Selasa, 11 Jun 2013

Direct Free Kick

Direct Free Kick


KENYATAAN AKHBAR : KEROSAKAN LIF-LIF DI TAMAN PERMAI INDAH, KLANG.

Posted: 11 Jun 2013 08:05 AM PDT


Pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju membaikpulih lif-lif di 3 buah pemajuan.  

Pemajuan-pemajuan tersebut adalah,

1.) Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya - RM557,300
2.) Pangsapuri Taman Permai Indah, Klang - RM600,000
3.) Pangsapuri Taman Ampang Mewah, Ampang - RM480,000
 
Bagi Pangsapuri Taman Permai Indah, kerja-kerja membaikpulih 8 lif telah dimulakan pada 22 Mac 2010. 

Setelah kerja-kerja membaikpulih berakhir, Sijil Perakuan Siap Kerja telah dikeluarkan kepada 8 lif itu secara berperingkat-peringkat pada 27 Julai, 7 Julai, 10 Ogos dan 22 November 2010.
 
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( JKKP ) pula telah mengeluarkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat ( PMA ) untuk mengesahkan bahawa lif tersebut selamat untuk digunakan pada 29 Disember 2010.
 
Walau bagaimanapun, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor ( LPHS ) telah melakukan semakan inventori secara menyeluruh untuk bangunan bertingkat di seluruh Negeri Selangor pada bulan November 2011. 

Hasil semakan pada 29 November 2011 mendapati 6 unit lif di Pangsapuri Taman Permai Indah telah rosak dan 2 unit lagi dalam keadaan yang tidak memuaskan. Pemerhatian menunjukkan kerosakan lif-lif itu berpunca dari perbuatan vandalisme.
 
Di sini ingin ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah menyerahkan lif-lif tersebut kepada penduduk melalui JMB dalam keadaan yang baik. Perkara ini telah disahkan oleh JKKP. Adalah menjadi tanggungjawab JMB dan penduduk untuk memastikan lif-lif tersebut berada di selenggara dengan baik selepas itu.

Selepas pengalaman di Pangsapuri Taman Permai Indah, Kerajaan Negeri tidak lagi menanggung 100 peratus sebarang kos baikpulih. Tetapi telah diwujudkan Program Baikpulih Negeri Berkebajikan ( CERIA ) di mana Kerajaan Negeri menanggung 80 peratus dari kos dan penduduk menanggung 20 peratus kos yang boleh dibayar secara ansuran.

Kerajaan Negeri berpandangan sekiranya penduduk menanggung sebahagian dari kos baikpulih maka mereka akan menjaga kemudahan-kemudahan yang dibaikpulih dengan baik.

Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Skim Rondaan Kejiranan ( SEROJA ) bagi membanteras perbuatan vandalisme di pangsapuri-pangsapuri kos rendah. Di dalam skim yang serupa seperti Rukun Tetangga, penduduk akan membuat rondaan di kawasan pangsapuri mereka dan Kerajaan Negeri akan menanggung kos-kos rawatan perubatan sekiranya berlaku kemalangan atau sebarang musibah.

Bagi kerosakan lif-lif di Pangsapuri Taman Permai Indah, Kerajaan Negeri akan menawarkan lif-lif tersebut dibaikpulih di bawah CERIA. Walau bagaimanapun, masalah vandalisme  perlu diselesaikan terlebih dahulu. Tidak ada gunanya membaikpulih lif-lif tersebut tetapi akan dirosakkan selepas itu. Di dalam hal ini, JMB perlu memainkan peranan besar. Pegawai Pesuruhjaya Bangunan Majlis Perbadanan Klang ( MPK ) akan diarah membantu JMB.

Kerajaan Negeri juga akan memulakan kajian dari sudut perundangan bagi membantu JMB atau MC mendakwa pelaku-pelaku vandalisme di mahkamah. Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen untuk membanteras vandalisme pada penggal yang lepas, masanya telah tiba untuk mengambil tindakan-tindakan yang tegas.


YB Tuan Iskandar bin Abdul Samad
EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan & Peneroka Bandar
Negeri Selangor
11 Jun 2013

Tiada ulasan:

Nuffnang