Rabu, 4 April 2012

Direct Free Kick

Direct Free Kick


SYABAS DIBERI AMARAN PATUHI TERMA PERJANJIAN

Posted: 04 Apr 2012 08:00 AM PDT

SHAH ALAM, 4 APR – Kerajaan Selangor telah menghantar notis kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai amaran supaya syarikat konsesi itu tidak melanggar terma Perjanjian Konsesi untuk membekalkan air terawat kepada pengguna di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sekiranya Syabas gagal melaksanakan tanggungjawab ini, kerajaan negeri berhak untuk menamatkan Perjanjian Konsesi dan mengambil alih fungsi Syabas untuk membekalkan air terawat ke seluruh Selangor.

Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 28 Mac lalu dimaklumkan bahawa Syabas gagal melaksanakan perkhidmatan membekalkan air terawat kepada 79 pemaju di Selangor menyebabkan pelaksanaan projek mereka terjejas akibat ketiadaan bekalan air.

"Tindakan Syabas ini jelas sekali bertentangan dengan terma yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi yang ditandatangani kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan syarikat konsesi pada 15 Disember 2004. Lebih dari itu, perbuatan Syabas seolah-olah mahu menggagalkan kemajuan ekonomi di Selangor," katanya.

Beliau berkata, notis ini dihantar oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Kawal Selia Air Negeri Selangor, Datuk Noordin Sulaiman kepada Ketua Pegawai Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan pada 29 Mac lalu.

Tegasnya, kerajaan negeri turut mengingatkan Syabas bahawa tanggungjawab membekalkan air terawat kepada pengguna merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh syarikat konsesi itu pada setiap masa.

Jelasnya, pematuhan tanggungjawab ini adalah penting supaya semua projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri ini tidak tergendala atau terjejas akibat kegagalan Syabas membekalkan air terawat.

"Kerajaan negeri memandang berat perkara ini dan jika terbukti terdapat kegagalan Syabas untuk membekalkan air terawat kepada mana-mana penguna sama ada pengguna domestik atau industri, ia dianggap satu perlanggaran terma Perjanjian Konsesi yang memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menamatkan perjanjian," ujarnya - Selangorku.

Pampasan RM73,000 untuk penduduk flat Kg Kerinci kejam.....

Posted: 04 Apr 2012 05:59 AM PDT

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, YB Iskandar A. Samad berkata jika pemilik flat kos rendah Kg Kerinci hanya ditawarkan pampasan RM73,000 maka ianya adalah satu tindakan yang kejam.

Beliau berkata sedemikian setelah membuat lawatan pada 4 April lepas ke flat yang akan dibangunkan semula oleh sebuah pemaju swasta.

Seramai 35 keluarga masih bertahan di kediaman mereka kerana tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan.

Menurut Iskandar, unit kediaman yang sama di kawasan pinggir bandar seperti di Pandan Indah bernilai sekurang-kurangnya RM75,000. Oleh yang demikian nilai bagi kawasan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur seperti Kg Kerinci sudah tentu berkali-kali ganda.

Beliau juga memberitahu beliau difahamkan bahawa pembangunan yang akan dibangunkan di atas tapak flat itu adalah bernilai tinggi yang sudah tentu akan memberi pulangan beratus-ratus juta RM. Unit kediaman yang mempunyai keluasan yang sama dengan flat penduduk mungkin akan dijual dengan harga melebihi RM500,000. Maka sudah tentu pemaju mampu menawarkan pampasan yang lebih tinggi.

Flat tersebut telah dibina oleh PKNS pada lewat 70'an dan telah dijual kepada orang ramai.

Apabila terdapat cadangan untuk membangunkan semula tapak flat itu, PKNS telah turut membuat tawaran. Tetapi tawaran PKNS ini telah tidak berjaya. Sebuah pemaju swasta telah terpilih - Chempaka Online.

Ceramah Penerangan Kg Perwira Jaya 4 April 2012.

Posted: 04 Apr 2012 04:19 AM PDT

Tarikh - Rabu 4 April 2012
Masa - 9.30 malam
Tempat - Di sebelah Dewan Orang Ramai, Kg Perwira Jaya.
Penceramah -
1.) YB Dr Che Rosli Che Mat
2.) Ustaz Sallehin Mukhyi
3.) YB Iskandar A. Samad

'Datanglah Beramai-Ramai'

KERAJAAN NEGERI SELANGOR MENGALU-ALUKAN PROGRAM ALA CERIA KERAJAAN PERSEKUTUAN.

Posted: 04 Apr 2012 12:38 AM PDT

Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan program ala CERIA Kerajaan Persekutuan yang akan dilancarkan semula dengan perkongsian kos 90:10. Di mana 90 peratus kos baikpulih ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan dan 10 peratus ditanggung oleh pemilik. Buat masa ini perkongsian kos tersebut adalah 60:40 berbanding dengan program CERIA Kerajaan Negeri Selangor iaitu 80:20.

Kerajaan Persekutuan sepatutnya menyumbang kepada usaha-usaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat terutamanya rakyat Selangor oleh kerana 22 peratus dari pendapatan negara datangnya dari negeri Selangor. Maka wajarlah peruntukan dari Kerajaan Persekutuan disalurkan kepada rakyat negeri Selangor.

Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri berharap agar tidak akan wujud pertindihan di antara kawasan yang dibaikpulih oleh Kerajaan Negeri dan dan kawasan yang dibaikpulih oleh Kerajaan Persektuan.

Adalah diharapkan tidak berlaku lagi kes seperti di Taman Samudera, Gombak di mana Kerajaan Negeri telah memulakan kerja-kerja baikpulih iaitu mengecat di bawah program CERIA tetapi Kerajaan Pusat pula telah juga menghantar kontraktor untuk mengecat.

Terdapat juga kawasan-kawasan yang akan dibaikpulih di bawah CERIA tiba-tiba didatangi oleh kontraktor-kontraktor yang menawarkan diri untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih.

Matlamat program membaikpulih ini adalah untuk membantu rakyat dan bukan untuk sebarang kepentingan politik yang sempit.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri bersedia berkongsi maklumat dengan Kerajaan Persekutuan senarai kawasan-kawasan pangsapuri kos rendah yang memerlukan bantuan membaikpulih.

Kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih di atas penghormatan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri apabila mewujudkan program yang sama seperti Program Membaikpulih Negeri Kebajikan atau CERIA yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri.

Iskandar A. Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
4 April 2012

( Gambar-gambar adalah pangsapuri yang telah siap dibaikpulih : Atas - Taman Samudera, Gombak dan bawah - Taman Cahaya, Ampang)

Tiada ulasan:

Nuffnang