Jumaat, 29 April 2011

.

.


Bagaimana Mensabitkan Kesalahan Zina dan Liwat Dalam Islam - Siri iii

Posted: 28 Apr 2011 03:32 PM PDT

2) Saksi-Saksi

Fiman Allah (al-Nisa': 15) yang bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka."

(al-Nur:4) yang bermaksud: "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi..."Ÿ

Firman Allah lagi (al-Nur:13) yang bermaksud: "Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Jika mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta."

Orang yang menjadi saksi hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Baligh lagi berakal. Oleh itu tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh diterima.

2. Islam, sekiranya tuduhan dilakukan terhadap orang Islam, kerana kesedarannya terhadap perhitungan dosa pahala dan sebagainya. Di samping itu, perkara zina dan liwat ini termasuk dalam hukum hudud Islam yang dinaskan.

3. Mempunyai pancaindera yang sihat. Tidak diterima saksi yang tidak jelas penglihatan, tuli dan bisu.

4. Adil, yakni seseorang yang diketahui tidak melakukan mana-mana dosa besar, dosa kecil secara berterusan dan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah, walau pun tidak berdosa.

5. Lelaki, yakni dalam perkara hudud dan qisas. Oleh kerana zina dan liwat termasuk dalam perkara hudud, maka saksi wanita tidak diterima dalam perkara ini.

6. Tiada tohmahan (kekeliruan yang menarik manfaat atau menolak mudarat), berkepentingan dan prejudis seperti menjadi saksi kepada bapa, anak atau majikannya, atau orang yang diketahui bermusuh dengan orang yang dituduh yang akan memburukkannya sahaja. Maka tidak boleh menerima penyaksian saksi yang ada kaitan dengan konspirasi politik dan sebagainya.

7. Bilangan yang cukup. Pada tuduhan zina dan liwat, memerlukan empat orang saksi.

8. Keempat-empat saksi melihat (perbuatan zina dan liwat itu) bersama-sama.

9. Memberi keterangan dalam majlis (persidangan) yang sama.

Saksi dalam tuduhan zina dan liwat bukan sahaja wajib memenuhi syarat-syarat tersebut tetapi juga hendaklah melihat kesalahan itu berlaku mengikut takrifnya secara jelas, yakni melihat anggota kemaluan yang melakukannya secara jelas. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa keterangan melalui kesan air mani, pita video dan gambar tidak boleh mensabitkan kesalahan zina dan liwat. Keterangan saksi yang berlapis yang hanya menerima berita dari orang lain (hearsay) juga tidak boleh diterima.

Kesemua perkara tersebut menunjukkan bahawa tuduhan zina dan liwat, tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Keterangan-Keterangan Yang Tidak Nyata

Penggunaan kepakaran untuk menganalisa darah dan air mani (atau ujian DNA) bagi mensabitkan kesalahan jenayah hudud seperti zina dan liwat tidak dibenarkan oleh Islam, kerana ada syubhat (kekeliruan). Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Hudud hendaklah ditolak (tidak dilaksanakan) dengan adanya syubhat (kekeliruan)."

Ketepatan analisa DNA boleh dipertikaikan kerana banyak kemungkinan-kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan. Sesetengah ulama membenarkan analisa ini untuk menafikan tuduhan sahaja, bukan untuk mengisbatkannya (mensabitkan kesalahan). Para ulama Islam telah menyebut perkara ini di dalam kitab-kitab fiqh, di antaranya Ibn al-Qayyim di dalam kitanya al-Turuq al-Hukmiyyah.

Begitu juga tuduhan tidak boleh disabitkan dengan gambar, pita video, kaset dan sebagainya yang bukan merupakan keterangan secara langsung.

Normal 0 false false false EN-MY X-NONE AR-SA

Bersumpah

Tidak diharuskan bersumpah bagi mensabitkan jenayah hudud yang berkaitan dengan hak Allah, seperti zina dan liwat. Bahkan jenayah hudud dan qisas dalam perkara hak manusia juga tidak dibenarkan bersumpah menurut jumhur (kebanyakan) ulama kerana perkara hudud dan qisas yang berhubung dengan hak manusia juga dianggap menyerupai hak Allah.

Yang dimaksudkan dengan bersumpah di sini adalah sumpah mengikut hukum Islam dengan lafaznya yang ditetapkan, bukan seperti yang difahami oleh orang jahil yang mencadangkan supaya sumpah dilakukan secara menjunjung al-Quran, yang menyerupai sumpah yang dilakukan oleh penganut agama Kristian.

Sumber : Tulisan ini dipetik daripada buku "Qazaf: Mangsa Fitnah" (Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, 2001) tulisan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Buku bersifat kontemporari ini diharap dapat merungkaikan persoalan berhubung tuduhan liwat dan qazaf yang dikategorikan sebagai jenayah hudud dalam sistem perundangan Islam. HD – 170708

Tiada ulasan:

Nuffnang