Sabtu, 5 November 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


TARBIYAH PENTING SEBAGAI LATIHAN KEIKHLASAN DAN ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN ISLAM - NIK ABDUH

Posted: 04 Nov 2011 06:36 PM PDT


TAIPING, 4 November - Tarbiyah merupakan aspek yang paling penting dalam sesebuah jemaah Islam kerana ia melatih diri anggota jemaah Islam untuk ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan. Demikian dinyatakan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz semasa membentangkan kertas kerja dalam program Liqa Fikri PAS Negeri Perak di Air Kuning dekat sini. Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussin dan seluruh pimpinan PAS negeri, kawasan dan cawangan.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, menyatakan bahawa tarbiyah merupakan  satu proses pembinaan dan penyempurnaan syakhsiah muslim yang berpanjangan sehingga akhir hayat.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa terdapat dua kemenangan dalam Islam iaitu pertama, kemenangan abadi dengan janji pengampunan dan syurga di akhirat (al fauzul al azim) dan kedua, kemenangan Islam di dunia (al fath al qarib). Menurut beliau lagi, kemenangan akhirat dicapai secara kemestian fardiyah (individu) sedangkan kemenangan di dunia perlu dicapai secara jamaie (bersama). Walau bagaimanapun, manusia lebih suka akan kemenangan di dunia kerana kemenangan tersebut adalah dekat dan jelas; berbanding kemenangan di akhirat yang nampak masih jauh.

"Kemenangan di dunia adalah ujian dari Allah ke atas hambaNya di dunia. Namun, ia tidak memberi sebarang kebaikan jika kemenangan dunia tadi tidak bersambung kepada kemenangan abadi di akhirat. Puncanya ialah apabila kita berhenti membina diri dalam tarbiyah Islamiyah," ujar pemimpian muda ini.

Beliau menambah, ada lima isu berkaitan dengan tarbiyah iaitu ahli PAS yang kurang minat aspek tarbiyah, terlalu menumpu kepada politik, kurangnya tokoh dalam pelbagai bidang yang memenuhi syarat tarbiyah, pemilihan pimpinan parti yang mengenepikan aspek tarbiyah dan aspek kesempurnaan peribadi dan budaya 'politiking' dalam parti. Kesemua isu tersebut boleh diatasi dengan usaha memperkasakan aspek tarbiyah dalam segenap sudut.

intanhijau.blogspot.com

Tiada ulasan:

Nuffnang