Khamis, 1 Disember 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Perbahasan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya

Posted: 01 Dec 2011 04:25 AM PST

Perbahasan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya

  • Terima kasih atas peluang diberikan kepada Lembah Pantai untuk turut serta dalam perbahasan yang begitu penting untuk memastikan hasrat rakyat terlaksana menerusi keputusan sistem pilihanraya yang telus dan adil – kerana mandat yang didapati menerusi sistem penuh penipuan dan manipulasi adalah penodaan kepada kepercayaan rakyat.
  • Justeru saya menyokong penuh usul yang dibawa oleh Ipoh Timur, dan juga Permatang Pauh dalam memastikan adanya had masa iaitu pada 1 Jan 2012 bagi seluruh jentera kerajaan, termasuk SPR melaksana semua cadangan yang diberikan oleh Jawatankuasa ini – selaku langkah awal.
  • Ucapan terima kasih patut diberikan kepada gabungan Bersih 2.0 –yang telah membawa kepada perhatian kita –tuntutan-tuntutan berikut:

i) Bersihkan senarai undi

ii) Mereformasikan undi pos

Iii) Gunakan dakwat kekal

  • Buat julung kalinya Perdana Menteri negara ini dipaksa menerima hakikat betapa tercemarnya sistem pilihanraya kita selama ini sehingga mewajibkan kita melaksana beberapa perubahan mendasar.
  • Saya pergi ke rekomendasi-rekomendasi jawatankuasa ini:

 

1. PENGGUNAAN DAKWAT KEKAL (INDELIBLE INK)

1.2 Jawatankuasa mengesyorkan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) dalam proses pengundian bagi pilihan raya umum ke-13. Bagi syor ini, Jawatankuasa mendapati bahawa pindaan hanya perlu dibuat kepada peraturan berhubung dengan pilihan raya sahaja tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan. SPR perlu menyegerakan proses pindaan peraturan-peraturan yang berkaitan untuk kuatkuasa Penggunaan dakwat kekal semasa proses pilihan raya tidak perlu membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah 2008 dalam PRU 12 : SPR telah mencadangkan penggunaan dakwat kekal, tetapi tiga hari sebelum 8 Mac 2008, penggunaan itu diumumkan ditarik balik oleh bekas pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Oleh itu, kita amat bimbang dengan pelaksanaannya nanti kerana penjelasan tentang kenapa dakwat kekal tidak digunapakai di dalam PRU ke 12 bercanggah dari segi kuasa dan kebebasan SPR.

Walau Menteri YB dari Padang Rengas menyatakan bahawa keputusan SPR untuk tidak menggunakan dakwat kekal pada 2008, jawapan Timbalan Pengerusi SPR kepada saya menyatakan sebaliknya. Beliau menyatakan kepada umum bahawa SPR memang terikat dengan arahan kabinet!

Untuk PRU13 –tidak ada sebab mengapa SPR boleh mengelak daripada melaksana tuntutan ini. Saya hanya mahu menambah pelaksanaan dakwat kekal – yang dibenar oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan tidak menghalang air sampai ke kulit – harus digunakan setelah seorang pengundi selesai menunaikan tanggungjawab dalam proses pengundian.

Dakwat kekal dilaksanakan di 130 buah negara, dan kita perlu menggunakan tanda aras antarabangsa untuk memperbaiki tahap pelaksanaan sistem kita.

Kalau kerajaan boleh menggunkan kepakaran taraf antarabangsa, APCO dan FBC mengapa tidak mahu menggunakan contoh negara-negara lain dalam penggunaan dakwat kekal untuk menghapuskan penipuan pilihanraya yang melibatkan pengundian berulang kali.

2. PENGUNDIAN AWAL

2.3 Jawatankuasa mengesyorkan bahawa kategori pemilih yang dibenarkan mengundi awal adalah terdiri daripada golongan anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.

2.4 Jawatankuasa mengesyorkan mana-mana anggota tentera dan polis tidak termasuk pasangan yang tidak dapat mengundi awal kerana bertugas di perbatasan dan lapangan hendaklah memohon untuk mengundi secara pos.

Persoalan saya : Pengundian dijalankan di dalam atau di luar kem? Mekanisme pelaksanaan harus memastikan wujudnya ruang bagi pengundi-pengundi awal melaksanakan tanggungjawab dengan tanpa tekanan.

SPR pada 28 Oktober 2011 bercadang membenarkan pemilih yang berkhidmat dalam beberapa sektor pekerjaan seperti media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).2

Cadangan saya : Pengiraan Undi dilakukan pada hari yang sama pembuangan undi dan disertakan di dalam Borang 13 pada hari yang sama.

3. PENGUNDI TIDAK HADIR LUAR NEGARA (absentee voters)

3.2 Jawatankuasa mengesyorkan SPR melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk meluaskan kategori pengundi tidak hadir luar negara kepada semua warganegara Malaysia yang layak.

Kes ;

Enam rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara menfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan mereka sebagai pengundi tidak hadir pada pilihan raya umum akan datang.3

Cadangan: Untuk memastikan pelaksanaan lancar, persediaan perlu dimulakan daripada sekarang kerana hakikatnya di konsulat-konsulat Malaysia seluruh dunia, tidak ada persediaan mencukupi untuk melunaskan proses bagi absentee voters.

4. PEMBERSIHAN DAFTAR PEMILIH

6.3 Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR melantik MIMOS Berhad untuk membuat verifikasi terhadap isu-isu berikut dan melaporkan balik penemuan kepada Jawatankuasa.

Cadangan: Kita memerlukan pihak ketiga untuk mengaudit kerja MIMOS kerana kaitannya dengan kerajaan.

6.4 Jawatankuasa ini juga mengesyorkan supaya SPR mengadakan pemerakuan semula senarai daftar pemilih di Sabah.

6.5 Jawatankuasa mengambil maklum permintaan dan desakan pelbagai pihak dari pendengaran awam di Kota Kinabalu supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bahawa terdapat rakyat negara asing memperolehi status kewarganegaraan dan terlibat dalam proses pendaftaran pemilih khasnya di Sabah. Walaupun perkara ini adalah luas dan luar daripada terma rujukan utama Jawatankuasa ini, namun Jawatankuasa mengesyorkan supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

Projek IC di Sabah

Aktivis hak asasi dan masyarakat, Dr Chong Eng Leong berkata, menurut kajiannya sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah.

Dr Chong mengupas tentang Projek IC bagi membawa pendatang tanpa izin ketika Malaysia di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1980 an dan 1990 an.

Projek IC di Sabah merupakan projek rahsia dan tersusun yang membabitkan beberapa parti politik termasuk agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Dakwaan Dr Chong : penduduk tempatan yang dilahirkan di Sabah meningkat sebanyak kira-kira 120,000 antara 1951 dan 1960 tetapi bilangan pengundi dalam senarai daftar pemilih 1999 bagi mereka yang lahir antara 1952 dan 1960, meningkat sebanyak 150,000.

“Jika 80 peratus daripada 120,000 itu merupakan pengundi berdaftar, maka pengundi kelahiran Sabah adalah di bawah 100,000. Mengapa ada 150,000 ?”

Cadangan: Memandangkan masalah ini begitu serius, dan juga bermula di Semenanjung, saya cadangkan penubuhan RCI ini serta-merta tidak sekadar jangka masa panjang.

Akhir kalam, saya pinta agar dijamin pelaksanaan kesemua cadangan-cadangan jawatankuasa ini.

Kita tidak mahu sampai dikatakan bahawa kerajaan BN mempraktikkan Pendakwaan terpilih dengan izin 'selective persecution' – sekarang kita ada pembentangan rang undang-undang secara terpilih dengan izin 'selective legislation'- kalau dalam kita lihat PA 2011 diluluskan  empat jam – tanpa psc kita lihat kecekapan parlimen – soal reformasi pilihan raya mesti dibuat dengan tata cara yang sama.

Atas kerana itu, BN dilihat anti rakyat –kerana menekan suara-suara termasuk suara Bersih sehingga dipaksa dengan kehadiran Pakatan Rakyat untuk berubah.

Menjelang PRU 13 nanti, saya juga menggesa Perdana Menteri yang mencanangkan gagasan 1 Malaysia, bertanding di kawasan-kawasan pilihan raya 1 Malaysia yang mana komposisi pengundi dikalangan kaum di ngara ini adalah seimbang. Terdapat 115 kawasan parlimen 1 Malaysia yang mana komposisi pengundi adalah 30 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan 30 peratus India.

Bukan sahaja Perdana Menteri ataupun Presiden UMNO sahaja yang patut untuk bertanding di kawasan 1 Malaysia ini, malahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden, Naib Presiden.

Kerana pada masa ini, kalau kita lihat Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Kita lihat kawasan-kawasan parlimen ini:

Pekan kawasan Parlimen Presiden UMNO,  jumlah pengundi Melayu, 92.96 peratus, Cina sebanyak 0.91 peratus dan Lain-lain sebanyak 3.25 peratus.

P85 PEKAN

        Jumlah Pengundi: 58,217

Peratusan Kaum:M: 92.96% C: 2.88% I: 0.91% L: 3.25%

Pagoh kawasan Parlimen Timbalan Presiden UMNO , jumlah pengundi melayu 62.82 peratus, cina 32.29 peratus dan India sebanyak 4.21 peratus.

P143 PAGOH

        Jumlah Pengundi: 40,042

Peratusan Kaum:M: 62.82% C: 32.29% I: 4.21%

Ketua Pemuda UMNO, Rembau, jumlah pengundi Melayu ialah 68.9 peratus, Cina sebanyak 15.2 peratus dan India 15.8 peratus.

P131 REMBAU

        Jumlah Pengundi: 62,896

Peratusan Kaum:M: 68.9% C: 15.2% I: 15.8% L: 0.07%

Naib Presiden UMNO di kawasan Sembron pula dikatakan akan berpindah dikawasan lain kerana Parlimen itu adalah parlimen 1 Malaysia.

P153 SEMBRONG

        Jumlah Pengundi: 33,181

Peratusan Kaum:M: 54.09% C: 36.20% I: 9.63%

  • Mengenai Ketua Wanita UMNO, menegaskan beliau tidak terlibat dalam isu NFC, beliau berkata ia hanya  melibatkan suami dan anak-anak beliau.
  • Sehubungan itu memandangkan seluruh UMNO termasuk Presiden UMNO menyokong Ketua Wanita UMNO ini  mencabar Presiden UMNOZ  dalam perhimpunan agung yang sedang berlangsung kerana pucuk pimpinan umno yakin dan percaya bahawa ketua wanita tidak ada kena mengena atau tidak langsung berpengaruh, atau tidak mendapat manfaat daripada projek ini – maka saya mencabar meletakkan  ketua wanita itu calon pilihan raya mempertahanakn kuota kerusi wanita, meletakkan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil  di kawasan Lembah Pantai.
  • Wanita UMNO  jangan lepaskan kuota wanita di Lembah Pantai, sekiranya tidak mempertahankan kerusi lembah pantai bermakna Wanita UMNO telah dipinggirkan oleh kepimpinan.
  • Sekian, terima kasih atas peluang yang diberikan. Saya menyokong usul yang dibawa oleh jawatankuasa ini dan menggesa semuanya dilaksana menjelang PRU yang akan datang.

Tiada ulasan:

Nuffnang