Khamis, 21 April 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


KENAPA PAS DIKRITIK...?

Posted: 21 Apr 2011 04:18 AM PDT


TEMERLOH, 21 April: Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?

"Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.

"Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  ketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata besar kemungkinan kerana Aziz lebih "menyayangi" (menaruh harapan tinggi) PAS serta kegagalan parti dalam beberapa pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak dan didorong dengan kebosanan yang meluap-luap terhadap Barisan Nasional, Aziz telah mengkritik PAS dan Hadi sejurus kegagalan parti untuk menawan sebarang kerusi Dun di Bumi Kenyalang.

"Beliau tidak menyerang DAP atau PKR mungkin kerana beliau lebih sayangkan PAS berbanding parti lain.
"Sebagai seorang yang amat pakar dan matang dalam analisa politik negara, sebagai contoh, beliau tentu faham akan impak politik yang terpaksa dihadapi oleh PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu dan Islam apabila Umno dan BN memainkan isu perkauman, justeru Baru Bian diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang.

"Akan tetapi, mungkin kerana kebosanannya kepada BN yang meluap-luap - sehinggakan beliau merasakan bahawa PAS tidak sepatutnya kalah dalam pertandingan ini. Apabila kita tewas, sudah tentu beliau kecewa kerana harapan tingginya pada PAS," terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menjelaskan adalah mudah untuk Tuan Guru Abdul Hadi menjadi tumpuan pengkritik apabila parti tidak dapat mencapai apa yang dihajatkan, namun beliau menasihatkan supaya para pengkritik turut menghargai jasa yang ditumpahkan oleh mereka dalam perjuangan PAS dan memberi cadangan penambaikan agar mereka yang tercedera tidak tersinggung dan mereka yang masih belum hilang kepenatan akan berasa sedikit terhibur.

"Tentulah mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk memenangi sebuah perjuangan tidak akan sama dengan mereka yang membuat ulasan selepas mengetahui keputusan," katanya.

Tambahnya, penasihat yang baik ialah mereka yang mencadangkan sesuatu sebelum berlaku, dan pengkritik yang mengulas sesuatu selepas berakhir sesuatu pilihan raya dengan menyatakan, 'sekiranya itu dan sekiranya ini' walaupun penting, namun sudah tentu tidak banyak membantu jika dibandingkan dengan seorang penasihat.

"Yang pasti kritikan itu lahir kerana keghairahan yang tinggi untuk melihat tumbangnya BN," ulasnya secara positif.(harakahdaily)

TUKAR PEMIMPIN LANGGAR SYARIAT, BUKAN KALAH PILIHAN RAYA

Posted: 21 Apr 2011 04:09 AM PDT


KUALA LUMPUR, 21 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS tidak mengubah pemimpin termasuk presiden hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.
Katanya, PAS mempunyai cara tersendiri menilai kepimpinan dan faktor kalah pilihan raya bukan satu alasan tepat untuk mengubah kepimpinan.

"Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian semalam sebagai mengulas komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, yang berpendapat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Selain itu, kegagalan PAS memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya Sarawak lalu juga dakwanya adalah berpunca dari kelemahan Presiden PAS.

"Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya," kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pandangan Aziz Bari itu juga turut disanggah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang mendakwa pensyarah undang-undang itu asyik mengulangi isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS.

Sementara itu, media hari ini melaporkan Abdul Hadi menyatakan kesediaan ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.

"Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

"Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis," kata beliau dipetik media.

Tambahnya, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.

"Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib," kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.(harakahdaily)

Tiada ulasan:

Nuffnang