KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar berdepan mimpi ngeri apabila diacukan parang sebelum dipaksa menyerahkan kunci motosikal, dalam kejadian samun di tepi jalan, Kampung Bukit Belukar Jambu, di sini, 19 Jun lalu.

Menurut sumber, sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 19 tahun bersama seorang lagi rakannya yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari
bandar Kuala Terengganu ke Kampung Bukit Belukar Jambu, di sini.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didatangi sebuah motosikal yang ditunggangi dua lelaki dari arah belakang sebelum dihimpit sehingga terbabas ke bahu jalan.

"Ketika itulah, kedua-dua suspek berusia 20-an itu berlagak seperti 'orang berkuasa' dengan memaksa mangsa dan rakannya itu menunjukkan kad pengenalan," katanya, semalam.

Sumber berkata, mangsa yang menyangka kedua-dua suspek itu anggota penguat kuasa hanya menurut arahan dan semasa mahu mengeluarkan kad pengenalan, salah seorang suspek mengeluarkan sebilah parang sebelum mengacukan ke arah rakan mangsa.

"Suspek memaksa mangsa menyerahkan kunci motosikal sebelum bertindak menjadikan rakan mangsa sebagai tebusan.

"Terkejut situasi itu, mangsa terpaksa mengikut arahan dan hanya mampu melihat motosikal milik abangnya dilarikan begitu sahaja sebelum buat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata," katanya.