Selasa, 31 Julai 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Gangguan Bekalan Air Disebabkan Pengagihan Air Yang Lemah

Posted: 31 Jul 2012 12:25 AM PDT

SEMENYIH, 31 JUL : Masalah bekalan air di sesetengah kawasan di Cheras dan Puchong seperti didakwa oleh media pro-Umno menimbulkan persoalan kerana sumber air mentah mencukupi manakala loji rawatan beroperasi secara optimal.

Mengikut pemantauan Lembaga Urus Air Selangor, sungai-sungai yang membekalkan air kepada loji-loji rawatan tidak kering manakala paras air di ke tujuh-tujuh empangan di Selangor pada tahap yang tinggi.

Justeru, kesemua 33 loji rawatan air tidak sepatutnya mengalami masalah ketiadaan air untuk dirawat walaupun terdapat permintaan yang tinggi daripada pengguna.

Misalnya, Loji Penapisan Air Sungai Semenyih kepunyaan Konsortium ABASS Sdn Bhd berfungsi pada tahap optimum selama 24 jam untuk memenuhi kehendak pengguna di bahagian selatan Selangor.

Pengurus Besar (Operasi) Loji Penapisan Air Sungai Semenyih, Basar Ishak berkata loji itu pemproses air mentah untuk disalurkan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang akan mengagihkannya kepada penduduk di Selangor.

"Kita tidak mempunyai penilaian yang tepat mengenai jumlah permintaan air terawat di Selangor melainkan merujuk kepada tangki 'balancing reservoir' iaitu saluran air terawat yang digunakan SYABAS.

"Jika tangki berkenaan menunjukkan pengurangan, maka kita akan tahu bahawa jumlah penggunaan air adalah tinggi.

"Air yang sudah dirawat akan disalurkan ke dalam tangki ini 24 jam sehari dan tangki ini tidak pernah kosong.

"Melainkan arahan daripada SYABAS supaya menutup tangki tersebut untuk melakukan pembaikian saluran paip," kata Basar ketika ditemui semasa tinjauan di loji tersebut semalam.

Loji ini membekalkan air ke Petaling Jaya, Sri Kembangan, Puchong, Putrajaya, Cyberjaya, Bangi, Sepang dan sebahagian kawasan Kuala Langat.

Mengikut perjanjian penswastaan air 2004, Syabas dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi merawat air mentah dan mengedar air terawat di Selangor.

Sebelum ini, beberapa media pro-Umno melaporkan krisis air
di Selangor semakin membimbangkan berikutan ketiadaan air di beberapa kawasan seperti di Cheras dan Puchong.

Kes-kes ini digunakan sebagai alasan untuk mendesak Kerajaan Selangor supaya meluluskan projek pemindahan air dari Pahang ke Selangor yang bernama Langat 2 yang akan menelan belanja RM 6 billion.

Sebaliknya, hasil laporan pertama Jawatankuasa Pemantauan Air yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi mendapati SYABAS beroperasi di bawah keupayaan sebenar untuk mengagihkan air terawat di seluruh Selangor.

Menurut Khusrin, SYABAS juga didapati cuba menyembunyikan fakta sebenar berkaitan rizab air terawat dengan mendakwa ia berada di tahap dua peratus sedangkan jumlah sebenar ialah 11 peratus.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Negeri Bertegas Tidak Akan Naik Tarif Air

Posted: 30 Jul 2012 12:20 AM PDT

SHAH ALAM 30 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk kekal mempertahanan keputusan untuk tidak menaikan tarif air sehingga 70 peratus di negeri itu bagi menjaga kepentingan rakyat.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, rakyat negeri ini tidak boleh dibebankan lagi dengan kenaikan tarif air kerana bebanan kos sara hidup di negara ini sudah sedia tinggi.

"Kos sara yang ditanggung rakyat sudah cukup tinggi, jadi amat tak wajar kalau ditekan lagi dengan kenaikan tarif air sehingga 70 peratus.

"Sekiranya Langat 2 diteruskan maka, rakyat Selangor akan memikul sehingga RM2,000 juta (RM2 Bilion) beban kos itu dan tarif air dinaikan," kata beliau.

Abdul Khalid turut menyelar pemimpin Umno-BN yang bercakap soal kebajikan rakyat tetapi pada masa sama mahu menaikan tarif air di Selangor.

Selain itu, beliau turut mengutuk kenyataan yang meramalkan Kerajaan Negeri akan muflis sekiranya pemberian 20 meter padu air percuma dilaksanakan di negeri ini.

"Pemberian 20 meter padu air percuma yang diberikan kerajaan negeri bukan sahaja tidak menyebabkan Kerajaan Negeri Muflis, tetapi rizab simpanan kita semakin meningkat," ujar Abdul Khalid lagi.

Dalam ucapan Abdul Khalid itu, beliau juga sempat menceritakan pertemuan antara beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedikit masa dahulu.

"Saya pernah beritahu Tan Sri Muhyiddin, sebab saya nak tolong rakyat maka saya sertai politik," ujarnya ketika menerangkan isu pemberian air percuma kepada Muhyiddin.

Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Abdul Khalid baru-baru ini memulakan usaha Kerajaan Negeri untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mengelakan kenaikan tarif air.

Bagaimanapun usaha itu mendapat halangan daripada Kerajaan Persekutuan dan juga syarikat pemegang konsesi pengurusan air itu sendiri.

Dibawah satu usaha penswastaan oleh Kerajaan Umno-BN dahulu, Syabas diberi kuasa untuk mengurus operasi merawat air mentah untuk dibekalkan kepada pengguna di seluruh Lembah Klang.

Manakala Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula, bertanggungjawab bagi menguruskan empangan yang menyimpan bekalan air mentah.

Bagaimanapun Syabas didapati gagal menguruskan sumber air di negeri itu dengan berkesan apabila pengguna di negeri itu sering mengalami gangguan bekalan air.

Selain itu, Syabas yang membayar gaji Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail sebanyak RM400 ribu sebulan itu, juga didapati gagal mengurangkan kadar pengeluaran air tidak terhasil (NRW) dari 35 peratus ke 15 peratus dari setiap 100 gelen air bersih.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang