Isnin, 3 September 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Boros Punca Syabas Gagal Salurkan Air Dengan Baik

Posted: 02 Sep 2012 02:00 AM PDT

BISTARI JAYA 02 Sept : Mengubahsuai pejabat dan membeli kereta baru.

Ini antara cara Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membelanjakan wang yang sepatutnya diguna untuk menyelenggara pam dan loji rawatan air.

Pam dan loji yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan air bersih tidak dapat disalurkan dengan cekap kepada pengguna di Selangor dan Lembah Klang.

Ini didedahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengulas isu air Selangor di dalam ucapan Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Ijok, di sini, semalam.

Di bawah akta Konsensi Air 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, diberi tanggungjawab mengurus rawatan dan saluran air bersih di seluruh Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Abdul Khalid berkata Syabas memberi alasan "tiada wang yang cukup" apabila ditanya mengapa mereka tidak menyelenggara pam dan loji rawatan air.

Katanya, punca utama itu diketuai selepas disiasat oleh Jawatankuasa Pemantau Air yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

"Bila saya tanya mengapa tiada wang, mereka (Syabas) memberitahu wang untuk keperluan itu mereka gunakan untuk mengubahsuai pejabat dan membeli kereta baru".

Pada bulan Ogos, Kerajaan Selangor telah diberi mandat untuk mengambilalih operasi tersebut daripada Syabas kerana mendapati syarikat itu gagal mengurus bekalan air bersih walaupun kerap kali meminta harga air dinaikkan.

Abdul Khalid menambah, sekiranya Syabas tidak mampu, Kerajaan Negeri Selangor boleh mengeluarkan wang untuk kerja penyelenggaraan itu.

"Kita boleh bagi duit dan kita juga boleh membaikinya dengan harga yang rendah kerana kita boleh mencari kontraktor yang berkebolehan dan harga yang berpatutan," katanya.

Sementara itu Abdul Khalid akan turun melawat ke kawasan kampung sekitar negeri bagi meninjau masalah air dan pembuangan sampah.

Katanya, walaupun kini isu sampah jarang didengari kerana masalah itu dapat ditangani oleh Kerajaan Negeri, namun beliau tetap mahu meninjau.

"Saya akan pergi ke kampung-kampung dan tanya sendiri mereka mengenai kedua-dua isu ini.

"DYMM Sultan pun ada berbincang tentang isu ini dengan saya dan memuji bahawa masalah sampah sudah kurang," katanya.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang