Khamis, 23 Februari 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Maklum bakal calon lebih awal

Posted: 23 Feb 2012 05:47 AM PST

Petikan Sinar Harian :

KUALA TERENGGANU – Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Bakar mengesyorkan mana-mana individu yang akan dicalonkan atau digugurkan perlu diberitahu lebih awal bagi mengelak perkara tidak diingini dalam parti.

Beliau berkata, ia juga boleh me­ngelakkan perkara sama yang pernah berlaku kepada beliau apabila mendakwa pernah ditipu oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh ketika pengumu­man calon pada pilihan raya umum lepas.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Marang pada waktu itu dimaklumkan Idris bahawa semua Ketua Umno Bahagian akan dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), sebaliknya lain yang berlaku apabila nama beliau dan beberapa ketua Umno bahagian lain tidak tersenarai ketika pe­ngumuman calon Februari 2008.

"Saya bukannya sedih kerana tidak dicalonkan pada waktu itu sebaliknya diberitahu bahawa semua Ketua Umno Bahagian akan dicalonkan. Begitu juga sehari sebelum pengumuman calon, kita dimaklumkan perkara yang sama bahkan turut meminta gambar.

"Cara itu menipu dan kita tertipu lainlah kalau diberitahu awal-awal kita tidak bertanding. Tidak menjadi calon tidak me­ngapa tetapi cara dia (Idris) buat, sepatutnya diberitahu awal-awal.

"Apabila diumumkan begitu, semua orang marah, penyokong kita juga mahu tahu sama ada kita mempunyai rekod buruk atau sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Antara Ketua Umno Bahagian lain yang tidak dicalonkan pada waktu itu ialah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pengundi Luar dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Umno Terengganu berkata, jika dimaklumkan awal sama ada digugurkan atau dicalonkan, ia dapat memastikan kedua-dua pihak memberi komitmen yang baik demi kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bagi bakal calon, katanya, sudah tentu ia mempengaruhi persediaan dari segi mental, fizikal dan kewangan dalam usaha melawan musuh parti.

"Memilih calon pun memerlukan transformasi dan perlu diberitahu awal-awal supaya mereka bersedia dari semua aspek. Kalau diberitahu dalam masa singkat, dibimbangi mereka tidak bersedia," katanya.

Bagi calon yang akan digugurkan, beliau berkata, individu terlibat juga perlu dijelaskan lebih awal supaya mereka tidak berasa dianiaya selain memberi peluang memujuk diri kerana beliau percaya segelintirnya tidak dapat menerima hakikat tersebut.

"Mereka patut diberitahu lebih awal supaya dapat menerima hakikat tidak dicalonkan dan diberi masa supaya dapat menyokong calon lain. Tempoh yang masih panjang sesuai untuk muhasabah diri, membelai diri, memujuk diri dan menerima hakikat mereka tidak dicalonkan," katanya.

Tiada ulasan:

Nuffnang