Isnin, 18 Februari 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Ulasan Peristiwa Kehadiran Kristian Najran Di Madinah (Pengajaran Kedua dan Ketiga)

Posted: 17 Feb 2013 07:46 PM PST

Saya telah mengulas pengajaran pertama Peristiwa Kehadiran Kristian Najran di Madinah di dalam tulisan saya sebelum ini yang bertajuk Ulasan Peristiwa Kehadiran Kristian Najran Di Madinah. Untuk kali ini saya akan cuba mengulas 2 lagi pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa tersebut.

Di dalam petikan tersebut turut mengandungi sesuatu yang agak aneh bagi mereka yang tidak memahami sikap Islam dengan tepat. Rasulullah (SAW) tidak menegur perwakilan dari Najran atas sebab mereka berpakaian sutera dan emas tetapi menegur mereka dan menjawab salam mereka apabila mereka berpakaian rahib/paderi di dalam Masjid! Tidakkah pakaian rahib dan paderi itu lambang keagamaan dan aqidah yang sesat? Sedangkan sutera dan emas hanya kesalahan kecil dan tidak melibatkan persoalan aqeedah! Mengapa Rasulullah (SAW) mengambil berat persoalan 'kecil' dan tidak persoalan aqidah yang lebih besar?

Seperti yang disebut, hidayah adalah dari Allah dan seseorang itu akan berpegang kepada agama dan aqidahnya selagi tidak menerima hidayah dari Allah. Namun dalam keadaan beragama selain Islam sekalipun tindakan yang tidak bertepatan dengan ajaran agama sendiri adalah dilihat amat keji kerana menunjukkan sikap mempermainkan agama. Mempermainkan agama bermakna mempermainkan Tuhan.

Sikap mempermainkan agama tidak disukai dan ditolak Rasulullah (SAW). Rasulullah mengetahui mereka sebagai delegasi dari Najran yang terdiri dari ketua dan paderi mereka. Sikap berpakaian baju yang disulam dengan sutera dan cincin emas bercanggah dengan apa yang diajar agama Kristian itu sendiri. Cara hidup zuhud dan tidak mementingkan 'perhiasan' dunia merupakan ciri kehidupan Nabi Isa (AS) yang diketahui umum. Dan ianya juga amalan yang ditolak Islam, khususnya bagi kaum lelakinya.

Sikap yang ditunjukkan Rasulullah (SAW) dalam peristiwa ini adalah juga selari dengan ayat 46 Surah Al-Ankabut di mana Baginda diarah Allah supaya tidak berhujjah dengan golongan ahlul-Kitab kecuali dengan cara yang terbaik, KECUALI yang zalim di antara mereka. Sudah pasti golongan yang permainkan ajaran agama adalah mereka yang zalim.

Ramai dari ummat Islam hari ini mempunyai sikap yang sebegini. Mempermainkan hukum Allah dalam semua persoalan termasuk pemakaian sutera dan emas. Begitu juga terhadap syariatNya termasuk persoalan menutup aurat, perlaksanaan hudud dan sebagainya. Sikap mempermainkan agama menjadikan ummat Islam lemah dan berpecah. Inilah sebab mengapa ianya dibenci Rasulullah (SAW).

Pemakaian baju yang disulami sutera serta cincin emas juga menunjukkan ciri-ciri bangga diri yang cuba menzahirkan kehebatan dan kekayaan diri. Kononnya untuk mendatangkan perasaan kagum dan hormat dari mereka yang memandang. Sedangkan Rasulullah (SAW) ingin menunjukkan bahawa itu semua tiada nilai di sisinya. Yang lebih bernilai adalah keikhlasan terhadap agama dan Tuhan.

Berpakaian rahib/paderi pada esok hari membawa respon yang positif dari Rasulullah (SAW) kerana atas persoalan keagamaanlah ingin Rasulullah berbicara. Dan itulah yang terus disebut Baginda selepas sahaja menjawab salaam mereka!

Akan tetapi mereka menolak dengan menyatakan : "Sebelum kamu, kami adalah orang-orang yang menyerah (Muslimin)", maka berkata Rasulullah: "ada 3 perkara yang menyebabkan kamu bukan orang Islam (Muslimin): Penghambaan kamu kepada Salib, pemakanan kamu akan daging khinzir dan kepercayaan kamu bahawa Allah ada anak…."

Pengajaran ketiga ini adalah yang amat menarik bagi diri saya. Apabila dijemput memeluk Islam iaitu menyerah diri kepada Allah, mereka menjawab bahawa mereka sudah Islam (menyerah) sebelum datangnya Rasulullah! Rasulullah pula terus menjawab dengan menyebut 3 perkara utama yang menyababkan orang Kristian terkeluar dari Islam.

Ketiga-tiga perkara ini, mengikut ulama Islam, adalah hasil ajaran dan Gereja bukan ajaran yang terdapat dalam injil/Bible.

Yang pertama persoalan perhambaan mereka kepada salib. Yang dimaksudkan dengan ini ialah kefahaman pemansuhan dosa manusia melalui 'matinya' Nabi Isa setelah disalib. Maka salib itu simbol pemansuhan dosa sehingga ianya bagaikan disembah dan dianggap mempunyai kuasa. Sedangkan jika dilihat kepada apa yang terkandung di dalam Bible itu sendiri, konsep ini tidak sama sekali disebut secara jelas dan nyata sehingga ianya dijadikan rukun utama ajaran Kristian.

Kepercayaan ini telah ditolak Islam dengan menafikan kematian Nabi Isa (AS). Allah berfirman di dalam Al-Quran berhubung bagaimana Allah telah menyelamatkan Nabi Isa dengan menggantikannya dengan seseorang yang kelihatan serupa dengannya.
"Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah". Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin." (An-Nisaa' 157)
Dengan penafian matinya Nabi Isa (AS) disalib maka konsep pemansuhan dosa manusia melalui kematian beliau adalah ditolak Islam dengan sejelas-jelasnya.

Yang kedua adalah tindakan menghalalkan yang telah jelas diharamkan di dalam Bible itu sendiri iaitu pemakanan daging khinzir. Hingga ke hari ini, ayat yang mengharamkan pemakanan daging khinzir tetap boleh didapati di dalam Bible yang sedia ada. Namun ianya tidak dihiraukan. Ini menzahirkan sikap menerima hukum manusia sebagai lebih penting dari hukum yang ditetapkan Tuhan dan memberi kepada sesama manusia (Gereja) hak untuk membatalkan dan mengubah perintah Allah.

Sikap sebegini menyebabkan berlakunya syirik seperti kisah perbahasan Adi Bin Hatim dan Rasulullah (SAW) yang pernah saya ceritakan dahulu di dalam persoalan perlantikan 'Arbaaban'. Kisah ini berkisar atas perbahasan beliau dengan Rasulullah berhubung ayat 31 Surah At-Taubah:
"Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan."
Adi bin Hatim membantah apabila mendengar Rasulullah (SAW) membaca ayat ini dengan mengatakan "kami tidak mengambil mereka sebagai Tuhan selain Allah". Rasulullah (SAW) menjawab, "mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dan kamu patuh kepada mereka. Maka kamu menerima mereka sebagai Tuhan selain Allah."

Penyerahan hak Allah ini kepada yang lain boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar dari Islam tanpa diketahuinya.

Yang ketiga adalah kerana mereka, iaitu orang Kristian, menganggap Allah ada anak. Ini juga adalah merupakan ajaran Gereja bukan ajaran yang terkandung dalam Bible. Namun ianya adalah sebahagian pegangan utama agama Kristian dan walaupun kita tidak setuju dan menganggapnya satu penghinaan terhadap Allah sendiri, ianya tetap merupakan ajaran Kristian yang kita tidak boleh halang mereka beri'tiqad dengannya.

Kalau dibaca kisah ini seterusnya, kita akan dapati Rasulullah (SAW) berhujjah untuk membuktikan kepalsuannya. Tetapi Rasulullah tidak pernah menghalang mereka dari menyebutnya kerana itulah kepercayaan mereka. Tidak juga diminta mereka supaya tidak menyebut lagi nama Allah.

Dan sememangnya dakwaan mempunyai anak adalah satu pembohongan terhadap Allah dan itulah di antara sebabnya agama Kristian terkeluar dari Islam! Ianya dakwaan yang telah disebut manusia kafir sebelum mereka seperti dijelaskan oleh Allah dalam ayat 30 Surah At-Taubah.
"Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?"

Walaupun ianya sesuatu yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Islam, namun Rasulullah (SAW) tidak menghalang mereka dari terus menyebutnya! Maka amatlah pelik apabila Rasulullah (SAW) sendiri tidak menghalang masyarakat Kristian dari menyebut dakwaan palsu mereka ini tetapi kita pula ingin menghalang mereka. Mungkin kita tidak memahami kaedah dakwah dan hak beragama yang telah dijamin Islam kepada bukan Islam dan hanya melihat dari sudut emosi. Atau kita terpengaruh dengan mereka yang ketandusan isu dan ingin menggunakannya sebagai isu untuk mengabur mata rakyat terhadap penyelewengan yang telah mereka lakukan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang