Selasa, 29 Mei 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Kerajaan mesti bertanggungjawab, bayar pampasan – Ibu mangsa rempuhan

Posted: 28 May 2012 08:06 PM PDT


PUTRAJAYA 28 Mei 2012 : Tujuh sekawan yang mahu menyaksikan acara lumba kereta semasa Himpunan Sejuta Belia yang berlangsung 23 hingga 27 Mei lalu meninggalkan sejarah hitam kepada Fairuz Jalaludin, 27, yang mengalami kecederaan kritikal di bahagian organ dalamannya.

Fairuz antara tiga mangsa lain yang masih kritikal sementara dua lagi rakannya, Muhamad Iskandar Rasiq Shaari, 20, mengalami masalah di bahagian usus dan Ami Nakim, 27, patah kedua-dua kaki dan tangan. Kesemua mangsa dirawat di Hospital Putrajaya.

Fairuz yang bakal melangsungkan perkahwinan Februari tahun depan terpaksa melakukan pembedahan membuang limpa ekoran rempuhan kuat kereta sehingga mengakibatkan limpanya hancur.

Menurut ibunya, Hamidah Zainal Abidin, 51, beliau yang hanya mengetahui lebih kurang jam 1.00 pagi Ahad lalu selepas diberitahu sendiri oleh tunang Fairuz terus bergegas ke hospital.

"Apabila dapat panggilan, mak cik tak boleh gambarkan perasaan risau, bimbang dan takut.

"Mak cik langsung tak boleh tengok gambar dia, sedih sangat. Pak cik pulak tak boleh langsung tengok orang kemalangan," katanya ketika ditemui di hospital hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan N Surendran menziarah Fairuz di bilik rawatan.

Bagaikan mimpi ngeri melihat keadaan Fairuz terlalu kritikal kerana terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), membuatkan Hamidah yang bekerja sebagai guru tadika terlalu sebak memikirkan masa depan anaknya.

"Mak cik daripada malam itu terus berjaga, tak boleh tidur, makan pun tak ada selera, risau sangat. Kaki belah kirinya juga terkoyak, tapi dah dijahit.

"Semua limpa dia kena buang sebab doktor beritahu limpa dia hancur. Akibat itu, pertahanan badannya tidak kuat. Dia juga terpaksa bergantung kepada antibiotik selama tiga tahun," katanya sebak.

Tegas Hamidah, beliau mahu kerajaan dan penganjur bertanggungjawab serta membayar pampasan.

"Mak cik nak penganjur tanggung segala kos dan kerajaan bayar pampasan kepada anak mak cik. Kerajaan mesti bertanggungjawab sebab mereka yang anjur.

"Semalam, Menteri (Datuk Seri Shabery Cheek) hanya datang melawat, beliau tidak beri jaminan apa-apa pun. Hanya tanya keadaan Fairuz sahaja," kata ibu anak empat itu.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa dengan tindakan penganjur yang tidak habis-habis menyalahkan anaknya yang didakwa tidak mengikut arahan.

"Dia (kerajaan) salahkan budak-budak ni, tapi bagi mak cik, pihak penganjur kena bertanggungjawab dari segi keselamatan.

"Penganjur ada datang hari Sabtu dan Ahad, tapi mereka salahkan anak mak cik yang tidak ikut arahan, tapi bila mak cik tanya kawan-kawan dia, mereka cakap penganjur tak bagi apa-apa arahan pun," kata Hamidah lagi.

Himpunan Belia saji hiburan melampau, ketepi kerohanian

Posted: 28 May 2012 08:05 PM PDT


KUALA LUMPUR 28 Mei 2012 : Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) kesal dan kecewa kerana Himpunan Belia 'menyajikan' lebih banyak hiburan berbanding program keilmuan dan kerohanian.

Presiden Gamis, Akram Ikrami Taib Azamudden berkata, program hiburan melampau bukan sekadar menghilangkan nilai-nilai ketimuran, malah mencalarkan imej Islam yang sudah lama terpahat di Malaysia.

"Belia wajar digilap dari sudut keilmuan dan kerohanian supaya perkembangan belia seimbang.

"Projek membangunkan belia perlu melalui kebajikan seperti pendidikan percuma, prasarana sukan dan kebudayaan yang lengkap bagi di kawasan pedalaman.

"Institusi belia yang efektif juga perlu diwujudkan bagi mengurangkan pengangguran dan membantu ekonomi belia," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Akram, dalam keghairahan kerajaan membangunkan belia, mereka terlupa perkara asas yang menjadi tonggak iaitu kerohanian.

Akram berkata, kerajaan terpesong dari matlamat asal untuk membangunkan konsep wasatiyyah.

"Wasatiyyah bukannya bermaksud mengambil separuh yang baik lalu dicampur dengan separuh yang buruk.

"Kesilapan memahami konsep ini mencemarkan pandangan masyarakat terhadap Islam, apatah lagi menggunakan Islam untuk mencantikkan yang buruk," katanya.

Himpunan Belia di Putrajaya hujung minggu lalu menyaksikan pelbagai acara hiburan disajikan kepada pengunjung.

Kemuncak himpunan dicemari kemalangan melibatkan acara perlumbaan kereta apabila seorang pelumba hilang kawalan ke atas kenderaan yang dipandunya.

Empat lelaki berusia antara 18 hingga 30 tahun dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Seorang daripadanya patah tulang paha, dua lagi mengalami pendarahan dalaman manakala seorang lagi patah tangan dan kaki.

Dato Seri Anwar di N.Sembilan 1 Jun 2012

Posted: 28 May 2012 08:04 PM PDT

Program Dato Seri Anwar Ibrahim di Negeri Sembilan pada hari Jumaat 1 Jun 2012

CERAMAH UMUM
Masa : 7.30 mlm
Tempat : Pejabat PKR, Taman Desa Puteri, Bahau (DUN Jeram Padang)

CERAMAH PERDANA
Masa : 9 mlm
Tempat : PASTI Al-Falah, Taman Desa Rhu, Sikamat Seremban

Tiada ulasan:

Nuffnang