Jumaat, 2 Disember 2011

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


Penempatan: Masa depan bakal guru suram

Posted: 01 Dec 2011 03:08 PM PST



Penempatan: Masa depan bakal guru suram
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Dis 2011 : Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK) hari ini membawa tuntutan mereka agar Menteri Pelajaran menyelesaikan masalah penempatan guru ke Parlimen untuk diambil tindakan segera.

Gabungan tersebut mengambil tindakan demikian selepas masih belum ada tindakan positif daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mahupun Kementerian Pengajiian Tinggi (KPT) berhubung masalah yang dihadapi mereka.

Presiden GMPK, Mohd Abdullah Mohd Yusuf berkata, pihaknya menggesa Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula dan menyelaraskan dasar pengambilan Guru Sandaran Tak Terlatih (GGSTT), Kursus Pengajian Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pengajian Lepasan Ijazah (DPLI), j-QAF dan guru pakar luar negara di setiap peringkat.

Pengambilan guru-guru selain daripada Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) katanya tidak wajar kerana dalam masa sama masih ramai guru yang belum mendapat penempatan.

"Kementerian Pelajaran Malaysia perlu segera mengumumkan tarikh rasmi dibuka permohonan penempatan guru ISMP," kata beliau pada sidang media sebelum menyerahkan memorandum tuntutan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

GMPK yang ditubuhkan selepas konvensyen pra perguruan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bulan lalu turut menuntut KPM menjelaskan segera status kontrak pemegang biasiswa kementerian yang masih belum mendapat penempatan.

Selain itu, kerajaan dicadangkan memberi insentif dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan ISMP sehingga mendapat pekerjaan tetap, serta menyelesaiakan masalah dalaman di antara KPM dan KPT.

"Unjuran KPM semasa menawarkan program khusus pendidikan di IPT dengan pengumuman terbaru had umur persaraan dinaikkan ke 60 tahun baru-baru ini tidak selari menyebabkan masalah lambakan graduan ISMP," katanya.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS selepas mendengar tuntutan tersebut berkata, KPM perlu mencari penyelesaian segera bagi mengelakkan graduan ISMP tiada pekerjaan setelah bertungkus lumus menjalani pengajian.

Katanya, kerajaan seharusnya sudah jelas bilangan guru yang diperlukan sebelum melakukan pengambilan pelajar dalam bidang ini.

"Masa depan mereka agak suram dan memerlukan kata putus daripada pihak kerajaan agar mereka segera mendapat penempatan.

"Ini merupakan satu kecelaruan, ketidakselarasan di antara KPT dan KPM.

"Kerajaan seharusnya dapat mengenal pasti masalah-masalah yang bakal timbul, tidak sepatutnya wujud lambakan bakal guru ini," katanya.

Awal November lalu, graduan ISMP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memulakan demonstrasi menuntut diberi penempatan dan membantah kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan graduan UPSI supaya "cari kerja lain".

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6814-penempatan-masa-depan-bakal-guru-suram

Tiada ulasan:

Nuffnang