Rabu, 8 Ogos 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Kenyataan media KP DPPNT : Isu hudud, beza antara PAS dan Umno

Posted: 07 Aug 2012 08:12 PM PDT

RAMADHAN : BULAN FURQAN

Mengingatkan Perwartaan Enakmen kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M

Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quraan oleh Allah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah :

185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah.

Al-Quran bukan sahaja membezakan antara kebenaran dan kebatilan tetapi membezakan antara golongan mukmin dan golongan munafiqin. Golongan mukmin yang setia dengan Islam yang lengkap dan sempurna. Golongan mukmin akan memperjuangkan Islam yang merangkumi seluruh aspek samada politik, pemerintahan, undang-undang, kemasyarakatan, pendidikan, kekeluargaan, pentadbiran dan akhlak. PAS yang konsisten dengan perjuangan Islam telah membuktikan keikhlasan dan kejujurannya untuk melaksanakan pemerintahan Islam di Kelantan di bawah pimpinan Dato Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat dan di Terengganu di bawah kepimpinan Dato seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang sepanjang 1999 sehingga 2004. PAS telah menghapuskan permis-permis perjudian dan menghadkan jualan arak. Dataran Batu Burok dijadikan tapak ilmu dan solat tarawih untuk mendidik anak-anak muda supaya mengingati kemuliaan Ramadhan dan mengelakkan kemaksiatan berlaku di persisiran pantai Batu Burok. Kerajaan PAS Terengganu telah mewartakan dengan pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Diri Negeri Terengganu dengan meletakkan pada rujukan tertinggi ialah al-Quran, Hadis Nabi, Ijma dan Qias.



RAMADHAN : ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH DIWARTAKAN.

Kerajaan PAS Terengganu telah mencipta sejarah di bulan Ramadhan, apabila Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2 (Hudud dan Qisas) telah diwartakan dengan perkenan Tuanku Sultan Terengganu. PAS sangat konsisten dengan perjuangannya, walaupun dikecam hebat oleh media pro UMNO dan berhadapan dengan tekanan dan sekatan daripada Kerajan Pusat dan UMNO. UMNO tidak berhak untuk mencerca kerjasama PAS dengan DAP, apabila ada pimpinan DAP tidak bersetuju dengan Hudud kerana sikap pimpinan UMNO terhadap Hudud sangat buruk. Kerjasama bukan bererti bersetuju dan bersepakat dalam semua perkara. Kerjasama Pakatan Rakyat untuk meruntuhkan kezaliman, penyalahguna kuasa, penyelewengan, penipuan, pembaziran, rasuah dan kejahatan UMNO dan Barisan Nasional. Contoh mudah, seorang lelaki muslim bekerjasama dengan seorang lelaki non muslim dalam perniagaan pakaian. Kerjasama dalam pengkongsian perniagaan bukan bererti bersetuju dalam semua urusan. Jika rakan kongsi non muslim mengajak rakan kong muslim agar jangan bersembahyang tetapi rakan kongsi muslim tidak bersetuju bukan bererti kerjasama dan pengkongsian perniagaan perlu ditamatkan. Kerjasama Rasulullah dengan Bani Khuza'ah yang tidak Islam bukan bererti Rasulullah menggadai perjuangannya dan bersetuju dengan semua urusan.

GOLONGAN MUNAFIQ JUGA TOLAK HUDUD

Pimpinan UMNO seolah-olah telah meletakkan mereka dalam kelompok yang disebut oleh Allah dalam Al-Quran, apabila pimpinan UMNO menghina syariat Islam dan menghalang perlaksanaannya di Kelantan dan Terengganu. Allah berfirman DALAM SURAH An-Nisa' ayat 60 :

60. Tidakkah Engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) Yang mendakwa Bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran Yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) Yang telah diturunkan dahulu daripadamu? mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka Dengan kesesatan Yang amat jauh.

Ustaz Abu A'la Al-Maududi menyatakan bahawa taghut bermaksud "semua negara, kuasa dan pemerintahan atau kepimpinan yang melanggari agama Allah dan menderhakainya, kemudiaan melaksanakan pemerintahannya di muka bumi dan memaksa seluruh rakyat mentaatinya dengan paksaan, godaan atau pendidikan yang rosak."

Allah telah menyatakan perbezaan antara kelompok mukmin dan kelompok munafiq dengan ukuran tentang sikap dan pendirian mereka terhadap syariat Islam. Allah berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 61 :

61. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran Yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya Engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) Dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

Pimpinan UMNO cuba untuk mempersoalkan kerjasama PAS dengan DAP dan berusaha untuk menghancurkan pakatan ini untuk mengekalkan kuasa UMNO selepas PRU 13 bagi mendapat peluang terus untuk menentang syariat Islam dan melakukan kezaliman. Jika DAP tidak bersetuju dengan Hudud, PAS bersedia memahamkan mereka tentang perlaksanaan Hudud sebagaimana Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2 (Hudud dan Qisas). Non Muslim tidak perlu bimbang dan takut dengan Hudud dalam konteks perlaksanaannya kerana tercatat dalam Bahagian XI seksyen 59 : Pemakaian Enakmen ini : (1) Pemakaian Enakmen ini, tertakluk kepada subseksyen (2), Enakmen ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap ORANG ISLAM yang mukallaf mengenai apa-apa kesalahan yang dilakukan olehnya dalam Negeri Terengganu.

Bahkan PAS berhujjah dalam perlaksanaannya berdasarkan firman Allah dalam surah AL-Maidah, ayat 42 :

"Oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka Dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil."



ISU HUDUD MEMBEZAKAN PAS DENGAN UMNO

Persoalannya, pimpinan UMNO yang berdiam diri dan mengangguk kepala bersetuju serta dayus untuk berhadapan dengan pimpinan MCA yang menghina syariat Islam. Kalau UMNO jujur untuk memperjuangkan Islam, sudah tentu pimpinan UMNO akan membawa UMNO keluar daripada Barisan Nasional atau UMNO mengeluarkan MCA daripada Barisan Nasional tapi UMNO tidak berani melakukannya kerana cita-cita dan perjuangan UMNO sama dengan MCA, bahkan MCA telah memperkudakan UMNO puluhan tahun untuk membolot harta rakyat dan menghalang perjuangan Islam. Apabila Chua Soi Lek menghina undang-undang Islam dan Hudud, seluruh pimpinan UMNO tersenyum dan mengiyakannya. Dato Seri Najib, Presiden UMNO telah menyokong Presiden MCA dengan memberi jaminan bahawa Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia dan mengganggap perlaksanaannya akan menyebabkan huru hara. Memalukan masyarakat Islam dan seluruh ahli UMNO yang cintakan Islam, apabila YB Ayub, wakil rakyat UMNO daripada Johor yang mencadangkan agar Johor melaksanakan Hudud tetapi dianggap oleh Presiden MCA sebagai seorang yang hilang akal. Hilang akal bererti gila. Seolah-olah pimpinan MCA kata kepada pimpinan UMNO gila tapi pimpinan dan ahli UMNO diam mengiyakannya.

Kerjasama Pakatan Rakyat sangat berbeza dengan kerjasama dalam Barisan Nasional, bahkan PAS sangat berbeza dengan UMNO. PAS bertegas dengan sesiapa sahaja untuk mempertahankan perjuangan dan dasarnya.Jika pengundi melayu Islam mahu dan sayangkan Islam dengan jaminan perlaksanaan syariah Islam dan keadilan untuk semua, nescaya mereka akan meninggalkan UMNO dan bersama dengan PAS. PAS telah bersedia ganti UMNO untuk ke Wisma darul Iman dan Putrajaya kerana PAS sangat berbeza dengan UMNO. Itulah furqan (perbezaan) yang diajar oleh Al-Quraan untuk diikuti. Rakyat sahaja yang boleh menentukan perbezaan ini dalam PRU 13.

Ustaz Mohd Nor Hamzah   Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu 17 Ramadhan 1433

Karpal hina PAS

Posted: 07 Aug 2012 07:59 PM PDT

Petikan : Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Ahli Pas di peringkat akar umbi mahu parti itu keluar segera daripada pakatan pembangkang kerana kebiadaban DAP serta Pengerusinya, Karpal Singh terhadap Islam merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.

Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, mereka berpendapat selagi Pas berada dalam pakatan tersebut, perjuangan Islam yang selama ini menjadi asas perjuangan parti tersebut akan terus dikekang hebat oleh DAP.

Ujarnya, ia merupakan satu hakikat yang berlaku dan atas sebab itu golongan ulama di dalam Pas perlu tampil meminta pucuk pimpinan parti mengkaji semula kerjasama parti tersebut dengan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Rata-rata ahli akar umbi yang saya temui menyifatkan kenyataan Karpal sebagai kurang ajar dan biadab kerana ia melibatkan kesucian Islam dan kepentingan umat Islam. Ini bukan soal Pas tetapi soal Islam dan umat Islam.

Sebab itu ada di antara mereka yang mahu Pas keluar daripada pakatan pembangkang kerana mereka melihat Pas tidak mampu berbuat apa-apa selagi terus menjadi anggota pakatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa partinya akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

Kontroversi perlaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan kononnya DAP kini memahami dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera disanggah Karpal yang menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur mengenai perlaksanaan hukum tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Hafiz mengakui rata-rata ahli kini semakin keliru dengan hala tuju perjuangan Pas berhubung penubuhan negara Islam bukan lagi keutamaan kepada parti tersebut.

Pernah ada orang bertanya kepada saya, pilihan raya akan datang mahu pilih siapa? Ini adalah disebabkan mereka keliru dengan kedudukan Pas yang semakin diketahui ke mana hala tuju parti ini,'' ujarnya.

Menjawab satu soalan, beliau tidak menolak kemungkinan kedudukan Islam akan bertambah teruk sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat untuk memerintah.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad pula berkata, Pas terus dayus dengan kecaman serta penolakan terang-terangan DAP terhadap Islam.

Beliau berkata, Pas lebih rela menentang keras UMNO walaupun ia merupakan parti milik orang Islam yang sepatutnya kedua-dua parti berkenaan boleh menjalinkan kerjasama atas nama Islam.

Hakikatnya beliau berkata, Pas sebenarnya melakukan kerja sia-sia termasuk menganjurkan himpunan hijau menuju ke Putrajaya kerana pada akhirnya parti paling dominan dalam pakatan pembangkang adalah DAP yang jelas biadab menentang Islam.

Begitu juga dengan PKR yang bersekongkol dengan DAP menolak Islam. Parti ini juga akan menjadi parti dominan. Jelas, motif kerjasama Pas dengan DAP hanyalah untuk menang kerusi sahaja.

Mengenai isu hudud, apa yang nyata Pas memainkan isu itu kerana sedar ia boleh menarik undi orang Melayu dan Islam sedangkan jika diimbau kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia cukup menggambarkan bahawa Pas takut kepada tuntutan DAP," katanya.

Sementara itu, di Kuala Terengganu, Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd. Nor Hamzah berkata, Karpal merupakan seorang pemimpin yang sudah terlalu tua dan berfikiran lama.

Malah, beliau berkata, pemikiran Karpal turut dianggap tidak lagi sesuai dengan perkembangan politik semasa era sekarang sehingga kewujudannya menjadi satu bebanan kepada pakatan pembangkang.

Mohd. Nor seterusnya mempersoalkan Karpal yang tidak berhak menyentuh hal-hal berkaitan syarak termasuk pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan Pas.

"Apa hak beliau mahu sentuh pasal hukum Islam termasuk soal hudud yang kita perjuangkan.

Sebenarnya usia beliau sudah terlalu tua dan pemikirannya lama, tak sesuai lagi dengan suasana politik masa kini.

Jangan banding usia dia dengan usia saya. Saya masih muda dan pemikiran saya sesuai dengan suasana sekarang," katanya.



Kenyataan media KP DPPNT : Penjelasan isu pelajar yang ditarik pinjaman

Posted: 07 Aug 2012 09:25 AM PDT

1- Saya tidak merasa pelik, apabila membaca dan mendengar daripada media tentang seorang pelajar meminta maaf daripada Menteri Besar Terengganu setelah beliau menjadi mangsa kezaliman UMNO dalam penamatan pinjaman Yayasan Terengganu di Mesir. Penamatan itu berpunca daripada sikap kebencian UMNO terhadap himpunan BERSIH. Pelajar ini bersama 8 pelajar lain ditamatkan pinjaman kerana memakai baju BERSIH. Pemohonan maaf pelajar tersebut tidak akan mengubah keputusan Mahkamah bahawa BERSIH tidak salah, tidak ganas dan tidak haram. Bahkan kerajaan UMNO terus menghina keputusan ini, apabila menganggap himpunan BERSIH adalah ganas, salah, haram dan berniat untuk menggulingkan kerajaan. Sikap mulia pelajar BERSIH ini untuk meminta maaf, walaupun dia tidak melakukan apa-apa jenayah kepada kerajaan UMNO sewajarnya dicontohi oleh Menteri Besar dan kerajaan UMNO yang memang melakukan kesalahan kepada jutaan penyokong BERSIH.




2- Dewan Pemuda PAS Terengganu dan pemuda PAS kawasan-kawasan berusaha untuk membantu 9 pelajar tersebut bagi menyahut sabda Rasulullah :

Kami telah melancarkan Tabung Bantuan 9 Pelajar tersebut untuk mengumpulkan sumbangan daripada ahli-ahli PAS untuk meringankan beban yang dipikul oleh 9 pelajar tersebut dan keluarga mereka. Mungkin kami tidak dapat mengumpul jumlah yang besar tetapi kami telah sampaikan sumbangan tersebut kepada keluarga 9 pelajar dalam beberapa majlis. Seperti yang telah dijelaskan oleh setiausaha DPPNT, Saudara Zaidan Abdullah sumbangan yang telah dihulurkan oleh PAS, dalam Buletin Online, semua keluarga pelajar boleh menjadi saksi tentang kebenaran majlis penyampaian sumbangan tersebut. Kami tidak menyampaikan sumbangan tersebut secara terus kepada 9 pelajar tersebut kerana 2 perkara :

i. Kami bimbang tentang masa depan 9 pelajar tersebut yang akan terdedah dengan tekanan yang lebih berat samada dalam tempoh pengajian atau peluang kerja kerana UMNO memang bersifat jahat dan menyimpan dendam kesumat, jika 9 pelajar tersebut mempunyai hubungan dengan PAS.

ii. Kami berhubung terus dengan keluarga 9 pelajar tersebut kerana mudah untuk dihubungi dan menggembirakan mereka dengan keprihatinan kami. Di samping itu, kami menganggap keluarga mereka tidak mudah dan tidak terdedah dengan ugutan dan tekanan daripada kerajaan UMNO di masa depan.

Oleh itu, kami mengharapkan semua keluarga mesti memaklumkan sumbangan PAS kepada anak-anak mereka agaranak-anak dan masyarakat tidak tersalah kata-kata dan tersilap bicara yang memburukkan suasana dan mendedahkan kepada fitnah terhadap pihak lain.

3- Kami tidak terperanjat terhadap kehadiran seorang pelajar ke pejabat Menteri Besar untuk memohon maaf kerana kami bukan sahaja mendesak kerajaan UMNO supaya mengembalikan semula pinjaman mereka tapi sentiasa menyarankan agar mereka membuat rayuan kepada pihak kerajaan. Tapi kerajaan terus mempolitikkan isu ini untuk membutakan minda dan mengugut pelajar agar tidak merdeka dalam berfikir dan bebas dalam bersuara. Oleh itu, kami mendesakkan kerajaan agar mengembalikan semula pinjaman kepada pelajar tersebut dan 8 orang rakan yang lain. Cukuplah kerajaan UMNO menyusahkan dan mendiskriminasikan hak-hak mereka, di samping Menteri Besar dan kerajaan UMNO membelai dengan manja haiwan-haiwan di Mini Zoo Bukit Takal yang telah membelanjakan jutaan wang rakyat.

Tiada ulasan:

Nuffnang