Isnin, 30 Julai 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Kecam kezaliman atas umat Islam Rohingya

Posted: 30 Jul 2012 03:51 AM PDT

Petikan Sinar Harian (29 Julai)

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mendesak kerajaan mengambil tindakan bagi memastikan kekejaman ke atas masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dihentikan.

Menurut DPPNT, perbincangan dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Negara-negara Islam lain perlu bagi mengecam kezaliman ke atas etnik terbabit yang ditindas sejak Jun lalu.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha yang jitu daripada semua pihak juga dapat memastikan etnik Rohingya diberi bantuan dan menyambut Ramadhan dalam keadaan sewajarnya.

"Kita berharap kerajaan cakna terhadap perkara ini dan mengadakan perbincangan dengan OIC serta negara-negara lain bagi menghentikan keganasan dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mohd Nor berkata, desakan itu dibuat memandangkan pihaknya belum mendengar apa-apa tindakan yang diambil kerajaan dalam usaha menangani perkara itu.

Pada masa sama, beliau turut menyeru masyarakat Islam di negara ini peka terhadap kesengsaraan masyarakat Islam di negara lain yang tidak berkemampuan menyambut Ramadhan dalam suasana selesa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong berkata, bulan puasa dilihat sebagai masa terbaik kepada masyarakat di negara ini merasai penderitaan dan keperitan umat Islam termasuk di Palestin dan Syria.

Sementara itu, Setiausaha DPPNT, Muhammad Zaidan Abdullah memberitahu pihaknya telah menerima arahan daripada Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan munajat dan bantahan berhubung kekejaman ke atas umat Islam Rohingya.

Beliau menjelaskan, bantahan tersebut berkemungkinan diadakan serentak dengan Dewan Pemuda Pas Pusat pada Jumaat ini, namun mengakui belum mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

"Kita turut menjemput pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) dan Yayasan Amal untuk bersama-sama dalam bantahan tersebut," katanya.

Tiada ulasan:

Nuffnang