Ahad, 7 Oktober 2012

.

.


Mazlan: ‘Betul tak daftar tapi Anak tidak salah’

Posted: 06 Oct 2012 11:37 AM PDT




mazlan aliman
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman
SHAH ALAM – Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mengaku tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan tetapi bergerak sebagai sebuah entiti di bawah Pas bagi memperjuangkan nasib anak-anak peneroka.

Sehubungan itu katanya, Anak mempunyai akaun bank mereka sendiri dan mengikut prosedur undang-undang tubuh Pas.

Ia ditubuhkan pada November 2007.

"Memang kami tidak pernah berdaftar, saya tidak boleh nafikan.

"Tetapi apa yang penting, persatuan kami ini tidak salah kerana kami bergerak di atas tiket kami sendiri, mempunyai akaun persatuan sendiri di bawah Pas," kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mendedahkan yang Anak merupakan pertubuhan haram kerana tidak berdaftar.

Ketua Pengarah Ros, Datuk Abdul Rahman Othman juga mengesahkan Anak tidak tersenarai sebagai sebuah persatuan yang berdaftar di bawah agensinya.

"Isu ini merupakan isu basi yang sengaja dikitar  semula oleh Ahmad Maslan kerana sebelum ini banyak pihak cuba membangkitkan status Anak tetapi saya tidak mahu bermain dengan soal status kerana apa yang penting ialah perjuangan kami dalam mempertahankan hak kaum peneroka dan anak-anak generasi kedua Felda," ulas Mazlan yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Tambah Mazlan, Ahmad cuba bermain api dan cuba mengelak menjawab kontroversi yang sedang melanda Felda kebelakangan ini.

"Janganlah terlalu emosi memberi hukuman kepada Anak, apa yang penting sekarang bukan isu status tetapi beliau (Ahmad) perlu bergerak di atas semangat intelektual, jadi jangan heret kami soal status," katanya.

Mengulas lanjut mengenai ajakan debat yang ditolak oleh Ahmad, Mazlan berkata, timbalan menteri itu hanya tahu "berkokok di luar gelanggang, tetapi tidak berani masuk gelanggang sendiri."

"Saya cabar untuk berdebat tetapi ditolak. Tidak mengapalah, tetapi mengapa beliau juga menolak ajakan saya berdialog atau sekurang-kurangnya duduk bersama-sama bagi membincangkan isu dan masalah dalam Felda?"katanya.

Tambah beliau, "soal menang atau kalah bukan menjadi persoalan tetapi jika boleh duduk semeja berbincang, mereka boleh bersama-sama berkongsi idea dan pandangan."

Bangkit: Kenyataan Ahmad Maslan makan diri

Posted: 06 Oct 2012 11:30 AM PDT



Abd Rahman - Bangkit
Abd Rahman
SEREMBAN – "Saya rasa beliau lupa," kata Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit), Abd Rahman Ramli berhubung kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang mendedahkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merupakan sebuah pertubuhan haram kerana tidak berdaftar.

Menurut Abd Rahman, kenyataan dibuat Ahmad memberi peluang kepada kepimpinan Anak untuk membidas semula.

"Datuk Ahmad Maslan seakan terlupa bahawa Anak ditubuhkan di bawah parti Pas sendiri. Pertubuhan ini sebenarnya tidak perlu berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Jelas sekali nampak kedangkalan beliau mengenai perkara itu. Kenyataan semborononya itu seperti telah memakan diri sendiri," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Abd Rahman juga mempersoalkan kewujudan beberapa lagi pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah RoS tetapi tidak dibangkitkan Ahmad.

"Antara pertubuhan dikenal pasti adalah Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR), Gerakan Peneroka Wanita (GPW) dan Belia Felda.

"Anak memang sebuah pertubuhan tetapi kewujudan Anak tidak menyalahi undang-undang kerana ia berjalan atas tiket parti Pas tetapi mempunyai perbezaan dengan JKKR dan GPW," katanya.

Beliau turut mendesak Ketua Pengarah RoS, Datuk Abdul Rahman Othman mengambil tindakan sewajarnya ke atas pertubuhan itu juga.

Tiada ulasan:

Nuffnang