Rabu, 21 Mac 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Kalau negara bankrap, tak guna ubah kerajaan lagi

Posted: 21 Mar 2012 02:00 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: "Kalau negara sudah bankrap baru rakyat mahu ubah kerajaan, tak boleh buat apa lagi, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

"Sekarang hutang negara berada pada tahap kritikal iaitu hanya dua peratus kurang dari had dibenarkan.

"Kalau nak ubah kerajaan untuk selamatkan negara ini dari bankrap seperti yang menteri kabinet (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri jangkakan, ubah sekarang.

"Kalu negara dah bankrap baru nak ubah kerajaan, tak boleh buat apa lagi," kata beliau.

Mohamad juga mempersoalkan, apa lagi yang mahu dibohongi oleh Najib kepada kepada rakyat.

"Hari ini, timbalan menteri bercakap seolah-olah rakyat bodoh sangat.

"Kononnya tidak perlu bimbang walaupun negara mencapai hutang pada tahap 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu kurang dua peratus dari tahap 55 peratus dari daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibenarkan oleh perlembagaan negara.

"Najib nak bohong apa lagi kepada rakyat? Transformasi apa lagi nak mengaburi mata rakyat sedangkan negara menuju bankrap seperi yang menteri dia sendiri akui dan hutang negara pula semakin menjerut leher rakyat," beliau terus mempersoalkan.

Di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin mendakwa, hutang negara belum berada pada tahap kritikal atau membimbangkan,walaupun ia hanya dua peratus sebelum mencecah had pinjaman yang dibenarkan oleh perlembagaan.

"Ia tidak berada pada tahap yang kritikal pada masa ini. Had kita adalah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita kini cuma berada pada paras 53 peratus.

"Jadi tidak perlu bimbang tentang hal itu," katanya semasa sesi soalan.

Mohamad menyifatkan jawapan itu menghina akal dan intelektualiti rakyat.

Mengulas lanjut mengenai keadaan itu, beliau tertarik dengan istilah cepat tangan yang digunakan oleh blogger Aspan Alias terhadap para pemimpin Umno.

"Istilah cepat tangan itu menuntut rakyat memberikan perhatian kepada perkara penting mengenai ketenatan ekonomi negara kini.

"Keadaan ini berlaku kerana kerajaan murah hati kepada rakyat atau kerana perangai cepat tangan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN)," kata Mohamad.

Dalam tulisannya yang bertajuk "Susah kalau dapat pemimpin yang 'cepat tangan'", Aspan berkata: "Saya selalu berkata yang sikap ini sudah menjadi budaya pimpinan kita. Sifat 'cepat tangan' ini memang sudah menjadi sebati dan amat payah untuk dibuang".

Cara yang terbaik untuk mengelak dari kejadian seperti ini berlaku ialah dengan menolak parti yang dipimpin oleh pemimpin seperti ini, katanya

Aspan yakin, mereka tidak akan memperbaiki diri mereka kerana sikap 'cepat tangan' itu sudah menjadi darah daging didalam diri pemimpin-pemimpin kerajaan yang tidak mempunyai 'accountability' terhadap kesalahan yang mereka lakukan sendiri.

"Tidak boleh nampak wang rakyat yang banyak terus sahaja meleleh air liur untuk membelanjakannya untuk kegunaan peribadi.

"Apa transformasi yang boleh dilakukan oleh pemimpin seperti ini sedangkan diri sendiri tidak mampu untuk ditransformasikan," katanya.

harakahdaily/-

Tidak perlu guna OSA jika Felda buat perkara betul

Posted: 21 Mar 2012 01:50 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Presiden Kumpulan Felda Global Ventures Holdings (FGVH), Datuk Sabri Ahmad tidak perlu bimbang dengan 'kebocoran maklumat' syarikat tersebut jika ia menunjukkan prestasi yang baik.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mempersoal sikap Sabri yang dilihat seolah-olah bimbang dengan kebocoran beberapa dokumen sulit FGVH ke khalayak umum.

Katanya, kenyataan Ahmad bahawa Felda akan membuat laporan kepada pihak berkuasa berdasarkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) menunjukkan memang ada sesuatu yang tidak kena dengan FGVH.

"Ini satu perkembangan yang tidak sihat. Kalau Datuk Sabri dan Tan Sri Isa mengambil tindakan yang betul dan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia seuatu yang bagus, kenapa perlu bimbang? Mereka seharusnya bersikap terbuka.

"Atau mereka hanya pukul canang bahawa penyenaraian FGVH memang untuk kepentingan peneroka?" kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat itu juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai FGVH agar tampil membantu Anak agar penyenaraian FGVH dibatalkan.

"Kenyataan Datuk Ahmad itu satu ugutan. Maklumat yang kita dedahkan sebelum ini pun bukan maklumat sulit.

"Jadi saya minta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai FGVH atau sebagainya, tampil berbincang dengan Anak bagi memastikan penyenaraian FGVH tidak akan berlaku," kata Mazlan (Gambar).

Mazlan sebelum ini mendedahkan beberapa dokumen milik Felda dan menunjukkan satu laporan lengkap minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda di lobi Parlimen kepada media, Khamis lalu.

Sementara itu, Mazlan turut memberitahu, permohonan injunksi bagi menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) melupuskan ekuitinya kepada FGVH akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuantan esok.

harakahdaily/-

Askar bunuh warga Afghanistan hutang RM4.5j

Posted: 21 Mar 2012 01:45 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail menunjukkan Bales (kanan) ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Kebangsaan National Training di Fort Irwin, California.

FORT LEAVENWORTH: Anggota tentera Amerika Syarikat yang dituduh membunuh 16 penduduk awam Afghanistan, Staf Sarjan Robert Bales, 38, menanggung beban hutang sebanyak AS$1.5 juta (RM4.5 juta) apabila dia didapati bersalah melakukan penipuan jual beli saham pada tahun 2003.

Persatuan Peniaga Sekuriti Kebangsaan mendapati Bales, seorang lelaki lagi dan syarikatnya terbabit dalam penipuan, melanggar duti fidusiari, melakukan perdagangan tidak dibenarkan dan pelaburan tidak sesuai.

Rekod menunjukkan Gary Liebschner dari Columbus, Ohio, memfailkan aduan pada tahun 2000, ketika Bales masih menjadi seorang broker saham.
Panel mendapati Bales melakukan penipuan dan berniat jahat.

Stesen televisyen Ohio memetik isteri Liebschner sebagai berkata mereka meminta Bales menjual saham untuk membayar bil perubatan tetapi tidak pernah menerima faedahnya.

Kira-kira satu setengah tahun selepas aduan itu difailkan, Bales memasuki angkatan tentera, dua bulan selepas serangan 11 September 2001.

Pentagon berkata, Bales akan didakwa dalam masa terdekat.
Bales, yang kembali ke pangkalan dan menyerah diri selepas melakukan pembunuhan itu berdepan hukuman mati jika disabitkan, menurut Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta.

Peguam Bales John Henry Browne berkata suspek tidak mengingati banyak perkara mengenai kejadian itu, yang meletakkan hubungan Amerika dan Afghanistan ke tahap paling rendah disusuli dengan Taliban menarik diri daripada rundingan damai. – Agensi

Gubah wang haram: Hamimah dipenjara 3 tahun, denda lebih RM6 Juta

Posted: 21 Mar 2012 01:30 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Dr Hamimah Idruss, individu pertama di negara ini didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2011, dihukum penjara tiga tahun dan denda RM6,394,530.72 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta dan bersubahat memalsukan dokumen.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan yang dihadapi Dr Hamimah, 64, di akhir kes pembelaan.

Bagi lapan pertuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2011, tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan manakala bagi 10 tuduhan bersubahat, hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan hukuman penjara berjumlah 38 tahun.

Bagaimanapun, Dr Hamimah hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas Hakim Asmadi memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Dr Hamimah, bekas pengarah Syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn Bhd, menghadapi lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 Jun hingga 10 Jun 2003, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Hotel di China persenda askar Jepun di dalam tandas

Posted: 21 Mar 2012 01:25 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEBERAPA mangkuk untuk membuang air kecil yang direka supaya kelihatan seperti mulut seorang askar Jepun sedang ternganga di sebuah hotel di Harbin, China.

HARBIN - Sebuah hotel di sini menyediakan mangkuk untuk membuang air kecil yang direka supaya mempunyai bentuk seperti mulut seorang askar Jepun yang sedang ternganga.

Gambar mangkuk di dalam tandas itu pernah disiarkan di laman web Weibo di China.

Hubungan antara Beijing dengan Tokyo kerap tegang berhubung perbalahan tentang pemilikan beberapa buah pulau di Laut China Timur. - AFP

PR: PM perlu 'gentleman' umum PRU

Posted: 21 Mar 2012 01:15 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pas menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap 'gentleman' dalam membubarkan Parlimen, sekali gus ditetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib tidak perlu lagi bermain teka-teki dengan rakyat kerana perkara itu hanya akan menyusahkan rakyat.

"Beliau sudah beritahu yang beliau tahu bila PRU akan diadakan tapi beliau beri contoh resepi Coca-Cola pula... sepatutnya beliau bersikap gentleman dah membuat pengumuman lebih awal agar rakyat boleh bersedia," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Naib Presiden Pas ini berkata, di sesetengah negara rakyat mengetahui tarikh pilihan raya lebih awal.

"Di negara kita tarikh pilihan raya menjadi teka-teki dan ada khabar angin mengatakan (tarikh pilihan raya) pada Jun, yang mungkin berlaku pada cuti sekolah. Jadi pada saya, sepatutnya Perdana Menteri harus mengumumkan lebih awal, paling tidak tiga hingga enam bulan awal," katanya.

Menurut Mahfuz, cadangan itu bukannya untuk kepentingan PR, sebaliknya lebih kepada hak rakyat yang layak, lebih 12 juta orang, mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka mengundi.

"Ini bukan merupakan isu parti kerana dari segi persiapan parti, kita telah pun bermula. Tapi apa yang dilupa oleh Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya ialah rakyat, rakyat perlu buat persiapan, sebab rakyat sudah ada aktiviti kehidupan mereka sepanjang tahun.

"Sebab itu saya bimbang jika diadakan pada musim cuti persekolahan ini, ini menafikan hak rakyat yang akan mengerjakan umrah sebab selalunya cuti panjang ini umat Islam yang mengambil peluang kerjakan umrah dan sebahagian mereka sudah menempah tiket dan pakej daripada agensi-agensi umrah.

"Sudah tentu jumlah mereka yang kerjakan umrah ini beribu-ribu," katanya.

Tambah beliau, orang bukan Islam juga mempunyai perancangan mereka sendiri untuk digunakan pada cuti persekolahan.

"Perdana Menteri haruslah berani mengumumkan bila pilihan raya umum akan diadakan untuk kemudahan rakyat di negara ini," katanya.

Kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau tidak dapat mendedahkan tarikh PRU13 walaupun beliau tahu mengenainya.

Beliau berharap orang ramai, termasuk media, akan menghargai jawapan beliau kerana beliau perlu menyimpan beberapa rahsia untuk dirinya sendiri.

sinar harian/-

Tandas Tidak Beroperasi: Penumpang Terkandas Dua Hari Di Alaska

Posted: 21 Mar 2012 01:00 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ANCHORAGE (Alaska): Penerbangan selama 13 jam dari San Fracisco ke Shanghai tidak mempunyai transit, namun seramai 262 penumpang bagi United Airlines bersedia untuk berhadapan dengan situasi itu.

Sebaliknya, mereka terkandas di Anchorage, Alaska selama dua hari.

Jurucakap United, Charles Hobart berkata, Pesawat 857 telah dilencongkan ke Anchorage apabila beberapa tandasnya didapati tidak berfungsi, selepas melakukan penerbangan selama tiga jam sejak ia berlepas pada pukul 2 petang waktu tempatan pada Ahad.

Para penumpang memberitahu Anchorage Daily News bahawa mereka duduk di di dalam sehingga pukul 8 malam sebelum dibenarkan untuk turun dari pesawat.

Syarikat penerbangan itu memberikan baucar makanan dan hotel, namun mengambil masa berjam-jam sehingga restoran sudah tutup, kata para penumpang.

United membawa pesawat yang lain pada Isnin tetapi ia turut mempunyai masalah.

Para penumpang akhirnya berlepas pada Selasa menggunakan pesawat ketiga, Boeing 777.

Hobart berkata, United akan memulangkan semula harga tiket penuh kepada semua penumpang. – AP

Selangor Perkenal Inisiatif Premium Milik Tanah

Posted: 21 Mar 2012 12:40 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 21 MAC : Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif program bayaran premium RM1,000 bagi pemberimilikan tanah dan program bayaran premium bagi tujuan melanjutkan tempoh pajakan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, program ini bertujuan bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor menentukan sendiri kaedah pembayaran premium mengikut kemampuan masing-masing.

"Bagaimanapun mereka masih perlu membayar caruman berasingan seperti parit yang tidak termasuk dalam premium RM1,000 itu.

"Dan sekiranya mereka menjual tanah untuk diberi milikan kepada orang lain, premium penuh akan dikenakan kecuali jika dipindah milik kepada waris, maka premium tidak perlu dibayar," jelas Abdul Khalid menjawab soalan Adun Balakong, Yap Lum Chin di Sidang DUN pagi ini.

Nilaian tanah yang akan digunakan adalah berdasarkan nilaian yang dikemukakan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Selangor.

Setakat ini, terdapat 356 orang penerima yang sudah lulus permohonan bayaran premium RM1,000 dengan 5 di Hulu Selangor, 136 di Hulu Langat, 89 di Kuala Selangor, 65 di Petaling, 3 di Sepang, 4 di Kuala Langat, 48 di Gombak serta 6 di Klang.

selangorku/-

Sejadah corak babi

Posted: 21 Mar 2012 12:30 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SEREMBAN: "Niat anak saudara untuk mengerjakan solat terhenti sejurus mendapati corak pada sejadah itu seolah-olah muka dan kepala babi," kata seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 50-an.

Menurutnya, sejadah merah berkenaan dibelinya di sebuah kedai dekat sini yang dijual secara lelong kira-kira enam bulan lalu.

"Saya dan beberapa ahli keluarga membeli-belah di kawasan berkenaan sebelum ternampak jualan lelong di kedai menjual permaidani dan sejadah itu.

"Sejurus memasuki kedai berkenaan, saya teruja apabila mendapati ada sejadah yang dijual dengan harga amat murah iaitu hanya RM10 untuk tiga helai.

"Saya membelinya tanpa melihat lebih teliti setiap sejadah yang diambil," katanya.

Bagaimanapun, katanya, minggu lalu anak saudara perempuannya berusia 20-an bertandang ke rumah dan mahu menunaikan solat Asar.

"Saya menyerahkan sejadah itu kepadanya dan terkejut apabila dimaklumkan corak yang tertera menyerupai muka dan kepala babi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (Nesca), Khairuddin Yunus, berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan setiap jualan murah yang kebiasaannya terdiri daripada barangan lama dan kurang berkualiti.

"Malah, lebih buruk apabila terjadi kes begini yang menyentuh sensitiviti umat Islam," katanya.

Beliau berkata, isu sensitif seumpama itu sesuatu yang 'panas' dan ia perlu dielakkan sebaik mungkin demi kepentingan bersama.

"Ini kerana ia membabitkan kesucian dan maruah masyarakat Islam sama ada corak berkenaan sengaja dilakukan atau sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu Khairuddin, menggesa pihak terbabit menjalankan pemantauan di setiap kedai bagi mengelak perkara sama berulang.

Harian Metro

Sinar Harian bersama 21 NGO jejak Nur Fatihah

Posted: 21 Mar 2012 12:15 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Sinar Harian berganding bahu bersama parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan belia dan kelab untuk menggerakkan usaha mengesan serta menyalurkan maklumat mengenai kes kehilangan Siti Nur Fatihah Mahadi bagi membantu polis menjejaki mangsa.

Sehingga semalam, 20 pertubuhan berikrar melaksanakan usaha murni itu melalui penampalan poster, perkongsian, penyebaran maklumat melalui pelbagai medium dan terus mengerahkan ahli masing-masing memberi komitmen mereka.

Berikut senarai pertubuhan terlibat

1. Majlis Belia Felda Malaysia
2. Majlis Belia Felda Wilayah Jengka
3. Jengka Motosports Club
4. Puteri Umno Bahagian Kuala Krau
5. Majlis Belia Negeri Pahang
6. Pertubuhan Kebajikan Warisan
Kuala Semantan (Pintas)
7. Umno Bahagian Kuala Krau
8. Najib Razak Rompin Club
9. Majlis Belia Daerah Jerantut
10. Pemuda Umno Bahagian Jerantut
11. Kelab Rakan Muda Bera
12. Persatuan Belia Taman Bera
13. Kelab Pemuda Melayu Bersatu Kuantan
14. Majlis Belia Daerah Bera
15. Majlis Belia Daerah Pekan
16. Gerakan Belia 4B Parlimen Pekan
17. MAYC Kawasan Pekan
18. Pusat Khidmat Masyarakat Dun Panching
19. Gerakan Belia 4B Pahang
20. Persatuan Basikal Maran
21. Pekida Bentong

sinar harian/-

Gadai tanah: Mustapha didesak kemuka bukti

Posted: 21 Mar 2012 12:00 AM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 21 Mac: Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad didesak mengemukakan bukti terhadap dakwaannya tanah Rizab Melayu di gadai kepada syarikat bukan bumiputra di Kelantan.

(Tajuk sensasi Utusan Malaysia hari ini tetapi tanpa fakta dan retorik sahaja)

"Saya pohon Mustapha agar mendatangkan data dan fakta keluasan tanah Rizab Melayu di Kelantan yang dipajak kepada syarikat bukan bumiputera, janganlah hanya bercakap tanpa fakta sedangkan anda seorang Menteri!" kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Fadhli Shaari dalam kenyataannya.

Sebelum ini, Fadhli dalam kenyataannya berkata, kebanyakan projek yang disebut itu ialah tanah kerajaan yang yang diberi milik kepada agensi-agensi kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Perbadanan Bandar Baru Tunjung, Yayasan Islam Kelantan dan Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin).

Ia kemudiannya dimajukan dengan kerjasama syarikat swasta secara pajakan dalam tempoh tertentu misalnya 66 tahun.

Ia sama sekali tidak diberi milik kekal kepada pemaju terlibat dan dilaksanakan berdasarkan pegangan ekuiti kebiasaannya 30 peratus agensi kerajaan dan 70 peratus pemaju.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi pula berkata, tanah-tanah yang dibangunkan ladang kelapa sawit dengan kerjasama syarikat swasta adalah milik kekal Ladang Rakyat.

Katanya, syarikat swasta hanya diberi izin mengusaha hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah tersebut dalam tempoh tertentu.

"Tanah-tanah tersebut adalah milik Ladang Rakyat dan tidak timbul sama sekali tanah berkenaan diserah kepada syarikat swasta," katanya.

Menurut Fadhli yang juga Setiausaha Akhbar MB Kelantan, kenyataan Mustapha kali ini merupakan kali berikutnya Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan data.

Padahal, katanya, Datuk Seri Najib Razaklah sendiri yang mencadangkan agar undang-undang tanah dipinda bagi membolehkan tanah rezab Melayu dpinda untuk membolehkan ianya dimajukan.

"Barangkali beliau lupa bahawa kerajaan UMNO dan Barisan Nasionallah yang telah meminda Enakmen Rizab Melayu (ERM) bagi membolehkan tanah rizab Melayu dipajak kepada bukan Melayu untuk dimajukan.

"Sedarkah Mustapha bahawa inilah yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 19 Ogos 2004 setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-60? Kenyataan tersebut disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Ogos 2004 di dalam bahagian Ekonomi," kata Fadhli (gambar) dalam kenyataannya.

Utusan hari ini menyiarkan kenyataan fitnah dan sensasi dari Mustapha kononnya rakyat Kelantan dianiaya.

Sebelum ini, kata Fadli, rakyat Kelantan masih ingat pada awal Februari lepas, individu inilah yang mengeluarkan kenyataan bahawa RM600 juta telah diberikan secara PERCUMA kepada kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan masalah air.

"Hakikatnya, ia adalah pinjaman yang perlu dibayar," kata Fadhli.

Menurut Fadhli, tindakan terkini yang dilakukan Umno dalam isu ini adalah kenyataan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada 15 Mac 2012 yang lalu yang menyatakan bahawa kerajaan negeri Perlis sedang mengkaji kemungkinan memajak tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan.

Ini boleh dibaca dalam berita bertajuk Perlis Kaji Kemungkinan Pajak Tanah Rizab Melayu.

Fadhli juga meminta Mustapha tidak lupa dengan tindakan kerajaan Malaysia pada hari ini yang sedang berusaha memajak tanah Felda melalui penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Logiknya, apabila ia disenaraikan, ia bebas untuk dibeli oleh sesiapa sahaja dan yang dipertaruhkan ialah aset peneroka! Tidakkah ini yang sebenarnya mengancam kepentingan rakyat?" kata beliau.

Fadhli secara sini berkata, "Bersedia menjadi seorang Menteri Besar Kelantan ialah bersedia untuk dilantik secara rasmi dan beribu pejabat di Kota Darulnaim dan bukannya hanya sekdar bersedia untuk melayakkan diri ditabal di atas Gunung Reng, Jeli."

harakahdaily/-

MB : Isu Pasir-BN Lagi Hebat

Posted: 20 Mar 2012 11:50 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 21 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyangkal kenyataan Adun Kuala Kubu Bharu (BN), Wong Koon Mun yang mendakwa kerajaan negeri mengamalkan aktiviti kongsi gelap, rasuah dan salah guna kuasa berhubung isu pasir.

Abdul Khalid yang juga Adun Ijok berkata, isu pasir telah menjadi kontroversi semasa Selangor berada di bawah pentadbiran Umno-BN sebelum tahun 2008.

Bagaimanapun tegasnya, masalah tersebut berjaya diatasi oleh kerajaan negeri yang berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

"Saya menerima banyak rungutan berkenaan aktiviti haram yang sangat berleluasa tetapi setakat ini banyak yang sudah diselesaikan dan saya juga selesa dengan perlaksanaan yang dijalankan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Ini menunjukkan Adun Kuala Kubu Bharu tidak mengikuti perkembangan. Saya boleh nyatakan, 100 peratus isu ini diselesaikan dengan cara yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, kerajaan Selangor juga menerima pelbagai tohmahan lain daripada kerajaan Umno-BN termasuklah tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Menteri Pertanian, Datuk seri Noh Omar.

"Katanya (Noh) mempunyai bukti tetapi semasa pendengaran Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat), bayangnya pun tidak nampak.

"Itu menunjukkan beliau kurang perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan diri sendiri,"

selangorku/-

Nyaris maut gas meletup

Posted: 20 Mar 2012 11:41 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Akibat terlupa menutup dapur gas, seorang wanita nyaris maut dalam kejadian letupan gas di sebuah kondominium di Taman Melawati di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, 28 tahun, cedera ringan di mana dua belah tapak tangan, badan dan muka melecur.

Difahamkan, mangsa yang tinggal bersama abangnya, terlupa menutup gas dapur selepas memasak, dua jam sebelum kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju, Che Shari Abdullah berkata, mangsa yang terhidu bau gas bergegas ke dapur, namun secara tiba-tiba berlaku letupan.

"Akibat letupan itu, mangsa cedera dan mesin basuh serta tingkap di dapur, musnah," katanya.

Menurutnya, tiada kebakaran berlaku dan dapur gas juga tidak meletup.

SINAR HARIAN/-

Sostis jadi penghuni tunggal di Pulau Palaia Kameni

Posted: 20 Mar 2012 11:30 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

RUMAH yang didiami Sostis di Pulau Palaia Kameni, Greece.

PALAIA KAMENI, Greece - Seorang bekas pelaut berusia 60 tahun menjadi penghuni tunggal di pulau ini yang terletak di Laut Aegean, perairan Greece.

Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Sostis tinggal di pulau gunung berapi itu bersama anjing peliharaannya.

Dia akan menggunakan sebuah bot untuk menangkap ikan selain mengunjungi sebuah gereja di pulau itu. - REUTERS

Nikmat Ruhani

Posted: 20 Mar 2012 09:30 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Nikmat ruhani adalah latihan kesabaran yang Allah berikan kepada hambaNya yang disayangi. Latihan kesabaran dengan berbagai bentuk rasa kecewa, marah dan sakit. Salah satu kedukaan di dalam hidup kita adalah kehilangan sesuatu yang berarti tentu saja membuat kita merasa perih dihati. Terlebih kehilangan orang yang kita cintai dan kita harapkan.

Apalagi sampai kita begitu sangat bergantung kepada kehadirannya, maka rasa perih dihati yang mengiringi kepergiannya terasa amat sakit. Setiap benda atau hal yang mengingatkan kita kepada orang tersebut membuat luka hati menganga kembali dan rasa sakit yang menyayat terasa begitu nyeri.

Itulah yang terjadi pada seorang bapak yang mengatakan bahwa hanya dekat dengan Allahlah hatinya menjadi tenang. "Itulah nikmat ruhani' tuturnya. 'Dalam tekanan hidup membuat saya mencari Allah, meski saya pernah marah dan meninggalkanNya namun Allah tidak pernah meninggalkan saya."

Pukulan pertama diterimanya. Awalnya tahun lalu istrinya yang dicintai masuk rumah sakit ketika dirinya sedang berada di luar kota karena tugas kantor. Tidak lama kemudian sang istri dipanggil oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ditengah kesedihannya, ia jatuh dari kamar mandi yang membuat terbaring di rumah sakit selama satu bulan. Begitu sudah bekerja kembali, pimpinan perusahaan tempatnya bekerja dirinya di PHK karena dianggap telah melalaikan tugas kantor.

Dalam upaya mencari pekerjaan baru, ia mencoba untuk berwirausaha namun usahanya tak membuahkan hasil. Selalu saja mengalami kegagalan.Sampai batas titik nadir, rasa sakit yang dirasakan membuatnya menjerit dalam hati 'Ya Allah, aku tidak sanggup lagi.'

Pada malam itu ia mendengarkan Radio Bahana FM Jakarta di acara "Power of Peace" kemudian menghubungi Radio Bahana dan akhirnya berkunjung ke Rumah Amalia, kebahagiaan itu terpancar dari wajahnya. Tidak lama setelah itu beliau mendapatkan pekerjaan baru yang lebih baik daripada sebelumnya. Sekarang justru dirinya semakin dekat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. "Saya selalu rindu padaNya sebab kasih sayang Allah menerangi jalan hidup saya, Mas Agus dan alhamdulillah, melalui Rumah Amalia saya bisa berbagi kebahagiaan," tuturnya. Itulah yang dirasakan bahwa tawakal kepada Allah telah menjadi kekuatan dalam hidupnya.

posted by :agussyafii

Susilo cuba diguling?

Posted: 20 Mar 2012 09:25 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

JAKARTA - Polis Indonesia akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan presiden Susilo Bambang Yudhoyono bahawa ada kumpulan cuba untuk menggulingkannya melalui satu rampasan kuasa sebelum 2014.

Bagaimanapun, beberapa pihak lain menolak dakwaan Susilo itu dan menganggap ia sebagai 'usaha' untuk mengalihkan perhatian terhadap rancangan kerajaan bagi menaikkan harga bahan api.

Ketua Polis Nasional, Timur Pradopo berkata, semasa mesyuarat bersama Parti Demokratik pada Ahad lalu, presiden mendedahkan kewujudan kumpulan yang telah mula bergerak dalam senyap untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, Susilo mendakwa kumpulan tersebut akan menggunakan momentum kenaikan harga bahan api untuk mencetuskan provokasi dan hasutan.

"Setiap hari saya menerima pelbagai mesej berbentuk sokongan dan ada juga yang berbaur ugutan," kata presiden itu.

Dakwaan pemimpin tersebut turut mendapat reaksi dari ahli parti gabungannya termasuk timbalan pengerusi Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Nasir Ali yang menyifatkan kenyataan presiden itu hanya akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

"Sebagai pemimpin tertinggi negara, beliau sepatutnya kuat menghadapi cabaran dan bukannya merungut untuk menunjukkan dia seorang lelaki yang lemah," jelasnya.

SINAR HARIAN/-

Singapura Kekalkan Kedudukan Pelabuhan Paling Sibuk Pada 2011

Posted: 20 Mar 2012 09:00 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

SINGAPURA: Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai pelabuhan paling sibuk pada 2011 walaupun sektor perkapalan berhadapan keadaan mencabar sejak beberapa tahun lepas, kata Menteri Luar dan Undang-Undangnya, K. Shanmugam.

"Sejak beberapa dekad, kami telah mengekalkan kedudukan kami sebagai salah satu pelabuhan paling sibuk di dunia di segi ketibaan kapal, jualan "bunker" dan kendalian kontena.

"Ketibaan kapal di segi berat mencatatkan rekod 2.12 bilion tan metrik kasar pada 2011 (meningkat 10.5 peratus berbanding 2010).

"Jualan bunker keseluruhan pada 2011 meningkat 5.6 peratus kepada 43.15 juta tan metrik manakala kendalian kontena bagi 2011 berkembang 5.3 peratus kepada 29.94 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki)," katanya semasa berucap pada Persidangan Dewan Timbang Tara Maritim Singapura (SCMA) tahunan ke-dua di sini, Selasa.

Katanya sektor maritim penting kepada Singapura selepas menyumbang 7.0 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan menyediakan 170,000 pekerjaan.

Berikutan itu, kata Shanmugam wujud keperluan untuk mempunyai kerangka bagi memastikan pertelingkahan diselesaikan dengan berkesan.- BERNAMA

Mualaf rayu bantuan pertahan akidah anak

Posted: 20 Mar 2012 08:50 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 21 Mac: Usaha seorang saudara baru, Muhammad Riduan Abdullah, 43 menyelamatkan akidah anaknya berdepan dengan kesukaran sekiranya hak ke atas penjagaan anak-anaknya ditolak mahkamah.

(Riduan Abdullah bersama anaknya Ummu Habibah)

Perkara itu bakal diputus Mahkamah Rayuan yang akan bersidang pada 29 Mac ini.

Riduan berkata, berdasar kepada surat Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 6 Mac lalu menyebut kes tersebut telah ditetapkan untuk ditamatkan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 29 Mac ini.

Pada 11 Mac 2010 Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan hak penjagaan terhadap tiga anaknya Ummu Habibah (Prasana Diksa), 4; Abu Bakar (Karan Dinish), 14 dan Ummu Salamah (Tevi Darsiny), 15 diberi kepada bekas isterinya, M Indira Ghandi, 37.

Sedangkan sebelum itu pada April 2009 Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberikan hak penjagaan tiga anak kepada Riduan atau nama asal K Patmanathan.

Ekoran itu Riduan memfail rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh tersebut.

Riduan memeluk Islam pada 11 Mac 2009. Kemudian pada 2 April 2009 beliau mengislamkan ketiga-tiga anaknya. Bagaimanapun bekas isterinya mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam ketiga-tiga anaknya pada 25 Oktober 2009.

Indra juga membuat permohonan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan berkaitan perundangan bagi kes ibu bapa dan anak-anak yang terbabit dalam perkahwinan didaftar mengikut Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Cerai) 1976.

Namun Mahkamah Tinggi menolak permohonan Indra yang juga seorang guru tadika beragama Hindu supaya Mahkamah Persekutuan mendengar permohonannya.

Kes berkenaan juga pernah mendapat perhatian umum sehingga ke peringkat kabinet dan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu pada 2009.

Riduan berkata, anak bongsu kini tinggal bersamanya dibesarkan dalam suasana Islam dan sudah mampu menghafal ayat-ayat suci al Quran, manakala dua lagi bersama bekas isterinya.

Oleh itu beliau berharap mendapat bantuan orang ramai bagi mengumpul dana termasuk membayar kos guaman dan kos lain sehingga menjangkau RM60,000.

Malah katanya sebelum ini beliau membayar pendaftaran rayuan kes berkenaan sebanyak RM3,000.

Katanya juga beliau akan mendapat khidmat peguam lain membawa kesnya memandangkan peguam sebelum ini tidak memfail memorandum seperti dikehendaki mahkamah ekoran tidak dapat menyediakan kos guaman.

Oleh itu orang ramai yang ingin membantu Riduan boleh menghubungi talian 09 744 6736 (peguam Mustapa Kamal Mat Kasam) atau akaun Bank Islam 3018010036250.

harakahdaily/-

PRU13: Jangan lupakan isu PPSMI

Posted: 20 Mar 2012 08:30 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Antara isu yang boleh diketengahkan sebagai modal kempen dan perang psikologi bagi menghadapi PRU13 ialah isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Walaupun isu ini agak tenggelam oleh beberapa isu utama seperti isu FELDA, NFC, dan Lynas, namun perlu diingat bahawa menteri pelajaran telah berjanji pada tahun 2012 PPSMI akan dihentikan. Isu ini penting terutama bagi para pejuang bahasa kerana sehingga kini tiada tanda-tanda kesungguhan UMNO-BN untuk memertabatkan Bahasa Melayu walaupun selepas 54 tahun negara merdeka.

Kemelut PPSMI bermula pada bulan Julai 2002. Secara tiba-tiba Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui suatu mesyuarat khas jemaah menteri telah meluluskan dasar baru PPSMI.

Namun beberapa bulan sebelum keputusan itu dibuat, ramai yang tidak sedar bahawa media prokerajaan telah memainkan peranan untuk menjayakan misi tersebut.

Bermula dengan isu pengangguran, semua media cetak dan elekronik memainkan isu ini secara berterusan selama beberapa bulan. Bukan itu sahaja, isu ini dibahas, diadakan forum dan pelbagai pihak turut berbahas sama ada rakyat biasa di kampung-kampung mahupun para profesor di universiti.

Akhirnya ramai yang percaya bahawa pengangguran merupakan masalah nombor satu negara dan sesuatu perlukan dilakukan. Apatah lagi statistik yang dikeluarkan menunjukkan bahawa orang Melayu khususnya graduan universiti yang paling ramai menganggur.

Pada fasa kedua, setelah berjaya memusatkan rakyat kepada masalah pengangguran, maka kesimpulan yang dibuat ialah lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan orang Melayu.

Sekali lagi segala pemikiran dan tumpuan masyarakat dijuruskan kepada isu penguasaan bahasa Inggeris. Maka pandangan dan pendapat daripada segenap pihak dihimpun untuk membentuk suatu langkah penyelesaian. Setelah segalanya disusun dengan baik dan teratur maka sampailah kepada agenda sebenar iaitu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Ekoran daripada itulah maka secara tergesa-gesa mulai Januari 2003 PPSMI diperkenalkan secara berperingkat-peringkat dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Pada Januari 2007 pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah dan pada Januari 2008 pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah.

Pelaksanaan PPSMI dibantah oleh para pejuang bahasa yang terdiri daripada orang awam, pertubuhan bukan kerajaan dan guru sendiri, namun gagal menghalangnya daripada dilaksanakan. Pelbagai hujah, pendapat dan gagasan digunakan untuk menghalang PPSMI, namun umpama mencurah air ke daun keladi. UMNO-BN memekakkan telinga. Dasar yang merugikan bahasa kebangsaan itu tetap diteruskan.

Kemuncak kepada bantahan itu berlaku pada Mac 2009 iaitu lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Bantahan ini juga bukan sekadar cintakan bahasa kebangsaan semata-mata bahkan bersandarkan fakta. Suatu kajian yang dilakukan pada tahun 2009 mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian yang membabitkan 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Pada Mei 2009, kerajaan UMNO-BN menerima tamparan apabila kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup - Datuk A Samad Said, Profesor Dr Muhammad Haji Salleh, Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Kemudiannya pada tahun yang sama dasar PPSMI turut dipertikaikan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Akhirnya pada Julai 2009, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012.

Namun, pemansuhan itu tidak akan tercapai jika UMNO-BN menang selesa dalam PRU12 pada tahun 2008. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, desakan yang paling berkesan datang daripada undi rakyat.

Oleh itu, jika para pejuang dan pecinta bahasa ingin memastikan bahasa Melayu/bahasa kebangsaan diletakkan kembali ke tempat asalnya, tiada jalan lain yang mesti dilakukan – hanya melalui kertas undi yang diberikan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang akan datang.

harakahdaily/-

46 maut di Iraq

Posted: 20 Mar 2012 08:15 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BEBERAPA anggota keselamatan Iraq memeriksa lokasi tapak letupan bom di Hilla, selatan Baghdad semalam.

BAGHDAD - Sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh dalam serangan bom kereta dan letupan bom tepi jalan di beberapa buah bandar di Iraq semalam, kata polis dan sumber hospital.

Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan Karbala, Jamal Mahdi berkata, serangan tersebut melibatkan letupan berkembar di bandar suci puak Syiah itu yang meragut nyawa 13 orang manakala 48 lagi mangsa cedera.

"Letupan kedua menyebabkan kemusnahan paling besar. Saya melihat anggota badan manusia, jari dan tangan bertaburan di atas jalan," kata seorang pemilik kedai berusia 23 tahun, Murtadha Ali Kadhim.

"Pasukan keselamatan pula tidak bijak kerana berkumpul di tapak letupan tanpa memikirkan bahawa letupan kedua akan berlaku. Mereka turut menjadi sasaran serangan," tambahnya.

Pasukan keselamatan kerap dijadikan sasaran serangan bom dan tembakan yang berlaku pada setiap hari di Iraq.

Walaupun keganasan di Iraq telah berkurangan, para pemberontak dan militia Syiah masih berupaya melancarkan serangan di negara Asia Barat itu.

Di Kirkuk, utara Iraq, satu letupan bom kereta berhampiran sebuah ibu pejabat polis telah menyebabkan sembilan orang terbunuh manakala 42 lagi mangsa cedera.

Dalam kejadian di sini, seramai empat orang maut manakala 11 lagi cedera apabila sebuah kereta berisi bom meletup di luar sebuah bangunan pentadbiran tempatan.

Siri keganasan terbaharu itu berlaku menjelang sidang kemuncak Liga Arab yang dijadualkan diadakan di sini pada minggu depan. - Reuters

Saintis dedah mutasi genetik punca obesiti

Posted: 20 Mar 2012 08:00 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

WASHINGTON: Sekumpulan saintis Amerika Syarikat mendedahkan bagaimana mutasi dalam genetik tertentu boleh menyebabkan masalah pemakanan tidak boleh dikawal, sekali gus mengakibatkan kegemukan, lapor Daily Science, kelmarin.

Akhbar Korean Herald melaporkan kajian terdahulu mendedahkan otak mengeluarkan faktor neurotrophic (BDNF) genetik yang berkait dengan kegemukan, tetapi tiada siapa yang boleh menerangkan bagaimana ia mampu mengawal keinginan untuk makan.
Penyelidik Universiti Georgetown,

Washington menemui hasil kajian baru bahawa mutasi dalam genetik BDNF pada tikus makmal yang tidak membenarkan nueron otak berkomunikasi dengan satu sama lain. Ia menghasilkan kesan pembelajaran dan memori.
Mereka juga mendapati mutasi yang sama mendorong tikus menjadi terlalu gemuk.

Menurut kajian penyelidik kanan, Baoji Xu, BDNF memainkan peranan penting dalam pembentukan dan kematangan synapse yang membolehkan nueron menghantar isyarat antara mereka. Ia dilakukan dengan mewujudkan transkrip yang panjang dan pendek, salinan pelengkap RNA dalam urutan DNA.

Bagaimanapun, mutasi BDNF mewujudkan hanya transkrip pendek dan ia hanya bersatu dalam sel badan nueron tetapi dendrite (binaan blok nueron), menyebabkan synapse yang tidak matang dihasilkan berlebih-lebihan oleh nueron.

Ia kelihatan menyebabkan kesan pada tikus makmal.
Xu berkata ini adalah kali pertama sintesis protein dalam dendrite, cabang nueron yang seperti pokok, ditemui untuk mengawal berat badan.

Kajian turut menunjukkan leptin (hormon protein) dan insulin merangsang penyatuan BDNF dalam dendrite untuk membenarkan komunikasi antara nueron.

Bagi manusia, isyarat kimia leptin dan insulan perlu dihantar ke lokasi yang betul dalam hypothalamus, di mana ia memantau kekenyangan seseorang.

Jika penghantaran ini terganggu, pemakanan diteruskan, seperti yang berlaku pada tikus yang menambah berat badan dengan selera tidak terkawal.

Saintis kini mencari jalan membaiki kemusnahan seumpama itu dalam penghantaran isyarat dan membantu otak mengawal berat badan. – Agensi

Tanah: Musa Aman 'jaguh belakang pintu'

Posted: 20 Mar 2012 07:45 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 21 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) hari ini menyifatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebagai 'jaguh belakang pintu' yang hanya pandai melalak di sebalik tirai dengan tidak berani bersua muka di hadapan orang kampung bagi menyelesaikan masalah tanah di negeri ini.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata, sifat hipokrit Ketua Menteri itu melukakan hati ramai pihak termasuk penduduk kampung yang teraniaya disebabkan isu tanah adat mereka yang dirampas tanpa pengetahuan mereka.

"Macam mana beliau boleh jadi Ketua Menteri kalau orang kampung pun beliau tidak boleh jumpa? Mereka bukan bawa senjata mau pergi buat rusuhan, mereka hanya bawa sekeping dua kertas yang didalamnya terdapat luahan hati rakyat.

"Bersembunyi disebalik pintu kaca tanpa menghiraukan hak rakyat, ini jelas menunjukkan Ketua Menteri ini tidak berani berhadapan situasi rakyat. Tidak berani tampil memperjuangkan hak rakyat, hanya melalak-lalak di dalam akhbar dan di media sahaja," ujar beliau.

Boleh kekal, tapi sebagai pembangkang

Menurutnya, selaku Ketua Menteri yang dipilih, beliau bertanggungjawab memikul amanah rakyat, mendengar dan memahami isi hati rakyat dan menyelesaikan permasalahan berbangkit yang berkaitan rakyat.

Adalah malang baginya, Sabah mempunyai seorang Ketua Menteri yang hilang identiti kepimpinan tetapi cuba merayu dan menagih simpati untuk mengekalkan seorang Ketua Menteri yang ternyata lemah dan longlai berhadapan rakyat.

"Mereka merayu untuk terus kekal di Sabah. Kita boleh bagi mereka kekal. Tapi bukan sebagai Ketua Menteri, tapi jadi pembangkang Dun Sabah.

"Mana boleh kita kekalkan mereka yang lemah menguasai kerajaan ini. Ini kali kalau mereka itu kita kekalkan, maka semua hasil bumi dan tanah rakyat dirampas. Di mana kita mahu duduk?

"Kita berhimpun, tidak sampai 30 minit, tapi tanah yang rakyat usahakan hampir 30 tahun dirampas begitu sahaja. Tidakkah ini satu hipokrit yang besar yang dibawa oleh kerajaan Umno BN pada hari ini," tegas Lahirul.

Justeru katanya, rakyat Sabah perlu sedar akan kepentingan memperjuangkan hak dan keadilan.

Tidak dinafikan, kekuatan rakyat Sabah bersatu dengan menumbangkan kerajaan sebelum ini telah cukup membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah kuasa keramat yang tidak boleh dipertikai sama sekali.

"Sabah ada peranan tersendiri. Kali ini kita tukar baju sekali lagi. Baju yang kita pakai pada hari ini sudah koyak dan kotor. Kita tukar baju baru yang nampak lebih cantik, menarik dan tertawan semua pihak.

"Itulah baju yang kita namakan Pakatan Rakyat," jelas Lahirul

harakahadaily/-

Audit: PAS minta Najib jelaskan salah guna wang

Posted: 20 Mar 2012 07:20 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: PAS meminta Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan sejauh mana tindakan kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan wang dan kuasa sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Ini ekoran banyak isu yang membabitkan ketirisan wang negara dalam projek kerajaan.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff mengemukakan soalan demikian bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan ahli Parlimen PAS, hari ini.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [Kota Bharu] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan prospek tanaman getah dan kelapa sawit di pasaran dunia menjelang 2020.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah status jawatan Encik Abidin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Besar FELDA dan kenapakah beliau dipindahkan ke Perpustakaan JPM.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta PERDANA MENTERI menyatakan kenapakah wakil CEUPACS tidak dilibat dalam penyediaan SBPA (Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam) sehingga timbul pelbagai masalah apabila diumumkan.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [Rantau Panjang] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan tentang banyak isu-isu yang membabitkan ketirisan wang negara dalam projek Kerajaan serta sejauh mana tindakan Kerajaan dalam membanteras penyalahgunaan wang dan kuasa sebagaimana Laporan Ketua Audit Negara.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan jenis-jenis tanaman baru yang dijangka akan menjadi penyumbang kepada komoditi negara pada masa depan.

Dr. Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah hasil siasatan dan tindakan susulan pihak PDRM mengenai dua peristiwa serangan kumpulan samseng ke atas majlis ceramah pro Pakatan Rakyat di daerah Klang (Jalan Kebun dan Kg Idaman) dalam bulan Januari dan Februari 2012.

harakahdaily/-

559 calon SPM 2011 peroleh semua A+

Posted: 20 Mar 2012 07:15 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 403 pada tahun 2010.

education examination spm stpm scholarship biasiswa 090609 02Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada tahun 2010.

"Pencapaian keseluruhan calon SPM 2011 bertambah baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 5.04, berbanding 5.19 pada tahun 2010," katanya pada majlis pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata seramai 468,808 calon menduduki peperiksaan itu tahun lalu.

malaysiakini/-

Radiasi berlebihan meskipun selepas 18 tahun

Posted: 20 Mar 2012 07:00 PM PDT

28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kesan radiasi di sekitar kilang penapisan Asia Rare Earth di Bukit Merah, dan tapak pelupusan sisanya di Bukit Kledang, kedua-duanya di Perak, masih pada tahap berbahaya selepas kilang berkenaan ditutup 18 tahun yang lalu.

NONEKumpulan anti-Lynas Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL) berkata fakta itu ditemui semasa mereka cuba melawat tapak berkenaan di Perak pada hujung minggu lalu.

Menurut pengerusi SMSL Tan Bun Teet (kanan), ahli kumpulan itu yang lengkap dengan alat peranti bacaan radiasi tidak dibenarkan memasuki loji dan tapak pelupusan sisa itu tetapi bacaan radiasi di sekitar kedua-dua lokasi menunjukkan keputusan yang membimbangkan.

Bacaan berhampiran tapak kilang adalah sekitar 0.19 microsievert setiap jam manakala bacaan berhampiran tapak pelupusan sisa pula berjumlah kira-kira 0.2 microsievert bagi setiap jam.

Kedua-dua bacaan, jika dihitungkan kepada bacaan asas tahunan, adalah di luar tahap selamat iaitu pada 1 milisievert setiap tahun seperti yang dinasihatkan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), dakwa Tan.

Purata bacaan di Malaysia adalah 0.05 microsievert bagi setiap jam.

NONE"Adalah dikesalkan bahawa dalam zon penampan 1.7 kilometr dari tapak pelupusan sisa, kita masih dapati ada aktiviti pertanian pembiakan ikan, haiwan dan sayur-sayuran," kata Tan.

Walau bagaimanapun, AELB sebelum ini mendakwa bahawa tapak kilang telah dinyah-cemar dengan tahap radiasi turun dari 0.65 microsievert setiap jam kepada 0.17 microsievert setiap jam dan ia selamat untuk aktiviti manusia.

malaysiakini/-

Tiada ulasan:

Nuffnang