Khamis, 17 Januari 2013

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Konspirasi, Sabotaj Untuk Wujudkan Krisis Air Di Selangor

Posted: 17 Jan 2013 01:00 AM PST


PETALING JAYA: Kerajaan Selangor hari ini tidak menolak wujud unsur konspirasi melibatkan gangguan air ekoran kegagalan operasi di rumah pam Wangsa Maju pada Disember 29 lalu.

"Kecurigaan kita berdasarkan logik dan fakta bagaimana kelima-lima buah pam termasuk dua  buah pam tambahan di rumah pam Wangsa Maju tersebut rosak secara serentak," kata Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Dalam pada satu kenyataan media, Dr Xavier berkata beliau juga mempertikaikan kenyataan Syabas bahawa mereka menjalankan perkhidmatan berkala terhadap pam-pam tersebut sedangkan buku log tersebut tidak ditemui.

"Kita juga sedang menunggu keputusan siasatan Jabatan Kimia terhadap sampel air Sungai Semenyih tersebut," tambah beliau.



"Apa yang jelas, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membangkit isu air di Selangor, maka berlakulah gangguan air di beberapa kawasan di negeri ini.

"Kami kerajaan negeri tidak pasti sama-ada ianya berlaku secara kebetulan atau satu konspirasi yang telah dirancang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.," katanya.

Xavier juga berkata ekoran wujudnya unsur konspirasi dan sabotaj tersebut ekoran dua kejadian terdahulu , kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor  sedang memantau secara dekat  operasi harian dua buah loji pembersih air yang besar di Sungai Kapar Indah dan Sungai Langat yang membekalkan hampir 60 peratus  bekalan air di Lembah Kelang.

Beliau juga menekan bahawa Pengerusi Puncak Niaga dan Syabas Tan Sri Rozali Ismail perlu bersikap lebih professional dan berhemah dalam urusan membekal air terawat kepada rakyat Selangor.

Letak jawatan seperti Dr Ani Arope

"Sebagai pengerusi sebuah syarikat yang tersenarai di bursa saham  menjadi tanggung jawab beliau untuk mempastikan rakyat Selangor mendapat perkhidmatan dan bekalan air yang berterusan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Xavier menambah Rozali seharusnya memastikan bahawa semua pam air di rumah pam dan peralatan di loji-loji di bawah kendalian Syabas sentiasa diselenggara secara berkala bagi memastikan tidak berlakunya gangguan bekalan.

Menurut Xavier lagi, Rozali sepatutnya mempunyai keberanian mengambil tanggungjawab seperti dilakukan oleh Pengerusi Eksekutif TNB, Tan Sri Dr. Ani Arope meletakkan jawatan ekoran insiden  'bergelap 12 jam' , semasa  bekalan letrik terputus di seluruh negara  pada 3 Ogos 1996.

"Tetapi apa yang berlaku ialah Najib bukan sahaja tidak berani menegur Rozali di atas ketidakcekapan pengurusan Syabas sebaliknya mengatakan bahawa masaalah air di Selangor akan selesai sekiranya rakyat Selangor memilih BN dalam piliharaya umum akan datang."

"Jelas kepada kita bahawa kerajaan Najib mempertahankan kepentingan sebuah syarikat komersil yang berpaksikan keuntungan dan sebaliknya tidak menghormati kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat Selangor," tambahnya.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan menjadikan rakyat Selangor sebagai tebusan (ransom) untuk merampas tampuk pentadbiran negeri.

Rata-rata rakyat Selangor diperingkat akar umbi mengetahui dan sedar bahawa Syabas 'dipergunakan' untuk mereka-cipta gangguan bekalan air demi kepentingan agenda politik pemimpin BN untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Sumber: FreeMalaysiaToday

Selangor Sedia Bantu Penduduk Tuntutan Mahkamah Daripada Syabas

Posted: 16 Jan 2013 01:15 AM PST


SHAH ALAM 16 JAN : Kerajaan Negeri sedia membantu penduduk di beberapa kawasan yang mengalami gangguan bekalan air untuk mengemukakan tuntutan mahkamah daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Kira-kira 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur, Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air sejak dua minggu akibat kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju.

Syabas juga didakwa cuai kerana kesemua lima pam termasuk dua pam dalam simpanan (standby pump) rosak dan keraguan timbul apabila dua pam yang jarang digunakan turut rosak menunjukkan syarikat konsesi air itu gagal menyelenggaranya dengan baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menggunakan peruntukan daripada Geran Selangorku untuk membiayai penduduk yang ingin mengemukakan tuntutan daripada Syabas di mahkamah.


Katanya, penduduk berhak mengemukakan tuntutan di atas kegagalan Syabas menyediakan perkhidmatan yang sempurna kepada penduduk.

"Rakyat boleh memfailkan tuntutan di mahkamah dan Kerajaan Negeri akan membantu melalui Geran Selangorku untuk membela perkara-perkara yang tidak adil," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita di sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata Jawatankuasa Pemantauan Air Selangor yang dipengerusikan Datuk Mohamed Khusrin Munawi akan memantau operasi Syabas setiap hari terutamanya pelan tindakan dan pemulihan air syarikat itu.

Jawatankuasa tersebut juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan rumah pam dan penyelesaian jangka pendek dan panjang gangguan itu.

Sumber: Selangorku

Selangor Sekat Capex Kerana Syabas Tak Tepati Perjanjian 2004

Posted: 16 Jan 2013 01:00 AM PST


SHAH ALAM 16 JAN: Kerajaan Negeri menyekat Perbelanjaan Modal (Capex) kerana Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) didakwa gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan dalam Akta Perjanjian Penswastaan Air 2004.

Syarikat konsesi itu didakwa tidak menggunakan kaedah tender terbuka dalam perlantikan kontraktor untuk kerja-kerja penyelengaran dan membaikpulih sistem pengagihan air.

Sebaliknya dakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Syabas menggunakan kaedah pemberian terus yang mengikut Laporan Ketua Audit Negara, tidak digalakkan.

Abdul Khalid juga berkata Syabas gagal dalam usaha mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 15 peratus seperti yang dipersetujui di dalam perjanjian penswastaan air 2004.


Kata Abdul Khalid, Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk tidak meluluskan Capex kerana kerja pembaikpulih yang dilakukan Syabas adalah terhadap aset perkhidmatan air yang dimiliki Selangor.

Abdul Khalid berkata, permohonan dan penggunaan Capex mesti mengikut prosedur iaitu melalui proses tender terbuka dan bukannya pemberian terus kerana ianya melibatkan dana Kerajaan Negeri.

"Bagi sesetengah kes, Kerajaan Negeri sedia menggunakan dana negeri untuk Capex tetapi ia mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan," katanya.

Katanya, Syabas turut dikritik oleh laporan Ketua Audit Negara kerana tidak melakukan proses tender terbuka dengan mengatakan ia bukanlah tindakan yang bijak untuk digunakan.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita ketika sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid mendakwa Syabas gagal menyediakan pelan jangka pendek dan panjang bagi mengenalpasti kawasan yang mempunyai kadar NRW yang tinggi.

NRW adalah air yang hilang semasa proses pengagihan disebabkan terutamanya paip bocor atau dicuri.

Sehingga kini, Syabas masih gagal menurunkan tahap NRW daripada lebih 30 peratus kepada 15 peratus seperti perjanjian 2004 itu.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang