Rabu, 5 Disember 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Dr Xavier : Tiada Kubur Hindu Ditukar Kepada Perkuburan Islam

Posted: 04 Dec 2012 01:45 AM PST

SHAH ALAM 4 DIS : Dr Xavier Jayakumar menafikan dakwaan Persatuan Pengurusan Perkuburan dan Kebajikan Kaum India Malaysia (Mayanam) bahawa kawasan perkuburan Hindu di Mukim Api-Api, Kuala Selangor ditukar kepada kawasan perkuburan Islam.

Sebaliknya beliau berkata, kawasan di Lot 13 dengan keluasan 4.98 ekar diwartakan sebagai kawasan perkuburan Hindu dan ia merupakan kawasan baru.

Dr Xavier yang juga Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin itu menjelaskan Pejabat Tanah dan Dearah Kuala Selangor menyatakan kawasan tersebut adalah sebagai ganti kepada kawasan di Lot 14 yang dirizabkan untuk perkuburan Islam.

Menurutnya, kenyataan dibuat Mayanam adalah tidak benar dan tidak wujud sebarang unsur penyelewengan mengenainya.

"Lot 13 Mukim Api-Api ini adalah tapak cadangan baru bagi menggantikan tapak perkuburan Hindu di Lot 14 kerana ia lebih luas dan sesuai serta dapat menampung keperluan semasa. Lot 13 ini juga merupakan tanah simpanan kuari dengan nombor geran 707/1909 yang diwartakan sebagai tapak perkuburan Hindu yang baru.

"Sudah ada kawasan perkuburan, jadi apa dikatakan oleh persatuan itu tidak benar. Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor telah wartakan satu kawasan 4.98 ekar untuk orang India," kataya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Sinar Harian hari ini melaporkan Mayanam memohon keprihatinan Kerajaan Negeri menyediakan kawasan baru menggantikan rizab tanah kubur India yang kini diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai.

Presidennya, M Raman, 43, berkata, melalui Laporan Inventori Tanah Perkuburan Selangor 2010 yang dipersetujui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Julai 2011 lalu, Tanah Perkuburan Islam Teluk Piai itu adalah tanah rizab perkuburan Hindu.

Dr Xavier berkata, memang ada beberapa kawasan perkuburan diwartakan adalah kawasan asal bagi penanaman kelapa sawit.

"Kita dapati ada beberapa keping tanah diwartakan untuk kawasan perkuburan bagi keperluan orang India, Cina dan sebagainya. Bila ia diwartakan, jawatankuasa dipertanggungjawabkan membuat garis panduan untuk pemberian tanah-tanah ini kepada persatuan-persatuan berkenaan," katanya.

Sumber: Selangorku

PKR : Tubuh Badan Bebas Siasat Caj Bil Elektrik Tinggi

Posted: 04 Dec 2012 01:30 AM PST

SHAH ALAM 4 DIS : Kerajaan wajar menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat dakwaan kenaikan caj bil elektrik dikemukakan orang ramai, kata Pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kenaikan caj ini berikutan langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan penukaran meter analog kepada meter elektronik.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata, penubuhan badan bebas itu perlu kerana wujud rasa tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat yang mesti dipandang serius oleh kerajaan.

Menurutnya, bagi kawasan Kelana Jaya sahaja, PKR menerima 22 aduan daripada orang ramai yang mendakwa kenaikan caj bil elektrik antara 20 hingga 50 peratus.

"Program penggantian meter ini sebenarnya suatu komitmen kewangan yang cukup besar oleh TNB dan beban kewangan tambahan kepada pengguna boleh mencapai berbilion-bilion ringgit.

"Kajian kami menunjukkan buat masa ini ada 8.03 juta pengguna TNB di Malaysia. Kami menganggarkan harga purata meter elektronik baru adalah RM250 setiap unit. Justeru program penggantian ini berpotensi mencapai sehingga RM 2 bilion (8.03 juta unit x RM250)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, penjelasan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bahawa sebarang kenaikan penggunaan elektrik selepas penggantian meter adalah berikutan bacaan yang lebih baik dan tepat daripada meter elektronik bukan jawapan memuaskan mengenai potensi saiz beban kewangan yang bakal ditanggung semua pengguna TNB.

Tambahnya isu tersebut tidak boleh dipandang kecil kerana ia melibatkan satu jumlah kewangan besar yang terpaksa ditanggung oleh orang ramai sebagai pengguna.

Katanya, bagi tahun kewangan 2012 hasil TNB daripada semua pengguna adalah RM34.4 bilion maka jika meter elektronik baru memberi peningkatan konservatif dua peratus di dalam semua bil elektrik, beban tambahan ke atas pengguna adalah sebanyak RM688 juta setiap tahun.

"Memandangkan meter elektronik baru ini mempunyai jangka hayat selama 10 tahun, pengguna akan akhirnya membayar RM6.88 bilion lebih kepada TNB untuk tempoh tersebut.

"Justeru PKR berharap kerajaan lebih bertanggungjawab dan telus dalam perkara ini dan rakyat berhak mendapat maklumat lanjut mengenai program penggantian meter elektronik baru oleh TNB," katanya.

Beliau menjelaskan berdasarkan kajian menunjukkan TNB mempunyai lima pembekal dengan salah satunya, Malaysian Intelligence Meters Sdn Bhd dimiliki sebahagian oleh keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi manakala harga purata meter elektronik satu dan tiga fasa ialah RM250 setiap satu.

"Adakah tender perbekalan dibuat secara tender terbuka atau runding terus? Butir-butir penuh dan telus seharusnya diberikan oleh TNB," katanya lagi.

Sumber: Selangorku

PKR: Siasatan Untuk Halang Himpunan Minggu Depan

Posted: 04 Dec 2012 01:10 AM PST

Naib presiden PKR N Surendran mendakwa siasatan polis ke atasnya hari ini merupakan tekanan bagi menghalang satu perhimpunan yang dirancang pada minggu depan di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya.

Surendran berkata beliau dipanggil untuk siasatan berhubung ucapannya di Brickfields pada 24 November berhubung masyarakat India yang tiada kewarganegaraan dan hak golongan itu untuk mendapatkan MyKad dan sijil kelahiran.

"Kami percaya pihak berkuasa cuba menekan, mengganggu dan menakut-nakutkan kami untuk menghalang perhimpunan besar itu.

"Perhimpunan itu ada usaha untuk mendapatkan keadilan bagi ratusan rakyat Malaysia yang tiada kerakyatan di negara ini; bukan saja orang Indiia di Malaysia Barat tetapi juga warga Malaysia Timur yang terjejas," katanya.

Beliau ditemani peguam yang juga bekas presiden Majlis Peguam S Ambiga serta pengarah biro guaman PKR Latheefa Koya di balai polis Travers hari ini.

Ambiga mendakwa isu berkenaan tidak harus dipandang ringan dan sepatutnya menjadi tumpuan utama kerajaan.

"Sepanjang pengetahuan saya, sepatutnya tidak ada warga Malaysia yang tiada kerakyatan," katanya kepada pemberita.

Latheefa, dalam pada itu berkata, MP Kapar M Manikavasagam turut disiasat polis dua hari lalu dan beliau percaya tekanan itu akan berlarutan.

Sumber: Malaysiakini

SYABAS Perlu Atasi Tekanan Air Rendah Elak Kebakaran Berulang

Posted: 04 Dec 2012 01:00 AM PST

PETALING JAYA, 4 DIS : Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) digesa segera melakukan kerja-kerja penyelenggaraan paip selain memantau kualiti tekanan air secara berkala.

Tindakan ini perlu bagi mengelakkan trajedi kebakaran yang memusnahkan dua buah rumah di Jaln 1/4, Old Town akibat tekanan air yang rendah.

Pegawai Khas Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Gasing, Kasthuri Patto berkata, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi i Disember lalu itu memaksa pihak bomba menggunakan bekalan air daripada trak kedua yang bergegas ke tempat kejadian ekoran tekanan air dari pili berhampiran terlalu rendah.

Bagaimanapun katanya, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak bomba, namun punca kejadian masih belum dikenalpasti.

Dalam kejadian itu seramai 28 orang kehilangan tempat tinggal.

Atas dasar prihatin, Pejabat Adun Bukit Gasing memberi sumbangan sejumlah RM3,000 untuk setiap rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

"Kita juga akan terus membantu mereka dengan pelbagai cara lain bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung setelah berhadapan pengamalan trauma seperti ini," katanya dalam satu kenyataan media.

Pihaknya juga akan menghantar surat rasmi kepada Syabas sebagai peringatan untuk memastikan tekanan air kerap diperiksa terutama di Petaling Jaya seluruh negeri dengan segera.

"Syabas adalah badan yang bertanggungjawab membekalkan air kepada pengguna di negeri Selangor. Sesungguhnya pengekalan tekanan air termaktub di bawah bidang kuasa mereka juga. Adakah Syabas memungkiri janji mereka untuk membekalkan air bersih dan berkualiti kepada pengguna?

"Saya sarankan pihak Syabas perlu menyemak keadaan paip air mereka dan membuat penyelenggaraan berkala bagi memastikan pengguna tidak berhadapan keadaan sebegini lagi," katanya lagi.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Negeri Tubuhkan Skuad Kecemasan Sedia Hadapi Banjir

Posted: 03 Dec 2012 01:00 AM PST

SHAH ALAM, 3 DIS: Bagi membantu orang ramai berhadapan kejadian banjir, Kerajaan Negeri mewujudkan Skuad Kecemasan yang diselia oleh pejabat-pejabat daerah di semua kawasan Negeri Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi TV Selangor menasihati orang ramai agar segera menghubungi bilik kecemasan skuad itu yang akan dibuka 24 jam di pejabat daerah masing-masing.

"Bagaimanapun, pada masa ini orang ramai boleh hubungi talian hot line Pejabat Daerah dahulu untuk memaklumkan kejadian banjir.

Selain itu beliau turut berkata bahawa Exco Kerajaan Negeri juga menyediakan dana untuk disalurkan kepada agensi yang terlibat dengan gerakan membantu mangsa banjir itu.

"Ia bukan disalurkan kepada mangsa banjir, tetapi untuk menggerakkan operasi bantuan kecemasan kepada mangsa banjir ketika air naik.

"Bantuan untuk mangsa banjir diputuskan selepas itu apabila Kerajaan Negeri bermesyuarat. Yang penting selamatkan mangsa dahulu," ujar beliau lagi.

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri sudah bersiap sedia untuk menghadapi kejadian banjir di Selangor pada musim hujan yang bakal berlanjutan hingga ke Mac tahun depan.

Pada pertengahan bulan November lalu, seramai 1,217 individu daripada kawasan Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor terpaksa dipindahkan akibat banjir.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang