Selasa, 10 Julai 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


162 Projek Tidak Diluluskan, SYABAS Tidak Layak Urus Air Selangor

Posted: 10 Jul 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM, 10 JULAI : Sebanyak 162 buah projek pembangunan di Selangor tidak diluluskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) membuktikan syarikat itu tidak layak untuk mengurus air di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penswastaan air di Selangor sepatutnya diubah kerana syarikat-syarikat yang dipilih tidak mempunyai kemampuan kewangan dan keupayaan pengurusan yang baik.

"SYABAS perlu meluluskan projek-projek ini seperti mana apa yang dijanjikan mereka ketika mengambil alih pengurusan air ini pada tahun 2004," katanya ketika menjawab soalan daripada Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya).

Katanya, pada tahun 2006, Kerajaan Pusat telah meluluskan akta bagi menyelesaikan isu pengurusan air di negeri-negeri di Malaysia.

"Kerajaan Negeri diminta untuk mengambil semula pengurusan air dan ini sudah mula dilakukan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mencadangkan untuk mengambil alih pengurusan air di Selangor supaya lebih teratur dan efektif.

Abdul Khalid berkata, pengambilan pengurusan air di Selangor adalah sangat penting kerana tidak mahu membebankan rakyat.

"Jika tidak diambil alih pengurusan, kita akan membebankan rakyat dengan peningkatan harga air lebih daripada 70 peratus," katanya.

Namun begitu katanya, pemilik saham SYABAS tidak mempersetujui tawaran Kerajaan Negeri dengan mengatakan keuntungan yang diterima SYABAS masih tidak mencukupi.

"SYABAS mahu keuntungan sebanyak 1.2 billion sedangkan syarikat itu sudah mendapat keuntungan sejak 2004 lagi," katanya lagi.


Sumber: Selangorku

MB: Kes Curi Pasir di Selangor Berkurangan

Posted: 10 Jul 2012 01:30 AM PDT

Kegiatan mencuri pasir di negeri Selangor dan jumlah nilai kompaun yang dikeluarkan untuk kesalahan itu berkurangan sejak anak syarikat milik penuh kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menguruskan pasir di negeri ini sejak 2008.
   
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata mengikut statistik, sejumlah 974 tangkapan berhubung kes mencuri pasir dibuat pada 2008; 159 kes (2009); 91 (2010) serta 37 tangkapan tahun lepas.
   
Katanya, jumlah nilai kompaun yang dikeluarkan bagi kesalahan pasir turut berkurangan daripada RM1.3 juta pada 2008 kepada RM425,000 pada 2009 dan RM121,000 pada 2010 kepada RM27,000 tahun lepas.
   
"Jumlah tangkapan dan kompaun ini berkurangan antara lain disebabkan keberkesanan operasi pemantauan kecurian pasir yang dibuat oleh daerah-daerah di bawah kelolaan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.
   
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kuala Kubu Bharu dari MCA Wong Koon Mun pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Sumber: Bernama

465 Sekolah Di Selangor Terima Bantuan Kerajaan Negeri

Posted: 09 Jul 2012 02:30 AM PDT

SHAH ALAM, 9 JULAI : Sebanyak 465 buah sekolah di Selangor menerima bantuan pendidikan sejak empat tahun Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, sebanyak 256 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 112 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 97 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerima bantuan itu.

Katanya, pengagihan peruntukan kepada sekolah-sekolah ini bertujuan memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berada di tahap optima.

"Peruntukan yang diberikan berbeza kerana bergantung kepada keperluan yang diperlukan sekolah-sekolah ini," katanya ketika menjawab soalan daripada Amirudin Shari (Batu Caves-PKR).

Sementara itu, bantuan fizikal yang dipohon termasuk bangunan tambahan, pembelian komputer, membaiki tandas dan mengecat sekolah.

Manakala bantuan bukan fizikal adalah seperti pembayaran yuran pelajar miskin dan penambahbaikan sistem pembelajaran.

"SJKT memohon bagi Kerajaan Negeri membayar yuran bagi pelajar miskin dan SAR memerlukan guru-guru pakar bagi meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran," jelasnya.

"Setiap permohonan perlu menyertakan laporan lengkap beserta gambar dan ia akan dinilai sebelum sesuatu peruntukan diberikan," katanya lagi ketika menjawab soalan tambahan daripada Yap Ee Wah (Sungai Pelek-BN).


Sumber: Selangorku

Kerajaan Selangor Tambah Lagi Lori Kompaktor Sampah

Posted: 09 Jul 2012 02:20 AM PDT

SHAH ALAM 09 JULAI : Kerajaan Selangor akan membeli 50 lagi lori kompaktor sampah bagi menganti lori yang usang dan rosak agar sistem kutipan sampah di seluruh negeri dapat terus diperkasakan kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew.

"Kompaktor yang akan dibeli itu sebagai tambahan kepada 50 buah kompaktor yang sudah dibeli baru-baru ini oleh syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)," katanya semasa menjawab soalan dari Dr Shafie Abu Bakar (Bangi-Pas).

Jelasnya, pembelian kompaktor baru itu terpaksa dibeli kerana sejak 13 tahun lalu, pentadbiran Umno-BN tak pernah mengantikan kompaktor yang lama.

Ronnie juga membidas Yap Ee Wah (Sungai Pelek-BN) kerana bertanya mengapa kerajaan negeri membeli kompaktor baru.

"Saya tidak faham kenapa sampai sekarang tidak faham. Kalau awak mahu semua kontraktor ada kompaktor, awak tahu berapa harganya?

"Kalau kita buat macam itu maksudnya hanya orang kaya saja boleh jadi kontraktor. Kenapa dulu Alam Flora pun buat sedemikian?

Ronnie menambah aduan mengenai sampah sudah berkurangan sejak pihak berkuasa tempatan mengambilalih sistem kutipan secara penuh pada Mac 2012.

Jelasnya, tindakan daripada beberapa Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya Yayasan Amal turut membantu PBT dalam memantau kutipan di kawasan setempat daripada sebarang aktiviti berunsur sabotaj.

"Masalah itu (kutipan) dapat diatasi walaupun terdapat unsur-unsur sabotaj daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menghalang lori serta mengancam pekerja untuk menggagalkan kerja-kerja kutipan sampah di negeri ini.

"Selain itu, tindakan melonggokkan sampah juga dilakukan sejurus selepas kutipan rutin dilakukan oleh pihak kontraktor untuk tatapan media," katanya.

Sumber: Selangorku

Pangsapuri Kos Rendah Nikmati Cukai Pintu 25 Peratus

Posted: 09 Jul 2012 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 9 JULAI : Kerajaan Negeri akan memberi pengurangan cukai pintu sebanyak 25 peratus kepada penghuni rumah pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor yang akan dilancarkan selewat-lewatnya Ogos nanti.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media sejurus selesai Hari Zon Bersih Bulan Julai peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

"Langkah pertama, kita akan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor untuk mengenalpasti mana-mana kawasan pangsapuri kos rendah, seterusnya memberikan semua maklumat itu kepada Kerajaan Negeri.

"Walaubagaimanapun, kita cuma akan memberi tawaran ini kepada penghuni yang menghuni rumah tersebut sahaja, jika disewakan, peluang ini tidak ada," jelas beliau.

Menurutnya, sumber kewangan bagi memberi pengurangan cukai tersebut datangnya daripada penjimatan yang Kerajaan Negeri perolehi kesan daripada pengurusan penyelenggaraan sampah sendiri tanpa menggunakan khidmat Alam Flora.

"Hasil penjimatan, kita memperolehi kira-kira RM 100 juta di seluruh Selangor, manakala untuk Shah Alam sahaja kita berjaya jimat RM 30 juta.

"Hasil inilah yang dapat kita salurkan semula kepada rakyat dengan pengurangan cukai pintu kepada penghuni pangsapuri kos rendah seluruh negeri," tambahnya lagi.


Sumber: Selangorku

Dana MIMBAR Disempurnakan Hujung Tahun Ini

Posted: 09 Jul 2012 01:45 AM PDT

SHAH ALAM, 9 JUL : Kerajaan Selangor mensasarkan dana RM 20 juta yang diperuntukkan bagi Skim Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) akan digunakan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, sehingga Jun 2012, Kerajaan Negeri telah memberikan RM 11 juta kepada 4,452 peminjam bagi pelaksanaan skim itu.

Menurutnya, dana tambahan perlu dilaksanakan pada tahun hadapan memandangkan permintaan terhadap skim itu kian bertambah.

"Bagi memastikan kelangsungan dan sasaran program ini dapat dicapai, dana yang diperolehi itu diberikan secara berperingkat. Setiap minggu, Mimbar mensasarkan kira-kira 250 peminjam di mana kutipan hutang yang dibayar semula oleh peminjam ini akan digunakan sebagai wang pusingan.

"Bagaimanapun dana tambahan perlu dilaksanakan memandangkan permintaan meningkat dan tidak mencukupi sepenuhnya," katanya.

Rodziah berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan latihan intensif kepada peniaga kecil-kecilan bagi meningkatkan kemahiran dan kepuayaan mereka supaya perniagaan dapat dikembangkan.

Beliau berkata, program untuk ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU) juga disediakan selaras dengan hasrat kerajaan negeri sebagai negeri berkebajikan.

"Kita tidak tinggalkan mereka dalam lingkungan kemiskinan. Kita bantu mereka dengan pelbagai program seperti pembersihan masjid dan pembungkusan semula produk bagi meningkatkan pendapatan mereka.

"Selain itu, peminjam Mimbar pula akan diberi latihan dan tunjuk ajar mengenai ilmu berdaya saing dalam perniagaan supaya mereka dapat meningkatkan skil di peringkat yang lebih tinggi," ujarnya.


Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang