Khamis, 27 September 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Larang makan makanan ringan rahsia pelajar tahfiz hafaz al-Quran

Posted: 26 Sep 2012 08:37 PM PDT


27 Sept 2012

SEREMBAN - Pelajar tahfiz dilarang sama sekali makan makanan ringan. Ia bukan penderaan tetapi sebagai amalan yang harus menjadi disiplin supaya pelajar mudah untuk menghafaz al-Quran.

Seorang tenaga pengajar Maahad Tahfiz Darul Huffah ( http://darulhuffaz.blogspot.com ), Azri Awang berkata, pihaknya sentiasa memantau aspek pemakanan pelajar.

Menurutnya, tukang masak turut diingatkan supaya tidak meletakkan serbuk perasa dalam makanan yang dimasak kerana ia menjejaskan daya ingatan.

"Selain itu, pelajar yang mengingkari larangan memakan makanan ringan akan dikenakan denda seperti ketuk ketampi.

"Makanan lain yang dilarang adalah memakan kepala ikan," katanya.

Azri berkata, jadual makan turut ditetapkan iaitu sarapan pagi pada jam 8, makan tengah hari selepas waktu Zuhur dan makan malam pula pada jam 6.30 petang.

"Manakala sebelah malam, pelajar diberi minuman panas sekitar jam 10 malam, usai tamat kelas malam," katanya.

Dari segi yuran menurutnya, pihaknya mengenakan yuran RM200 sebulan kepada setiap pelajar, ia termasuk untuk perbelanjaan makan minum, pengajian dan penginapan.

"Manakala anak yatim pula tidak dikenakan sebarang yuran. Dari segi dana, kita banyak menerima sumbangan daripada penderma yang terdiri daripada orang perseorangan atau syarikat korporat," katanya.

Bagaimanapun katanya, ketika pendaftaran pihaknya mengenakan bayaran sebanyak RM400 iaitu RM200 adalah bayaran pendaftaran dan selebihnya yuran bulan pertama.

Azri berkata, silibus pengajian tahfiz dipantau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Selain itu, proses mendapatkan kebenaran dan lesen membuka tahfiz juga perlu merujuk MAINS.

"Ia perlu bagi memantau aktiviti sekolah tahfiz, selain mengelak daripada berlaku penyelewengan dalam pengajian," katanya.

Katanya, terdapat perbezaan antara pusat tahfiz dan sekolah pondok, di mana ramai yang tidak tahu pusat tahfiz fokus hafaz al-Quran dan asas Fardu Ain.

"Sekolah pondok lebih kepada pengajian ilmu hadis dan tiada hafalan al-Quran," katanya.

Maahad Tahfiz Darul Huffaz yang ditubuhkan sejak 2009 asalnya bertapak di Puchong, Selangor.

Bagaimanapun, pusat tahfiz itu berpindah ke Kampung Kapal di Mukim Ulu Beranang, Lenggeng pada 15 Mac tahun lalu dan mempunyai 20 pelajar yang mengikuti pengajian sejak ia dibuka.

Anggota Polis ponteng solat Jumaat mahu ambil rasuah

Posted: 26 Sep 2012 07:04 PM PDT


26 Sep 2012 - Dua anggota polis dari salah sebuah balai di Raub sanggup  ponteng solat Jumaat hanya kerana RM300 yang dijanjikan seorang pesalah jalan raya  sebagai balasan kerana melepaskan lelaki itu setelah ditahan dalam satu sekatan jalan raya kerana memandu kereta dengan cukai jalan tamat tempoh, kelmarin.

Anggota berpangkat Konstabel dan Lans Koperal berusia 26 dan 56 tahun itu datang menemui  lelaki berusia  37 tahun di salah sebuah restoran di pekan Dong Raub kira-kira jam 1.20 tengah hari Jumaat lalu tanpa menyedari pertemuan itu turut disertai beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lebih mengejutkan, pengadu dalam kes ini memaklumkan, dia mempunyai pertalian keluarga dengan salah seorang anggota polis terbabit namun mereka  sanggup mengambil kesempatan meminta suapan daripadanya.

Sumber SPRM memaklumkan, dua anggota polis itu merampas kad pengenalan pengadu dan hanya  akan menyerahkan dokumen itu setelah 'mangsa' menjelaskan wang yang diminta.

Berdasarkan maklumat yang diterima, beberapa pegawai dari SPRM daerah Raub membuat pemantauan di restoran terbabit  sebelum mendapati pertemuan dan perbuatan menerima rasuah itu benar-benar berlaku.

Berdasarkan bukti yang ada, dua anggota terbabit ditahan pegawai SPRM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 sebelum dibebaskan dengan jamin RM1,000 setiap seorang.

Sumber memaklumkan, kes tersebut masih dalam siasatan dan tindakan pendakwaan akan diambil setelah semua proses dilengkapkan.

Pengadu dalam kes ini difahamkan ditahan dalam satu sekatan jalan di kampung Sega, Raub kira-kira jam 4.30 pagi 17 September lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati cukai jalan kereta jenis Proton Saga model lama yang dipandunya sudah tamat tempoh dan terpaksa ditahan untuk tindakan.

Bagaimana pun, dua penjawat awam itu cuba mengambil kesempatan meminta suapan sebagai dorongan melepaskan lelaki itu daripada kesalahan yang dilakukan.

Kes jenayah semasa

Posted: 26 Sep 2012 05:31 PM PDT

Ini sebahagian daripada berita jenayah yang dilaporkan di dada akhbar hari ini.

2 ANGGOTA POLIS PARAH DITEMBAK

26 Sept. 2012 - Tindakan dua anggota polis peronda mengejar sebuah kereta dinaiki empat lelaki berakhir dengan kedua-dua mereka cedera parah akibat ditembak penjenayah terbabit di Jalan Kuchai Lama, di sini hari ini. Kedua-dua anggota polis berpangkat koperal itu yang berusia 41 dan 52 tahun kini stabil walaupun terkena tembakan masing-masing di leher dan perut. Difahamkan, pemandu kereta peronda jenis Proton Waja itu terkena tembakan di leher manakala rakannya cedera di perut setelah terkena tembakan dipercayai pistol.

PENGAWAL KESELAMATAN MAUT DITEMBAK PEROMPAK

26 Sept. 2012 - Seorang pengawal keselamatan maut ditembak seorang daripada tiga lelaki yang merompak sebuah kedai emas dalam tempoh tidak sampai dua minit di Jalan Othman, di sini hari ini. Mangsa, P. Krishnan, 44, terbunuh dalam rompakan nekad tiga penjenayah itu yang difahamkan melarikan sejumlah barang kemas yang dianggarkan bernilai RM500,000.

Berbuat baiklah kepada ibu bapa yang masih hidup atau yang telah pergi

Posted: 26 Sep 2012 05:30 PM PDT


Nabi SAW bersabda : "Apabila seorang anak Nabi Adam AS meninggal dunia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali dari (pahala) tiga (3) perkara iaitu sedekah jariah, ilmu (yang dicurahkan) yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan (rahmat dan keampunan) untuknya." HR al-Imam Muslim (261H).

Bapa disaman anak meninggal
27 Sept 2012

SEREMBAN: Bekas jutawan Felda LBJ, Labu, yang disaman anak perempuannya Februari lalu berhubung harta sepencarian bernilai RM160,000 meninggal dunia kerana sakit tua, di sini, petang kelmarin.

Rashid Jani, 75, meninggal dunia di rumahnya di Kampung LBJ pada jam 5 petang dan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan pada jam 10.30 malam.

Isterinya, Wae Aesoh Jehteh, 33, berkata, lima daripada tujuh anak arwah dengan isteri pertama dari sekitar negeri ini hadir dan sempat mengucup wajah arwah buat kali terakhir. "Saya akan meninggalkan rumah ini selepas tamat edah dan menyerahkan kepada peguam berhubung isu tuntutan saman anak keenam arwah suami untuk diselesaikan," katanya.

Sebelum ini, anak keenam jutawan Felda itu, Nozay, 44, menyamannya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini dan memohon mahkamah mengisytiharkan setengah daripada kepentingan tanah milik bapanya sebagai harta sepencarian arwah ibunya, Kering Aman. Dia juga memohon bahagian ibunya dibahagikan mengikut faraid kepada waris lain. Selain itu, anaknya memohon supaya nama ibunya didaftarkan sebagai pemilik bersama dalam surat hak milik hartanah itu.

Rashid yang kecewa dengan tindakan anaknya, memfailkan pembelaan dan membuat enam tuntutan balas. Perbicaraan kes itu yang bermula sejak Mac lalu sepatutnya bersambung pada 12 Oktober ini.

Wae Aesoh yang berasal dari Narathiwat, Thailand berkata, dia berharap isu tuntutan itu diselesaikan secara baik dan menyerahkan kepada peguam arwah suaminya untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan:

Nuffnang