Selasa, 5 Februari 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Rakyat Mahu Penyelesaian Jangka Panjang, Bukan Beri Syabas Pinjaman

Posted: 05 Feb 2013 01:20 AM PST

IJOK, 5 FEB: Bantuan RM120 juta dari Kerajaan Pusat kepada Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) tidak membantu menyelesaikan isu air di Selangor, sebaliknya rakyat negeri ini mahukan penyelesaian jangka panjang diambil agar masalah bekalan air tidak berlaku pada masa depan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, isu ini hendaklah diselesaikan secara menyeluruh dengan mengambil kira perancangan masa depan.

"Memang, ini satu rancangan yang tidak tersusun, sepatutnya perancangan kewangan tidak dibuat secara 'adhoc'.

"Beri pinjaman sedikit demi sedikit tidak menyelesaikan masalah penyusunan semula struktur air Selangor," ujar Abdul Khalid kepada TV Selangor malam tadi.

Abdul Khalid sebelum menceburi politik, beliau juga terkenal sebagai seorang ahli korporat berjaya, disegani dan memiliki pengalaman luas dalam dunia perniagaan.

Terdahulu Abdul Khalid berkata, bantuan RM120 juta kepada Syabas ini tidak akan menyelesaikan kemelut air Selangor kerana Syabas sebelum ini terbukti gagal mengurus dana yang diberikan kepadanya.

Sebelum ini, Syabas membelanjakan RM1.169 bilion – lebih daripada yang diperuntukan di bawah perjanjian – tetapi syarikat itu masih gagal menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 19.98 peratus.

NRW adalah air yang hilang melalui kebocoran paip atau yang telah dicuri. Kadar NRW sekarang di bawah Syabas adalah 33 peratus.

Terdahulu itu Abdul Khalid meneruskan tradisi pemberian buah limau mandarin sempena Tahun Baru Cina kepada orang ramai yang mengunjungi pasar malam Desa Coalfield di sini.

Sebelum itu, dalam kunjungan sama Abdul Khalid turut sempat menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama penduduk setempat di Surau Al-Hidayah, Desa Coalfield.


Sumber: Selangorku

Merap Kesan Lebih 100,000 Pengundi Dengan Etnik Ganjil

Posted: 05 Feb 2013 01:10 AM PST

Merap menyatakan daftar pemilih yang dikemaskini sehingga suku pertama 2012 menunjukkan sejumlah 108,970, atau 11.7 peratus daripada 920,160 pengundi di Sabah direkodkan sebagai anggota kumpulan etnik seperti "Bugis", "Brunei", "Jawa" dan "Filipina".

Satu kajian oleh Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap) mendapati hampir 12 peratus daripada pengundi di Sabah direkodkan dengan etnik ganjil itu dalam kad pengenalan masing-masing.

Sebahagian daripada kad pengenalan yang dimiliki pengundi ini menjadi pertikaian utama dalam petisyen pilihan raya Likas 1999 di Sabah lebih satu dekad lalu.

Mahkamah berkenaan memutuskan bahawa individu berkenaan mungkin merupakan pengundi hantu yang ditempatkan di kawasan terbabit, namun ia masih kekal dalam daftar pemilih.

Merap dalam tulisan di blognya menyatakan, daftar pemilih yang dikemaskini sehingga suku pertama 2012 menunjukkan sejumlah 108,970, atau 11.7 peratus daripada 920,160 pengundi di Sabah direkodkan sebagai anggota kumpulan etnik seperti "Bugis", "Brunei", "Jawa" dan "Filipina".

Analisis berkenaan mendapati, pengundi seperti itu banyak ditemui di kawasan parlimen Silam, Kimanis, Kalabakan, Libaran, Papar, Tawai, Sipitang, Beaufort dan Putatan dalam daftar pemilih suku pertama 2012 untuk yang membentuk lebih daripada 15 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar.

Walaupun dengan rekod etnik seperti itu, majoriti daripadanya dinyatakan sebagai individu yang dilahirkan di Malaysia, menurut Merap.

Semakan kod negeri dalam kad pengenalan berkenaan seterusnya menunjukkan bahawa lebih 7,000 bangsa Filipina, 5,000 Indonesia dan 2,000 Pakistan dalam senarai itu direkodkan sebagai dilahirkan di Sabah.

"Malah terdapat lima orang (bangsa) Bangladesh dan seorang (bangsa) Burundi dilahirkan di Sabah."


Sumber: MalaysiaKini

Punca Gagal Bekal Air: Syabas Cuma Bayar 45 % Kepada Operator Loji

Posted: 05 Feb 2013 01:00 AM PST

SHAH ALAM, 4 FEB: Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang hanya membayar sekitar 40 hingga 45 peratus kepada syarikat operator loji rawatan air menyebabkan syarikat terlibat tidak mampu mengeluarkan air dalam kapasiti yang optimum.

Syarikat operator rawatan air, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) terpaksa bertindak demikian bagi mengurangkan kos pengeluaran dan mengelakkan menanggung kerugian.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad keadaan ini hanya dapat diselesaikan apabila Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih operasi pengeluaran air di negeri itu.

"Bayaran Syabas kepada syarikat operator loji ini sangat menekan aliran tunai mereka," kata Dr Dzulkefly kepada TV Selangor hari ini.

Selain itu, Dr Dzulkefly turut mendedahkan bahawa Syabas juga tidak memberikan layanan yang adil dan saksama kepada syarikat-syarikat kontraktor mereka.

"Kontraktor Syabas ini ada banyak, tetapi saya dapat tahu cuma beberapa syarikat yang Tan Sri Rozali Ismail ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung dapat keistimewaan seperti anak emas oleh Syabas.

"Projek yang diberikan juga biasanya projek yang beri keuntungan lebih besar berbanding kerja yang diperolehi syarikat lain, ini tak adil kepada syarikat kontraktor lain walaupun mereka punyai keupayaan jalankan projek," ujarnya lagi.

Antara syarikat yang disebutkan sebagai anak emas Syabas oleh Dr Dzulkefly termasuklah Mewah Kota Sdn Bhd, Damini Sdn Bhd, Yakin Rantau Sdn Bhd, Kembara Sdn Bhd dan Semarak Niaga Sdn Bhd.

"Sekiranya Kerajaan Negeri ambil alih, kontrak dan bayaran akan dibuat dengan adil dan lebih baik sebab rekod yang ada saya percaya Kerajaan Negeri merupakan 'pay master' yang bagus," kata Dr Dzulkefly yang mengaku dibekalkan maklumat dari sumber dalaman salah sebuah syarikat anak emas terbabit.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang