Selasa, 3 September 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Harga Minyak Naik , Rakyat Naik Minyak

Posted: 02 Sep 2013 09:41 PM PDT


Ribuan rakyat Malaysia beratur di hampir semua stesen minyak malam tadi menjelang kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter, sekaligus menaikkan kemarahan orang ramai kerana pemotongan subsidi itu.
Kebanyakan pengguna yang ditemui di Lembah Klang menyalahkan Barisan Nasional (BN) kerana menaikkan harga bahan bakar itu di saat rakyat terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang makin meningkat dari hari ke sehari.
Janji Putrajaya untuk meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet 2014 tidak memberikan kesan kepada penduduk Lembah Klang kerana kebanyakan daripada mereka tidak layak menerimanya dan bantuan itu hanya diterima sekali sedangkan kesan kenaikan itu terpaksa ditanggung setiap hari.
Pemberian wang tunai RM500 itu sebelum ini diberikan kepada lima juta isi rumah yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.
Shahrulnizam Mohamad, 29, berkata kenaikan harga minyak bermula tengah malam tadi dijangkakan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kerana umumnya rakyat mengetahui Pakatan Rakyat (PR) akan menurunkan harga bahan bakar itu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.
"Kenaikan harga ini sangat memberi kesan kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana kenderaan seperti kereta memainkan peranan penting kepada orang awam. Dengan kenaikan harga barang ini, peniaga juga akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang," katanya.
Sementara itu, K Primela, 35, berkata kerajaan tidak wajar menaikkan harga petrol sewaktu rakyat sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang selepas musim perayaan.
"Kerajaan BN 'bijak' mengambil kesempatan selepas beberapa bulan pasca PRU13 untuk menaikkan harga minyak. Sebelum pilihan raya berjanji untuk tidak menaikkan harga minyak, tetapi kemudian lain jadinya. Apatah lagi kini rakyat sudah mula dibebankan dengan kenaikan harga barang. Gaji tidak pula catat kenaikan tapi harga minyak pula yang naik.
"Rakyat sendiri dapat perhatikan perbuatan buruk kerajaan BN apabila belum sampai setahun mendapat mandat menerajui negara, sudah tampil dengan pendekatan membebankan rakyat. Selepas ini, apa pula yang kerajaan nak naikkan," katanya, ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Bandar Puteri, Klang malam tadi.
Lim Tai Boon, 46, yang ditemui di tempat sama juga melihat kenaikan harga minyak sebagai permainan politik kerajaan BN.
"Dulu sebelum pilihan raya janji tidak naikkan harga minyak. Lepas BN menang pilihan raya, lain pula ceritanya. Perkara ini memang tidak patut, menyusahkan rakyat," katanya.
Pengguna turut kesal dengan tindakan kerajaan menaikkan harga bahan bakar itu kerana tempoh makluman yang diberikan singkat untuk pengguna bertindak.
Tengku Zarul Tengku Lokman, 37, berkata kenaikan 20 sen seliter satu tindakan kejam yang dilakukan kerajaan kepada rakyat sambil menjangkakan harga barang keperluan asas lain turut meningkat ekoran kenaikan harga bahan bakar.
"Saya tahu mengenai kenaikan harga minyak ini melalui laman sosial Facebook. Media kerajaan melalui televisyen dan radio tidak komited dengan pengumuman itu. Esok bila sudah naik, baru hendak disiarkan. Itu yang jahatnya kerajaan enggan memaklumkan terlebih awal," katanya.
Amir Azri, 26, pula membayangkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menaikkan kadar pemberian BR1M tidak praktikal kerana saguhati itu diberikan sekali sahaja tetapi perbelanjaan petrol adalah keperluan harian.
"Kadar BR1M yang diterima tidak setimpal dengan kenaikan harga minyak. BR1M adalah wang pembayar cukai, justeru wang rakyat juga yang digunakan untuk menjayakan wang saguhati itu," katanya kepada The Malaysian Insider.
Najib ketika mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel semalam, menjelaskan kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel, serta menegaskan kerajaan masih lagi memberi subsidi yang banyak kepada rakyat.
Beliau menjelaskan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel," kata Najib selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) di Pejabat Perdana Menteri.
Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel naik pada tahun 2010, iaitu mengalami kenaikan sebanyak 5 sen seliter.
Najib menegaskan langkah itu bagi memastikan sasaran kerajaan mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2015 dan bajet berimbang menjelang tahun 2020.
Perdana menteri memberikan alasan langkah pengurangan subsidi itu bertujuan memastikan ia sampai kepada kelompok sasaran memandangkan subsidi ketika ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang kaya dan warga asing.
Katanya, Malaysia perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih mensasarkan golongan yang memerlukan dan mudah terjejas sambil menjelaskan kerajaan ketika ini terpaksa menanggung subsidi bahan api sebanyak RM24.8 bilion untuk tahun ini.
Bagi memastikan kelompok yang lebih memerlukan ini menikmati subsidi, Najib juga mengumumkan pentadbirannya berjanji akan meningkatkan pemberian wang tunai BR1M yang akan diumumkan semasa pembentangan bajet 2014 nanti. - 3 September, 2013.

malaysianinsider

Rakyat Menjadi Mangsa Amalan Boros Segelintir

Posted: 02 Sep 2013 09:37 PM PDT






Kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa tengah malam hari ini menyaksikan pemimpin Pakatan Rakyat (PR)  mengecam tindakan Putrajaya tersebut dan menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diberikan cuba menutup kelemahan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dalam laman mikro Twitter miliknya @anwaribrahim berkata tindakan itu menyebabkan rakyat menjadi mangsa atas amalan boros BN.
"Amalan boros BN beban rakyat," kata Anwar membalas tweet seorang pengikutnya.
"Protest; poor governance! Ref my Merdeka msg" kata Anwar membalas tweet pengikutnya yang menggunakan nama "@Matt5834."
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar juga dalam respon balasnya kepada pengguna twitter hanya berkata "Google Multiplier Effects."

Sementara itu, ahli Parlimen Batu Gajah dari DAP V. Sivakumar (igambar) dalam kenyataannya berkata PR  telah menjangkakan perkara itu akan berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Malangnya , 47 peratus rakyat negara ini termakan tipu muslihat BN dan telah memenangkan komponen itu  di 133 kerusi Parlimen.
Kenaikan itu jelas Sivakumar terbukti bahawa mereka ini berjaya diumpan oleh BN untuk kepentingan politiknya. Golongan ini telah dipengaruhi dan mempercayai kata-kata manis BN lantang membuat pemilihan yang salah dalam PRU13.
"Mereka ini diberi hadiah yang cukup istimewa oleh Barisan Nasional dengan menaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak RM0.20 per liter.
"Saya ucapkan Selamat Menyambut Hari  Naik Harga Petrol kepada semua yang mengundi Barisan Nasional dalam PRU13," katanya dalam kenyataan tersebut.
Putrajaya mengumumkan harga petrol RON95 akan naik dari RM1.90 kepada RM2.10 manakala harga diesel pula akan naik dari RM1.80 kepada RM2.00.
Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata harga minyak yang naik akan menyebabkan kesan rantaian ditambah dengan kelembapan ekonomi dan juga nilai ringgit yang menyusut.
"Ini akan menyebabkan kesan berlarutan. Kumpulan beroendapatan sederhana dan rendah akan menerima kesan yang teruk," katanya.
Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri, turut menyuarakan perkara sama, dan berkata peniaga akan meningkatkan harga barangan dengan menekan kepada pengguna. - 2 September, 2013.

themalaysianinsider

4 Bekalan Air Loji Rawatan Di Paras Berlebihan

Posted: 31 Aug 2013 06:49 PM PDT


SHAH ALAM 1 SEPT: Bekalan air di empat loji rawatan air yang terjejas sebelum ini, mencukupi bahkan ada kalanya melebihi paras yang ditetapkan, kata Elizabeth Wong Keat Ping.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar itu, berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tiada alasan lambat menyalurkan bekalan air kepada pengguna.
"Alasan Syabas masalah itu akan diatasi dalam tempoh hampir lima hari sukar diterima kerana tiada masalah air dihadapi di Sungai Selangor.
"Semua keempat-empat loji dalam kapasiti penuh," katanya kepada TV Selangor sambil menyatakan bekalan air di Lembah Klang dijangka diatasi dalam masa terdekat.
Jumaat lalu, sebahagian penduduk Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air apabila Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel yang menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa ditutup.
Beliau berkata, laporan menunjukkan tiga loji rawatan air di Sungai Selangor dan satu di Rantau Panjang yang bermasalah sebelum ini sudah pulih dan beroperasi sepenuhnya.
"Ia berikutan kerja membaik pulih berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Segalanya bagus kecuali kolam air Hicom di Glenmarie.
"Kita akan tengok apa masalah di kolam itu yang keadaannya dikatakan tidak seimbang tetapi saya yakin dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya.
Kolam itu menyalur bekalan air ke Petaling Jaya di SS2, SS3 dan SS4 serta sebahagian Kelana Jaya, sebahagian Subang Jaya dan Seksyen 23 dan 24 di Shah Alam.
Mengulas lanjut, Elizabeth berkata, semua bukti untuk tindakan saman mahkamah terhadap syarikat minyak yang menjadi punca pencemaran Sungai Selangor, sedang dikumpul selepas premisnya disita Jumaat lalu.
"Kita juga akan merampas tanah digunakan syarikat itu. Saya harap mahkamah akan beri hukuman berat walaupun kes alam sekitar biasanya hukumannya ringan," katanya.

selangorku

3 Loji Kembali Beroperasi, Syabas Jangan Leka

Posted: 30 Aug 2013 06:44 PM PDT


SHAH ALAM 31 OGOS: Loji Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 kembali beroperasi semula bermula awal pagi ini selepas ditutup sementara semalam, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menteri Besar itu berkata bekalan air dijangka pulih mulai tengah hari tadi secara berperingkat-peringkat.
Bermula jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi tadi, katanya, SSP1 dan SSP3 kembali beroperasi selepas pencemaran dikawal dengan memastikan tiada lagi kesan minyak.
Pada jam 4 pagi sehingga 6 pagi tadi, beliau berkata, pengeluaran air di SSP1 dan SPP3 meningkatkan tahap rizab air mentah sebanyak 5 meter.
"Kita menjangkakan bekalan air bersih kepada pengguna akan pulih secara berperingkat selepas tengah hari ini," katanya pada kenyataan media, hari ini.
Beliau juga mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya tidak menggunakan alasan itu untuk membiarkan gangguan bekalan air berleluasa sedangkan masalah pencemaran sudah terkawal.
"Kita menjejaki punca pencemaran ke sebuah pusat selenggaraan lori sampah di Rawang. Siasatan awal menunjukkan minyak diesel terpakai dibuang ke longkang dan dibiar mengalir ke sungai," katanya.
Berterima kasih kepada kakitangan agensi terbabit, beliau berkata, usaha menjejaki itu dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).
"Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah menyita premis berkenaan dan perintah berhenti kerja dikeluarkan," kata Abdul Khalid.
- FZL

selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang