Jumaat, 4 Mei 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Industri zoo bakal ganti industri petroleum di Terengganu?

Posted: 03 May 2012 06:06 PM PDT

Oleh Mat Teropong

Bismillah. Hari ini saya ingin bercerita tentang zoo. Saya adalah antara salah seorang pemerhati ketika Sidang Dewan Undangan (DUN) Negeri Terengganu berlangsung minggu lepas. Perjalanan sidang dewan tentunya dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan yang memerintah. Itu adalah adat di mana-manapun. Dengan kerusi DUN dikuasai oleh 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN, maka lapan orang pembangkang yang kesemuanya PAS tidaklah begitu terdaya dalam menangkis serangan BN apatah lagi banyak keadaan Yang Dipertua Dewan dilihat kurang mesra pembangkang.

Saya menyaksikan ADUN PAS Ustaz Harun Taib yang pernah satu ketika dahulu menjadi pendekar atau hero PAS kelihatan sedikit uzur. Dengan jalanannya berpimpin, beliau kelihatan kerap ke tandas, mungkin kerana faktor kesihatan yang tidak menentu. Namun bisa kata-katanya masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana ADUN baik dari rakan sepasukan mahupun lawan. Walaupun suaranya agak kurang jelas (mungkin kesan strok yang dialaminya sedikit masa dahulu) namun butir maksudnya jelas difahami.

Agak melucukan ialah ADUN Ajil, YB Rosol Wahid sentiasa menjadi sasarannya. Contohnya apabila Rosol dilihat agak aktif mengambil bahagian dalam perbahasan bersama ADUN Alor Limbat YB Alias Abdullah, Ustaz Harun mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar YAB Dato' Ahmad Said kerana Berjaya mengaktifkan kedua-duanya, mungkin takut nama tidak terpilih dalam PRU nanti selorohnya. Dan apabila Rosol mengajak PAS berdebat dengan mencabar Ustaz Harun, dengan selambanya dia bertanya "Awak siapa? Apa pangkat awak dalam Umno?" yang membuatkan Rosol terduduk diam.

Banyak lagi perkara yang menarik didalam sidang DUN minggu lepas yang mungkin terlalu panjang kalau hendak dimuatkan semuanya. Antaranya cabar mencabar yang hampir membawa kepada pergaduhan antara Bukit Payong (Ustaz Mohd Hamzah-PAS) dengan Batu Rakit (Khazan Che Mat-BN) dan Ramlan Ali (Jabi-BN) .Tetapi apa yang agak menarik yang ingin saya bawakan di sini ialah berkenaan PAS yang dituduh sebagai parti ajaran sesat dan isu zoo yang tak habis-habis dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh Dato' Ahmad Said.

Isu PAS sebagai parti ajaran sesat dijawab sendiri oleh Exco Agama iaitu Khazan Che Mat. Mereka menuduh PAS kemudian mereka mensucikan semula. Sama seperti kes tahun 2004 dahulu ketika tuduhan yang begitu hebat mengatakan bahawa PAS menyeleweng dalam pengurusan balak, akhirnya kertas putih yang dikeluarkan sendiri oleh kerajaan BN mengesahkan bahawa tiada penyelewengan balak yang dilakukan oleh kerajaan PAS ketika memerintah.

Dalam jawapan Khazan kepada Presiden PAS, yang juga ADUN Rhu Rendang, Tuan Guru Dato' Abdul Hadi Awang, beliau menjelaskan kepada DUN bahawa hanya empat kumpulan ajaran sesat sahaja yang dikenalpasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Kesemua nama-nama kumpulan ajaran sesat yang dinyatakan oleh Khazan itu, tidak satupun ada nama PAS. Maka penyucian fitnah kepada PAS telah dilakukan oleh Umno-BN. Terima kasih Khazan.

Isu kedua yang ingin saya bawakan di sini ialah isu zoo. Dalam satu jawapan Dato' Ahmad Said telah memberikan antara alasan zoo didirikan ialah kerajaan negeri mahu mencari alternatif lain sebagai sumber pendapatan negeri. Membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Jika sekiranya sumber petroleum di Terengganu habis, maka kerajaan negeri akan ada sumber lain seperti zoo ini. Dalam kesungguhan beliau menjawab, sehinggakan dia menuduh Dr Syed Azman Ahmad Nawawi ADUN Batu Burok berbohong tentang belanjawan untuk zoo sebanyak hampir 100 juta itu. Sedangkan Dr Syed Azman menyatakan jumlah yang telah diluluskan oleh DUN. Ahmad Said tidak sedar dialah yang meluluskannya.

Maksud kepada jawapan itu boleh difahami tetapi agak lucu dengan logik alasan yang diberikan itu. Banyak persoalan yang timbul antaranya apakah yang dapat dilakukan oleh sebuah mini zoo bagi menampung pendapatan sebuah negeri (itupun kalau banyak hasil)? Dan kita sedia maklum zoo hanya akan dikunjungi ramai pelawat hanya ketika hari cuti. Berapa agaknya hari cuti dalam setahun di Malaysia. Dan kalaulah ada hasilnya dari mini zoo ini mampukah ianya menampung pendapatan seperti pendapatan dari sumber petroleum yang menjangkau berbilion ringgit itu? Lagi persoalan, berapakah agaknya peluang pekerjaan yang dapat disediakan oleh mini zoo? Mungkin yang banyak ialah jawatan pekerja am.

Dan soalan terakhir yang saya percaya bermain dalam fikiran rakyat ialah kalaulah dari tahun 1974 kita sudah mempunyai sumber petroleum yang dibayar oleh pusat, rakyat Terengganu masih duduk pada tangga kedua termiskin (kecuali tahun pemerintahan PAS, antara 2000-2004 pernah naik ke tangga lebih baik iaitu keempat termiskin), maka adakah industri zoo boleh menggantikan industri petroleum bagi menyelamatkan ranking tahap kemiskinan rakyat Terengganu?

Inilah standard pemikiran pimpinan Umno. Masih ingatkah lagi apa yang berlaku dengan Roller Coasterdi Kemaman hasil idea Ahmad Said? Oleh itu rakyat harus sedar akan kebebalan pimpinan Umno ini harus diganti dengan orang yang lebih cerdik. Diganti oleh satu golongan yang sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat samada dalam hal dunia mahupun akhirat. Siapa lagi kalau bukan PAS yang sudah terbukti melindungi rakyat, bukannya kroni. Maka rakyat tiada pilihan kecuali membantu PAS untuk menggantikan Umno dalam PRU yang bakal menjelang nanti insyaAllah

Tiada ulasan:

Nuffnang