Selasa, 10 Mei 2011

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


KRISTIAN AGAMA RASMI SATU CUBAAN PROVOKASI UNTUNGKAN PIHAK TERTENTU

Posted: 10 May 2011 12:26 AM PDT

 Tuan Guru bersalaman dengan Tengku Sri Bendahara Raja.

Sumber :  Harakahdaily
 Khairul Azlam Mohamad   

KUALA TERENGGANU, 9 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada pihak tertentu agar tidak melakukan provokasi hingga mencetuskan ketegangan kaum di negara ini berhubung isu 'Kristian agama rasmi'.

Menurutnya, tindakan seumpama itu tidak demokratik yang sengaja cuba dicetuskan pihak tertentu setiap kali menjelang pilihan raya.

"Saya melihat isu sehari dua ini lebih bersifat kepada satu permainan politik pilihan raya".

"Saya harap jangan provokasikan di saat hampir pilihan raya macam masa-masa lalu. Kemudian ambil tindakan ISA di kalangan orang tertentu. Ini suatu tindakan yang tidak demokratik dan tidak betul," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Keempat, Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-12, di sini hari ini.

Katanya, dalam Konvensyen Pakatan Rakyat semua parti menerima apa yang sudah diasaskan dalam Perlembagaan.

Menurutnya, Islam agama Persekutuan dan institusi Raja-Raja yang termaktub dalam Perlembagaan diterima sebulat suara oleh Pakatan Rakyat.

Menurutnya, sebarang isu yang berkaitan dengan polisi dan dasar akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat.

"Dengan sebab itu, saya tidak risau dengan isu ini. Sebab, saya melihat isu ini lebih ke arah isu mainan politik pilihan raya. Ini satu benda yang tidak betul di kalangan pihak tertentu," ujarnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mahu semua pihak supaya menjaga keharmonian kaum di negara ini.

Beliau juga menyarankan agar diadakan siri perbincangan dan dialog dari masa mengenai perkara itu sebagaimana isu kalimah Allah sebelum ini.

"Dan kerajaan pernah menganjur melalui IKIM, dalam isu kalimah Allah dulu, saya hadir sendiri dan melibatkan kalangan akademik, kita bincang. Itu lebih baik. Cara berilmu dan bukan lepas tangan begitu sahaja," ujarnya.

Perasmian Sidang Dun Terengganu telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Bendahara Raja.

Tiada ulasan:

Nuffnang