Rabu, 3 Julai 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


03 Jul 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN]

Posted: 03 Jul 2013 10:42 AM PDT

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 3 Jul 2013 (Rabu)
SOALAN : 94

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan bilangan terkini peserta Skim Pembiayaan Khas bagi membeli unit PPR-MTEN dan PA-DBKL dan bilangan mereka yang gagal membayar pinjaman tersebut. Nyatakan juga jumlah tawaran yang ditolak dan sebab yang diberi.

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Lembah Pantai, jumlah surat tawaran yang dikeluarkan bagi fasa 1 dan 2 adalah 8,551 tawaran. Fasa 1 melibatkan sebanyak 4,505 peserta. Jumlah yang telah menandatangani perjanjian bagi fasa 1 adalah sebanyak 3,043 peserta dan fasa 2 akan mula ditandatangani pada pertengahan Ogos 2013 yang akan melibatkan sebanyak 3,014 peserta.

Bagi bilangan peserta yang menolak tawaran skim ini adalah 357 orang iaitu 319 pada fasa 1 dan 38 orang dari fasa 2. Ini adalah kerana mereka mempunyai sumber pembiayaan lain iaitu pembelian secara tunai, pengeluaran simpanan KWSP dan pinjaman dari Institusi Kewangan yang lain.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, setakat ini belum ada rekod kegagalan pembayaran pinjaman kerana proses memuktamadkan perjanjian dengan KWSP pada penghujung Jun 2013. Bayaran pertama pinjaman akan bermula dalam suku ketiga tahun ini.

Jumlah yang tidak menyerahkan semua surat tawaran kepada Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) adalah sebanyak 2,137 peserta iaitu 1,143 dari fasa 1 dan 994 dari fasa 2. Tiada sebarang sebab diberikan oleh peserta. Mereka yang tidak memulangkan surat tawaran dianggap tidak berminat.

02 Jul 2013: Jawapan Bertulis Soalan Parlimen [MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI]

Posted: 03 Jul 2013 09:36 AM PDT

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar

[ Lembah Pantai ]

TARIKH : 2 Jul 2013 (Rabu)
SOALAN : 68

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan kesediaan meminda Seksyen 2A, Akta Rasmi Pindaan 1986 yang memberi kuasa kepada Menteri untuk menambah, membuang atau meminda sebarang peruntukan dalam Jadual yang memberikan Menteri kuasa penuh untuk merahsiakan mana-mana dokumen dengan makluman Warta Kerajaan.

JAWAPAN: YB DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM, MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang Di-Pertua,

Menurut peruntukan Seksyen 2A Akta Rahsia Rasmi (Pindaan 1986)(selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut) menetapkan perkara di dalam Jadual adalah seperti berikut:

- Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Jemaah Menteri termasuklah juga suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa-jawatankuasa Jemaah Menteri

- Suratan, rekod keputusan dan pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuklah juga suratan, rekod keputusan dan pertimbangan jawatankuasa -jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

- Suratan berkenaan dengan keselamatan negara, pertahanan dan hubungan antarabangsa.

Kerajaan bersedia untuk meminda seksyen 2A tersebut sekiranya ada keperluan.

2. Seksyen 2A Akta tersebut berbunyi seperti berikut:

“Menteri boleh, dari semasa ke semasa , melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menambah, memotong atau meminda mana-mana peruntukan Jadual kepada Akta ini”.

3. Definisi “rahsia rasmi” mengikut Akta tersebut adalah “apa-apa suratan yang dinyatakan dalam Jadual dan apa-apa maklumat dan bahan yang berhubungan dengannya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai “Rahsia Besar”, “Rahsia”, “Sulit” atau “Terhad”, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh seorang Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri sesuatu Negeri atau mana-mana pegawai awam yang dilantik di bawah seksyen 2B.

Sekian Terima kasih.

Tiada ulasan:

Nuffnang