Rabu, 4 Mei 2011

MOHD FIRDAUS JAAFAR

MOHD FIRDAUS JAAFAR


KENYATAAN MEDIA DPPP : TALIAN HAYAT UMNO KINI HANYA PADA PAS!

Posted: 03 May 2011 09:15 PM PDT

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
TALIAN HAYAT UMNO KINI HANYA PADA PAS!
(4 Mei 2011)

http://hazrul7.files.wordpress.com/2009/04/mohd-firdaus-jaafar.jpg

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan tindakan UMNO yang mempelawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan duduk bersama dengan BN sebagai tindakan tersepit dan terdesak.

UMNO kini ibarat 'orang hampir lemas yang cuba berpaut pada apa sahaja' sedangkan mereka selama inilah yang memburukkan PAS di mata masyarakat dengan pelbagai tuduhan huduh dan menghinakan. Selama ini mereka sombong dengan menganggap mereka sahaja parti terbaik untuk kaum Melayu dan PAS adalah sebuah parti yang sesat serta tidak mempunyai masa depan.

Perlu dingat bahawa selama puluhan tahun UMNO hidup dengan membuli dan mengganyang musuh politik mereka. PAS dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah diberikan hak dalam pentas demokrasi yang sebenar. Bahkan hampir setiap hari media massa milik mereka memburukkan pemimpin PAS dan PR. Selain itu, hampir seluruh jentera kerajaan dipergunakan semaksima mungkin dalam memastikan pembangkang khususnya PAS terus jatuh terduduk dalam setiap pilihanraya umum dan kecil. Apakah dalam keadaan demikian, UMNO masih terhegeh-hegeh mencari simpati PAS?

DPPP mengingatkan bahawa PAS telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangan mereka dalam pentas politik di Malaysia. Bukan sekadar ugutan dan fitnah, bahkan pemimpin PAS pernah di ISA kan, dipenjara, bahkan dibunuh. Ini semua dilakukan oleh pemimpin UMNO yang kononnya mahu memperjuangkan bangsa Melayu. Masih segar dalam ingatan bagaimana tindakan UMNO terhadap kerajaan Terengganu yang majoritinya bangsa melayu pada tahun 1999-2004 apabila dinafikan royalti petroleum hanya kerana mereka diperintah oleh PAS. Begitu juga nasib yang sama diterima oleh Kerajaan PAS Kelantan yang sehingga ke hari ini terpaksa memperjuangkan hak untuk mendapatkan royalti petroleum di mahkamah.

Sejarah juga membuktikan bahawa PAS tidak pernah mengkhianati hak orang melayu sebaliknya UMNO lah yang menjadi petualang dalam menghakis hak keistimewaan orang melayu. Apakah kita lupa bahawa biasiswa telah digantikan dengan PTPTN. Bagaimana bantuan sekolah agama rakyat ditarik. Kemana perginya saham bumiputera yang bernilai 52 bilion. Ini semua berlaku kerana UMNO sememangnya tidak pernah memikirkan bagaimana mahu membantu orang melayu sebaliknya menyalahgunakan kuasa yang di amanahkan dengan mengaut keuntungan peribadi.

Tindakan mempelawa PAS ini menjelaskan kepada semua bahawa sebenarnya sokongan orang melayu kepada UMNO sudah semakin terhakis. PAS pula dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi orang melayu.Lebih-lebih lagi dengan budaya politik kotor dan keji yang mereka amalkan seperti video lucah seperti yang dipaparkan sekarang. Orang Melayu sudah semakin meluat dengan politik 'Machiavelli' UMNO sehingga sanggup menengepikan syariat Islam. Dalam kes video lucah yang disebarkan hari ini, DPPP mencabar UMNO agar membawa kes ini ke Mahkamah Syariah dan sanggup menghadapi hukuman Qazaf sekiranya mereka terbukti benar.

Sebelum ini, bangsa Cina dan India juga sudah semakin hilang kepercayaan kepada UMNO-BN akibat kegagalan BN memerintah Malaysia dengan aman dan adil. Bangsa Cina dan India telah lama membuka mata melihat keabsahan pemerintahan BN yang rasuah, korupsi, kronisme serta bersifat perkauman. Sedangkan PAS bersama PR terus konsisten dengan memperjuangkan keadilan sejagat tanpa mengira bangsa dan kaum serta mengembalikan hak-hak rakyat yang hilang selama ini.

DPPP juga melihat tindakan Presiden UMNO yang mempelawa PAS keluar daripada PR dan bersama dengan BN sebagai helah politik semata-mata demi untuk menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakan-rakan di dalam PR. Dan ini juga merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan sisa-sisa riwayat UMNO yang semakin menghampiri penghujungnya. PAS tidak sesekali akan terpedaya dengan umpan UMNO sehinggalah akhirnya Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13.

Disediakan oleh;

YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Pusat

Bersama DS MB Kedah di majlis pelancaran YAN Daerah bersih & sejahtera

Posted: 03 May 2011 09:38 AM PDT


Soi Lek melampau

Posted: 03 May 2011 09:27 AM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mahu BN menutup pintunya kepada PAS kecuali PAS sanggup menggugurkan prinsip-prinsip negara Islam terlebih dahulu sebagai keterlaluan, melampau dan cuba mencipta permusuhan dengan umat Islam di negara ini.

Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar berkata, presiden MCA itu tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan sentimen keagamaan dan perkauman dalam negara ini.

Katanya, umat Islam adalah sebagai golongan majoriti di negara ini, bahkan agama Islam juga dijadikan sebagai agama Persekutuan.

"Apakah masalahnya sekiranya PAS meletakkan prinsip Islamnya yang sememangnya bertepatan dengan agama persekutuan ini?

"Persoalannya sekarang adakah MCA mahu bermusuh dengan PAS atau bermusuh dengan umat Islam di negara ini?" ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kenyataan Presiden MCA juga menjelaskan siapa Umno sebenarnya di sisi rakyat dan BN.

Tambahnya, ternyata kenyataan Soi Lek membenarkan bahawa Umno sememang parti sekular dan tidak berkehendakkan Islam.

Menurutnya, perkataan Islam hanya bermain di bibir mereka sahaja di hadapan orang Melayu.

"Mana mungkin MCA boleh menerima kehadiran Umno sebagai peneraju BN dalam keadaan Umno mahu melaksanakan Islam," ujarnya.

Ini, tambahnya menjelaskan lagi bahawa Umno bukanlah parti untuk umat Islam dan rakyat khususnya yang beragama Islam dan mahukan Islam tidak boleh bernaung di bawah Umno.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, mana mungkin Umno berani melaksanakan Islam sekiranya parti komponen mereka sendiri menentang.

Ini, jelasnya berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR) bilamana DAP lebih menghormati prinsip Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Katanya, Pengerusi DAP, Karpal Singh ketika berucap di Konvensyen PR tahun lalu juga menyebut dengan jelas akan komitmen parti itu mempertahankan Islam sebagai agama rasmi bersama-sama PR.

"DPPP menegaskan bahawa PAS tetap dengan prinsip Islamnya, walau dengan siapa PAS berkawan.

"Prinsip Islam dalam PAS telah termaktub sejak hari pertama penubuhannya dan ia konsisten sehingga ke hari ini," katanya.

DPPP juga, katanya menegaskan bahawa PAS tetap bersama dengan Pakatan Rakyat yang menjadi harapan rakyat ketika ini untuk menggantikan BN yang semakin lemah.

PAS, tegasnya tidak akan terhegeh-hegeh untuk menerima pelawaan Umno kerana PAS sentiasa menjaga setiakawan bersama PR.

"Namun sebaliknya Umno atau MCA perlu keluar dari BN dan bersama-sama PR bagi meneruskan survival parti mereka yang sudah semakin hilang sokongan rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Nuffnang