Isnin, 16 April 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Jawapan kepada Tan Sri Isa Samad

Posted: 16 Apr 2012 12:49 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
16 April 2012
UNTUK SEBARAN SEGERA

Jawapan kepada Tan Sri Isa Samad

KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab Tan Sri Isa Abdul Samad, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau Federal Land Development Authority (FELDA) yang kononnya KEADILAN cuba mempolitikkan dan mengelirukan rakyat mengenai isu penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH).

Tan Sri Isa juga dinasihatkan agar berhati-hati dengan tuduhan beliau kerana KEADILAN sama sekali tidak pernah mendakwa kesemua 112,634 peneroka di 317 tanah rancangan dan 22,468 pekerja FELDA akan dipaksa membeli saham FGVH dalam tawaran awam permulaan atau "initial public offering" (IPO) yang dijangka selesai selewat-lewatnya dalam bulan Jun 2012.

Sebaliknya, menurut sumber yang boleh dipercayai, KEADILAN sekadar mendedahkan bahawa peneroka dan pekerja FELDA akan "dipaksa" membuat pinjaman pada kadar faedah "daily rest" 5% setahun selama 6 bulan dengan 7 bank komersial terpilih untuk membiayai mohon beli saham IPO FGVH yang mana pembiayaan dengan simpanan sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali. Maka, amat jelas dakwaan Tan Sri Isa bahawasanya FELDA menyediakan opsyen membeli saham IPO FGVH menggunakan wang sendiri adalah cubaan mengelabui mata rakyat terutamanya peneroka dan pekerja FELDA memandangkan ianya suatu pilihan yang sama sekali tidak wujud.

Selanjutnya, KEADILAN ingin menegaskan bahawa para peneroka dan pekerja FELDA yang diluluskan pinjaman hanya ada dua pilihan, sama ada membayar balik keseluruhan pinjaman dengan simpanan sendiri semasa menerima borang merah jambu/biru bersama dengan rebat RM100 ATAUPUN membayar balik pinjaman dalam tempoh 6 bulan menggunakan hasil jualan saham FGVH di pasaran terbuka bersama dengan jumlah kadar faedah atas pinjaman yang bergantung pada jumlah pinjaman (yakni harga IPO) dan harga jualan serta fi dan caj sebanyak RM200. Sekali lagi amat jelas bahawa "durian runtuh" yang diberi melalui kaedah "hutang paksa" ini sebenarnya salah satu cara PM Najib memberi peluang baharu kepada institusi kewangan terbabit terutamanya 5 bank pelaburan, 7 bank komersial dan beberapa syarikat broker saham seperti yang KEADILAN dedahkan sebelum ini untuk mendapat laba atas titik peluh dan pahit maung peneroka dan pekerja FELDA. Sebagai contoh, sekiranya kesemua 135,102 peneroka dan pekerja FELDA memilih untuk membayar balik pinjaman tersebut dalam tempoh 6 bulan, maka kutipan dalam bentuk fi dan caj sebanyak RM200 sahaja menjangkau RM27 juta bagi ketujuh-tujuh bank komersial terpilih.

Menurut garis masa yang ditetapkan, KEADILAN difahamkan bahawa mulai 16 April 2012, para pengurus cawangan bank-bank komersial terpilih akan diberi taklimat menyentuh segala maklumat terperinci mengenai pinjaman untuk pembelian saham atau "share margin financing" ini. Bermula 23 atau 24 April 2012, selama 8-9 hari, 7 bank komersial terpilih ini dijangka memulakan roadshow untuk memberi penerangan kepada para peneroka dan pekerja FELDA di kesemua 317 tanah rancangan di mana mereka akan diminta menandatangani borang permohonan pinjaman pembiayaan pembelian saham. Permohonan pinjaman ini kemudiannya akan diproses di antara 7 Mei dan 22 Mei 2012. Pihak bank-bank komersial tersebut akan memaklumkan FELDA dan para pemohon semua permohonan yang lulus dan gagal sebelum atau pada 22 Mei 2012.

Seterusnya, pada hari yang digelar hari "T", wakil FELDA akan menyerahkan borang biru dan merah jambu masing-masing kepada peneroka dan pekerja FELDA yang berjaya dalam permohonan untuk diisi dan perlu dikembalikan kepada wakil FELDA paling lewat pada hari "T+1". Selewat-lewatnya pada hari "T+3", bank-bank terbabit dijadualkan menerima semula borang biru dan merah jambu yang telah diisi ini bersama dengan senarai akhir permohonan yang diluluskan. Mereka yang memilih untuk membayar balik keseluruhan pinjaman pada hari penerimaan borang biru atau merah jambu dinasihatkan membeli bank deraf boleh dibayar kepada bank yang meluluskan pinjaman. Bermula pada hari "T+3", bank-bank akan memproses borang biru dan merah jambu serta mengeluarkan pembayaran membeli saham IPO FGVH kepada "registrar", Symphony House Berhad selewat-lewatnya pada hari "T+8". Pada hari yang sama, borang biru dan merah jambu akan diserahkan kepada gedung terbitan atau "issuing house".

KEADILAN sekali lagi ingin menegaskan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah dan tidak akan sama sekali menghalang sebarang inisiatif yang memberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat yang memerlukan terutamanya peneroka dan pekerja FELDA yang sememangnya berhak mendapat ganjaran atau habuan dalam apa jua bentuk.

Jika PM Najib dan FELDA benar-benar ikhlas dengan niat menawarkan peneroka dan pekerja FELDA "durian runtuh sebagai menghargai kerja keras dan pengorbanan mereka selama ini" dan "mempermudahkan penyertaan mereka untuk menikmati segala faedah daripada penyenaraian FGVH", KEADILAN ingin menegaskan bahawa kaedah terbaik untuk memberi pengiktirafan yang sewajarnya atas jerih-perih dan ketabahan peneroka dan pekerja FELDA serta peluang menikmati manfaat memiliki saham sebuah syarikat "blue chip" yang tersenarai di Bursa Malaysia secara mampan adalah menerusi pemberian saham percuma, sekaligus menepati definisi "durian runtuh" dalam ertikata yang sebenar, bebas daripada belenggu hutang. Tanpa saham percuma, PM Najib dan Kerajaan Barisan Nasionallah yang sebenarnya memperlekeh pengorbanan peneroka dan pekerja FELDA selama ini!


Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden KEADILAN

Tiada ulasan:

Nuffnang