Jumaat, 29 April 2011

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Posted: 28 Apr 2011 03:01 AM PDT

PBT ambil alih tugas mulai Jun

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil alih sepenuhnya tugas pembersihan kawasan awam dari Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) bermula akhir Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, pihaknya masih mengadakan mesyuarat dengan Alam Flora bagi menyelesaikan beberapa perkara sebelum mengambil alih tugas itu sepenuhnya.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengeluarkan arahan supaya PBT memulakan tugas dalam pembersihan awam akhir Jun ini.

"Hanya kerja-kerja pengutipan sampah diberikan kepada Alam Flora," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), semalam.

Beliau berkata, PBT juga digesa menubuhkan pasukan bantuan khas untuk memastikan tugas pembersihan awam itu dapat dijaga dengan baik tanpa sebarang rungutan dari penduduk.

Katanya, ia juga akan memudahkan PBT memantau kontraktor yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan kontraktor yang tidak berkesan serta cekap akan diberhentikan.

Ronnie berkata, kesemua PBT juga akan menubuhkan satu unit pemantauan baru iaitu melantik wakil persatuan penduduk untuk menjadi pemantau kualiti kerja kontraktor yang bertugas.

"Kita mensyaratkan kontraktor untuk mendapat tandatangan pemantau setempat sebagai satu syarat bahawa penduduk berpuas hati dengan kerja yang dilakukan.

"Sekiranya wakil penduduk tidak menandatangani sebanyak tiga kali, tindakan akan dikenakan termasuk mengurangkan tempoh kontrak, mengurangkan jumlah bayaran atau memecat kontraktor tersebut," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan bahawa lima PBT akan bekerjasama bagi memastikan pengambilalihan kerja pembersihan daripada Alam Flora berjalan lancar.

Abdul Khalid berkata, kerja pembersihan itu bukan bidang tugas baru untuk PBT kerana pada asalnya kesemua kerja berkenaan berada di bawah kawal selia PBT sebelum tugas itu diambil alih Alam Flora 10 tahun lalu.

PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Kerajaan Negeri melihat pembahagian tugas antara Alam Flora dan PBT dapat menjimatkan kos pengurusan sebanyak 10 peratus yang selama ini dikenakan oleh Alam Flora untuk pengendalian pengurusan pembersihan.

Sumber: Sinar Harian

Posted: 28 Apr 2011 03:00 AM PDT

Noh risau parti komponen PR sepakat: Shuhaimi

SHAH ALAM – Kenyataan Datuk Seri Noh Omar bahawa Pas tidak perlu malu mengakui hakikat menjadi 'kuda tunggangan' DAP dan PKR dilihat sebagai nada kerisauan dengan kesepakatan komponen Pakatan Rakyat (PR) menerajui Selangor.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO itu juga dilihat sebagai usaha menyembunyikan kemelut kepimpinan yang berlaku dalam parti itu di negeri ini.

"Konsensus yang dicapai oleh PR sama ada di peringkat nasional dan negeri jelas membuktikan keutuhan PR dalam melaksanakan Agenda PR yang polisinya terus memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.

"Noh cuba menyembunyikan kemelut baru yang melanda UMNO Selangor berikutan UMNO kini sedang menghadapi krisis kepimpinan apabila beliau tidak mendapat sokongan penuh keseluruhan bahagian UMNO di Selangor," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Shuhaimi berkata, konflik serius antara UMNO bahagian dan kepimpinan parti itu sering diperkatakan dan Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor gagal memperkukuhkan parti komponen BN.

"Sikap kurang senang parti komponen BN seperti MCA dan MIC pada Noh dilihat jelas apabila ada kalangan perwakilan parti keluar dewan pada Konvensyen BN Selangor, April tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, kini MCA menyanggah cadangan UMNO dan akhbar perdana yang mengutarakan slogan bertentangan semangat BN.

"Saya sarankan Noh menyelesaikan masalah dalaman UMNO dan BN Selangor dahulu sebelum membuat tohmahan tidak berasas mengenai kesepakatan PR," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Posted: 15 Apr 2011 04:31 AM PDT

NGO desak gugur pendakwaan terhadap Shuhaimi

KUALA LUMPUR: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan Persekutuan menggugurkan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei kerana ia bertentangan dengan hak kebebasan bersuara.

"Kami menggesa Pejabat Peguam Negara menggugurkan tuduhan terhadap Shuhaimi serta-merta sebagai tanda hormat kepada kebebasan bersuara.

"Kami mahu kerajaan memansuhkan Akta Hasutan serta merta dan menarik dakwaan terhadap semua individu yang didakwa mengikut akta itu," kata mereka dalam satu kenyataan media bersama.

Antara NGO itu ialah Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Writers Alliance for Independence serta Amnesty International Malaysia.

Dalam kenyataan itu, mereka percaya Shuhaimi mempunyai hak yang sah untuk memberi komen terhadap pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.

"Semua warganegara sama ada wakil rakyat atau bukan memiliki hak mengkritik keputusan dan tindakan institusi awam – eksekutif, kehakiman, legislatif, Suruhanjaya Pilihan Raya dan istana demi 'kesihatan demokrasi," kata mereka.

Mereka menyifatkan pendakwaan itu adalah pencabulan terhadap kebebasan bersuara dan bertentangan dengan semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia.

Mereka percaya pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dibuat bekas Perdana Menteri sebelum ini, jauh lebih bersifat serius berbanding komen Shuhaimi

Kata mereka, Pejabat Peguam Negara perlu menghentikan pendakwaan terpilih ahli politik pembangkang dan bertindak bebas, bukannya menjadi alat penganiayaan politik.

"Pendakwaan itu terang-terangan merupakan penganiayaan politik. Kami menyanjung kerajaan Selangor kerana memberikan bantuan guaman dalam mempertahan kebebasan bersuara Adun mereka.

"Ia merupakan tindakan murni menegakkan hak asasi manusia dan keadilan sosial di Selangor. Inilah intipati kebebasan bersuara," kata mereka lagi," kata kenyataan itu lagi.

Shuhaimi sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung artikel dalam blognya yang mengkritik pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Jika sabit kesalahan, Shuhaimi berhadapan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali. Kes akan didengar semula 28 Mac depan.


Sumber: Keadilan Daily

Posted: 14 Apr 2011 04:28 AM PDT

Sebutan semula pembatalan kes Shuhaimi Shafiei 31 Mei depan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tarikh sebutan semula bagi membatalkan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pada 31 Mei depan.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah dan Timbalan Pendakwa Raya, Tuan Ishak yang hadir bagi pihak pendakwa semalam memutuskan tarikh baru sebutan semula itu kerana pihak pendakwa memerlukan masa bagi menjawab afidavit yang difailkan Shuhaimi pada 1 April lalu.

Beliau yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad hadir di mahkamah bagi kes sebutan membatalkan pendakwaan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948.

Shuhaimi dalam kenyataanya hari ini berkata, beliau mempunyai alasan untuk membatalkan pendakwaan tersebut.

"Akta Hasutan adalah tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan dan pihak pendakwaan berniat jahat kerana terdapat "selective prosecution" yang jelas lagi nyata," kata Shuhaimi.

Shuhaimi didakwa menerbitkan artikel bertajuk "Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959″ yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, 30 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shuhaimi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.


Sumber: Keadilan Daily

Posted: 10 Apr 2011 04:35 AM PDT

Umno lebih minat isu lucah daripada bela kematian rakyat

SHAH ALAM: KEADILAN Selangor kesal kerana Umno Barisan Nasional (BN) mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk kes video seks fitnah tetapi tidak mengulangi kesungguhan sama dalam kes kematian kedua melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM).

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei pada kenyataan media, berkata perbuatan pimpinan Umno BN itu menyedarkan rakyat khususnya kaum Melayu betapa mereka lebih berminat isu lucah berbanding soal kepentingan awam.

"Berbeza dengan sikap proaktif Umno BN dalam menyiasat isu video lucah hingga sanggup mencadangkan Suruhanjaya Diraja (RCI), kelembapan kerajaan terhadap kes kematian Allahyarham Ahmad Sarbani, menyedarkan rakyat Melayu," katanya.

Shuhaimi berkata, sikap berdiam diri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz terhadap kematian terbaru itu membuktikan mereka hanya berminat dalam memperjuang isu yang membantu mengekalkan mereka berkuasa lebih lama.

"Persoalan mengapa tiada RCI dalam kes ini, kes Altantuya Shaaribuu dan khalwat di Port Dickson (yang melibatkan pimpinan negara) memperkukuh tanggapan rakyat betapa Umno BN hanya berminat terhadap isu yang melanjutkan jangka hayat mereka," katanya.

Sedangkan, beliau berkata, prosedur siasatan yang lebih selamat untuk SPRM dan polis dapat diwujudkan jika kerajaan Umno BN menubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat kes kematian tertentu.

"Malah, langkah itu akan menjadikan mereka lebih senang didampingi masyarakat," kata Shuhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Seri Muda.

Ahmad Sarbani adalah Penolong Pengarah Kastam Selangor yang ditemui mati di pejabat SPRM selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan pejabat itu di Jalan Cochrane.

Ia adalah kematian kedua melibatkan siasatan SPRM selepas kematian Teoh Beng Hock di pejabat SPRM di Plaza Masalam Shah Alam dua tahun lalu.

Shuhaimi berkata, KEADILAN Selangor juga masih tertunggu-tunggu arahan Peguam Negara kepada polis untuk mengarahkan 'Datuk T' ditangkap kerana menyiar tayangan lucah kerana mereka mendakwa 'bebas dari pengaruh Umno'.

Trio 'Datuk T' yang terdiri daripada Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay, dan Shuib Lazim bertanggungjawab mengadakan tayangan video fitnah kepada media tempatan tiga minggu lalu.

Video itu memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim disebar bertujuan menghalang kemaraan Pakatan Rakyat pada pilihan raya negeri Sarawak, selain cuba menghancurkan karier politik Ketua Umum KEADILAN itu.


Keadilan Daily

Tiada ulasan:

Nuffnang