Selasa, 31 Januari 2012

.

.


PAS tidak iktiraf kewujudan Israel

Posted: 30 Jan 2012 08:28 PM PST



KUALA LUMPUR, 30 Jan: Sekalipun atas nama untuk mengambil hati Amerika Syarikat demi masa depan Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, tidak sekali-kali wajar dan layak untuk pimpinan parti untuk menyokong Israel apa lagi untuk memberikan perlindungan kepada golongan yang dilaknat Allah SWT.

Itulah ketegasan yang diambil para pemimpin PAS dalam kontroversi yang dicetuskan melalui putar belit media terhadap artikel Wall Street Journal (WSJ) yang memetik kata-kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong segala usaha mempertahankan Israel.

Media milik Umno dan para pemimpinnya sedang giat menggunakan petikan kata-kata Anwar di WSJ yang berbunyi I support all efforts to protect the security of the state of Israel untuk melakukan serangan bertubi pada beliau sebagai penyokong zionis.

Ketua Umum PKR itu turut mengeluarkan satu kenyataan mengecam pihak-pihak yang memutarkan kenyataannya dan menjelaskan bahawa beliau ada menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi ketika ditemubual oleh WSJ pada hari Khamis, 26 Januari 2011.

"Saya juga mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati," kata beliau, sambil menegaskan bahawa pendirian beliau selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

WSJ turut menyatakan bahawa Anwar tidak berkata beliau akan membuka pertalian diplomasi dengan Israel.

Dalam reaksi spontan di Facebook, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (kanan) mengingatkan para pimpinan bahawa "Israel adalah sebuah entiti haram."

"Ia terlalu besar dosanya terhadap ummat Islam seaqidah meskipun kita berada jauh di Tanah Melayu," tegas beliau.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan pendirian PAS yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

"Mereka mendapat tanah itu secara kejam, membunuh dan menghalau rakyat Palestine daripada buminya sendiri. Bukan menjajah, tapi secara merampas secara kejam bersama tentera Haganah pada tahun 1948.

PAS tidak akan mengiktiraf kewujudan Israel," tegas beliau.

Dalam pada itu, Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamad (kiri) menegaskan pendirian Pakatan Rakyat adalah untuk berdiri di tempat orang yang ditindas, dan bukannya yang menindas, di mana dalam isu ini ialah Israel.

"Sejarah telah menunjukkan bahawa untuk meluaskan negerinya, Israel telah menghalau rakyat Palestine keluar daripada tanah mereka ketika peperangan meletus pada 1948.

Ramai rakyat Palestine dihalau keluar dari rumah mereka untuk membuka ruang kepada Israel. Mereka sampai hari ini masih dalam kesusahan. Sebagai warga Muslim, kita mesti bersama mereka, dan bukan sebaliknya," tegas beliau yang dipetik News Straits Times

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/7822-pas-tidak-iktiraf-kewujudan-israel

PEMIMPIN ISLAM YANG BERJIWA RAKYAT - Tawar Diri Untuk Berundur?

Posted: 30 Jan 2012 06:12 PM PST

GOMBAK, 30 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin senior PAS untuk memberi ruang kepada pelapis baru bertanding di dalam pilihan raya.

Ketika diminta memperjelaskan laporan media kononnya beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Abdul Hadi berkata perkara itu adalah biasa kerana akhlak seorang muslim yang baik adalah tidak meminta jawatan.

"Memang dalam perjuangan ini kena bagi kepada pelapis-pelapis, kita dalam PAS memang begitu. Kita tak boleh berlumba nak jadi ketua, kita kena berlumba untuk berkhidmat.

"Tapi terpulang kepada ahli-ahli parti jemaah kita. Kalau tak ada orang, kita wajib ke hadapan, begitu kaedahnya," jelasnya ketika menjawab pertanyaan peserta Retreat Harakah: Persiapan Menghadapi PRU13 di Hutan Lipur Sungai Tua, dekat sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang akan berundur dari bertanding pada PRU-13 nanti.

Laporan itu sekaligus mencetuskan polemik sehingga rakan Pakatan Rakyat lain termasuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan agar Abdul Hadi tidak bertindak demikian.

Terbaru, hari ini Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menyatakan rasa tidak bersetuju dengan keputusan Abdul Hadi itu.

Katanya, Abdul Hadi, seorang manusia yang berbakat untuk memimpin, lebih-lebih lagi dalam perjuangan Islam.

Pemimpin dan media Umno pula terus mengambil kesempatan seolah-olah memberi gambaran kononnya Presiden PAS itu 'merajuk'.

"Kalau kita lihat di Tunisia, yang menonjolnya Rashid Ghannushi (Parti Nahdah), bila pilihan raya Ghannushi tak jadi calon," jelas presiden PAS itu membuat perbandingan.

Abdul Hadi telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama tujuh penggal bermula tahun 1982 dan ahli parlimen selama empat penggal serta Ketua Pembangkang di parlimen.

Beliau juga pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004 selepas PAS menang pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999.

"Inilah adab dalam parti kita, sebab itu kita berbeza dengan Umno," jelas Abdul Hadi.

Tiada ulasan:

Nuffnang