Khamis, 22 November 2012

.

.


Pas mahu KPT siasat 92 pensyarah UPNM ditamat kontrak

Posted: 22 Nov 2012 06:51 AM PST


KUALA LUMPUR - Pas menggesa Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat isu penamatan kontrak 92 pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, 92 pensyarah yang juga bekas pegawai tentera telah ditamatkan kontrak susulan kehadiran naib canselor yang baru.
Menurutnya, penamatan kontrak dibuat disebabkan bekas pegawai itu tidak mempunyai kelayakan akademik yang sepatutnya iaitu ijazah.

Bagaimanapun, beliau berkata, yang menimbulkan keraguan, sebelum ini mereka diterima untuk bekerja di situ walaupun mempunyai diploma lanjutan dan berbekalkan pengalaman yang lama semasa berkhidmat dalam angkatan tentera tanpa sebarang masalah.

"Universiti Pertahanan ini berbeza dengan universiti lain, sebelum ini mereka diambil disebabkan tenaga mereka diperlukan, bukan hanya berdasarkan kelayakan akademik.

"Mereka bekas tentera yang mempunyai pengalaman yang banyak, kemahiran penting untuk nilai tambah selain akademik.
"Jangan layan bekas tentera seperti ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, di sini.

Semalam, Salahuddin menyatakan kementerian itu memberi jawapan di dalam Dewan untuk melakukan siasatan terhadap perkara tersebut.

Katanya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga mengakui bahawa seramai 92 orang pensyarah yang juga bekas pegawai tentera itu disahkan telah ditamatkan kontraknya ekoran tidak mempunyai kelayakan akademik iaitu ijazah pertama.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, jika kerajaan menuntut supaya mereka mempunyai pencapaian akademik ijazah, kerajaan perlu memberi peluang kepada golongan tersebut untuk melanjutkan pelajarannya.

Sementara itu, menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjumpa dengan kuasa asing untuk dijadikan pemerhati luar kepada sistem pilihan raya di Malaysia, Salahuddin berkata, itu adalah usaha yang dilakukan untuk mendapatkan sistem
pilihan raya yang adil dan bersih.

"Perjumpaan Anwar itu hanya untuk mendapatkan pemerhati sahaja, kita hanya usaha untuk ada pemerhati luar supaya pilihan raya umum diadakan secara adil dan bersih," katanya.

Tiada ulasan:

Nuffnang