Jumaat, 31 Ogos 2012

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


AMBIL ALIH EDL BUKTIKAN PRINSIP EKONOMI BUKU JINGGA PR TEPAT

Posted: 30 Aug 2012 08:49 PM PDT

KEADILAN mengalu-alukan pengumuman bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengambil alih Lebuhraya Penyuraian Timur (Eastern Dispersal Link atau EDL) di Johor Bahru setelah desakan rakyat menentang tol yang membebankan rakyat memuncak.
Tindakan Dato' Seri Najib Tun Razak itu benar-benar mengesahkan prinsip asas tata kelola ekonomi yang disyorkan di dalam Buku Jingga iaitu:

1.     Kerajaan perlu bersifat pragmatik dalam model pembiayaan projek infrastruktur, dengan membandingkan bebanan kewangan yang ditanggung kerajaan secara keseluruhan (termasuk pampasan yang perlu dibayar setiap tahun) dengan jumlah keuntungan yang diperolehi oleh pemegang konsesi swasta;

2.     Kerajaan perlu mengutamakan kebajikan pengguna termasuklah bebanan kepada perbelanjaan harian dalam menentukan perjanjian konsesi bagi projek infrastruktur; dan

3.     Secara amnya, adalah lebih baik jika rakyat tidak dikenakan bayaran jika kerajaan mampu menanggung kos pembinaan dan operasi, kerana ini akan meningkatkan pendapatan bolehguna (disposable income) rakyat yang bila dibelanjakan kelak, bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Tiga prinsip asas inilah yang mendorang KEADILAN dan rakan-rakan Pakatan Rakyat menetapkan pengambilalihan konsesi tol dengan matlamat menghapuskan tol sebagai salah satu daripada 10 program pertama yang akan dilaksanakan Pakatan Rakyat bila berkuasa kelak.

Ini berasaskan fakta bahawa jumlah bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan kerajaan (dalam bentuk tol yang dibayar dan pampasan tahunan kepada pemegang konsesi) adalah jauh lebih mahal daripada kos operasi dan kadar pulangan pelaburan yang munasabah (reasonable rate of return for investment) yang ditanggung oleh pemegang konsesi seperti PLUS.

Ketika Buku Jingga mula-mula dilancarkan dan cadangan ini dibawa oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, seluruh kepimpinan Umno/Barisan Nasional mengkritiknya atas alasan ia tidak mampu dilaksanakan dan akan memufliskan negara.
Tindakan Dato' Seri Najib Tun Razak mengarahkan pengambil alihan EDL sebenarnya mengesahkan bahawa prinsip asas tata kelola ekonomi yang dibawa Buku Jingga boleh dilaksanakan dan lebih bermanfaat kepada rakyat.
Walau bagaimana pun, saya khuatir jika pengambil alihan ini juga adalah satu helah supaya wang rakyat boleh diseludup keluar kepada syarikat-syarikat yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional, terutamanya apabila pemegang konsesi EDL adalah MRCB yang rapat dengan Umno.
Kebelakangan ini, ada satu kegilaan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak untuk menggunakan dana rakyat dan membeli pelbagai aset dan konsesi kroni yang jumlah urusniaganya mencecah berbilion ringgit. Sebelum ini, dana 1MDB yang dikawal oleh Dato' Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan pembelian dua buah syarikat penjana bebas dari kumpulan yang dikawal Genting dan Ananda Krishnan pada harga keseluruhan melampaui RM7 bilion. Kedua-dua tokoh perniagaan ini sering dikaitkan dengan kepimpinan Umno/Barisan Nasional.

Kesemua urusniaga ini, termasuklah yang terbaru pembelian EDL oleh kerajaan Malaysia dibuat dalam suasana penuh kerahsiaan. Nilaian harganya tidak melibatkan tokoh-tokoh lain yang boleh memastikan rakyat tidak ditipu dan tidak ada unsur-unsur penyelewengan.

Oleh yang demikian, saya mengesyorkan kepimpinan Pakatan Rakyat memberi tumpuan untuk menggerakkan rakyat menuntut dua perkara seperti berikut:

1.     Bila mana prinsip asas tata kelola ekonomi Buku Jingga diterimapakai oleh Dato' Seri Najib Tun Razak dalam pengambil alihan EDL, prinsip itu terbukti boleh dilaksanakan kepada konsesi lebuhraya yang lain. Saya sarankan Dato' Seri Najib Tun Razak umumkan secepat mungkin senarai lebuhraya dan konsesi lain yang juga akan diambil alih oleh kerajaan dalam masa terdekat; dan

2.     Sebuah Jawatankuasa Parlimen (Parliamentary Select Committee) perlu ditubuhkan dalam sidang dewan akan datang untuk mengkaji, menyemak dan memastikan kesemua urusniaga yang melibatkan pembelian aset besar dari syarikat berkepentingan dibuat secara adil dan tiada unsur penyelewengan.
 
KEADILAN akan membawa isu ini ke sidang Parlimen akan datang untuk diberikan perhatian utama.
 
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Nuffnang