Ahad, 13 Mei 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Tazkirah YB : Amanah Allah

Posted: 12 May 2012 11:05 AM PDT

Amanah merupakan sifat  wajib para Nabi dan Rasul. Amanah merupakan  taklif kepada setiap manusia. Imam Al-Qurtubi telah menyatakan bahawa amanah merangkumi  seluruh tugas agama. Allah telah menyenaraikan salah satu sifat mukmin yang berjaya dan menghuni  syurga Firdaus  ialah "orang yang memelihara amanah-amanah dan janji-janji mereka." Amanah dan janji  merangkumi segala perkara yang dipikul oleh manusia dalam urusan agama dan dunia samada perkataan atau perbuatan.  Rasulullah mengingatkan kita agama beramanah kerana tidak sempurna agama bagi mereka yang tiada amanah.

Allah menasihati manusia agar jangan menyerahkan harta anak-anak yatim kepada mereka yang tidak amanah. Amaran  Allah yang keras ini bertujuan untuk mengelakkan penjaga yang mengkhianati harta anak yatim dengan menganggap harta anak yatim  adalah harta mereka  sehingga mengurusnya untuk kepentingan mereka dan menadah terima kasih daripada anak yatim supaya mengenangi jasa mereka.

Allah menceritakan kisah Nabi Syuaib yang menasihati anak-anaknya agar memilih  orang yang amanah untuk mengurus kambing-kambing mereka. Tapi dunia seringkali  terbalik dengan melupai amanah dan pengertiannya. Bahaya akhir zaman ialah kekeliruan timbangan dan kerosakan nilai sehingga sampai ke tahap yang disifatkan oleh Rasulullah dengan sabdanya : "Tahun-tahun yang menipu akan datang kepada manusia. Pembohong akan dianggap benar, Orang yang benar akan dianggap bohong, orang yang amanah akan dianggap pengkhianat dan pengkhianat akan dianggap pembela amanah."

Amanah akan disia-siakan pada akhir zaman sebagaimana Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah : Bagaimana mensia-siakan amanah, wahai rasulullah ? Rasulullah menjawab : Apabila urusan kehidupan di serahkan kepada orang yang tidak layak maka tunggulah masanya." Ibnu Hajjar Al-Assaqalani menyebut dalam kitab Fathu Bari : Ibnu Battal berkata, maknanya ialah "pemimpin-pemimpin yang diamanahkan oleh Allah  ke atas hamba dan wajib mereka memberi nasihat kepada rakyatnya. Sewajarnya dilantik orang yang memahami dan menghayati agama tetapi apabila dilantik yang bukan berkelayakan dalam menghayati agama maka mereka telah mensia-siakan amanah yang Allah pilih mereka dengan amanah."

Agama merupakan amanah Allah. Dunia dan kekayaan merupakan amanah Allah. Rakyat merupakan amanah kepada pemerintah. Harta rakyat merupakan amanah Allah kepada kerajaan. Memilih pemimpin merupakan amanah Allah kepada rakyat dan masyarakat Islam. Setiap orang akan ditanya dengan amanah masing-masing. Wallahua'lam


Tiada ulasan:

Nuffnang