Rabu, 23 Januari 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Perbahasan Dengan Fathul Bari: Hudud dan Perlaksanaannya

Posted: 23 Jan 2013 06:58 AM PST

Persoalan perlaksanaan Hudud sering dikemukakan sebagai hujjah untuk mempertikaikan kerjasama PAS dan DAP. Mereka bertanya; "DAP menentang Hudud tetapi PAS boleh berkerjasama dengan DAP! Mengapa tidak dengan UMNO?" persoalan kenapa tidak boleh berkerjasama dengan UMNO telahpun saya jawab dalam sebelum ini dalam tulisan saya yang bertajuk: Bersatu Atas Dasar Apa? Kenapa Tidak Dengan UMNO? Hakikat sebenarnya, UMNO tidak pernah mengemukakan pendiriannya terhadap perlaksanaan Hudud. Apabila dicadangkan oleh seorang pimpinan bawahan UMNO di Johor, CSL terus menggelarkannya sebagai 'pendek akal'.

Bahagian ini bertujuan untuk menjelaskan secara ringkas pendirian PAS berhubung Hudud dan bagaimana ianya tidak pernah digugurkan oleh PAS.

Hudud merupakan agenda PAS. Ianya terus diperjuangkan PAS dan di setiap ketika apabila berpeluang PAS menjelaskan kepada semua yang mendengari bahawa PAS berkeyakinan perlaksanaan hudud tidak akan merupakan bencana tetapi sebaliknya rahmat bagi masyarakat Malaysia. Melalui kerajaan Pusat PR, apabila ianya ditegakkan, kita akan berpeluang untuk menjelaskan isu ini dengan lebih berkesan lagi kerana akan mendapat akses kepada media massa dan boleh dianjurkan perbahasan ilmiah yang tidak akan dipolitikkan seperti sekarang.

Maka agenda perlaksanaan sistem perundangan Islam, termasuk hudud tidak pernah digugurkan PAS. PAS sebagai sebuah parti Islam akan terus berusaha supaya ianya dilaksanakan melalui proses demokrasi.

Sebagai contoh, sekiranya PR memerintah di Pusat dan Kelantan tetap di bawah PAS, maka permohonan untuk perlaksanaannya akan dapat dikemukakan oleh kerajaan Negeri Kelantan kepada kerajaan Pusat. Segala perbahasan berhubung dengan perlaksanaannya atau sebaliknya akan dilakukan secara telus dan terbuka dan boleh diikuti rakyat.

Pada masa yang sama, selain hudud dan sistem perundangan Islam, PAS akan juga berpeluang untuk menzahirkan keperibadian kepimpinan Islam yang bersih, bebas rasuah dan bertaqwa kepada Allah. Ini akan merupakan sumbangan yang begitu bermakna kearah menjelaskan agenda politik Islam itu secara keseluruhannya di negara kita ini.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang