Khamis, 27 Jun 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


UCAPAN PERBAHASAN TITAH UCAPAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG

Posted: 27 Jun 2013 05:55 AM PDT

UCAPAN PERBAHASAN TITAH UCAPAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG
OLEH : YB NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI

27 Jun 2013

Bismillahirrahmanirrahim

Saya menjunjung kasih Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sewaktu pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-13 pada Selasa yang lepas dan saya bersyukur kerana diberikan peluang untuk turut serta dalam perbahasan titah ucapan ini.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga P.121 Lembah Pantai yang buat kali kedua memberikan amanah yang cukup besar lagi bermakna kepada saya untuk menjadi Wakil Rakyat Lembah Pantai di Dewan yang Mulia ini.

Saya memetik firman Allah, yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” Surah Al-Anfal ayat 27

Semoga Allah memberikan taufik hidayah dan kekuatan kepada kita yang terpilih untuk menjalankan tugas dengan baik, jujur dan cekap.

Tuan Yang diPertua,

Perlembagaan Teras Kenegaraan

Saya menyahut dengan penuh taat setia akan saranan titah DYMM agar "memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan."

Sememangnya Perlembagaan berfungsi sebagai teras kenegaraan dan menjadi titik permulaan sebuah kerajaan demokratik.

Apabila Seri Paduka Baginda YDP Agong bertitah mengenai Perlembagaan ia membawa maksud bahawa Tujuan atau Maqasid Perlembagaan menjadi tunggak kepada negara kita yang tercinta. Hakikat ini harus kita fahami dengan tuntas dan jelas.

Sesungguhnya Tujuan Perlembagaan adalah untuk melahirkan DEMOKRASI TULEN dan bukan DEMOKRASI PALSU.

Justeru, segala usaha untuk mewujudkan 'Titik Persefahaman' yang disarankan baginda mahupun 'Pendamaian Nasional' atau National Reconciliation yang ditawarkan Pengerusi BN; mesti dimulakan dengan Meluhurkan Perlembagaan kearah Memulihkan Demokrasi yang mesti bersifat TULEN; yang menjadi Teras Legitimasi Kerajaan dan Kenegaraan kita.

Rukun Pertama Demokrasi Tulen adalah Pilihanraya yang Bersih, Bebas dan Adil.

Rukun Kedua Demokrasi Tulen adalah Mandat Majoriti Rakyat 51% sebagai Suara Teramai sistem Perwakilan Demokrasi (Democratic Representation) mesti diutamakan.

Rukun Ketiga Demokrasi Tulen adalah menjaminkan Prinsip Pemisahan Kuasa demi kepentingan rakyat bukan kepentingan kroni.

Jika tiga rukun asas Demokrasi Tulen ini tidak diwujudkan, saya khuatir titah baginda untuk 'memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan' Persekutuan akan diENGKARI oleh Parlimen ke-13 ini? Bukankah ini satu PENGKHIANATAN dan perbuatan DERHAKA?

Yang diPertua,

Pilihanraya Bersih Asas Demokrasi

Rukun Pertama Demokrasi Tulen adalah Pilihanraya yang Bersih, Bebas dan Adil

Dewan mulia ini mesti sedar bahawa MANDAT MAJORITI 51% yang diamanahkan kepada Pakatan Rakyat – memberikan Hak dan Kuasa mewakili suara majoriti rakyat Malaysia – dengan jelas dan jitu.

Dewan harus sedar bahawa Pakatan Rakyat adalah Wakil Sah untuk Majoriti Rakyat dari segi Demokrasi dan BN hanya kerajaan Minoriti.

Ini bermaksud juga bahawa BN sebagai kerajaan Minoriti mesti menuruti saranan maupun kehendak rakyat atau dengan izin 'The People's Will' yang Majoriti.

Mungkin ada yang memperlekehkan kemenangan 51% dengan merujuk kepada keputusan pilihan raya Presiden atau negara lain di mana undi popular tidak menentukan pembentukan kerajaan tetapi pada hakikatnya, 51% tetap suara majoriti. Bukankah ini petanda sistem pilihan raya mesti diperbaiki agar jurang serta kontradiksi ini dihapuskan?

Apakah Kehendak Rakyat atau 'The People's Will' sekarang?

Kehendak Rakyat menuntut agar Sistem Pilihan Raya yang nyata gagal dan pincang mesti dipulihkan dengan melaksanakan Pemulihan segera dibawah satu Jawatankuasa Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Baru dalam tempoh 12 bulan dari tarikh pembukaan Parlimen ke-13 ini.

Ini bermaksud bahawa Kehendak Rakyat atau 'The People's Will' melihat PRU 13 sebagai PRU Transisi yang telah mewujudkan kerajaan Minoriti sementara sebelum diadakan PRU baru yang benar-benar Bebas, Bersih dan Adil.

Rakyat tahu bahawa lima tahun telah diberikan kepada SPR untuk membuat penambahbaikan sistem Pilihan Raya. Suara Rakyat melalui NGO-NGO seperti Bersih maupun Jawatankuasa Terpilih Parlimen pada 2011 nyata ditolak dengan alasan-alasan yang tidak munasabah lagi berpihak kepada BN.

Malah, kepincangan SPR terbukti apabila dakwat kekal yang dijamin tidak dapat dibasuh 7 hari terus hilang dalam 7 minit. Kenyataan oleh Datuk Kamaruddin Baria, Setiausaha SPR pada 28 April 2013; “Untuk pengundian awal ini, pengundi-pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk sebelah tangan kiri. Dakwat kekal ini berbeza warnanya berbanding dengan pengundian biasa dan akan melekat pada jari selama tujuh hari.

Percanggahan atau kontradiksi isu dakwat kekal terus menebal apabila Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mengakui tidak pernah diminta oleh SPR sebarang laporan untuk mengurangkan bahan kimia 'silver nitrate' atas alasan kesihatan.

Gambaran yang diberikan kepada rakyat bahawa dakwat kekal mengandungi bahan kimia 'silver nitrate' yang diperlukan untuk kekal dijari selama 7 hari diteruskan dengan taklimat cara mengguna dakwat termasuk keperluan menggoncang botol selama 30 saat.

Nyata sekali kesemua kenyataan, sidang media dan taklimat mengenai kesahihan dakwat kekal adalah PALSU apabila semalam dalam jawapan Parlimen YB Segambut, Datuk Seri Shahidan Kasim mengaku pula bahawa "Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan."

Perbuatan mengelirukan mengenai dakwat kekal memenuhi keperluan seperti yang digazetkan adalah satu 'False Claim' atau 'Kenyataan Palsu' yang memiliki Unsur Jenayah 'Fraud' atau 'Penipuan'. — saman ke atas 8 responden SPR

Kerana itu, pengkhianatan pelaksaan rukun PR sebegini harus diambil tindakan, tidak memadai dengan perletakan jawatan in toto pimpinan SPR. Kita akan menyaman lapan pimpinan utama SPR kerana gagal dan menipu dalam pelaksanaan dakwat kekal ini.

Usaha mengalih pandangan serta memperkecilkan unsur dakwat kekal sebagai satu elemen utama kesahihan proses pilihan raya seperti yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan bahawa dakwat kekal tidak penting kerana Malaysia bukan negara ketiga sekali gus menunjukan bahawa logik jika negara sudah maju sudah tentu sistem pilihan raya kita sudah patut Bersih, Bebas dan Adil?

Oleh demikian yang lebih utama adalah kegagalan fungsi penggunaan dakwat kekal sebagai satu elemen penting dalam proses Pilihanraya secara langsung menjadikan PRU ke-13 CACAT (Defective) dan TIDAK SAH (Null and Void).

Bukankah ini PENGKHIANATAN Besar SPR kepada rakyat dan MENDERHAKAI titah baginda agar Perlembagaan dipertahankan?

Sekiranya keputusan mahkamah membuktikan bahawa pimpinan SPR jelas memperdayakan rakyat dan negara dalam pelaksanaan dakwat kekal, maka

tidak dapat kita ketepikan kemungkinan sebuah deklarasi dibuat oleh DYMM dengan diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dan Ketua-Ketua Negeri selaras dengan Perlembagaan bahawa SATU PILIHAN RAYA UMUM baru mesti diadakan dalam tempoh 12 bulan.

Sebaliknya, saya bimbang sekiranya tuntutan Sah Kehendak Rakyat untuk Pemulihan Sistem Pilihan Raya dan Pilihan Raya Umum Baru sekali lagi dinafikan – Rakyat Majoriti akan memilih untuk menghayati Tujuan Perlembagaan – dengan membentuk Parlimen ‘Rakyat’ sebagai institusi baru Demokrasi Tulen yang akan menobatkan kerajaan Rakyat baru.

Maka saya minta penjelasan dari menteri yang berkenaan, tatkala kita sedar satu Pilihan Raya Kecil akan diadakan di DUN Kuala Besut, apakah reformasi atau perubahan yang akan dilakukan terhadap SPR dan dakwat kekal yang tidak kekal ini, demi membuktikan sistem pilihan raya negara mampu dipulihkan?

Sesungguhnya, Tujuan Perlembagaan untuk Demokrasi Tulen mesti dipertahankan.

Yang diPertua,

Mandat Majoriti Rakyat, Kuasa Sah Demokrasi

Rukun Kedua Demokrasi Tulen adalah Mandat Majoriti Rakyat 51% sebagai Suara teramai sistem Perwakilan Demokrasi (Democratic Representation) mesti diutamakan.

Adalah tidak bertanggungjawab apabila rakyat diminta menerima keputusan PRU 13 yang diragui sedangkan usaha rakyat bersuara mengenai kepincangan PRU cuba disekat, diugut dan lima patriot yang ditahan serta didakwa dengan Akta Hasutan.

Perbuatan memangsakan rakyat atau menakutkan rakyat tidak boleh diterima lagi.

Perdana Menteri telah mengumumkan pada 11 Julai 2012 bahawa Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan bakal digantikan dengan sebuah akta baru – Akta Keharmonian Nasional.

Rakyat masih menunggu jika YAB Perdana Menteri mempunyai 'Political Will' untuk menerima 'People's Will' agar negara bebas dari undang-undang lapuk warisan penjajah lama seperti Akta Hasutan.

Sekiranya YAB Perdana Menteri tiada ‘Political Will’, saya mengajak beliau untuk melihat atau mengguna terus Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 yang telah saya sediakan dan akan serahkan kepada Setiausaha Dewan dan Tan Sri Speaker hari Isnin, dalam usaha saya dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat memastikan demokrasi yang lebih baik dizahirkan di bumi tercinta ini.

Saya turut ingin bertanya, jika kita lihat kenyataan-kenyataan dan pengumuman-pengumuman yang dibuat YAB Perdana Menteri, berapa banyak dari pengumuman-pengumuman ini, seperti pemansuhan Akta Hasutan dan sebagainya, yang masih belum dilaksanakan dan mengapa ia masih tinggal pengumuman?

Bayangkan, sekiranya Pilihan Raya Bersih, Bebas dan Adil dilaksanakan, Majoriti 51% sudah cukup untuk membentuk sebuah kerajaan dimana segala janji Manifesto Pakatan Rakyat seperti Pendidikan Percuma, Penurunan Harga Minyak, Kereta, Letrik, Perumahan Mampu Milik, Kenaikan Royalti Minyak 20%, permit teksi individu dan banyak lagi sudah terlaksana untuk semua rakyat tidak kira jika ada yang mengundi BN.

Nyata keputusan PRU 13 lepas walaupun menghadapi pelbagai usaha, cubaan maupun perancangan jahat telah menetapkan bahawa semua bangsa tidak kira agama telah memberikan Mandat Majoriti Rakyat 51% kepada Pakatan Rakyat.

Yang telah membuat pilihan ini bukannya Tsunami satu bangsa sahaja malah yang memilih merupakan Tsunami Rakyat semua bangsa. Negeri Selangor sebagai contoh, mempunyai 50% pengundi Melayu, 34% pengundi Cina, dan 14% pengundi India, tetapi Pakatan Rakyat telah memenang sebanyak 78.5% kerusinya. Bagaimana kesimpulan 'Tsunami Cina' ini diperolehi Pengerusi BN kerana analisa pengundi yang keluar mengundi mengikut bangsa mungkin menunjukan bahawa majoriti bangsa Melayu telah mengundi Pakatan Rakyat? Adakah kertas undi diletak tanda? Adakah undi rakyat bukan rahsia lagi?

Kedudukan rasmi agama Islam, kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera, kedudukan bahasa kebangsaan maupun sistem Raja berperlembagaan TETAP menjadi Teras Kenegaraan kita.

Teras ini tidak pernah dipertikaikan rakyat tetapi pelaksanaan terpilih dasar-dasar yang kurang adil yang menguntungkan golongan kecil yang berselindung sebalik retorik perkauman, agama dan istana yang ditolak rakyat majoriti.

Rakyat majoriti 51% menolak hasutan perkauman yang diapi-apikan.

Rakyat majoriti 51% menolak penyalah gunaan kuasa.

Rakyat majoriti 51% menolak rasuah.

Rakyat majoriti 51% menolak propaganda media perdana.

Rakyat majoriti 51% menolak fitnah dan konspirasi jahat terhadap sesama manusia.

Dan Rakyat majoriti 51% menolak Barisan Nasional.

Yang diPertua,

Kuasa diKongsi; Rakyat Sejahtera

Rukun Ketiga Demokrasi Tulen adalah menjaminkan Prinsip Pemisahan Kuasa demi kepentingan rakyat bukan kepentingan kroni.

Semenjak tahun 2010, saya telah memperjuangkan Agenda Pemulihan Demokrasi yang berpaksikan kepada Pemansuhan Deklarasi Darurat yang telah ditolak oleh Speaker Dewan ini tetapi akhirnya telah diusulkan perkara yang sama oleh Perdana Menteri pada 2011.

Agenda Pemulihan Demokrasi (APD) juga menyarankan agar dipinda maupun dimansuhkan akta-akta yang nyata anti-demokratik seperti ISA, AUKU dan PPPA.

Agenda ini juga menyarankan dipinda Akta Pembangunan Petroleum agar Petronas diletakkan dibawah Parlimen.

Agenda ini juga menuntut sistem Pilihan Raya diBersihkan.

Dan Agenda ini juga meminta agar Reformasi Politik dijadikan tiang kelima Agenda Transformasi Nasional ketika itu yang tertumpu kepada hanya empat tiang iaitu ETP, GTP, 1Malaysia dan RMK 10.

Kesemua usaha ini bertujuan untuk dikembalikan Prinsip Pemisahan Kuasa (principle of separation of power) agar kuasa politik dan kekayaan Negara tidak dipusatkan kepada segelintir kecil golongan elit tetapi dikongsi bersama dengan rakyat secara saksama.

Pemisahan Kuasa ini termasuk Reformasi Parlimen dimana Wakil Rakyat dengan Mandat Rakyat mendapat 'Kuasa untuk Rakyat' melalui sistem Jawatankuasa Tetap Parlimen di dalam aspek Ekonomi, Kewangan, Keselamatan, Kesihatan, Pendidikan, Pengangkutan, Perdagangan dan seterusnya.

Tujuan Jawatankuasa adalah untuk memantau serta menjadi wadah usahasama membangunkan dan mentadbir Negara. Insitusi Parlimen yang dimartabatkan sudah tentu menjadikan hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama.

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan segala pembaziran, ketirisan dan kerakusan rasuah yang memiskinkan rakyat dapat dihentikan. Mungkinkah kemerosotan daya ekonomi akibat rasuah serta lelemahan struktural yang mengakibatkan negara jatuh dari tangga ke-10 kepada ke-25 dalam indeks keyakinan perniagaan terbaru dapat dielakkan?

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan, maka prestasi pendidikan Negara dapat dipantau dan diberikan penekanan sewajarnya agar hak semua pihak terpelihara termasuk isu biasiswa dan penempatan guru-guru secara adil.

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan segala projek dan penswastaan yang mengakibatkan kos sara hidup meningkat seperti harga minyak, tol, letrik, beras, kereta, harga rumah dan banyak lagi dapat ditentang dan disekat.

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan, projek mega pertama diumumkan bajet 2012 seperti MRT bernilai RM40 billion yang diumumkan sebagai projek pembiayaian swasta (private financing initiative) tetapi kemudian kita dapati Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat mengeluarkan sukuk RM 36 billion melalui Jentera Pembiayaan Khas (Special Purpose Vehicle) tidak akan dibenarkan memasukan sukuk atau bon untuk berhutang ke dalam liabiliti luar jangka kerajaan (contingent liability) yang mengakibatkan hutang kerajaan rasmi dan 'tersorok' melebihi 67% KDNK?

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan, maka isu pengangkutan awam seperti KLIA2 yang lewat dan melambung kos berbilion-bilion ringgit pasti dapat diatasi. Bukankah kelewatan persiapan KLIA2 sudah dijangkakan dan telah ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat termasuk isu keadaan tanah yang tidak sesuai tanpa mendapat maklumat penuh berbanding jika adanya Jawatankuasa Tetap Parlimen mengenai Pengangkutan?

Oleh itu, maklumat apakah yang digunakan oleh Perdana Menteri ketika itu yang dengan penuh yakin mengumumkan pada 5 Januari 2013 bahawa KLIA2 akan dirasmikan pembukaan pada 28 Jun 2013? Saya minta YAB Perdana Menteri berikan jawapan. Saya kira janji yang dibuat PM akhirnya gagal ditepati, apabila jawapan parlimen Kementerian Pengangkutan menunjukkan tarikh terbaru iaitu pada 2 Mei 2014. Itupun setelah saya dan Ahli Parlimen PJ Utara menyiarkan gambar terbaru perkembangan KLIA2 yang jelas belum selesai sepenuhnya. Kita harus memastikan pemegang saham UEMC-Bina Puri Joint Venture seperti YB Senator Tan Sri Datuk Tee Hock Seng memikul tanggungjawab kelewatan pembinaan KLIA2 dan memastikan syarikat yang gagal tidak boleh diberikan peluang sekali lagi.

Apa lagi maklumat kurang tepat atau 'palsu' yang disogokan kepada rakyat yang sepatutnya dapat diatasi melalui fungsi pemantauan dan timbang tara sistem Jawatankuasa Tetap Parlimen?

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan maka Petronas dan syarikat-syarikat GLC dapat dipantau untuk kepentingan rakyat. Berapa billion ringgit daripada lebih RM2 trillion hasil keuntungan Petronas dimana RM700 billion iaitu 30% keuntungan telah diserahkan kepada kerajaan yang dapat di'selamatkan' daripada pembaziran dan ketirisan untuk kegunaan kepentingan rakyat dan bukan keuntungan berlebihan segelintir kroni?

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan maka krisis jerebu tahunan dapat diatasi sekiranya pemilik-pemilik syarikat perladangan Indonesia milik warga Malaysia diambil tindakan serta usaha pencegahan yang sewajarnya.

Bayangkan, jika fungsi Parlimen dimartabatkan, maka Pilihanraya juga sudah pasti Bersih, Bebas dan Adil.

Selain daripada saranan penubuhan Jawatankuasa Tetap, Parlimen juga mesti diberikan kuasa meratifikasikan perjanjian antarabangsa. Ketika ini, kerajaan tidak perlu mendapat persetujuan Parlimen dan ini mengancam hak serta kepentingan rakyat.

Sebagai contoh, didalam masa terdekat ini diharap kuasa meratifikasikan atau pengesahan perjanjian antarabangsa oleh Parlimen akan diberikan memandangkan kedaulatan ekonomi Negara kita serta hak ekonomi semua bangsa termasuk bumiputera bakal diancam dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dimana perbincangannya dirahsiakan dan impak negatif kepada Negara tidak jelas.

Adalah penting untuk diketahui bahawa rakan perjanjian TPPA seperti Amerika Syarikat memerlukan segala perjanjian perdagangan diratifikasikan oleh Kongres sendiri. Hak demokrasi ini juga mesti diamalkan oleh Parlimen Malaysia.

Bayangkan, kami, selaku wakil rakyat – saya, Ahli Parlimen Kelang, Ahli Parlimen Kelana Jaya, tidak diberi akses penuh kepada laporan analisa kos-faedah (cost benefit analysis) pra TPP yang disediakan oleh UNDP – sedangkan laporan tersebut sepatutnya menjadi teras kepada justifikasi penandatanganan TPP. Kami dijanjikan laporan tersebut minggu ini, dan akan setia menunggu daripada MITI. Dan saya harus menambah, kesemua kementerian lain wajib mencontohi MITI dalam usaha berinteraksi berkongsi maklumat dengan ahli-ahli Parlimen PR.

Malangnya, kita melihat sekali lagi usaha menafikan hak wakil rakyat memainkan fungsi pemantauan serta timbang tara apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed telah menyatakan dalam jawapan beliau di Parlimen bahawa tidak perlu diwujudkan sebuah Jawatankuasa Parlimen khas buat Perjanjian Tran Pasifik ini.

Walau bagaimanapun, saya tetap akan meminta hak MERATIFIKASIKAN Perjanjian Tran Pasifik oleh Parlimen dilaksanakan. Ini akan memberikan peluang wakil rakyat menjalankan tugas dan amanah memelihara kepentingan rakyat. Maka saya minta menteri memberi penjelasan, adakah perjanjian TPPA ini akan dibentangkan untuk perbincangan di Parlimen, demi ketelusan dan kebaikan rakyat?

Oleh itu, siapa yang akan untung dan siapa yang akan rugi jika Parlimen dimartabatkan?

Tuan Yang diPertua,

Negara Musnah; Demokrasi Palsu

Saya juga ingin menyanjung titah baginda, "Janganlah berbuat sesuatu perkara yang boleh memusnahkan negara."

Dalam konteks ini, saya percaya Negara bakal musnah jika Demokrasi Palsu tidak diUbah dan tidak diPulihkan. Adalah diharap satu era baru Reformasi Politik dan Parlimen akan dimulakan sebagai komponen penting bersama Reformasi Pilihanraya untuk membina Malaysia yang lebih baik.

Oleh itu, Adakah Negara Musnah jika kita ada Pilihanraya Bebas, Bersih dan Adil?

Adakah Negara Musnah jika ada Demokrasi Tulen?

Adakah Negara Musnah jika Mandat Majoriti 51% Rakyat diUtamakan?

Saya juga turut menyanjung titah baginda, "Kerajaan beta komited untuk memartabatkan Islam berteraskan Maqasid Syariah dan akan terus memelihara kedudukan Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan."

Oleh itu, Adakah Islam membenarkan penipuan didalam Pilihanraya?

Adalah Islam membolehkan salah guna kuasa dan rasuah?

Adakah Islam mengizinkan fitnah dan hasutan perkauman digunakan?

Tuan Yang diPertua,

Pilihanraya Bersih Baru sebelum Pendamaian Nasional

Islam ada mengajar kita membuat sesuatu mengikut Tata Tertib dan mendahulukan keutamaan besar dari yang kecil.

Oleh demikian, secara mudah jika BN jujur untuk patuh kepada titah baginda untuk "memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan" serta "Memartabatkan Islam..", maka adalah wajib untuk melaksanakan Pemulihan Demokrasi dalam bentuk Reformasi Politik dan mengadakan Pilihanraya Bersih, Bebas dan Adil terlebih dahulu sebelum dilaksanakan 'Pendamaian Nasional'.

Seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, dan harus disahut oleh PM: This should be a national reconciliation, not a national retaliation!"

Ini adalah tuntutan suara Majoriti Rakyat 51%.

Sekian.

Tiada ulasan:

Nuffnang