Jumaat, 30 November 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Penjelasan Siasatan Mahkamah Perancis Terhadap Isu Scorpene

Posted: 29 Nov 2012 06:30 PM PST

Saya telah ke Singapura pada hari Selasa yang lepas untuk menghadiri sesi penerangan berhubung siasatan oleh mahkamah Perancis berhubung pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia. Penerangan ini yang dibuat oleh seorang peguam Perancis sepatutnya dilakukan di Malaysia dan di Parlimen. Malangnya Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin, tidak sanggup memberi jaminan bahawa peguam tersebut akan dibenarkan masuk dan TS Speaker Parlimen pula tidak membenarkan penjelasan itu diadakan di Parlimen. Akhirnya, untuk mengelak berulangnya peristiwa yang memalukan Malaysia seperti yang pernah berlaku terhadap peguam William Bourdon pada tahun lepas, di mana beliau dihalang masuk dan dihantar pulang, maka sesi penerangan ini diadakan di Singapura.



Peguam Perancis yang datang kali ini adalah seorang wanita yang bernama Apoline Cagnat. Beliau merupakan peguam bagi pihak SUARAM yang telah diterima mahkamah Perancis sebagai plaintif sivil dalam kes ini. Mengikut Apoline kes ini merupakan kes jenayah dan sivil mengikut undang-undang Perancis.

STATUS SIASATAN
Dalam menjelaskan status kes ini, Apoline memulakannya dari saat apabila SUARAM mengemukakan aduan berhubung kes Scorpene yang disyaki berlakunya rasuah kepada pejabat pendakwa Perancis. Dengan dibekalkan dengan berbagai dokumen dan bukti, termasuk persoalan-persoalan terhadap pembunuhan Altantuya, pihak pendakwa Perancis telah menerima aduan itu dan memulakan siasatannya. Apabila didapati bahawa kes ini agak rumit kerana melibatkan banyak syarikat dan personaliti, maka pihak pendakwa telah memohon kepada institusi kehakiman untuk melantik hakim untuk meneruskan siasatan berkenaan.

Ketua Institusi kehakiman Perancis kemudiannya telah melantik dua orang hakim untuk meneruskan siasatan dengan lebih terperinci demi memberi jaminan sekiranya ianya dibawa untuk proses perbicaraan, bukti yang ada akan cukup kukuh untuk disabit kesalahan. Di sini Apoline menjelaskan bahawa sistem perundangan Perancis agak berbeza dengan sistem di Malaysia yang kita warisi dari British. Dalam sistem Perancis, Hakim boleh mengetuai siasatan untuk menentukan samada kes itu perlu dibawa untuk dibicara atau sebaliknya. Di Malaysia, siasatan dibuat oleh Polis dan SPRM dan para Hakim hanya terlibat apabila perbicaraan bermula. Di Perancis ianya berbeza.

Namun, sepertimana yang disebut oleh Apoline, sekiranya sesuatu kes diterima untuk disiasat oleh pendakwa dan seterusnya oleh Institusi kehakiman dengan melantik dua orang hakim, ianya merupakan bukti bahawa kes itu dianggap serius dan kukuh. Pada tahap ini, siasatan hakim akan berjalan dengan sendirinya walaupun SUARAM sendiri tidak lagi terlibat. Namun, SUARAM sebagai pihak yang memulakan kes ini dan sebagai plaintif di dalam kes sivilnya berhak untuk berhubung dengan pihak hakim dengan memberi bukti tambahan atau untuk mendapat maklumat mengenai status siasatan.

Masalahnya oleh kerana kes ini dalam siasatan mahkamah maka Apoline tidak boleh mendedahkan apa-apa dokumen atau memberi komen berhubung dokumen-dokumen yang ada tersiar di dalam Internet.

PROSES SIASATAN
Proses siasatan mengikut pendapat Apoline boleh mengambil masa paling kurang 1 1/2 atau 2 tahun bergantung kepada tahap kerjasama yang diberikan oleh mereka yang dikenal pasti sebagai saksi. Dalam tempoh ini, Hakim penyiasat boleh mengeluarkan subpoena untuk meminta mana-mana saksi tertentu hadir untuk memberi penjelasan. Atau mereka boleh datang sendiri ke Malaysia untuk bertemu dengan orang-orang berkenaan. Sekiranya orang yang disubpeona tidak hadir, mereka akan diberi surat peringatan dan sekiranya terus ingkar, hakim penyiasat boleh keluarkan waran tangkap kepada Interpol untuk melaksanakan tangkapan tersebut.

Megikut SUARAM, sudah ada yang disubpeona tetapi dia mendiamkan diri dan ada satu lagi subpoena yang sedang disiapkan. Surat peringatan akan dikeluarkan terhadap penerima subpoena yang sedang mendiamkan diri. Tujuh nama yang dinyatakan oleh SUARAM telah diterima sebagai saksi utama oleh Hakim berkenaan dan di antara mereka adalah DS Najib sendiri, Razak Baginda dan juga Zahid Hamidi.

Apoline menjelaskan bahawa baru-baru ini kerajaan Perancis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Timbalan Presiden French Guinea atas kes yang juga disyaki melibatkan rasuah.

KES ALTANTUYA
Apoline menyatakan bahawa semua yang terlibat di Perancis menyedari bahawa pembunuhan Altantuya mempunyai hubungan rapat dengan kes pembelian Scorpene. Oleh itu pihak mahkamah akan menulis kepada kerajaan Malaysia untuk mendapatkan fail pembicaraan kes pembunuhan Altantuya.

Namun, menurut Apoline lagi, siasatan ini adalah siasatan rasuah dan bukan siasatan ke atas pembunuhan Altantuya.

KOMITMEN MENENTANG RASUAH
Saya juga telah sempat bertanya kepada Apoline mengapakah kerajaan Perancis begitu berminat untuk menyiasat kes ini? Hakikatnya Malaysia yang hilang duit bukan Perancis dan penjualan Scorpene menguntungkan ekonomi Perancis.

Apoline menjawab ianya soal prinsip. Samada yang memberi rasuah atau yang menerimanya, kedua-dua bersalah dan mesti dihukum supaya amalan rasuah ini dibenteras. Maka adalah jelas amat berbeza sungguh dengan sikap pimpinan UMNO yang mengajar ahlinya bahawa tiada masalah dengan rasuah asalkan yang untung adalah Melayu. Satu sikap negara maju yang bercanggah degan sikap zaman jahilliyah UMNO.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, saya ingin menyatakan bahawa kes ini adalah serius dan prosesnya sedang terus berjalan. UMNO BN boleh terus menafikannya tetapi akhirnya kebenaran akan dizahirkan juga. Untuk menentukan kerjasama yang penuh, supaya kebenaran dizahirkan dengan seberapa segera, rakyat Malaysia perlu memastikan kemengangan PR dalam PRU ke 13 ini. Pada ketika itu akses yang penuh akan diberi kepada Hakim penyiasat kerana PR juga mempunyai kommitmen yang tinggi untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Video ihsan MediaRakyat

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Muktamar PAS

Posted: 29 Nov 2012 05:00 PM PST

Sepertimana yang diketahui umum, muktamar PAS ke-58 telah selamat berjalan dengan lancarnya dari 16 hingga 18 November di PUTIK Kelantan. Tulisan ini bercadang untuk mengemukakan pandangan saya mengenai apa yang telah berlaku di Muktamar tersebut. Saya akan menulis mengenainya dalam dua bahagian.

Bahagian pertama pada pagi Jumaat ini akan membincangkan persoalan 'apa yang ingin dicapai oleh pimpinan melalui muktamar ini' dan 'apa yang sebenarnya telah tercapai' mengikut padangan saya.

Dalam Bahagian kedua pula saya akan mengupas beberapa isu yang timbul yang sedikit sebanyak menunjukkan adanya kekeliruan di kalangan ahli berhubung isu tersebut.

Muktamar PAS tahun ini amat dinanti-nantikan kerana ianya merupakan Muktamar terakhir sebelum berlakunya PRU ke 13. Ramai yang berharap ianya akan menzahirkan kepada semua ahli PAS satu hala tuju dan cogan-kata khusus bagi memenangkan calon PAS di kawasan-kawasan yang ditandingi mereka. Dan sememangnya inilah yang telah diusahakan oleh pimpinan parti.

YANG INGIN DICAPAI PIMPINAN PAS PUSAT
Ucapan Dasar yang disampaikan Dato Seri Presiden telah mengemukakan sebuah tema yang amat sesuai dengan keperluan PRU ke 13. Temanya 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan'. Ia merupakan tema yang mampu menonjolkan PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang mementingkan keperluan rakyat keseluruhannya, Muslim dan non-Muslim yang mana kepimpinan yang bersifat berkebajikan mampu menyatu padukan rakyat. Usaha penyatuan rakyat oleh UMNO/BN selepas 55 tahun memerintah sejak Merdeka telah menemui kebuntuan. Rakyat terabai dan pemimpin bertambah kaya-raya. Isu kaum digunakan untuk memaksakan perpaduan atas dasar takut terhadap satu sama lain. Oleh itu tema yang dibawa Dato Seri Presiden PAS amat sangat releven dan dinanti-nantikan rakyat.

Di ambang pilihan raya, PAS perlu dilihat sebagai sebuah parti yang membawa mesej yang menyeluruh yang releven untuk semua di Negara ini. Ianya konsisten dengan usaha PAS untuk membina imej serta reputasinya sebagai parti yang bakal menggantikan UMNO dalam memegang kepimpinan masyarakat Melayu khususnya di atas prinsip keadilan dan berkebajikan untuk segenap lapisan masyarakat seperti yang diajurkan oleh Islam.

Pada masa yang sama kommitmen PAS untuk terus bersama dengan PR dalam membentuk kerajaan baru perlu ditegaskan. Ini akan memberi kestabilan kepada usaha membawa perubahan. Apa-apa tanda bahawa PR tidak stabil dan boleh berpecah akan memadamkan keberanian rakyat, khususnya di atas pagar, untuk mengusahakan perubahan.

Dari sudut Ucapan Dasar yang telah dibentangkan, ianya amat sangat memenuhi keperluan semasa seperti yang disebutkan di atas. Kedua-dua aspek yang disebutkan di atas diberikan penekanan oleh DS Presiden dengan baiknya.

Malangnya, perbahasan ucapan dasar tidak memberi tumpuan yang sewajarnya kepada isi kandungan ucapan dasar tersebut, kecuali oleh beberapa perwakilan.

SIFAT MUKTAMAR
Sebelum dinyatakan apa yang telah tercapai, mengikut pandangan saya, adalah amat perlu bagi semua yang membaca tulisan ini untuk memahami sifat Muktamar PAS. Muktamar PAS merupakan muktamar yang terbuka dalam erti-kata ianya tidak di'stage-manage' dan setiap perwakilan yang berucap tidak dimaklumkan terlebih dahulu apa yang boleh dan tidak boleh disebut. Malahan pilihan wakil untuk berucap juga secara umumnya diserahkan kepada perwakilan setiap negeri tanpa diganggu oleh pimpinan Pusat.

Oleh itu, muktamar biasanya menjadi tempat di mana ahli menegur dan menyuarakan perkara yang mereka tidak puas hati, kerisauan mereka terhadap arah tuju pimpinan serta memberi nasihat dan teguran kepada pimpinan-pimpinan tertentu. Ruang perbahasan ucapan dasar sering dimanfaatkan untuk membuat teguran-teguran seperti ini dan oleh itu, kadang-kala mesej ucapan dasar itu sendiri tenggelam di bawah isu-isu sampingan yang dibawa. Ini sering menjadi masalah di muktamar tetapi ianya dibenarkan atas kesedaran ianya peluang yang disediakan untuk ahli-ahli meluahkan perasaan dan memberi pendapat secara berdepan dengan pimpinan. Ini dirumitkan lagi apabila kadang-kadang yang diberikan tanggung-jawab untuk membahas merupakan seorang yang petah berucap tetapi baru dalam perjuangan dan tidak terdedah kecuali kepada suasana di kawasan dan Negerinya sendiri.

Oleh yang demikian maka timbullah bermacam-macam perkara yang tidak sama-sekali disentuh dalam ucapan dasar. Termasuklah persoalan 'Lidah panjang', 'tangan panjang', 'pacak pasar malam', 'meminta menjadi calon', 'wala' pada pimpinan PAS' dan lain-lain. Selain itu, isu yang disebut oleh beberapa pembahas dan ditonjolkan pula oleh akhbar arus perdana selepas itu, adalah isu perlaksanaan hudud dan jawatan Perdana Menteri yang perlu diserahkan kepada Dato Seri Presiden. Kedua-dua isu ini tidak sama sekali disentuh oleh DS Presiden dalam ucapannya.

Dalam pada itu, sedikit sebanyak, teras ucapan dasar telah berjaya ditenggelamkan secara tidak sengaja oleh pembahas ucapan dasar dengan isu-isu dibawa mereka yang dianggap penting.

YANG TERCAPAI SECARA TIDAK LANGSUNG
Dengan apa yang berlaku, secara tidak langsung media arus perdana mengambil kesempatan untuk menonjolkan isu seperti perlaksanaan hudud, DS Presiden sebagai calon Perdana Menteri dan doa KO BN yang dibacakan di Stadium Kota Bharu semasa program salot hajat anjuran NGO Royalti. Mesej PAS sebagai parti yang bercita-cita dan mempunyai kemampuan untuk menyatu-padukan rakyat berbilang bangsa dan agama melalui sifat berkebajikan Islam langsung ditenggelamkan media.

Begitu juga penegasan DS Presiden berhubung kommitmen PAS untuk bersama PR dalam menghadapi PRU yang akan datang. Kerjasama dengan PR digambarkan sebagai sesuatu yang tidak disokong ahli oleh kerana hudud dan DS TGHH sebagai PM ditolak oleh PR!

MENGAPA INI BERLAKU?
Sudah pasti orang bertanya, mengapa ini berlaku? Bagi yang tidak faham sifat muktamar PAS sepertimana yang telah saya jelaskan tadi, maka bermacam-macam andaian boleh dibuat:

  1. Andaian Adanya Agen UMNO dan SB
  2. Ada yang menuduh bahawa ini adalah bukti wujud usaha memecah-belahkan PR yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu di dalam PAS itu sendiri. Ini adalah kerana isu-isu yang ditonjolkan adalah isu-isu yang tidak dipersetujui bersama dan mampu menimbulkan ketegangan di antara PAS dan DAP serta PKR. Saya telah menerima sms dari beberapa penyokong yang menganggap ada kemungkinan adanya Special Branch (SB) atau agen UMNO dalam PAS dan merekalah yang bertanggung-jawab menimbulkan isu-isu ini supaya PAS akan keluar dari PR untuk bersama UMNO/BN! Paling kurang kata mereka, yang menimbulkan isu-isu ini adalah anak didik Hassan Ali dan Nasha!
  3. Perwakilan PAS Terpengaruh Media UMNO
  4. Ada pula yang menyatakan bahawa ianya adalah hasil dari propaganda media arus perdana yang mempengaruhi ahli-ahli tertentu sehingga menganggap bahawa PAS telah menggugurkan agenda Islamnya dan terlalu mengutamakan DAP dan PKR, khususnya DSAI. Mereka ini sedikit sebanyak telah berjaya dipengaruhi oleh isu-isu yang dibawa UMNO melalui Utusan Malaysia dan TV3! Kekhuatiran mereka menyebabkan mereka inginkan pendirian PAS berhubung persoalan hudud dan keyakinan ahli terhadap kemampuan dan kepimpinana DS Presiden PAS sendiri dipertegaskan! Mereka ingin ahli PAS menyatakan sokongan ahli PAS terhadap DS Presiden sebagai pemimpin yang paling layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri dan itulah yang dilakukan.
  5. Jarak Pemikiran Pemimpin dan Perwakilan
  6. Tidak kurang juga yang menyatakan pemimpin semuanya OK tetapi tahap pemikiran perwakilan masih di tahap yang lama. Ini adalah kerana sambil pemimpin berusaha menengahkan agenda yang boleh menambat hati rakyat menjelang PRU dan mengukuhkan PR, perwakilan terus dengan agenda PAS semata-mata tanpa mengambil-kira agenda PR sama sekali!

ANALISIS SAYA
Bagi saya, semua andaian (1) - (3) seperti di atas adalah tidak tepat. Pembahas semua merupakan ahli yang diyakini kesetiaan mereka terhadap PAS. InsyaAllah, mereka bukan SB atau ahli UMNO yang menyeludup ke dalam PAS. Begitu juga, tidak mungkin masih ada ahli PAS yang percaya kepada media arus perdana serta tidak thiqah (yakin) pada pimpinan. Tidak mungkin masih ada yang begitu lembab sehingga menganggap Hassan Ali dan Nasha sebagai pemimpin yang 'ikhlas'. Semua ahli PAS sudah pasti menyedari kommitmen PAS kepada persoalan perundangan Islam termasuk perlaksanaan hudud dan keyakinan ahli terhadap kepimpinan TGHH.

Dalam soal tahap kefahaman perwakilan, isu-isu yang ditonjolkan bukan bertujuan menolak PR. Ianya hanya sekadar untuk menjawab tohmahan BN!

Bagi saya, ianya adalah usaha ahli-ahli untuk menegaskan dan membuktikan bahawa PAS tetap atas landasannya dan tidak mudah terbawa-bawa mengikut kehendak pihak lain. Ianya merupakan tindakan ahli yang ditujukan kepada pimpinan tertinggi PAS tetapi untuk ditontoni rakyat jelata. Semua pimpinan PAS faham bahawa Muktamar adalah terbuka untuk semua melihatnya, maka kesempatan ini digunakan untuk menzahirkan bahawa PAS tetap atas perjuangan dan dasarnya dan tidak menyimpang seperti yang dituduh pihak lawan. Penegasan mengenai hudud dan TGHH sebagai pilihan ahli PAS untuk jawatan PM membuktikan secara praktikal bahawa PAS tidak menggadai dasarnya dan tidak mengutamakan pihak lain dalam perjuangannya. Ia adalah pendirian ahli dan pimpinan PAS dan TIDAK merupakan penolakan terhadap keputusan yang akan dibuat bersama dalam PR.

Sudah pasti penerimaan kepimpinan TGHH bererti menerima juga keputusan beliau untuk bersama PR dan segala keputusan yang terhasil dari itu.

RESPON DARI DS PRESIDEN PAS
Setelah mendengar penghujjahan pembahas, DS Presiden telah memberi respons seperti berikut:

Dalam soal jawatan PM, DS Presiden telah bergurau dengan berkata "teringin juga" tetapi terus diikuti dengan menyatakan ianya tidak penting baginya. Kalau tercapai kemenangan Islam, kata beliau lagi, "Allah matikan saya pun tidak mengapa". Ini bermakna jawatan itu tidak penting dan bukan itu yang beliau perjuangkan.

Ini diikuti pula dengan DS Presiden menyebut kisah Nabi Yusuf (AS) di mana Nabi Yusuf telah menjadi menteri di dalam kerajaan yang diketuai orang lain. Kedudukan sebegitu tidak menjadi masalah. Saya mentafsirkan maksud DS Presiden sebagai menyatakan yang penting ialah matlamat kita tercapai walaupun tidak menjawat jawatan PM.

Ini penting untuk difahami semua ahli. PAS ingin Islam dilihat sebagai agama yang mewajibkan penentangan terhadap kezaliman dan penyelewengan. Jawatan tidak penting. Yang penting PAS diterima rakyat sebagai rakan yang boleh dipercayai dan tidak akan khianat semata-mata oleh kerana jawatan.

Tidak mustahil PAS akan ditawarkan jawatan PM oleh UMNO/BN sekiranya mereka kalah dalam PRU ke 13. Kalau PAS terima tawaran sebegini dan dengan itu membentuk sebuah kerajaan bersama UMNO/BN pada ketika itu, maka PAS akan dilihat sebagai pengkhianat dan mencemarkan imej perjuangan Islam. Pada masa yang sama, UMNO akan berusaha keras untuk menentukan PAS akan terus tersingkir dalam masa beberapa tahun dan pada ketika itu, apabila ianya tercapai oleh UMNO, maka PAS akan keseorangan. Inilah sebabnya perlukan fatanah (kebijaksanaan) dalam berpolitik, bukan sekadar mengetahui hukum. Sesuatu itu mungkin harus pada dasarnya, tetapi menjadi haram apabila mendatangkan mudarat yang besar.

Dalam soal perlaksanaan hudud pula, DS Presiden menjawab dengan menyebut "Islam tidak diturunkan kesemuanya secara sekali gus". Pada masa yang sama disebut juga kisah Umar Abdul Aziz dan perbincangannya dengan anaknya. Anaknya menuntut supaya dikuat-kuasakan perundangan Islam secara segera tetapi Umar Abdul Aziz menasihati anaknya supaya jangan gopoh dan menjelaskan bagaimana pengharaman arak dalam Al-Quran pun berlaku melalui 3 kali wahyu. Maka ianya perlu dilakukan secara berperingkat mengambil kira suasana dan keadaan di dalam masyarakat.

Kedua-dua jawapan dari DS Presiden cukup jelas dan memuaskan hati semua pihak. PR dan sokongan rakyat tidak terjejas. PAS akan terus menghadapi PRU ke 13 bersama PR dengan penuh yakin di atas landasan yang benar insyaAllah.

Saya akan menjawab isu-isu yang dibangkitkan, seperti persoalan 'lidah dan tangan panjang', secara khusus dalam Bahagian Kedua artikel ini insyaAllah.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang