Selasa, 24 Julai 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kurangkan Harga Kereta Jadi Manifesto Pakatan

Posted: 24 Jul 2012 12:43 AM PDT

Pakatan Rakyat akan menjadikan pengurangan harga kereta - yang dianggap barangan keperluan - sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata laporan Kajiselidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang baru dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 72 peratus isi rumah menggunakan kereta sedangkan 53 peratus isi rumah Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Peratusan yang tinggi itu katanya, berpunca daripada kegagalan Dasar Automatif Negara yang digubal BN pada tahun 2006.

Pada masa sama katanya, hutang kereta persendirian meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam masa 18 bulan sejak November 2010.

Ini membuktikan ia adalah isu pilihan raya yang perlu diberikan
perhatian oleh parti-parti yang bertanding, kata Rafizi.

"Keadaan ini membayangkan bahawa hutang kereta yang disebabkan harga kereta yang tinggi adalah satu beban utama pada rakyat," katanya.

Menurut Rafizi, harga kereta kini tinggi kerana rakyat membayar duti eksais, cukai import dan cukai jualan apabila membeli kereta.

Harga tinggi kerana cukai, duti eksais

Pengenalan duti eksais - sekurang-kurangnya 60 peratus daripada harga kereta - pada masa itu dilakukan untuk mengimbangi cukai import yang dikurangkan kerana Asian Free Trade Agreement (AFTA), katanya.

Rafizi mendakwa tindakan itu dibuat setelah kerajaan antara lainnya menerima nasihat daripada syarikat perunding Ethos Consultancy yang didakwa mempunyai kaitan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

"Beliau (Khairy) perlu kongsi dengan kita apakah pertimbangan pada masa itu yang membuatkan kerajaan perkenalkan duti eksais," katanya.

Duti eksais ke atas kereta juga kata Rafizi, ibarat mencukai rakyat atas pembelian barang keperluan seperti makanan, air dan elektrik.

"Anda (kerajaan) tidak sepatutnya menghukum rakyat dengan kutip cukai atas barang keperluan.

"Kalau ada ruang fiskal (belanjawan) yang perlu ditutup, kerajaan perlu cari mekanisma lain," katanya.

Justeru katanya, Pakatan akan melihat kemungkinan menghapuskan duti eksais secara berperingkat untuk mengurangkan harga kereta.

ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dalam sidang media sama berkata pimpinan muda PKR akan membuat jelajah keliling negara untuk berdialog dan menerangkan perkara itu kepada orang ramai bermula 5 Ogos ini.

"Kita cadangkan dialog peringkat kebangsaan.

"Kita mahu dengar (cadangan) daripada rakyat dan kumpulan berkepentingan seperti Malaysian Automotive Association (MAA), berkenaan perkara ini," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Tiada Catuan Air, Bukti Usaha Burukkan Imej Kerajaan Selangor

Posted: 24 Jul 2012 12:41 AM PDT

SHAH ALAM 24 JULAI : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa tiada keperluan untuk mencatu air di Selangor ketika ini adalah bukti isu air sengaja dijadikan gimik politik dalam usaha memburukkan imej Kerajaan Negeri.

Exco Selangor, Elizabeth Wong dalam satu kenyataan berkata, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pula menjadi alat Umno-BN untuk terus menekan Kerajaan Negeri meluluskan projek Langat 2.

"Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM 225 juta.

"Sudahlah tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat, mereka cuba pula mensabotaj usaha Kerajaan Negeri melakukan perkara betul demi melindungi kepentingan rakyat," jelas Elizabeth yang juga Adun Bukit Lanjan.

Menurut beliau lagi, tindakan Kerajaan Pusat menghalang usaha Kerajaan Negeri jelas menunjukkan Kerajaan Umno-BN mementingkan keuntungan syarikat kroni mereka berbanding keperluan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti Timbalan Perdana Menteri dalam mempengerusikan Jawatankuasa Khas menangani isu air.

"Sedangkan sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tarif air di negeri itu antara tertinggi di negara ini sehingga memaksa rakyat Johor berdepan dengan tarif air pada kadar tidak munasabah.

"Kerajaan Umno-BN mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat," tegasnya.

Sehubungan itu, Elizabeth menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bangkit mempertahankan hak mereka dan mengelak daripada terus dimanipulasikan pihak berkepentingan.

Sumber: Selangorku

Kerajaan Selangor Akan Berdepan Dengan Suara Rakyat Dalam Isu Syabas

Posted: 24 Jul 2012 12:33 AM PDT

SHAH ALAM 23 JULAI : Kerajaan Negeri bersedia membuat "referendum" atau pungutan suara bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor berhubung hasratnya untuk mengambil alih operasi Syarikat bekalan Air Selangor (Syabas).

Cadangan ini disuarakan oleh Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar yang berkata rakyat Selangor mempunyai kepentingan dalam usaha ini memandangkan ia melibatkan penggunaan wang rakyat.

"Kita bersedia untuk melaksanakan pungutan suara rakyat dimana rakyat boleh mengundi secara langsung dan menentukan samada untuk menerima atau menolak hasrat Kerajaan Selangor mengambil-alih SYABAS.

"Kita tahu kita di pihak yang benar, dan kita yakin rakyat Selangor mempercayai kerajaan yang mereka pilih," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengambilalih Syabas, syarikat swasta yang bertanggungjawab untuk mengurus operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor.

Usaha mengambilalih atau "step-in" itu dilakukan apabila Syabas dilihat gagal dalam mengurus bekalan air terawat di Selangor.

Namun usaha itu mendapat tentangan daripada kerajaan persekutuan apabila semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata permintaan untuk Selangor step-in ke Syabas tidak diluluskan.

"Kerajaan Negeri Selangor amat bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya untuk rakyat Selangor.

"Kita komited kepada hakikat bahawa air yang tidak berhasil (NRW) harus dikurangkan ke paras bawah 20 peratus dan tarif air haruslah adil dan berpatutan.

"Kita yakin Selangor mampu mengekalkan kos sekitar kenaikan 12 peratus untuk pengguna," kata Xavier.

Sumber: Selangorku

Selangor Rancang Usaha Tingkatkan Air Terawat Berjumlah RM 500 Juta

Posted: 24 Jul 2012 12:31 AM PDT

SHAH ALAM 23 JULAI : Kerajaan Selangor telah memohon RM 225 juta dari Kerajaan Pusat bagi meningkatkan penjanaan air terawat di Loji Rawatan Sungai Selangor 1 (SSP1) dan Sungai Selangor 3 (SSP3).

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata melalui projek ini, hasil air terawat mampu ditingkatkan sehingga lebih 222 juta litre sehari (MLD).

Tegasnya adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk menyelenggara dan meningkatkan kemampuan semua aset-aset air di Selangor seperti loji-loji tersebut, kerana ia dipajak kepada mereka.

"Sekiranya Kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan dana berkenaan, Kerajaan Negeri bersedia mengeluarkan belanja untuk memenuhi keperluan kerja-kerja tersebut.

"Ini bagi memastikan rakyat Selangor mendapat air secukupnya," Xavier dalam kenyataan medianya di sini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk  membelanjakan antara RM 200 juta hingga RM 300 juta untuk meningkatkan kemampuan rawatan air dengan menggunakan teknologi membran.

Sementara itu, Kerajaan Negeri meminta kerjasama Syabas untuk membenarkan kumpulan profesional yang dilantik mesyuarat exco Selangor untuk memantau 29 loji yang diurus mereka.

Syabas, sebuah syarikat swasta, telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi rawatan dan pengedaran air mengikut satu perjanjian pada 2004.

Syabas menguruskan 29 daripada 33 loji di Selangor manakala empat lagi di bawah kawalan Kerajaan Negeri.

"Bahkan lebih baik sekiranya SYABAS membenarkan wakil-wakil rakyat Selangor untuk memantau angka dan unjuran permintaan air dan bekalan air.

"Buat masa ini, wakil-wakil rakyat Selangor tidak dibenar masuk ke loji rawatan air Syabas dan hanya bergantung kepada angka dan statistik yang mereka berikan," Xavier berkata.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang