Khamis, 25 Oktober 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Perutusan Aidiladha 2012 Oleh YB Dr Xavier Jayakumar

Posted: 24 Oct 2012 07:18 PM PDT

Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua umat Islam khususnya rakyat di negeri Selangor dan di Malaysia seluruhnya.

Bersempena dengan sambutan Aidiladha yang mulia ini, saya dengan tulus dan ikhlas bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor serta kakitangan Pusat Khidmat DUN Seri Andalas dan seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam yang menyambutnya.

Kepada mereka yang akan membuat perjalanan pulang ke kampung, pandulah dengan berhati-hati, ingatlah keluarga yang tersayang dan semoga anda selamat tiba dan selamat pulang kembali.

Semogar Hari Raya Aidiladha ini diraikan dengan penuh makna dan kegembiraan.

YB Dr Xavier Jayakumar
EXCO Kerajaan Negeri Selangor
ADUN Seri Andalas

Isu Air : 80 NGO Sokong Kerajaan Selangor

Posted: 24 Oct 2012 03:30 AM PDT

SHAH ALAM, 24 OKT : Kira-kira 80 Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka Solidariti Hijau daripada seluruh negara menyerahkan memorandum sokongan terhadap Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu air.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil NGO, Zulkefly Mohamad Omar kepada Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Menurut Zulkefly, kandungan memorandum itu menyatakan sokongan terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu yang meringankan bebanan rakyat.

"Usaha Kerajaan Negeri ini perlu dialu-alukan dan dijadikan tanda aras dalam memberikan kemudahan kepada rakyat," katanya.

Ujar beliau, air adalah hak rakyat yang perlu dipertahankan dengan tidak boleh dikomersilkan yang hanya berasaskan keuntungan.

Katanya, sumber air perlu dilindungi daripada pencemaran alam akibat aktiviti seperti pembalakan yang berleluasa yang akan mencemarkan sumber air yang boleh mengancam kesihatan hidupan.

"Kita menggesa agar penjagaaan sumber air ini juga turut dibantu oleh Kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pusat seharusnya juga memberikan peluang kepada Kerajaan Negeri dan memberikan kerjasama yang akan memudahkan rakyat dengan tidak isu air ini tidak dipolitikkan," katanya.

Sementara itu Abdul Khalid berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran delegasi NGO-NGO itu yang prihatin terhadap isu air agar dapat ditangani dengan cara terbaik oleh Kerajaan Negeri.

"Isu air ini dilihat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini dan juga Kerajaan Pusat dengan tidak mengambil kira kepentingan rakyat.

"Kita mesti tidak menjadikan air itu alat untuk perniagaan, dan kini Kerajaan Negeri sedang membetulkan usaha itu," katanya.

Sumber: Selangorku

Isu Bas: Hamidzun Cuba Alih Isu Pecah Amanah Ketika Jadi Peguam Panel PKNS

Posted: 24 Oct 2012 03:00 AM PDT

SHAH ALAM, 24 OKT: Dakwaan terbaru Ketua Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin terhadap Menteri Besar Selangor merupakan cubaan untuk mengalihkan tumpuan terhadap kes pecah amanah yang membabitkan diri beliau sendiri.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata kes tersebut berlaku ketika Hamidzun menjadi peguam panel Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada suatu ketika dahulu.

Faekah berkata fitnah terbaru beliau bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan wang rakyat untuk membiayai kos sewa beli bas yang digunakan pemimpin parti untuk berkempen ke seluruh negara tidak benar sama sekali.

Abdul Khalid juga dari awal lagi dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor pada bulan Ogos, mengumumkan bahawa kos bas dua tingat yang digunakan pemimpin Pakatan Rakyat untuk berkempen di seluruh negara itu ditanggungnya sendiri dan tidak melibatkan dana Kerajaan Negeri.

"Ini membuktikan bahawa sejak dari awal lagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menyembunyikan perkara ini malah mengambil sikap terbuka dan telus.

"Jika Hamidzun meragui perkara ini, beliau sepatutnya memberikan bukti kukuh bukannya membuat tuduhan sewenang-wenangnya," menurut Faekah di dalam satu kenyataan media.

Menurut Faekah lagi, Abdul Khalid juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Hamidzun berterusan menjaja fitnah di media tanpa memberikan sebarang bukti.

Dakwaan Hamidzun telah dilaporkan di dalam sebuah akhbar dan beberapa laman web berita.

"Malah, pihak media juga sepatutnya berasa bimbang dan berfikir banyak kali sebelum menyiarkan dakwaan Hamidzun jika dakwaan itu tidak disertakan dengan bukti-bukti.

"Tan Sri Abdul Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini pernah dilemparkan pelbagai tuduhan tetapi selepas disiasat pihak berkuasa, ternyata ia tidak benar.

"Malah, seorang individu pernah diarah membuat kenyataan mohon maaf di media kerana membuat fitnah. Kejadian ini diharap boleh menjadi pengajaran kepada Hamidzun," menurutnya lagi.

Faekah turut menganggap penubuhan GAPS semata-mata untuk menimbulkan persepsi negatif rakyat Selangor terhadap Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Abdul Khalid.

Ianya dibuktikan apabila GAPS hanya mendiamkan diri berhubung isu kolam udang dan pemilikan tanah di Tanjung Karang oleh Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar dan isu sumbangan RM 40 juta kepada Umno Sabah yang merupakan antara isu hangat di media hari ini.

Sumber: Selangorku

Tiga Tahun Kecemerlangan Kewangan Selangor

Posted: 24 Oct 2012 02:30 AM PDT

Tiga tahun berturut-turut pengurusan kewangan Negeri Selangor mendapat pujian dari Ketua Audit Negara. Ini adalah hasil dasar cekap dan amanah yang anda pilih sebagai kerajaan.

Rekod berterusan ini tercapai ketika Kerajaan Negeri terus komited menyediakan pelbagai program hasil negeri untuk rakyat seperti diskaun cukai pintu rumah kos rendah, program kesihatan wanita,insentif untuk asuhan anak dan skim air 20 meter padu percuma.


MPK Tahan Lori Buang Sampah Haram

Posted: 24 Oct 2012 02:00 AM PDT

KLANG 24 OKT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menahan sebuah lori atas kesalahan menjalankan aktiviti pembuangan sampah secara haram, baru-baru ini.

Tindakan itu dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 dilakukan dalam satu operasi di Jalan Temenggung, baru-baru ini.

Ahli majlis, Azmi Jusoh berkata, beliau menerima maklumat awal daripada penduduk dan segera mengadakan pemantauan sebelum bertindak menahan lori terbabit untuk diambil keterangan.

Katanya, kontraktor berkenaan sering menjadikan kawasan itu sebagai lokasi untuk membuang sampah memandangkan lokasi itu agak lapang dan memudahkan mereka mencampak sampah dari atas lori.

"Tindakan mereka merupakan satu pengkhianatan kerana mereka adalah pihak yang dipertanggungjawabkan membersihkan kawasan namun menggunakan cara mudah bagi mengaut keuntungan.

"Malah lebih mengejutkan, mereka dengan beraninya membuang sampah ini pada waktu siang tanpa menghiraukan mereka yang lalu lalang di sini," katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, kontraktor itu akan dikenakan kompaun dan jika berterusan, majlis akan mengambil tindakan yang lebih tegas termasuk membatalkan permitnya.

Sehubungan itu, MPK meminta orang ramai yang terlihat mana-mana individu yang membuang sampah di tempat awam supaya segera memaklumkan kepada pihaknya.

"Majlis dengan kerjasama pemimpin setempat akan terus memantau kerja-kerja kontraktor bagi memastikan tiada pihak yang lepas tangan dan melakukan tugasan sambil lewa," katanya.

Sumber: Selangorku

MB : Teknologi Membran Lagi Murah dan Praktikal

Posted: 23 Oct 2012 03:00 AM PDT

SHAH ALAM, 23 OKT : Penggunaan teknologi penapisan air membran untuk merawat bekalan air di Selangor dianggarkan 1 / 3 lebih murah daripada kos pembinaan loji rawatan mega Langat 2.

Teknologi daripada Kanada itu kata Menteri Besar Selangor lebih praktikal dan menjimatkan daripada Langat 2 yang dianggarkan menelan kos RM 3 bilion.

Abdul Khalid berkata, kos penggunaan teknologi membran adalah kurang daripada RM1 bilion untuk dipasang di 10 buah loji strategik kerana tidak semua 27 loji memerlukannya.

Ini menyangkal dakwaan daripada Kerajaan Pusat bahawa teknologi tersebut tidak praktikal bagi Selangor, sekaligus menjustifikasikan Langat 2.

Menurut Abdul Khalid teknologi membrane telah mengalami perkembangan pesat yang menawarkan kos pembinaan yang lebih rendah.

"Teknologi ini sangat kompetitif dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah," katanya.

"Kini telah terdapat lapan buah negara yang sudah memasarkan teknologi itu sedia ada," kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu-Lembu Korban di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Tambah beliau, Singapura juga turut bercadang menggunakan teknologi membran dalam tempoh 30 tahun akan datang supaya ia tidak perlu mengimport air daripada Johor.

Ujar beliau, teknologi itu juga lebih mesra alam berbanding Langat 2 yang memerlukan kerajaan negeri menebuk Banjaran Titiwangsa bagi membina terowong untuk mensalurkan air daripada Pahang.

Abdul Khalid berkata, teknologi itu juga mampu menambahkan satu juta meter padu sehari air terawat pada kadar 1/3 daripada kos Langat 2.

"Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu 'hilang' atau Non Revenue Water (NRW)," kata Abdul Khalid.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata teknologi membran tidak praktikal untuk Selangor.

Menjawab dakwaan Muhyiddin, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor boleh memanggil perunding daripada Kanada untuk memberi taklimat kepada Muhyiddin dan pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

"Kerajaan negeri tidak menentang Loji Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

"Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisien pada harga munasabah," katanya.

Sumber: Selangorku

756 Ekor Lembu Diagih Seluruh Selangor

Posted: 23 Oct 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM 23 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira 756 ekor lembu untuk diagihkan di seluruh negeri sempena Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 389 ekor lembu disediakan untuk seluruh masjid-masjid di Selangor.

"Kerajaan negeri turut menyumbangkan lembu-lembu korban kepada badan-badan bukan kerajaan seperti PERKIM, ABIM, Hidayah Center, Brigade Amal Selangor, PANTAS, Anak Syarikat Negeri, PPR Lembaga Perumahan, JAIS dan penduduk Asal yang beragama Islam," kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah (JAIS) di sini.

Menurut Abdul Khalid, lembu-lembu itu disumbangkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Turut menyumbang juga adalah Worldwide Holding Bhd (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Abdul Khalid berkata, kerajaan berharap disebalik penyerahan lembu-lembu korban itu dapat menimbulkan kesedaran kepada umat Islam agar lebih mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memperbanyak ibadah korban.

"Umat Islam perlu mengorbankan gaya hidup yang mengutamakan kemewahan dan kesenangan duniawi semata-mata.

"Sebaliknya mengamalkan kehidupan yang sederhana dan berusaha mengelakkan pembaziran dan sikap boros," kata Abdul Khalid.

Sumber: Selangorku

Tuduh Campurtangan Hapus Kegiatan Pelacuran Khir Toyo Mohon Maaf Kepada Ronnie

Posted: 23 Oct 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 23 OKT : Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini memohon maaf kepada Ronnie Liu kerana memfitnah Exco Kerajaan Negeri itu dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh China Press empat tahun lalu.

Permohonan maaf itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan Ronnie pada 2008.

Khir dalam kenyataan permohonan maafnya berkata, beliau memohon maaf kerana menyebabkan penyiaran sebuah artikel itu yang bertajuk "Khir Toyo membongkarkan laporan polis Ronnie Liu Tian Khiew pernah bercampur Tangan dalam urusan menghapuskan kegiatan pelacuran".

Beliau sebelum ini mendakwa Ronnie yang juga Adun Pandamaran menghalang pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak polis dalam satu operasi untuk menutup sebuah hotel di Puchong yang digambarkannya sebagai pusat pelacuran.

"Saya juga memohon maaf kepada Ronnie kerana terus menggambarkan beliau terlibat dalam kegiatan seumpama itu sedangkan gambaran itu tidak benar sama sekali," katanya.

Menerusi permohonan maaf itu, Khir turut menyatakan kekesalan dan menarik balik kesemua kenyataan yang dibuat terhadap Ronnie serta memohon maaf tanpa syarat terhadap beliau.

"Saya benar-benar menyesal kerana menyebabkan YB Ronnie Liu Tian Khiew mengalami kesusahan yang amat akibat penyiaran artikel tersebut. Saya dengan ini menarik balik kesemua kenyataan yang dibuat terhadap beliau sepertimana terkandung dalam artikel tersebut dan memohon maaf tanpa syarat terhadap beliau," katanya.

Pada 6 Oktober 2008, Ronnie menyaman Khir kerana didakwa memfitnah dengan mengaitkan beliau dalam usaha menghalang penghapusan kegiatan pelacuran.

Ronnie mendakwa Khir mengeluarkan perkataan palsu dan berunsur fitnah mengenai perkara itu dalam satu artikel yang dicetak dan disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Cina pada 9 Mei 2008.



Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang