Selasa, 10 Mei 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Cubaan Sabotaj Kereta Dato Seri Anwar Ibrahim

Posted: 10 May 2011 02:53 AM PDT

Dari TV Selangor

Pemandu peribadi kepada Ketua Pembangkang, Menurut Abdullah Sani Haji Said hari ini membuat laporan polis kerana mengesyaki cubaan sabotaj ke atas kenderaan milik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Perkara itu disedari Abdullah pada 19 April lalu yang mendapati kegagalan sistem brek kenderaan terbabit.

” Sistem brek tiba-tiba bergegar kuat tidak seperti biasa, kedengaran bunyi pecah di bahagian belakang,” katanya kepada pemberita.

Dalam laporan polis yang dibuatnya, Abdullah menceritakan bagaimana beliau yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin ke Ipoh untuk menghadiri program anjuran Parti Keadilan Rakyat terpaksa memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, beliau yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur mendapati tayar belakang sebelah kanan kereta itu seolah-olah terkunci.

Menurut beliau, mekanik yang memeriksa kenderaan itu kemudiannya memberitahu disk brek tayar belakang tidak mempunyai klip yang berfungsi untuk menyokong sistem brek.

Justeru beliau yang bimbang akan keselamatan dirinya dan keluarga Anwar tampil membuat laporan polis di Balai Polis Merchant Square, Tropicana kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Kenaikkan Gula:Tuntut Dedah Pembelian Kilang ‘Raja Gula’ Oleh Felda – Azan

Posted: 10 May 2011 01:17 AM PDT

Dari Keadilan Daily

Kerajaan didesak untuk mengumumkan jumlah transaksi pembelian Malayan Sugar Manufacturing Co Sdn Bhd (MSM) yang sebelum ini dimiliki oleh Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pembelian itu dilakukan menerusi anak syarikat Felda, iaitu Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH).

"Felda ialah sebuah syarikat berkepentingan kerajaan. Mengapa jumlah pembelian tersebut tidak diumumkan secara terbuka? Agensi mana yang dilakukan untuk membuat penilaian aset dan liabiliti syarikat tersebut," soal Azan.

Azan Ismail mendakwa, kerajaan seolah-oleh menyembunyikan perkara tersebut dari pengetahuan rakyat, sehinggalah rentetan dari siri kenaikan barangan keperluan termasuk kenaikan harga gula sebanyak 20 sen yang diumum kerajaan semalam.

Menurut laporan media, FGVH turut membeli Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd, sebidang tanah seluas 5,800 hektar di Chuping, Perlis dan 20% pegangan Tradewinds (M) Bhd dengan anggaran jumlah RM 1.5 billion.

Difahamkan kini, Robert Kuok, yang juga jutawan pertama di Malaysia kemudiannya membeli syarikat CSR Limited, iaitu pengeluar gula terbesar di Australia.

"Sekarang ini, jika Felda mahu mengimport gula dari Australia, agensi tersebut akan membeli dari syarikat yang dimiliki oleh Robert Kuok.

"Ini tidak memberikan makna kepada Felda kerana pada akhirnya nanti, sekiranya ada kenaikan harga gula di negara ini, maka Felda akan dipersalahkan.

"Sedangkan, keuntungan awal telah dikaut oleh orang yang sama, iaitu kroni Barisan Nasional dan pernah mendapat faedah dari monopoli gula selama puluhan tahun di negara ini.

"Felda belum tentu mendapat keuntungan, kerana gula adalah barangan kawalan. Jika ada pun, sudah tentu ia 'disedut' oleh pihak ketiga yang menjadikan nilai terkumpul tersebut sebagai dana pilihan raya bagi pihak Barisan Nasional," tambah Azan.

Dalam pada itu, Azan Ismail mendakwa, kerajaan cuba mewujudkan suasana tenteram di kalangan rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu dengan mendakwa, pembelian syarikat gula tersebut oleh Felda menunjukkan kerajaan prihatin terhadap agensi yang banyak memberikan faedah kepada orang Melayu itu.

"Orang Melayu jangan terperangkap dengan tindakan kerajaan ini. Pembelian kilang gula milik Robert Kuok oleh Felda tidak memberi jaminan bahawa nasib orang Melayu lebih terbela.

"Kita tidak tahu siapa yang berkepentingan di dalam transaksi tersebut yang akan mengaut keuntungan. Apatah lagi proses pembelian FGVH tidak diumumkan secara terbuka.

"Sebab itu, kita tuntut dokumen tersebut didedahkan kepada umum," ujar Azan.

PM Bentang Bajet Seminggu Awal, ‘Bajet Pilihan Raya’?

Posted: 09 May 2011 10:54 PM PDT

Dari TV Selangor

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan Bajet 2012 pada minggu pertama Oktober ini, yang dilihat penganalisis sebagai “bajet pilihan raya” sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Bajet 2012 akan dibentangkan pada 7 Oktober.

Najib tahun lalu membentangkan Bajet 2011 pada 15 Oktober, namun mempercepatkannya seminggu kali ini.

Pengumuman mengenainya dibuat ketika spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya umum akan diadakan sebelum Ramadhan tahun ini.

Difahamkan Kementerian Kewangan sedang mengadakan sesi dialog tahunan mengenai bajet.

Kerajaan BN pernah membubarkan Parlimen ketika Dewan Rakyat sedang membahaskan ucapan belanjawan negara 2000 bagi membuka laluan kepada pilihan raya umum 1999.

Dalam pada itu, laporan Bernama Online memetik Najib berkata, Bajet 2012 adalah inklusif, bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi.

Ia akan menjadi satu lagi kejayaan ke arah merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Najib.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM212 bilion untuk Bajet 2011, iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2010. Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi dan RM49.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Penghijrahan Rakyat Malaysia Perlukan Reformasi Jangka Masa Panjang

Posted: 09 May 2011 09:18 PM PDT

Oleh YB Nik Nazmi

Laporan Ekonomi Bank Dunia tentang penghijrahan keluar rakyat Malaysia (Brain Drain) telah menarik ulasan meluas di media. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan semua pihak sewajarnya prihatin tentang masalah serius ini.

Bank Dunia menganggarkan bilangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara kira-kira satu juta orang – dan itu satu anggaran yang konservatif. Biar apa pun angka tepatnya, tren ini merisaukan apabila kita mengambilkira bahawa kira-kira satu pertiga rakyat Malaysia yang meninggalkan negara merupakan pekerja mahir, yang merupakan tiga kali lebih besar berbanding pada tahun 1990.

Isu ini dekat dengan saya memandangkan ramai rakan-rakan saya di universiti di Britain dahulu turut terangkum dalam statistik rakyat Malaysia yang meninggalkan negara. Pilihan mereka ini merupakan suatu bukti kepincangan  dasar-dasar ekonomi, sosial dan politik negara selama ini. Tiada siapa dapat menafikan bahawa kita tidak dapat meneruskan keadaan ini dan memerlukan reformasi terhadap dasar-dasar negara.

Malangnya, respon kerajaan UMNO-BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak teramatlah mengecewakan. Model Ekonomi Baru yang digubal mengutamakan keputusan jangkamasa pendek dan mudah yang diistilahkan "low-hanging fruit" dan "quick-win". Istilah-istilah yang diperkenalkan konsultan ini menekankan langkah-langkah populis, jangkamasa pendek tanpa mengambilkira reformasi yang lebih sukar dan jangkamasa panjang yang diperlukan bagi menyelesaikan punca-punca asas masalah ini.

Misalnya, Najib nampaknya yakin dengan penubuhan Talent Corp Malaysia Berhad dan mencadangkan cukai pendapatan mendatar 15 peratus selama lima tahun untuk rakyat Malaysia yang pulang akan menarik ramai rakyat Malaysia pulang ke negara. Ini satu kesilapan yang besar.

Masalah penghijrahan rakyat Malaysia tidak akan selesai dengan penubuhan satu lagi syarikat kerajaan. Pada masa yang sama kerajaan menghantar signal yang salah kepada rakyat Malaysia yang telah pulang ke negara secara sukarela dengan memberi faedah kepada individu-individu tertentu atau secara terang-terang cuba menarik rakyat pulang dengan pelbagai imbuhan.

Perubahan luaran begitu tidak akan menyelesaikan punca-punca mengapa rakyat Malaysia meninggalkan negara. Ketidakadilan sosial merupakan antara sebab utama dalam kajian Bank Dunia tentang mengapa rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara: seramai kira-kira 60 peratus daripada responden yang tersenarai meletakkannya antara tiga sebab utama mereka memutuskan untuk berhijrah. Diskriminasi sama ada di dalam sektor awam mahupun swasta, serta jurang sosio-ekonomi yang melebar telah membuatkan negara kehilangan ramai bijak pandai.

Walaubagaimanapun, harus ditekankan bahawa penghijrahan rakyat Malaysia ini bukanlah fenomena masyarakat bukan Melayu semata-mata. Kedua-dua rakan serumah saya di London memilih untuk kekal di Britain. Salah seorangnya merupakan seorang Iban dari Sarawak manakalah seorang lagi merupakan Melayu daripada Kuala Lumpur. Meskipun bilangan mereka lebih kecil berbanding masyarakat bukan-Melayu, semakin ramai orang Melayu turut berhijrah mencari kehidupan yang lebih baik, ataupun untuk membuktikan mereka boleh berjaya tanpa bantuan kerajaan.

Pada masa yang sama, kita harus menerima realiti bahawa lebih rakyat yang dapat bergerak dengan bebas dalam dunia global. Penghijrahan rakyat semata-mata bukanlah sesuatu yang negatif – fenomena ini membolehkan rangkaian baru terbina di luar negara dan mereka yang kemudiannya pulang ke negara diperkayakan dengan pengalaman yang lebih luas dan pelbagai. Tetapi bilangan penghijrahan tenaga mahir yang meningkat – di mana kita semakin kehilangan pekerja mahir sama ada rakyat Malaysia atau tidak dan menarik pekerja kurang mahir – merupakan satu masalah.

Justeru, kerajaan sewajarnya memikirkan dasar-dasar berikut:

Dasar jangkamasa pendek yang lebih berkesan ialah untuk membenarkan ibu bapa memilih sekolah yang mereka mahukan untuk anak-anak mereka. Sistem pendidikan yang kaku dan tidak inklusif tidak menarik ramai rakyat Malaysia untuk pulang dan menyebabkan ramai rakyat Malaysia yang mahir memilih untuk meninggalkan negara.

Pada jangkamasa panjang, reformasi menyeluruh sistem pendidikan kita diperlukan. Kebanyakan rakyat Malaysia cuma mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan dan hanya dengan menjadikan sekolah kebangsaan kita lebih inklusif dan meningkatkan kualiti yang ditawarkan kita dapat menjadikan sekolah kebangsaan sekolah pilihan untuk semua rakyat Malaysia seperti dahulu.

Akhirnya kerajaan mestilah menekankan bagaimana untuk mengekalkan rakyat Malaysia yang berbakat sebagai cara paling efektif mengatasi penghijrahan rakyat Malaysia ini. Mengharapkan rakyat Malaysia yang telah membina karier mereka di luar negara dan mempunyai keluarga untuk pulang semata-mata kerana mereka melihat sebuah iklan Talent Corp tentang kadar cukai yang rendah amatlah melucukan.

Laporan Polis Oleh Pemandu Datuk Seri Anwar Ibrahim

Posted: 09 May 2011 07:19 PM PDT

Pemandu peribadi Dato’ Seri Anwar Ibrahim selama 28 tahun, Sdr Abdullah Sani bin Haji Said akan membuat satu laporan polis di Balai Polis di Merchant Square( bersebelahan Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Merchant Square)pada jam 3.30 petang, hari Selasa, 10hb Mei 2011.

Beliau membuat laporan itu kerana mengesyaki ada usaha jahat pihak tertentu mensabotaj kenderaan yang biasa digunakan untuk membawa Dato’ Seri Anwar dan keluarga. Malah satu kemalangan telahpun berlaku pada 19 hb April 2011 yang lalu. Pohon pihak media hadir membuat liputan. Kerjasama pihak anda amatlah dihargai. Terima kasih.

GAMIS Desak Tindakan Tegas Terhadap UTUSAN

Posted: 09 May 2011 05:28 PM PDT

Dari Harakah Daily

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini membuat satu laporan polis berhubung laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Kristian Agama Rasmi?’

Laporan itu dibuat presidennya, Ahmad Syazwan Hassan di balai polis Pantai dekat sini kira-kira jam 11.30 dengan diiringi 20 wakil pertubuhan pelajar lain termasuk bukan Islam yang berkumpul di luar pekarangan balai polis tersebut.

Menurut Ahmad Syazwan, kenyataan akhbar Utusan yang dikeluarkan pada 7 Mei 2011 boleh mejejaskan perpaduan kaum di negara ini kerana bersifat provokasi yang menyentuh sentimen agama di negara ini.

Menurut beliau lagi Utusan Malaysia dilihat tidak bijak dan kredibitinya dipertikai apabila mengambil sumber hanya daripada blog yang bersifat pandangan peribadi penulis.

Beliau juga mahu tindakan yang tegas diambil terhadap pihak Utusan mengenai kenyataan tersebut.

Selain itu, beliau juga menggesa pihak Utusan meminta maaf dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat media milik Umno itu.

“Tindakan ini adalah untuk memberi pengajaran terhadap mana-mana media yang juga mencetuskan sentimen agama yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini”, katanya

Sementara itu, menurut Presiden Majlis Pewakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Syahid Zaini berkata tindakan Utusan itu cuba mengaut keuntungan politik tanpa mengira kesannya kepada rakyat di negara ini.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Mohd. Safwan Anang pula mahu mahasiswa menolak budaya fitnah dan provokasi dilemparkan akhbar tersebut.

Pandangan sama turut disokong Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM, Mohd Hazim Mohd Noh.

“Kami bersikap tegas terhadap mana-mana media yang cuba mencetuskan sentimen perkauman ini, saya berharap segala unsur fitnah dan khabar yang tidak benar dari sumber yang betul hendaklah diselidik terlebih dahulu agar sebarang kenyataan yang dikeluarkan tidak menjejaskan keharmonian yang sedia ada di negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, mereka turut mendesak agar tindakan tegas diambil kepada pihak akhbar tersebut.

Sebagai tanda bantahan, mereka turut membaca akhbar utusan secara terbalik sebelum mengoyak dan memijak akhbar terbabit.

Tiada ulasan:

Nuffnang