Jumaat, 20 Januari 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Thiqah, Wala' dan Road-Show

Posted: 19 Jan 2012 07:30 PM PST

Kedengaran juga ada pihak yang ingin membuat road-show ke seluruh Negara. Bagi saya itu adalah hak dia dan lagi banyak dia cakap, lagi jelas pendiriannya yang dangkal. Hanya dia perlu ingat, kesalahannya kali ini bukan kesalahan kali pertama. Dulu dia pernah ditegur dan sudah pun diberi amaran. Kali ini dia lajak lebih jauh lagi maka dan bagi yang menganggap pemecatan beliau agak drastik; perlu diberi amaran dulu dan sebagainya, harap ingat kembali peristiwa lampau.

Mungkin dia akan mencanangkan bahawa dia dipecat kerana DSAI. Itu jelas satu pembohongan. Dia dipecat kerana sikap dirinya sendiri. Semasa road-show boleh cakap apa yang dia suka, reka cerita dan sebagainya, tapi semua tahu, dia dipecat kerana sikapnya. Sikapnya yang tidak mahu terima pendirian parti dan kesungguhannya membawa mesej UMNO/BN untuk mempengaruhi ahli PAS dan rakyat jelata.

Dulu dia juga yang menjadi juara wala' dan thiqah. Tetapi itu hanya ketika dia sebagai ketua. Semua kena dengar cakap dia. Kalau tidak maka tidak wala', tidak thiqah serta tidak cukup tarbiyyah dan sebagainya. Tetapi apabila dirinya bukan ketua, nampak gayanya konsep tersebut tidak lagi releven.

Mungkin itulah yang berlaku apabila dikuasai hawa nafsu. Terlalu membesarkan diri, dengan beranggapan bahawa dirinya sahaja yang betul dan yang lain semuanya bagaikan parasit. Parasit ini sebenarnya hidup di atas kekuatan yang lain dan secara perlahan merosakkan pihak yang menanggungnya. Itulah apa yang ingin dilakukan. Tetapi, Alhamdulillah, Allah sayangkan PAS dan memberi PAS kemampuan untuk 'nyah-parasit' dan inilah yang telah berlaku.

Parasit sudah pun dinyahkan dan dengan itu PAS akan mara ke hapadan bagi memenuhi kehendak rakyat dan ummat Islam untuk menggantikan UMNO dengan menjadi wadah politik ummat Islam yang utama di negara Malaysia.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Penstrukturan Exco Kerajaan Negeri Selangor

Posted: 19 Jan 2012 06:25 PM PST

Sekembali saya ke tanah air setelah berada di Saudi Arabia selama 16 hari, maka saya dapati beberapa perkembangan menarik sedang berlaku. Oleh itu, saya ingin mengupas secara ringkas beberapa perkara yang saya akan mulakan dengan penstrukturan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Pelantikan Dr Yunus mengemparkan ramai, termasuklah yang sudah pasti, Dr Yunus sendiri. Apabila ianya berlaku maka mula sibuklah pencacai UMNO yang telah terdiam terkedu setelah DSAI didapati tidak bersalah. Tiba-tiba ada isu, walaupun remeh dan kecil, yang memberi nafas baru kepada mereka untuk terus hidup.

Maka mulalah mereka menghasut setelah terbukti hasutan sebelum ini berhasil, supaya Dr Rani juga bertindak sepertimana sebelum beliau. "Tidak patut", kata mereka, "Dr Rani PJ dan sepatutnya dialah yang dilantik menjadi Exco". Namun begitu, hasutan tukang hasut tidak berkesan ke atas manusia yang berjuang tanpa memikirkan jawatan atau pangkat. Atas sikap tidak peduli Dr Rani dalam soal hasutan ini, saya mengucapkan tahniah. Jelas terbukti bahawa dakwaan beliau gilakan jawatan serta menjatuhkan mantan PJ kerana inginkan jawatanan Exco adalah tidak berasas dan amat meleset sama sekali.

Setiap individu di dalam PAS seharusnya mempunyai sifat tidak merajuk apabila tidak dipilih atau dilantik memegang sesuatu jawatan. Malahan individu tersebut akan merasa lega apabila dilepaskan dari dipilih untuk menjawat sesuatu jawatan kerana dia faham bahawa jawatan itu adalah tanggung jawab dan amanah yang berat. Ianya bukan hadiah atau 'ghanimah'. Ianya bukan pengiktirafan atau penghormatan, ianya adalah amanah. Kita tidak lari dari tanggung jawab, tetapi kita tidak juga mencari-carinya sehingga menjadikan sesuatu jawatan itu sebagai impian hati dan matlamat perjuangan hidup.

Orang yang dikuasai keinginan jawatan akan dirosakkan oleh keinginan itu sendiri sehingga apabila ianya terlepas dari tangannya atau kelihatan semakin jauh darinya maka dia mula berhempas-pulas ketidak tentuan. Segala yang dikatakan betul selama ini menjadi salah, segala rakan menjadi lawan sehingga; segala segala yang dimuntahkan sanggup dijilat balik. Maka bermulalah dia mengorak langkah melalui 'pendekatan baru' untuk mendapatkan jawatan tersebut tanpa menghiraukan segala yang telah dikatakan dan diikrarkan sebelum ini, termasuklah yang dibaiahkan selama ini.

Alhamdulillah Dr Rani, tidak bersifat sebegitu. Beliau hadir pada majlis pelantikan Exco baru dan apabila ditanya, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Dr Yunus. Sememangnya sebelum ini pun Dr Rani pernah menzahirkan kekhuatiran beliau terhadap persoalan menjawat jawatan PJ dan Exco, dalam suasana di ambang pilihan raya, dikhuatiri dirinya tidak termampu.

Maka akhirnya apa yang telah terjadi diterima dengan hati terbuka, sebagai penentuan Allah yang terbaik bukan sahaja bagi dirinya, tetapi bagi jemaah.

Ada pula yang dari golongan yang agak jahil menyatakan bahawa perlantikan Dr Yunus sebagai Exco Belia dan Adat Melayu adalah sesuatu yang memalukan PAS. "Tidakkah PAS parti Islam," tanya mereka, "mengapa tidak diberikan portfolio Exco Agama seperti dulu?"

Bagi mereka ini Islam adalah apa yang terkandung di dalam kerangka Jabatan Agama Islam. Tiada Islam dalam urusan Belia atau Adat Istiadat orang Melayu. Itulah apa yang disebut sebagai fahaman sekular. Bagi PAS, Islam releven di dalam semua portfolio, termasuklah belia. Memandangkan pengundi Selangor adalah majoritinya di bawah umur 40 tahun, maka portfolio ini amat berharga bagi PAS. Masa inilah PAS perlu menarik sokongan golongan muda dengan membuktikan "orang muda geng kita".

Dari sudut praktikalnya, dalam tempoh 2 ke 3 bulan sebelum pilihan raya, lebih mudah diserahkan kepada Exco baru portfolio yang sedang dia jaga selama ini, walaupun bukan sebagai Exco pada ketika itu. Dr Yunus salah seorang yang membantu MB menjaga portfolio belia dan sukan sebelum ini. Ianya tindakan yang praktikal bagi menjamin kesinambungan tugas serta kelicinan peralihan jawatan yang sedang dilalui secara mendesak dan di ambang pilihan raya.

Adalah agak sukar bagi Exco baru menguasai portfolio baru dalam suasana sebegini. Lebih-lebih lagi sekiranya ianya portfolio Exco Agama kerana sekarang ini JAIS dan MAIS ingin dijadikan bagaikan lubuk UMNO dan BN. Ianya medan pertahanan terakhir mereka dan mereka ingin menggunakannya sehabis-habisnya untuk menggagalkan usaha PR mengekalkan kerajaannya di Selangor. Tindakan mengekalkan mantan PJ PAS Selangor sebagai Timbalan Pengerusi MAIS, walaupun saya tahu ada yang mereka tidak begitu suka pada dirinya, jelas menunjukkan niat jahat mereka.

Dalam suasana yang 'hostile' sebegini, seorang Exco baru akan dihadapkan dengan bermacam-macam masalah. Jenis UMNO bukan faham soal menghormati keputusan rakyat. Mereka akan jadikan tempoh 3 bulan pertama satu tempoh yang sukar bagi Exco baru seperti Dr Yunus. Oleh itu, memandangkan tempohnya singkat dan perjalanannya penuh dengan cabaran, maka adalah lebih baik MB sendiri yang memegangnya. Baru bertemu buku dengan ruas.

Ada pula yang berkata, "apa MB tahu pasal syariat Islam?" Jawab saya, "Exco Agama ini perlu keluarkan fatwakah?" Lagipun, bagi saya, beliau adalah jauh lebih baik dari Rahman Palil yang boleh duduk bersekongkol dengan Khir Toyo serta UMNO dan BN. Mungkin juga lebih baik fahamannya berbanding mantan Exco yang mungkin hanya sekadar bersemangat dan bermotivasi tinggi sahaja tetapi sekarang sudah cukup jelas kefahamannya agak terencat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang