulan Ramadhan ini tetapi jangan lupa bahawa Peperangan Badar, persiapan Peperangan Khandak, pembukaan Kota Mekah, Peperangan 'Ain Jalut, pembebasan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al Ayyubi, pembukaan Andalusia oleh Tariq bin Ziad semuanya berlaku di bulan Ramadhan. Alangkah kerdilnya kita sekiranya Ramadhan dijadikan alasan untuk kita tidak pulang mengundi.

Sahabatku

Sekadar membelanjakan sedikit wang minyak yang mungkin boleh dituntut semula serta hanya perlu memangkah di atas sekeping kertas, ternyata ianya sangat minima. Walaupun minima, ganjarannya besar di sisi Allah dengan  syarat yang dipangkah adalah parti yang ingin meninggikan agama Allah.

Saudara mungkin berkata, "Allah... dekat sangat dah dengan hari raya, balik mengundi 24 haribulan ni, lepas tu hari raya kena balik pulok!" Saya sekadar ingin bertanya, kalau Islam tak menang kerana disebabkan ketidak pulangan saudara untuk mengundi, bolehkah dengan jawapan di atas saudara jawab di hadapan Allah dan saudara yakin mampu melepaskan diri? Sekiranya yakin alasan sebegini boleh diterima, maka silakan. Tetapi bagi saya lebih mulia untuk kita berada dimartabat orang yang menjadi penyebab kepada kemenangan Islam dari menjadi yang sebaliknya.

Sahabatku perantau

Saudara tentu memaklumi bagaimana kebimbangan Umno dengan pengundi yang celik mata dan hati serta bermaklumat seperti saudara semua. Hari mengundi dihari Rabu serta ketika hampir dengan hari raya adalah percubaan dayus untuk menggagalkan penyertaan saudara semua dalam Pilihanraya Kecil Kuala Besut ini. Saudara nak tengok hilai tawa Umno yang penuh keangkuhan atau kita ingin sama-sama letakkan noktah kepada kepada kebebalan mereka? Kalau saya, tentunya saya memilih untuk kita akhiri segala drama jijik Umno sepanjang kempen Pilihanraya Kecil ini dengan takbir kemenangan.

Sahabatku perantau

Angka 16:16 mesti direalisasikan. Setiap kita berkewajipan. Saudara semua tentu memaklumi perit jerih sahabat-sahabat pengundi dan petugas di lapangan yang telah melakukan segala pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, hati dan perasaan semenjak dari hari kekosongan kerusi N01 diisytiharkan. Mereka telah menunaikan kewajipan mereka. Hakikatnya di hari mengundi sekuat mana pun mereka, hanya satu undi yang mampu mereka sumbangkan, satu undi lagi ada pada saudara. Jangan sia-siakan ia.  Pulanglah perantau pakoh PAS!

Perantau Kuala Besut dirayu pulang mengundi

Posted: 21 Jul 2013 11:13 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

SHAH ALAM:Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merayu kepada pengundi Kuala Besut yang berada di perantauan pulang mengundi pada Rabu ini untuk memenangkan PAS di Dun Kuala Besut. 

Ini kerana kata beliau, pengundi luar yang sebilangan besar daripada anak-anak muda sangat penting kerana mereka boleh mempengaruhi ibu bapa, saudara mara dan masyarakat untuk mengundi PAS. 
Katanya, lebih 50 peratus pengundi muda yang berada di perantauan perlu balik dengan melakukan satu gerakan kesedaran dengan menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat kampung supaya mengundi calon PAS.   

"Orang Melayu ini kalau Dun kalah mereka tidak mahu balik mengundi. Zaman sekarang ini masyarakat kita sangat lemah. Kena balik dan bagi kesedaran," katanya kepada anak-anak perantau Kuala Besut di majlis berbuka puasa di Shah Alam, kelmarin.

Beliau berkata, PAS menang di Dun Kuala Besut menjadikan kerusi 16:16 sekurang-kurangnya BN tidak boleh meluluskan segala perancangan untuk negeri dengan mudah. 

Tambah beliau, kedudukan seri itu cukup besar untuk membolehkan PAS mengambil alih negeri Terengganu. 

Bagaimanapun kata beliau jika PAS berada dalam keadaan yang lemah lebih baik tidak payah mengambil negeri tetapi perlu menjadi pembangkang yang kuat. 

"Jika PAS menang boleh memerintah jika tidak menang boleh menyampaikan kebenaran dalam sidang dewan undangan negeri," tegasnya. 

Menurut beliau, jika tidak berani mencegah kemungkaran Allah akan menurunkan bencana yang akan menimpa semua orang sebagai contoh gejala dadah disebabkan tidak mahu menjalankan syariat Allah. 

Ini bencana yang tidak ditujukan kepada orang yang zalim sahaja sebab itu wajib menegakkan hukuman Allah, tegasnya. 

Tuan Guru bersama isteri, Toh Puan Seri Zainab Awang Ngah; Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Datuk Husain Awang;  Exco Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Ustaz Sallehen Mokhyi..

Harakahdaily/-

Wakil DAP potong elaun, kumpul RM600K untuk kempen

Posted: 21 Jul 2013 10:58 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


  • DAP Sarawak memperuntukkan hampir RM600,000 bagi menubuhkan cawangan di 20 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memecahkan penguasaan BN di kawasan luar bandar, kata pengerusinya Chong Chieng Jen.

  • chong chieng jen interview 141108 03
    "Kunci untuk reformasi nasional atau ubah landskap politik Sarawak bergantung kepada bagaimana prestasi kami di luar bandar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa negeri semalam.

    "Jika kami boleh pecahkan penguasaan BN di kawasalan luar bandar, ia akan menjadi langkah penting ke depan, jika tidak ia akan jadi selangkah ke belakang."

    Chong berkata, dana untuk tujuan itu datang daripada sumbangan 13 wakil rakyat parti itu yang menyumbangkan wang tunggakan peningkatan elaun masing-masing.

    Katanya, ekoran peningkatan elaun anggota DUN (ADUN) kepada RM15, 000 dengan undur tarikh kepada Januari tahun lepas, setiap mereka menerima tunggakkan sebanyak RM178,000.

    "Daripada itu, setiap seorang daripada kami menyumbang 25 peratus (RM44,625) kepada jawatankuasa kerja luar bandar.

    "Ini bagi menunjukkan bagaimana kami serius untuk memacu sokongan luar bandar," kata ADUN Kota Sentosa dan anggota Parlimen Bandar Kuching itu.

Makkah potong kuota haji luar 20%, dalam 50%

Posted: 21 Jul 2013 10:25 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


  • Kerajaan Arab Saudi terpaksa mengurangkan jumlah jemaah haji dari seluruh dunia pada tahun ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, berikutan kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang sedang dilakukan di kota suci.

    Kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang bermula November lalu, dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun dengan matlamat memastikan lebih ramai umat Islam dapat mengerjakan ibadat haji dalam keadaan selesa.

    Pengerusi Muassasah Asia Tenggara Tan Sri Zuhair A. Sadayo berkata kerajaan Arab Saudi mengambil berat tentang usaha mempermudahkan operasi haji dan atas faktor itu, pembangunan semula kota Makkah terutama pembesaran Masjidil Haram dilakukan.

    Katanya sebelum ini 'Mas'aa', iaitu kawasan laluan ibadah Saie telah dibesarkan sehingga boleh menampung ramai jemaah dan kini kerajaan Arab Saudi sedang menaik taraf 'Mataf', tempat ibadat tawaf dilakukan, supaya lebih ramai jemaah dapat melakukan tawaf pada satu-satu masa selain pembesaran masjid untuk menampung lebih ramai jemaah.

    "Sebelum projek pembangunan ini, 48,000 jemaah boleh melakukan tawaf dalam tempoh sejam, tetapi berikutan kerja menaik taraf, hanya 22,000 jemaah boleh melakukannya. Ini hanya sementara. Selepas pembesaran, 130,000 jemaah boleh bertawaf dalam sejam," katanya kepada pemberita Malaysia menerusi jurubahasa pada sidang media, di Makkah hari ini.

    Selain itu, katanya, projek menaik taraf itu juga akan melibatkan kerja merobohkan sebahagian masjid untuk diperbesarkan.

    "Demi keselamatan dan nyawa jemaah, kami terpaksa potong kuota haji negara luar sebanyak 20 peratus manakala jemaah dalam negara, 50 peratus. Apabila siap kelak, kita akan kembali kepada jumlah asal," katanya menambah ini merupakan peringkat pertama daripada keseluruhan tiga peringkat projek menaik taraf.

    Menjelas lanjut, Zuhair berkata proses merobohkan sebahagian masjid dan membesarkan masjid bertujuan memperbesarkan ruang solat, selain membolehkan Kaabah jelas dilihat dari jauh.

    "Kerajaan Arab Saudi akan mengeluarkan filem (dokumentari) bagaimana pembesaran Masjidil Haram dibuat dan diberikan kepada agensi terlibat. Saya berharap ia dapat ditayangkan kepada umum," katanya.

    Zuhair berkata buat masa ini, pengurangan kuota jemaah haji hanya berlaku pada tahun ini dan belum ada kata putus untuk tahun-tahun akan datang.

    Menurut Zuhair, selain pembangunan kota Makkah, kerajaan Arab Saudi juga akan menyiapkan projek kereta api laju dari Madinah dan Kota Suci itu untuk memudahkan perjalanan jemaah Haji berikutan perjalanan melalui jalan darat kini memakan masa kira-kira lima jam dengan jarak hampir 500 km.

    "Ikut perancangan, kereta api laju ini akan siap pada 2015. Ia akan memendekkan masa perjalanan jemaah Haji dan Umrah," katanya.

    Dalam soal pengangkutan musim haji kali ini, beliau berkata kerajaan Arab Saudi melantik tiga syarikat bas tambahan bagi meningkatkan bilangan bas untuk kegunaan jemaah haji.

    Sementara itu, Zuhair berkata para petugas yang terlibat menjaga jemaah Muassasah akan menjalani 23 latihan untuk pengurusan jemaah yang melibatkan semua aspek.

    "Semuanya dah bersedia. Harap semuanya lancar. Menteri Haji dah arahkan Muassasah Arab Saudi supaya melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang. Muasassah Asia Tenggara mendapat kerjasama yang baik daripada Tabung Haji," katanya.

    Beliau berkata Tabung Haji merupakan agensi pengurusan haji terbaik dan semua negara Islam telah maklum bahawa Tabung Haji adalah contoh terbaik.

    - Bernama

Ketua dakwa ahli Syiah cecah sejuta

Posted: 21 Jul 2013 06:56 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz


Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz
SHAH ALAM – Ketua Kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang.


Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi anggaran tepat kerana tidak mempunyai data mengenainya.

"Jumlah yang tepat kita tidak ada. Kita hanya mengambil kira jumlah itu berdasarkan pelbagai pandangan dan laporan di media.

"Ada laporan mengatakan 300,000 orang. Paling ramai pernah dilaporkan mengenai jumlah pengikut Syiah di Malaysia ialah sejuta orang," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jumlah sebenar pengikut ajaran Syiah di Malaysia.

Diminta mengulas mengenai cadangan mewartakan fatwa anti-Syiah di negara ini, Mohd Kamilzuhairi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada kerajaan.

"Saya tidak mahu komen panjang. Terserah kepada kepada menteri terlibat untuk buat keputusan mengenai Syiah.

"Cuma apa yang boleh saya kata, sesuatu perkara yang salah lambat laun pasti akan musnah. Begitu juga sebaliknya," katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Kerajaan Kedah bercadang mewartakan fatwa anti Syiah selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat kebangsaan sebelum ini.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, fatwa anti-Syiah yang bakal digazetkan di Kedah akan dikenakan terhadap mereka yang cuba mengembangkan fahaman tersebut di negeri itu.

Cadangan tersebut turut disambut baik beberapa mufti yang menyifatkan fatwa anti-Syiah perlu diwartakan segera.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, ini berikutan ajaran itu didapati sudah mula merebak dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid berkata, Selangor sudah lama mewartakan fatwa anti-Syiah dan berharap dapat dilaksanakan di negeri lain.

Anggota kumpulan Syiah ini pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Disember 2011 kerana didakwa menyebarkan ajaran Syiah.

Dalam serbuan tersebut, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.

Manakala pada 26 Ogos 2011, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) merampas kira-kira 200 naskhah buku yang mengandungi dua tajuk berlainan berkaitan fahaman Syiah dan mengenai pengaruh ajaran itu, dalam satu serbuan di Masjid Paya Redan, Melaka.

sinarharian.com.my

Bank ‘kejar’ pengendali AES

Posted: 21 Jul 2013 06:53 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
PETALING JAYA: Ketika mana pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih berdepan dengan pelbagai masalah dan rintangan, bank-bank sedang mengejar dua syarikat pengendali, Beta Tegap Sdn Bhd dan Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat ini dikejar oleh bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual akibat ditimpa masalah aliran tunai berjumlah jutaan ringgit, lapor The Edge.


Mengikut kontrak yang ditandatangani dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara berterusan, tanpa gangguan.
Mereka sepatutnya menyediakan perkhidmatan itu kepada JPJ sejak bulan September lalu sehingga tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan dilakukan.
Menurut sumber, sebuah bank komersial terkemuka, mengambil tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman.
Beta Tegah dan ATES telah berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran tunai.
Carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.
Jumlah saham modal yang dikeluarkan Beta Tegap ialah sebanyak RM19 juta.  Empat pemegang saham syarikat ini terdiri daripada Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed, Yap Kim See@Yap Ai Lin, Rozana Redzuan dan Adreas Teoh.
Rozana ialah pemegang saham terbesar dan beliau adalah anak kepada seorang tokoh Umno dari negeri Johor.
Sementara kedudukan kewangan ATES tidak diketahui kerana syarikat itu hanya menghantar akaun sehingga Mei tahun lalu. Para pemegang sahamnya ialah pengarah syarikat Chee Chwee Cheong dan A.T.E.S. Sdn Bhd.
Selain dari Chee, pengarah lain ATES ialah Lawrence Foong, yang merupakan bapa mertua Chee. Chee adalah pengasas syarikat perunding Etos Consulting, di mana Omar Mustapha adalah rakan kongsinya. Omar pula ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dari segi pembahagian kawasan operasi, perkhidmatan Beta Tegap meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu. FMT/-
Sementara kawasan operasi ATES pula meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Labuan.

P Ramlee: 40 tahun tiada pengganti

Posted: 21 Jul 2013 06:51 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Oleh Melati Pusaka
Pada 29 Mei 1973, rakyat Malaysia terkejut bila mendengar berita kematian Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee. Saya masa itu berusia 14 tahun turut terkejut mendengar berita radio jam 7 pagi. Rosli Haji Ahmad menangis ketika membaca berita kematian tersebut.
Ribuan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menghantar jenazahnya di tanah perkuburan Jalan Ampang. Begitulah hebatnya pengaruh P. Ramlee yang telah meninggalkan kita 40 tahun lalu.

P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929. Beliau meninggal dunia dalam usia yang muda, 44 tahun.
Beliau telah berlakon dalam 66 buah filem serta telah menyanyi dan menggubah 360 buah lagu. Beliau adalah seorang seniman yang serba boleh, boleh berlakon, boleh mengarah filem, boleh menyanyi dan boleh menggubah lagu.
Filem arahan sulungnya pada tahun 1957 ialah Penarik Beca lakonan beliau dan Saadiah. Filem itu mendapat sambutan pecah panggung (box office) di seluruh Malaya.
Selepas itu beliau mengarah filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Ahmad Albab, Anak Bapak, Tiga Abdul, Labu Labi, Nasib Si Labu Labi  dan banyak lagi.
Pelakon lelaki terbaik
Pada tahun 1957, beliau memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik (Anakku Sazali) di Pesta Filem Asia ke 4 di Tokyo.
Filem Ibu Mertuaku memenangi anugerah 'most versatile talent' di Pesta Filem Asia ke 10 di Tokyo pada tahun 1963. Madu Tiga mendapat hadiah filem komidi terbaik di Pesta Filem Asia ke 11 di Taipeh pada tahun 1964.
Nujum Pak Belalang pula menerima anugerah filem komidi terbaik di Pesta Filem Asia ketujuh di Tokyo pada tahun 1960. Pendekar Bujang Lapok memenangi anugerah filem komidi terbaik di Pesta Filem Asia kelima di Kuala Lumpur pada tahun 1959.
Meneliti kembali filem-filem P. Ramlee, komidinya tetap segar sampai hari ini. Kita tetap ketawa walaupun sudah banyak kali menonton Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok.
Filem komidi P. Ramlee tak sama dengan filem-filem komidi hari ini yang mana kita tidak ketawa apabila menontonnya buat kali kedua.
Setiap kali RTM dan Astro menayangkan filem-filem P Ramlee, kita tak jemu menontonnya walaupun kita sudah berpuluh kali menontonnya.
Itulah kelebihan P. Ramlee yang mendahului zaman. Kita heboh dengan pemimpin yang ambil komisen 10 persen tetapi P. Ramlee sudah ceritakannya dalam filem Tiga Abdul apabila Salleh Kamil selaku penasihat Ahmad Nesfu mahu 10 persen jika berjaya dalam dealnya.
Dalam filem yang sama, Pak Jamal unta berkata lebih baik berniaga orang dari berniaga unta bila menjual S. Kadarisman dan Haji Mahadi kepada P. Ramlee.
Perniagaan ini sudah menjadi kenyataan apabila kerajaan memberi lesen kepada ejen membawa masuk pekerja asing. Sehingga ada pemimpin Umno menjadi jutawan dipanggil Six Million Dollar Man dengan perniagaan ini.
P Ramlee turut menyindir Raja dalam filem-filem Nujum Pak Belalang dan Musang Berjanggut. Malah pertentangan kelas di antara orang kaya dengan dengan miskin dinyatakannya secara jelas dalam filem Penarik Beca, Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat.
Filem-filem P. Ramlee terbukti hebat ketika beliau berkarya di Studio Jalan Ampas. Apabila beliau berpindah ke Kuala Lumpur dengan Merdeka Filem Production, karya-karyanya tidak begitu menyengat.
Di Kuala Lumpur, beliau membuat filem Do Re Mi ( P. Ramlee, A. R. Tompel dan Ibrahim Din) untuk mengulangi kejayaan Bujang Lapok (P. Ramlee, Aziz Satar dan Jins Shamsudin) tetapi filem-filem Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Laksmana Do Re Mi  gagal mendapat sambutan.
Di akhir hayatnya beliau pernah diboo ketika menyanyi di Stadium Merdeka. Ketika itu dia rasakan dia sudah tidak diperlukan lagi. Tetapi selepas beliau meninggal dunia, beliau dikagumi dan dipuja sampai sekarang.
Sehingga sekarang kita belum ada pengganti P. Ramlee yang serba boleh. Mungkin kita perlukan 60 tahun lagi untuk mencari P. Ramlee kedua. FMT/-

Jadikan kerajaan setara, bukan jadi ‘hamba’ BN, kata Anwar

Posted: 21 Jul 2013 06:48 PM PDT

Ambil bantuan BN tapi undi mesti pilihan sendiri, pesan Anwar kepada pengundi DUN Kuala Besut. Gambar oleh Afif Abd Halim



















13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut supaya tidak 'menghambakan diri' dengan memilih Barisan Nasional (BN) semata-mata untuk  bantuan yang diberi parti pemerintah itu.


"Pengundi Kuala Besut jangan jadi hamba dengan bantuan-bantuan BN. Pasal apa Umno curah banyak wang?
"Sebab nak menang, kalau kalah peta politik akan berubah, gugat kuasa politik Umno," katanya depan kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut malam tadi.
Ketua Pembangkang itu berkata, pengundi boleh mengambil bantuan yang diberi BN tetapi perlu berfikir sebelum mengundi kerana BN didakwanya bakal menindas mereka.
"Kerana miskin, tak salah dapat RM500, RM200 tapi salah kalau dapat RM500, jadi hamba kepada pemerintah.
"Kalau kata perlu undi BN untuk dapatkan bantuan, itu tidak masuk akal. Perlu tanya diri sendiri, kita ada pilihan," katanya pada ceramah menggunakan lori kecil yang dihiasi lampu warna-warni sebagai pentas.
Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah PRK Kuala Besut PAS, Datuk Husam Musa.
BN setakat ini sudah mengumumkan 10 projek dan bantuan untuk penduduk Kuala Besut yang dianggarkan bernilai RM387,490,750.
Antara projek terbaru ialah projek RM250 juta pedalaman Kuala Sungai Besut dan pemasangan benteng pemecah ombak yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PAS pula mendakwa semua projek itu hasil perjuangan dan kempen PAS selama ini yang mendedahkan kepincangan tadbir urus kerajaan.
Sebaliknya, Anwar berkata, pengundi Kuala Besut harus mengambil peluang pilihan raya kecil (PRK) untuk mewujudkan kerajaan setara antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).
Menyeru pengundi memberi sokongan kepada Endut@Azlan Yusof, calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long di Kuala Besut, beliau yakin PAS mampu mengulangi kemenangan pada 1999.
"Siapa kata ini kawasan Umno? Tidak. Tahun 1999 dahulu PAS menang. Cuma, kita perlu tanamkan kekuatan itu," katanya merujuk kemenangan ke atas Terengganu hingga membentuk kerajaan negeri pada tahun berkenaan.
Anwar juga tidak menolak kemungkinan BN akan mengadakan pilihan raya semula jika PAS menang kerusi itu yang sebelum ini dimenangi BN melalui calonnya, Dr Abd Rahman Mokhtar.
DUN Kuala Besut ialah kawasan pertama mengadakan PRK selepas pilihan raya umum ke-13 berakhir berikutan Abd Rahman meninggal dunia. - 22 Julai, 2013.
themalaysianinsider.com

16:16 perkukuh fungsi amar makruf nahi munkar

Posted: 21 Jul 2013 06:44 PM PDT


13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Dr Azman Ibrahim,
Kedudukan Dun Terengganu 16:16 akan memperkukuhkan lagi fungsi amar makruf nahi mungkar. Kerajaan yang baik memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan untuk fungsi 'check and balance'. Keberkesanannya teguran dan pendedahan dari pembangkang terbukti berkesan dari tempoh kempen PRK ini lagi. 

Contohnya, pendedahan PAS dalam isu kecuaian calon BN ketika berkhidmat sebagai Jurutera JPS Besut sehingga mengakibatkan rosaknya Empangan Pengkalan Nangka, natijahnya kira-kira 1,000 ekar tanah sawah yang menjadi punca rezeki 400 keluarga di empat buah kampung kering kontang. Kita meyakini isu ini sangat tepat dan benar sehingga tidak dapat ditangkis oleh kerajaan. 


Akhirnya sebagai jawapan, semalam (Sabtu 20 Julai 2013) Timbalan Perdana Menteri mengistiharkan peruntukan RM35 juta untuk pembinaan empangan baru Pengkalan Nangka. Sama ada peruntukan tersebut memang benar-benar wujud atau sekadar janji kosong, kita bersangka baik dahulu tetapi persoalannya kenapa baru istihar dalam kempen PRK sedangkan sudah lebih 3 musim ribuan ekar sawah tersebut terbiar? 

Kalau tiada PRK serta tanpa teguran dan pendedahan dari PAS, mungkin kerajaan akan terus senyap membisu dalam isu ini.

PAS perlu diberikan peluang untuk mencorakkan Kuala Besut menjadi 'baldatun toyyibah warabbun ghafuur..' bumi yang baik dengan mendapat keampunan Allah. 

Setelah sebegitu lama BN diberikan peluang untuk mewarnai Kuala Besut dengan warna dan corak pilihan mereka, tetapi terbukti statistik PDRM menunjukkan Kuala Besut adalah lokasi kadar jenayah yang tertinggi di Daerah Besut terutamanya jenayah harta benda, kekerasan dan narkotik. 

Tentu sekali adik kakak kita di Kuala Besut merasa malu dengan fakta ini. Bumi Kuala Besut tempat orang baik-baik. Mana mungkin laporan mendedahkan, majoriti jenayah rogol di Besut berlaku di sini. 

Begitu juga tangkapan kes dadah. Kita tidak ingin menjadi juara dalam aspek sebegini. Faktornya pelbagai tetapi tentunya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kepimpinan negeri dan setempat mesti mengambil saham yang terbesar dalam persoalan rumit ini. 

Kalau selepas lebih 50 tahun BN diberikan peluang, masalah jauh sekali dari selesai malah makin membarah, tak salah rasanya kalau PAS diberikan peluang untuk menyambung semula kerja-kerja yang telah dirintis dan dilaksanakan dengan baik dari tahun 1999 – 2004 dulu.

Semua memaklumi bahawa Umno merantai pengundi dengan 'pitih'. Inilah candu terbaik yang menjadi senjata Umno/BN. Sejarah China ada ada mencatatkan kisah 'Peperangan Candu' di mana candu digunakan sebagai senjata untuk melemahkan musuh. 

Bantuan sara hidup nelayan, BR1M, bantuan awal persekolahan, dana hari raya, bantuan JKM serta pelbagai lagi bentuk agihan tunai. Khabarnya untuk Kuala Besut, bantuan JKM untuk bulan Ogos telah siap diagihkan! Hebat sekali! Berubahkan taraf hidup rakyat? Tidak! Semua agihan tunai ini diistilahkan oleh masyarakat setempat sebagai 'buleh habih'. Maknanya dapat dan dihabiskan dalam tempoh singkat sahaja. Kadang-kadang dalam masa sehari, semuanya licin. 

Apakah segala bantuan ini mampu mengeluarkan masyarakat Kuala Besut yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan? 

Adik kakak di Kuala Besut yang masih boleh melihat, berfikir dan menilai mampu memberikan jawapan jujur dalam hal ini. Adik kakak ambillah apa yang dibagi kerana memang dia hak adik kakak semua dari pitih rakyat, bukannya harta pusaka tok nenek Umno. Cuma dengan ingatan, gunakanlah kebijaksanaan kita untuk makan umpan tanpa telan mata kail sekaligus. 

Kalau menang PAS sekalipun, adik kakak tetap akan dapat duit ini. Jangan takut dengan ugutan. Malah mungkin bila Umno merasa kedudukan mereka makin terancam, bantuan akan dinaikkan lagi. 

Untuk jangka panjang, kita memerlukan kerajaan yang mampu merancang dengan baik serta memanfaatkan bajet besar Negeri Terengganu yang mencecah RM2 bilion untuk kita ubah taraf hidup kita bersama. Ayuh! Kita jadikan Kuala Besut permulaannya…


Penulis adalah Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan juga Calon PAS bagi DUN Jabi dalam PRU ke 13 lepas.

Bertanding atau tidak jawatan, Umno tetap sama

Posted: 21 Jul 2013 06:40 PM PDT


13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Aspan Alias,
Ramai yang meminta saya memberikan komen tentang perhimpunan agung UMNO Oktober ini yang kini sudah sampai ke fasa kempen mengempen yang kuat diantara pemain politik UMNO hari ini. Tahun ini adalah tahun pemilihan parti dan tentulah ia mendapat tumpuan istimewa dari orang ramai.


Tumpuan ini di sebabkan ia berkait dengan UMNO. Pertamanya UMNO itu adalah parti pemerintah dan tidak hairan ia menjadi tumpuan ramai. Tumpuan terhadap parti itu lebih kuat lagi kerana parti itu telah menjadi isu besar kepada rakyat dan negara. Lagi pula UMNO baru sahaja selesai bersama dengan parti-parti lain melaksanakan tuntutan perlembagaan persekutuan untuk mengadakan pilihanraya setiap lima tahun.
Keputusannya sudah diketahui umum. UMNO mendapat kelebihan sedikit kerusi dari PRU ke-12 tetapi jika dihitung dari kemenangan yang diperolehi oleh ahli-ahli parti dalam BN, 'coalition' itu telah kekurangan sebanyak tujuh kerusi berbanding dengan PRU ke-12 dahulu.

Mahu tidak mahu kita terpaksa akui yang UMNO masih menjadi pilihan rakyat khususnya orang-orang Melayu. Orang Melayu yang keluar menyokong kempen pilihanraya yang begitu ramai sebelum PRU ke-13 itu diadakan, kembali berduyun-duyun memberikan sokongan kepada UMNO kerana orang di atas pagar terutamanya orang Melayu merasa kehilangan keyakinan yang kekal terhadap Pakatan Rakyat di saat-saat akhir.

Sebab kenapa mereka berkurangan keyakinan kerana ada parti dalam Pakatan Rakyat hanya dikuasai oleh kaum Cina sahaja. Maka perjuangan kita untuk mencapai matlamat perpaduan kaum yang hampir terjadi akhirnya tidak tercapai juga. 'It crashed before taking off'. Jika dihitung-hitung dalam keadaan dan situasi sekarang ramai yang yakin UMNO akan tetap menang dalam pilihanraya yang akan datang walaupun dengan majoriti yang lebih kecil dari PRU 2008 dan 2013.

Jika dikira dari kemenangan parti secara individu UMNO merupakan parti yang akan menang lagi dalam PRU yang akan datang. Jika sekarang UMNO memenangi 89 kerusi, jika parti itu melalui pilihanraya sekali lagi UMNO mungkin memenangi 70 kerusi pula. Dari segi itu UMNO tetap akan memenangi jumlah kerusi yang terbesar.

DAP tidak mungkin memenangi 70 kerusi dan lagi pun hampir kesemua kerusi yang dimenangi oleh DAP sudah pun mereka menangi. Jika pada keseluruhannya BN kalah tetapi sebagai sebuah parti secara individunya UMNO akan tetap diminta menubuhkan kerajaan. Hanya apabila UMNO gagal menubuhkan kerajaan melalui rundingan-rundingan dengan parti-parti lain untuk menubuhkan kerajaan campuran, barulah Pakatan Rakyat dengan gabungannya mungkin mampu untuk menubuhkan kerajaan alternatif.

Itu sebabnya UMNO menjadi perhatian ramai terutamanya apabila pemilihan parti sampai. UMNO sudah hilang keyakinan ramai walaupun parti itu mungkin dapat bertahan dengan keadaan yang lebih lemah lagi pada masa yang akan datang.

Yang mendapat perhatian khusus ialah tentang pemilihan dua kerusi tertinggi parti itu. Ada pihak yang mahukan kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dan ada yang mahu jawatan itu dipertandingkan. Tidak payah kita bersusah payah memberikan pandangan sama ada jawatan-jawatan itu patut dipertandingkan kerana samada ia ditandingi atau tidak ia tidak akan memberikan apa-apa faedah tambahan kepada parti itu.

Pertandingan selalunya dilakukan untuk mencari siapa yang paling layak untuk memimpin. Najib telah gagal dengan jelas maka ada suara-suara meminta Muhyiddin mengambil alih kedudukan Najib dengan beliau menandingi Najib dalam pemilihan ini. Tetapi apa kelebihan Muhyiddin dari Najib dan apakah nilai tambahan yang Muhyiddin boleh sumbangkan kepada parti?

Blog ini tidak lekang dari memberikan pandangan yang jika Najib diambil alih oleh mereka yang ada dalam Majlis Teringgi parti itu ia tidak akan membawa apa-apa perubahan. Muhyiddin atau mana-mana di antara Naib Presiden parti itu datangnya dari acuan yang sama. Nilainya sama, sikapnya sama dan imejnya sama. Jika kita hendak bukti yang Muhyiddin pun tidak akan dapat menyumbang kepada perubahan bolehlah UMNO menggantikan Najib dengan Muhyiddin.

Dalam tempoh yang sekejap sahaja akan terbukti keadaan akan sama sahaja kerana mereka adalah sama. Itu bukan perubahan namanya. Mereka dari resepi yang sama. Ibaratnya seperti kuih bahulu. Kuih bahulu itu rasanya sama sahaja walaupun ia berbeza bentuknya. Kalau dibuat kueh bahulu dengan bentuk ikan pula kali ini ia akan tetap sama rasanya dengan yang berbentuk buah manggis misalnya. Ia tetap bahulu. Rasanya tetap rasa bahulu.

Dari membazir masa berkelahi dan berpuak biarkan sahaja Najib terus menjadi pemimpinnya. 'Consequence' nya akan sama juga sama ada Najib atau Muhyiddin yang memerintah dan mengetuai kerajaan. UMNO akan terhempas juga akhirnya.

UMNO itu juga ibarat kereta tua yang selalu rosak dan terkandas. Kereta yang belum terlalu teruk kerosakannya boleh ditukar alat-alat ganti di bengkel. Tetapi jika hampir kesemua komponen dalam enjin kereta itu terpaksa diganti dengan 'spare-parts' nya maka lebih baik kereta itu dilakukan 'overhaul' samasekali. Atau ditukar kereta itu terus dengan kereta yang baru. Kalau sayang kepada 'brand' kereta itu, ditukar sahaja kereta dengan jenama yang sama yang baru.

Pendeknya jika dalam Perhimpunan Agung UMNO pemilihan dibuat di antara mereka dalam Majlis Tertinggi sekarang sebagai seorang yang memandang dari luar ini, elok dilupakan sahaja niat untuk menandingi jawatan tertinggi parti itu.

Kalau sekadar untuk bertanding semata-mata untuk bertanding sahaja bolehlah bertanding. Kalau bertanding pun elok juga kepada setengah penggiat parti itu. Setidak-tidaknya perwakilan mungkin dapat "BRIM" pemilihan UMNO. 

Dapat juga mereka menukar kereta atau setidak-tidaknya dapat juga menukar 'sport-rim' kereta mereka. Perwakilan semasa pemilihan tinggi nilainya.

Setakat seramai 146,000 perwakilan sekarang pimpinan yang kaya raya masih boleh dan masih berupaya untuk 'kawtim' di sana sini. 

300 penduduk jadi mangsa dendam politik Umno BN

Posted: 21 Jul 2013 06:38 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/

Abdullah (kanan) bersama Zaki dan Mohd Asri menunjukkan geran besar di lot baru di Padang Luas.

BESUT: Lebih 300 penduduk di Kampung Padang Luas dan Padang Landak hanya mampu berputih mata, selepas rumah yang dibina di atas tanah diberi lesen menduduki sementara (TOL) menjadi mangsa dendam politik Umno.

Seramai 65 penduduk di Kampung Padang Luas dan 250 penduduk di Padang Landak, Dun Jertih mengharap tanah yang diluluskan kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran PAS  pada 1999 menjadi tempat anak cucu berteduh.

Tanah tersebut dilulus Pejabat Tanah Besut selepas diajukan permohonan pada 1999, ketika itu PAS mentadbir Terengganu, di mana pada asalnya merupakan padang ragut seluas lebih tiga ekar. 

Bekas pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), Abdullah Mohamed berkata, tanah tersebut dimohon rakyat memandangkan mereka belum memiliki sebarang tanah bagi membina rumah.

Katanya, penduduk melalui Adun Jertih, Tun Salleh Abbas mengajukan permohonan kepada Pejabat Tanah Besut. 

"JSR memilih mana-mana penduduk yang layak terutamanya mereka yang tidak memiliki tanah dalam kalangan penduduk tempatan yang miskin," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, selepas mendapat kelulusan kakitangan Pejabat Tanah Besut datang menyukat lot dan menanam batu sempadan di setiap lot.  

Kemudian pengundian dilakukan bagi menentukan lot yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut.

Kata beliau selepas penduduk mendapat lot ada kalangan mereka mulai membina rumah mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Biar pun belum mendapat tol secara  hitam putih penduduk membina asas-asas rumah atau pagar bagi mengelakkan tanah itu kembali dirampas kerajaan kerana tidak mendirikan sebarang binaan dalam tempoh tiga tahun.  

Di penempatan baru itu sebuah rumah telah siap dibina penduduk manakala sebahagian lagi dalam proses pembinaan struktur asas rumah.

Abdullah berkata, biar pun borang permohonan sudah lama diajukan kepada Pejabat Tanah Besut dan kerajaan hanya mengeluarkan kelulusan tol pada 2004.

Kata beliau permohonan hanya diproses Pejabat Tanah Besut selepas didesak kerajaan negeri dan wakil rakyat bekali-kali bagi membolehkan penduduk mendapat lesen menduduki sementara.

Manakala di Padang Landak pula kawasan seluas 70 ekar dipecah kepada 250 lot untuk diagih kepada penduduk yang layak.

Seorang penduduk, Mohd Asri Ismail, 49, beliau telah mendirikan rumah di situ sehingga 20 peratus siap, membabitkan kos lebih RM5,000.

"Saya tidak mampu untuk menyiapkan pembinaan rumah itu dapat tempoh singkat kerana tiada wang. Saya kumpul sedikit demi sedikit bagi membina struktur asas dahulu,"  ujarnya. 

Seorang lagi penduduk, Zaki Samad, 65, juga menyiapkan kira-kira 20 peratus rumahnya di atas lot baru di Padang Landak. 

Selain itu ramai juga penyokong Umno dan 10 penduduk bukan Islam juga mendapat lot rumah di Padang Landak. 

"Malangnya ketika penduduk di situ mahu menyambung tol bagi tahun kedua pada 2005, kerajaan negeri melalui satu surat menyatakan mesyuarat kerajaan negeri pada 23 November 2005 telah membatalkan tol tanah tersebut," katanya.

Pembatalan tol sementara dibuat selepas Barisan Nasional (BN) berkuasa semula di Terengganu, kemungkinan ada kaitan dengan balas dendam politik.

Abdullah berkata, tidak lama selepas kerajaan BN kembali berkuasa, rumah-rumah dan binaan asas yang dibuat penduduk di Padang Luas dan Padang Landak disodok menggunakan jentera berat.

Beliau dimaklumkan kerja-kerja menyodok rumah terbabit dibuat atas arahan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Di tapak rumah yang dimiliki rakyat tersebut sekarang telah dibangunkan projek perumahan yang ada kaitan dengan pemimpin Umno.

Tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan BN, penduduk membawa kes berkenaan ke mahkamah, dan sehingga sekarang kes itu di peringkat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.


Projek perumahan dibina di Padang Luas dahulu tanah milik rakyat.

Chelsea belasah Malaysia 4-1

Posted: 21 Jul 2013 06:36 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea FC menampilkan aksi menarik dan menghiburkan apabila dengan mudah mengalahkan Malaysia 4-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam di Shah Alam malam tadi.

Pasukan 'Blues' di bawah bimbingan Jose Mourinho menepati ramalan apabila menguasai perlawanan dan hanya memerlukan masa enam minit sahaja untuk membuka tirai jaringan menerusi Bertrand Traore.



Chelsea menambah gol kedua pada minit ke-28 menerusi rembatan kencang Kevin De Bruyne dalam kawasan kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Mohd Faizal Marlias.



Sebaik sahaja jaringan itu, De Bruyne mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Islam Feruz.



Bagaimanapun, penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahya mempunyai peluang untuk merapatkan jaringan pada minit ke-35 tetapi tendangannya dari jarak 25 meter dengan mudah diselamatkan oleh penjaga gol Mark Schwazer.



Sebelum perlawanan berhenti rehat, Chelsea memperkukuhkan kedudukan menerusi jaringan Romelu Lukaku pada minit ke-47.



Pada babak kedua, Chelsea tidak memberi tekanan kepada skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal malah hanya menghasilkan gol keempat pada minit ke-89 menerusi Victor Moses sebelum tiga minit kemudian Mohd Fadhli Mohd Shas menjaringkan gol saguhati negara.



- Bernama

Pelancong Wanita Korea Selatan Maut Cuba Selamatkan Suami Daripada Lemas

Posted: 21 Jul 2013 06:35 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KUALA BESUT: Seorang pelancong wanita dari Korea Selatan lemas ketika cuba menyelamatkan suaminya yang menghadapi kesukaran bernafas ketika berada di dalam air di perairan Tanjung Langir Pulau Perhentian Besar di sini, Ahad.
Mangsa seorang suri rumah dikenali sebagai Kim Dong Huk, 52, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari, setengah jam selepas diselamatkan penduduk.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya Kyung Min Baek, 54, turun pada 10 pagi untuk melakukan kegiatan snokerling.
Katanya, setelah hampir dua jam berada di dalam air, Kyung, seorang ahli perniagaan, menghadapi masalah dan tenggelam timbul tetapi Kim cuba menyelamatkannya dengan memegang kuat pada badan suaminya itu.
"Bagaimanapun, tarikan kuat daripada suaminya itu menyebabkan mangsa tenggelam tanpa dapat diselamatkan oleh suami dan sepasang rakannya yang turut melakukan kegiatan snorkeling di situ," katanya lagi.
Mayat Kim kemudiannya dibawa ke Hospital Daerah Besut di Jerteh untuk bedah siasat.
Ketika ditemui di Hospital Daerah Besut, Kyung berkata mereka tiba di Pulau Perhentian pada 20 Julai untuk bercuti bersama dua rakan yang lain.
Beliau yang begitu sedih dengan pemergian isterinya itu berkata mereka sepatutnya pulang ke Korea Selatan pada 23 Julai. - BERNAMA

Parti Abe menang pilihan raya Dewan Tinggi Jepun

Posted: 21 Jul 2013 06:32 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

TOKYO 22 Julai - Parti komponen Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mendapat kemenangan majoriti dalam pilihan raya Dewan Tinggi negara ini, semalam.

Stesen penyiar NHK mendedahkan, Parti Liberal Demokratik Jepun (LDP) dan parti gabungannya, New Komeito membolot sekurang-kurangnya 71 daripada 121 kerusi yang dipertandingkan sekali gus membolehkan parti menguasai kedua-dua dewan Parlimen.

Menurut NHK, parti komponen kerajaan boleh memenangi sekurang-kurangnya 80 kerusi yang dipertandingkan. - AFP

3 terbunuh terkena kipas helikopter

Posted: 21 Jul 2013 06:31 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

MOSCOW 22 Julai - Sebuah helikopter yang membuat pendaratan kecemasan terbalik dan membunuh tiga penumpang termasuk dua rakyat Britain dalam kejadian yang berlaku di Far North Rusia, semalam.

Dua rakyat Britain itu yang menyertai ekspedisi memancing di daerah pedalaman Murmansk bersama seorang penterjemah terbunuh setelah terkena kipas helikopter ketika pesawat itu mendarat pada bahagian tepi.

"Dua pelancong rakyat Britain dan penterjemah mereka terbunuh dalam kemalangan itu setelah terkena kipas pesawat," kata Jawatankuasa Penyiasatan dalam satu kenyataan. - AFP


17 askar Mesir maut kemalangan jalan raya

Posted: 21 Jul 2013 06:30 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

KAHERAH 22 Julai - Sekurang-kurangnya 17 tentera Mesir terbunuh manakala lebih 30 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas dan lori di wilayah Beheira, di Delta Nil, semalam.

Menurut sumber, bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di lebuh raya El-Alamein dengan tujuh daripada mereka yang maut merupakan pegawai tentera.

Katanya, angka awal mendedahkan sebanyak 15 askar terkorban namun dua lagi meninggal dunia di hospital akibat cedera parah. - AFP




Letupan saluran paip minyak di Mexico,

Posted: 21 Jul 2013 06:29 PM PDT

13 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

PEKERJA penyelamat berdiri berhampiran kenderaan peronda polis yang terbakar di tempat kejadian letupan saluran paip minyak Pemex di Tonanitla, berhampiran Bandar Mexico, hari ini. Sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dalam kejadian berkenaan. - Foto Reuters

Tiada ulasan:

Nuffnang