Rabu, 31 Oktober 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Putuskan AES Selepas Khamis

Posted: 30 Oct 2012 03:15 AM PDT

KUALA LUMPUR, 30 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid akan memberikan kenyataan rasmi berhubung perlaksanaan Sistem Kamera Automatik (AES) pada Khamis selepas mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh Syarikat Pengendali AES.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri perlu bertindak adil mendengar penerangan kedua-dua belah pihak meskipun semua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat termasuk Selangor sudah menyatakan pendirian untuk menangguhkan melaksanakan AES.

"Segala keputusan akan diumumkan pada Khamis, selepas pembentangan (esok).

"Kita tangguhkan sehingga mendengar taklimat dan juga penjelasan oleh mereka.

"Selepas itu, saya akan membuat beberapa keputusan kerajaan negeri tentang cara terbaik menentukan penyelenggaraan perjalanan jalan raya dapat dilakukan dengan baik," katanya ketika ditemu di Lobi Parlimen.

Jelasnya, kuasa kerajaan negeri adalah terhadap jalan-jalan raya yang berada di bawah jagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Kuasa kerajaan negeri dibawah jalan yang diselenggarakan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (MHA).

"Sekarang penyelenggaraan itu masih belum dapat kita tentukan sama ada mesti dapat kelulusan perancangan dari pihak PBT. Sebab itu saya mahu berbincang dengan mereka," ujar beliau lagi.

Sistem AES dipasang di seluruh negara, melibatkan syarikat ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd dengan jumlah pelaburan bernilai RM 717 juta.

Berdasarkan statistik, 831 buah kamera yang akan dipasang diseluruh Malaysia dengan 331 buah kamera tersebut diletakkan di negeri Pakatan Rakyat.

Sumber: Selangorku

Selangor Tetap Akan Guna Teknologi Membran

Posted: 30 Oct 2012 03:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 30 OKT : Kerajaan Selangor tetap akan membangunkan teknologi membran bagi meningkatkan penghasilan air terawat meskipun kerajaan pusat mahu meneruskan projek mega Loji Rawatan Air Langat 2.

Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tegasnya, Selangor sebenarnya tidak berhadapan dengan krisis air dan pembinaan loji Langat 2 bukanlah satu keperluan yang perlu disegerakan.

Apa yang penting katanya, proses penstrukturan semula industri air perlu dilakukan segera bagi memastikan penduduk di Lembah Klang mendapat bekalan air terawat pada harga yang berpatutan.

"Kita tidak ada masalah kekurangan air mentah. Logiknya adalah air mentah cukup.

"Dari keluaran 4.8 juta liter sehari, kita dapati 33 peratus atau lebih 1.5 juta sehari air terawat tidak digunakan.

"Kalau kita selesaikan masalah air terawat, kita tidak memerlukan Loji Langat 2.

"Kerajaan persekutuan masih tidak menerima hakikat penyelesaian semula industri air adalah penstrukturan semula industri air di Selangor.

"Antara faktor adalah peratus air tidak berhasil (NRW) mesti dikurangkan sehingga 10-15 peratus kerana ianya termaktub dalam perjanjian dgn konsesi air pada tahun 2008," katanya lagi.

Sebelum itu, pada sesi sidang Dewan Rakyat Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon, berkata kerajaan pusat berharap kerajaan Selangor akan memberikan peluang untuk Langat 2 dilaksanakan.

Kenyataan Noriah adalah jawapan kepada MP Rembau, Khairy Jamaluddin yang mengemukana soalan mengenai kuasa kerakaan pusat bagi membolehkan Langat 2 dilaksanakan di Selangor.

Selain itu, Abdul Khalid menyatakan, kos pembinaan Langat 2 lebih tinggi berbanding teknologi membran yang hanya memerlukan kos sebanyak RM 800 juta.

Ujarnya lagi, beliau akan bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi membincangkan perkara ini sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung pada 19 November ini.

"Oleh kerana jawapan Timbalan Menteri macam tidak percaya, saya bercadang untuk bertemu dengan TPM dan seluruh jawatankuasa untuk menerangkan teknologi dan cadangan kami.

"Kalau cadangan saya diterima pakar, saya akan buat penyusunan semula industri air.

"Saya boleh cuba masukkan program Langat 2 sebagai langkah jangka panjang dan bukannya jangka pendek," jelasnya lagi.

Sumber: Selangorku

2008-2012 - Lebih 6000 Rumah Kos Rendah Disiapkan Kerajaan Selangor

Posted: 30 Oct 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM 30 OKT : Sebanyak 6,470 unit rumah kos rendah berjaya disiapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak mengambil alih pemerintahan pada 2008 sehingga tahun ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, jumlah tersebut tidak termasuk yang sedang dalam proses pembinaan dan yang sedang dirancang untuk pembinaan pada masa terdekat.

"Bagi rumah kos rendah iaitu dengan harga RM42,000 ke bawah, sebanyak 1,696 buah berjaya disiapkan bagi daerah Petaling, Hulu Langat (1,510), Gombak (2,193), Sepang (880) dan Kuala Selangor (191)," kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Jelas Iskandar, sejumlah 12,481 lagi masih dalam pembinaan iaitu bagi daerah Petaling (4,242), Hulu Langat (923), Gombak (3,871), Kuala Selangor (3,423) dan Sabak Bernam (22).

Sementara itu, sejumlah 9,990 unit diluluskan yang melibatkan daerah Petaling (1,540), Klang (5,059), Hulu Langat ( 1,300) , Gombak (1,278), Sepang (280), Kuala Selangor (357) dan Kuala Langat (176).

Katanya, bagi rumah kos sederhana pula, iaitu RM100,000 ke bawah, sejumlah 3,925 buah telah disiapkan iaitu Petaling (1,324), Klang (362), Hulu Langat (428), Gombak (642), Sepang (484), Kuala Selangor (512) dan Kuala Langat (173).

Ujarnya lagi, terdapat banyak projek yang sedang dalam pembinaan dan sudah diluluskan oleh Kerajaan Negeri yang berjumlah 1,682 meliputi projek di Bandar Baru Bangi, Sungai Long Kajang, dan Bukit Botak Selayang.

"Rakyat Selangor memerlukan pemimpin-pemimpin yang jujur dan bukan yang hanya pandai memutarbelit untuk kepentingan politik masing-masing," katanya.

Tegas Iskandar, fakta dan statistik yang dikemukakan beliau sekaligus menyangkal dakwaan bahawa Kerajaan Negeri mengenepikan pembinaan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri itu.

"Cara yang terbaik bagi Kerajaan negeri untuk menjawab tohmahan ini adalah melalui fakta.

"Kerajaan Negeri berharap agar pihak-pihak yang melemparkan tohmahan-tohmahan ini supaya menarik balik dakwaan mereka kerana ternyata ia tidak benar.

"Kegagalan menarik balik dakwaan ini mengesahkan bahawa mereka mengamalkan politik murahan yang tidak berdasarkan fakta sebenar tetapi fakta-fakta ciptaan mereka semata-mata," kata Iskandar.

Sumber: Selangorku

Abdul Khalid - PKNS Tidak Jual Aset Komersial - Noh Boleh Rujuk Akauntan Kementerian

Posted: 30 Oct 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM, 30 OKT : Kerajaan Negeri Selangor sekali lagi menegaskan bahawa anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan menjual lima aset komersialnya pada harga RM321 juta seperti yang didakwa.

Sebaliknya, jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kesemua aset itu dikumpul untuk dipindah milik kepada anak syarikat baru milik penuh perbadanan itu iaitu Private Real Estate Company (PREC).

Malah katanya, tindakan memindahkan aset itu adalah perkara atau rutin biasa dalam sesebuah syarikat.

"Saya malas untuk terangkan lagi kerana kelima-lima aset itu tidak dijual tetapi dikumpul di bawah anak syarikat PKNS. Ia pemindahan aset bukan jualan. Akaun akan bergerak daripada PKNS ke anak syarikat baru itu.

"Perkara ini adalah biasa. Kalau Noh sebagai menteri masih tidak tahu, beliau boleh rujuk kepada akauntan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk penerangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidiladha di Kompleks Karangkraf, di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, segala perancangan dan tindakan yang dilakukan PKNS juga sentiasa mengambil kira kebaikan anak syarikat itu sebagai agen hartanah di Selangor.

"PKNS wujud lebih awal daripada Capital Land di Singapura tetapi ia menjadi berpuluh ganda daripada PKNS. Kita tidak mahu orang berhati kecil dan berjiwa rendah seperti Noh Omar tetapi kita mahu PKNS jadi lebih besar. Ini tidak akan merugikan Selangor mahupun Malaysia," katanya lagi.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar menggesa Abdul Khalid membuat kenyataan rasmi berhubung dakwaan penjualan aset berkenaan.

Sementara itu, menjawab kenyataan berhubung kenaikan harga sewa di premis PKNS, Abdul Khalid menjelaskan tindakan itu dibuat berdasarkan perbincangan yang dibuat bersama ahli lembaga pengarah lain.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira pandangan semua pihak termasuk para peniaga.

"Kalau ada peniaga yang tidak mampu bayar, kita akan tolong. Tetapi kalau mereka (peniaga) untung banyak, mereka perlu bayar supaya persaingan itu wujud. Kita mahu bina usahawa melayu yang berdaya saing," ujarnya.

Sumber: Selangorku

TIM : Tubuh RCI Siasat Skandal RM40 juta Untuk Umno Sabah

Posted: 29 Oct 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM, 29 OKT : Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal sumbangan derma sebanyak RM40 juta oleh seorang ahli perniagaan kepada Umno Sabah.

Timbalan Presiden Transparency International Malaysia(TIM), Prof Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, mana-mana institusi yang diragui ketelusannya maka ia perlu disiasat dan dilaporkan hasilnya kepada umum.

"Sudah ada laporan semacam ada salahlaku dan salahtadbir, maka pihak-pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengeluarkan laporan yang terperinci dan penyiasatan oleh pihak bebas perlu untuk melaporkan kedudukan yang sebenarnya," kata Mohamad Ali ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu bertindak melaksanakan siasatan segera dengan professional agar kepercayaan orang ramai terhadap integriti SPRM melaksanakan tugas dengan adil dan pantas tidak terjejas.

"Dalam kes ini jelas adanya pengaduan dan pernyataan menuntut hak bagi mendedahkan perkara sebenar , maka saya kira pihak SPRM patut membuat siasatan bebas dengan segera supaya warga negara mempunyai kenyakinan penuh terhadap SPRM.

"Jika tiada siasatan segera maka pihak SPRM seolah-olah hanya 'memilih bulu' untuk membuat penyiasatan dan melengah-lengahkan laporan yang sudah dibuat yang akan mengurangkan integriti kepercayaan kepada pihak SPRM," kata Mohamad Ali.

Katanya, kes ini perlu diberi perhatian segera oleh pihak kerajaan kerana ia melibatkan imej Negeri Sabah dengan jumlah wang dengan kadar yang tinggi dan lumayan.

Pada Ogos 2008 lepas, usahawan Sabah Michael Chia didakwa ditahan pihak berkuasa Hong Kong apabila hendak menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur bersama wang tunai AS$16 juta (RM40 juta).

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mahu Bank Negara menyiasat lima pihak berhubung isu dana politik RM40 juta, yang pernah disahkan disumbangkan kepada Umno Sabah tetapi didakwa masih menimbulkan keraguan.

Lima pihak berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, pemimpin Umno "X" yang disebut oleh Ahli Parlimen Tuaran sebagai penerima wang RM40 juta ke akaun peribadinya.

Digesa disiasat juga ialah mana-mana pemimpin Umno lain yang turut tahu mengenai pemindahan wang ini tetapi tidak melaporkan kepada Bank Negara dan usahawan yang didakwa itu,Michael Chia.

Sumber: Selangorku

Sistem Biometrik Pekerja Asing : Jawapan Kerajaan Bercanggah

Posted: 29 Oct 2012 02:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 29 OKT – Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman ketika sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat.

Abdullah pada sesi soal jawab mengemukakan soalan tambahan mengenai keberkesanan sistem biometrik yang diperkenalkan kerajaan memandangkan peningkatan kejadian jenayah sosial warga asing.

Namun Abu Seman menafikan perkara berkenaan dan menyatakan dakwaan tersebut tidak benar.

"Soalan saya jelas, apa sudah jadi dengan biometrik yang dikatakan efiseyen dan mencemarkan keraguan yang berlaku iaitu tidak berada dalam pendaftaran negara tetapi ada dalam pendaftaran pemilih.

"42,000 orang (mendaftar), statistik yang dibuat oleh biometrik itu tidak sama dengan statistik Kementerian Sumber Manusia (sehingga Julai 2012) kata 1.9 juta.

"Jawapan menteri (Abu Seman) 1.5 juta. Sudah ada percanggahan," katanya dalam reaksi di lobi Parlimen.

Sebelum itu, Abu Seman memaklumkan kepada Dewan Rakyat sebanyak 1,581,264 orang pekerja asing yang berikan pas lawatan kerja sementara oleh Imegresen sehingga 1 September 2012.

Ujar Abdullah lagi, sistem biometrik yang diperkenalkan kerajaan ini seolah-olah 'mempunyai udang disebalik batu'.

Sistem biometrik mula diperkenalkan pada Jun 2011 bagi mengesan warga asing yang memasuki negara melalui 96 pintu masuk aktif di seluruh negara.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang