Jumaat, 27 Julai 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Pengawal keselamatan anjur piket aman selepas gagal capai kata sepakat

Posted: 26 Jul 2012 08:22 PM PDT

27 Julai 2012

SEREMBAN – Tindakan sebuah syarikat pengawal keselamatan yang didakwa mengabaikan kebajikan menyebabkan 20 pekerjanya mengadakan piket aman, semalam.

Kesemua mereka yang ditugaskan untuk mengawal keselamatan di sebuah kilang elektronik di sini mendakwa kecewa apabila syarikat terbabit membuat pemotongan elaun pekerja sebanyak 10 peratus tanpa sebarang alasan kukuh.

Wakil pekerja, Ishak Saodah, 51, berkata, beberapa perbincangan sudah diadakan antara pekerja dan syarikat, malangnya sehingga kini, belum ada satu kata putus yang memuaskan hati pekerja.

"Syarikat dilihat mengenepikan kebajikan apabila membuat pemotongan elaun pekerja sesuka hati tanpa dimaklumkan.

"Malah, tuntutan kerja lebih masa juga tidak dibayar sejak beberapa tahun lalu sehingga kami sudah tidak boleh sabar lagi," katanya.

Paling mengecewakan, katanya, syarikat turut memberi kata dua kepada pekerja yang tidak berpuas hati supaya berhenti dari berkhidmat di syarikat terbabit.

"Tindakan itu jelas menunjukkan syarikat mahu lepas tangan dan langsung tidak pedulikan kebajikan dan hak pekerja yang sudah berkhidmat lama dengan mereka.

"Siapa yang boleh sabar, bayangkan dalam tempoh setahun elaun kami yang sudah dipotong mencecah RM2,500 selain tuntutan elaun lebih masa tidak dilayan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ishak berkata, mereka tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan, bagaimanapun mereka tidak boleh bersabar lagi kerana tiada pihak sama ada wakil syarikat dan kilang tampil mahu menyelesaikan masalah dihadapi secara serius.

Sementara itu, Sinar Harian mendapati wakil kilang cuba mahu berunding dengan pekerja dan meminta untuk berbincang.

Bagaimanapun, pekerja terbabit yang pada awalnya berkeras, akhirnya akur sebelum masing-masing bersurai dan meneruskan kerja seperti biasa.

Tiada ulasan:

Nuffnang