Khamis, 29 Ogos 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Ops Cantas :40 Ribu Anggota Kongsi Gelap Terlibat Dalam Jenayah Keras

Posted: 28 Aug 2013 06:56 PM PDT


CYBERJAYA:  Polis menyenaraikan 40,000 anggota kongsi gelap di seluruh negara dalam Ops Cantas kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan.
Jenayah kekerasan adalah termasuk pembunuhan, pergaduhan, pecah rumah, samun, rogol dan merusuh.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata polis akan meneruskan operasi itu sehingga kadar jenayah kekerasan di seluruh negara menurun.
"Operasi itu akan diteruskan sehingga keyakinan rakyat terhadap keselamatan meningkat dan persepsi "rasa takut menjadi mangsa jenayah" berkurangan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis menandatangan Memorandum Persehaman (MoU) antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lim Kok Wing University di sini, hari ini.
MoU ditandatangani Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Naib Presiden Kanan Lim Kok Wing University, Datuk Raja Aznil Raja Hashim.
MoU itu membolehkan universiti itu mendapat kontrak lima tahun untuk menyediakan bahan seperti poster, animasi dan klip video kepada PDRM untuk kempen pencegahan jenayah siber.
Ops Cantas dilancarkan 23 Ogos lalu berikutan peningkatan laporan jenayah kekerasan termasuk kes tembak dan operasi itu merangkumi pemeriksaan di jalan raya, kelab malam serta kenderaan untuk memeriksa individu yang terbabit dalam penggunaan senjata api tanpa lesen, anggota kongsi gelap, penyalahgunaan dadah, memiliki senjata berbahaya dan mereka dalam senarai dikehendaki polis.
Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan mengumumkan senarai nama kumpulan kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan kumpulan itu dalam tempoh terdekat kerana mereka merupakan pertubuhan haram serta mahu masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh dalam usaha menangani jenayah.
Mohd Bakri berkata sejak operasi itu dijalankan, 2,247 orang ditahan sehingga semalam di seluruh negara dengan tujuh senjata api, satu bom tangan dan 77 senjata tajam berbahaya dirampas.
Beliau berkata pihak polis juga telah memeriksa 37,305 kenderaan.
- Bernama

Kongsi Gelap & Ahli Politik, Kemungkinan Besar

Posted: 28 Aug 2013 06:37 PM PDT


Sebilangan ahli politik ternama didakwa menaungi beberapa kongsi gelap dan beberapa orang daripadanya turut menjadi penasihat kumpulan terbabit.

Laporan akhbar Sin Chew Daily menyebut, kumpulan berkenaan merupakan antara 10 kongsi gelap, yang akan didedahkan esok oleh Kementerian Dalam negeri.

Ia membabitkan kumpulan gengster Cina, Melayu dan India, menurut laporan akhbar berbahasa Cina itu.

Kumpulan itu meliputi "Geng 04", "Geng 08", "Geng 21" dan "Geng 36" dari kumpulan India; "Hong Shun Tang", "3821", "Wu Se Qi", "Hong Men" dan Hua Ji Dang" dari golongan Cina; serta "Geng 3 Calit" dari kelompok Melayu.

Akhbar tersebut yang memetik kenyataan sumber menyebut, kerajaan buat kali pertama akan melancarkan "perang" ke atas kongsi gelap dengan mendedahkan senarai nama kongsi berkenaan kepada umum.

Menurut sumber tersebut, gengster Cina aktif dalam perniagaan haram termasuk menjual DVD cetak rompak, membuka pusat karaoke, pusat perjudian, mengedar dadah dan khidmat pelacuran.

"Gengster India secara perbezaannya lebih agresif kerana mereka memungut wang perlindungan dari pengusaha gerai dan pub selain menjadi penembak.

"Sementara itu, gengster Melayu lebih aktif 'menjaga' tapak pembinaan dengan memungut wang di sana.

"'Geng 3 Calit' Melayu paling aktif dan ketua setiap kawasan dipanggil ayahanda," katanya.


malaysiakini

Mesir: Ledakan Meletus Berhampiran Kedutaan Malaysia

Posted: 28 Aug 2013 06:29 PM PDT


Bunyi tembakan kedengaran di Gamaat El Dawal pada Rabu, kawasan terletaknya bangunan Kedutaan Malaysia di Mesir.
Tembakan dikatakan mula didengar kira-kira jam 4.15 petang (waktu tempatan) dan sehingga 6 petang ia masih dilaporkan berlaku.
Pegawai Education Malaysian Egypt, Zaliha Zulkifli, berkata insiden dipercayai bermula daripada tembakan rambang dari sebuah bangunan tinggi di kawasan berkenaan ke arah kem kawalan tentera sebelum kedua-dua pihak berbalas tembak.
"Anak saya menghubungi mengatakan rumah tidak ada elektrik dan selepas beberapa minit ada bunyi tembakan bertalu-bertalu berhampiran kedutaan.
"Ada juga bunyi bom kedengaran begitu dekat dengan rumah saya yang hanya 50 meter dari kedutaan," katanya.
Beliau berkata, kali terakhir kejadian sedemikian berlaku ialah pada 14 Ogos lalu.
Kejadian itu turut disahkan Pengarah Education Malaysia Egypt, Datuk Dr Su'adi Safei.
"Ketika melintas dari lebuh rraya, saya nampak kenderaan cuba lari daripada tempat berkenaan.
"Isteri saya turut menghubungi (saya) memberitahu mendengar bunyi tembakan bertalu-talu dari (kawasan) rumah saya yang 300 meter dari tempat berkenaan," katanya.
Katanya, ini mungkin episod permulaan kepada 'Jumaat kemarahan' pada Jumaat ini.
Dr Su'adi dan Zaliha mengikuti delegasi Kementerian Pendidikan yang ke negara bergolak itu sejak Isnin lalu untuk membincangkan isu penuntut Malaysia di Kaherah bersama pihak universiti di negara itu. – 

Bernama, 29 Ogos, 2013.

Kenyataan Akhbar Dato Menteri Besar : Syabas Gagal

Posted: 28 Aug 2013 06:22 PM PDT



KENYATAAN AKHBAR

28 OGOS 2013
RUMAH PAM WANGSA MAJU ROSAK LAGI: BUKTI SYABAS GAGAL

Kerajaan Selangor kesal dengan kejadian gangguan bekalan air yang berulang kali berlaku kerana kegagalan operasi Rumah Pam Wangsa Maju.

Selepas kejadian henti tugas Rumah Pam Wangsa Maju pada Julai 2012, lebih 10 kali berlaku kejadian gangguan bekalan air  kerana kegagalan rumah pam itu beroperasi.

Kejadian terbaru berlaku semalam yang menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Cheras dan Bandar Tun Razak.

Walaupun beberapa remedi telah dipersetujui untuk dilaksanakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), namun sehingga hari ini operasi Rumah Pam Wangsa Maju sering kali gagal dan menyebabkan gangguan bekalan air.

Bagi menyelesaikan masalah Rumah Pam Wangsa Maju, kerajaan negeri telah memanggil pembuat pam untuk membaiki kerosakan dan segala kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Kegagalan berulang yang berlaku terhadap Rumah Pam Wangsa Maju adalah salah satu bukti kukuh SYABAS tidak kompeten dan kami menyeru kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses rundingan pengambilalihan bagi membolehkan Kerajaan Selangor mengambil alih pengurusan dan operasi SYABAS termasuk operasi Rumah Pam Wangsa Maju.

Ini bagi memastikan hak pengguna lebih terjamin untuk mendapatkan bekalan air terawat yang lebih cekap, tanpa gangguan kerana kelemahan pengurusan dan pada kadar tarif yang munasabah.

YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

Tiada ulasan:

Nuffnang