Selasa, 27 Disember 2011

Khalid Samad

Khalid Samad


Lawatan Ke Gaza Bersama Rombongan Ahli Parlimen Antarabangsa

Posted: 26 Dec 2011 06:58 PM PST

Saya telah berkesempatan ke Gaza pada 21 hingga 24 November bersama 2 orang Ahli Parlimen Malaysia lain iaitu YB Ustazah Siti Zailah (Rantau Panjang) dan YB Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja). Ianya merupakan lawatan yang diatur oleh 2 NGO antarabangsa iaitu 'Council for European and Palestinian Relations' (CEPR) yang beroperasi di Brussels dan Rabitah Ulama' Ahlus Sunnah yang beroperasi di Mesir. Lawatan ini merupakan lawatan oleh beberapa Ahli Parlimen dari beberapa benua, khususnya Eropah, Afrika, Amerika Selatan dan Asia. Kesemuanya terdapat hampir 50 Ahli Parlimen dan 40 lebih ahli NGO dan pemberita.

Kami bertiga telah bertolak ke Mesir pada malam 17 November dan tiba di LTA Kaherah pada awal pagi 18 November. YB Siti Zailah telah disambut oleh ahli keluarganya yang sedang menuntut di Kaherah sambil saya, isteri saya dan YB Dr Siti Mariah disambut oleh keluarga Mesir kenalan isteri saya.

'Keluarga Misri' ini telah terus membawa kami dari LTA Kaherah ke Giza untuk melawat Piramid Giza dan seterusnya ke rumah mereka di sebuah Bandar beberapa kilometer dari Kaherah. Kami berada di situ dari 18 hingga ke tengah hari 20 November. Pada keesokkan harinya kami berkesempatan untuk ke kawasan kampung dan pada malamnya setelah kembali, sempat bertemu dengan para pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti di bandar berkenaan.

Pada 20 November kami bertolak balik ke Kaherah untuk bertemu dengan rombongan ahli Parlimen di Hotel Piramisa Kaherah. Kami bertemu kembali dengan YB Siti Zailah di hotel tersebut.

Pada pagi 21 kami telah menaiki bas dari hotel tersebut untuk ke Raffa iaitu pintu masuk ke Gaza. Isteri saya kembali ke bandar kawannya dan berada di sana sehingga kepulangan saya ke Kaherah pada 24 Nobember. Perjalanan ke Raffa mengambil masa 10 jam lebih dan kami tiba di Gaza pada waktu senja di mana kami telah disambut oleh pihak kerajaan Gaza dan dijamu makan malam.

Pada 22 hingga ke 24 November kami telah dibawa ke beberapa tempat untuk menghadiri majlis penerangan yang bertujuan menjelaskan kepada semua ahli Parlimen, khususnya yang dari Eropah, segala kesusahan yang dihadapi rakyat Gaza hasil sekatan yang dikenakan ke atas mereka oleh Israel.

Kejayaan program ini dapat disimpulkan dengan ucapan wakil Ahli Parlimen Portugal, seorang wanita, yang menyatakan bahawa "sekatan ini bertujuan untuk menghina rakyat Palestine Gaza. Tetapi ianya sebenarnya merupakan suatu penghinaan kepada dunia kerana keadaan yang sebegini dapat diwujudkan oleh Israel".

Di antara kisah yang akan saya sentiasa ingat adalah yang melibatkan seorang wanita Gaza yang telah ditahan Israel. Pada ketika itu beliau mengandung 1 bulan. Walaupun dalam keadaan mengandung, beliau telah diseksa dan akhirnya apabila tiba masa untuk bersalin, tangan dan kakinya digari ke katil dan beliau bersalin melalui pembedahan Caesarean. Selepas itu, beliau diberi sebiji pil Panadol sehari untuk menahan kesakitan. Bayi yang baru dilahirkan pula tidak diberi apa-apa ubat-ubatan atau suntikan.

Mendengar kisah beliau, saya dipenuhi perasaan sedih dan sebak dan tidak dapat memahami bagaimana manusia sanggup menzalimi sesama sendiri sehingga begitu sekali.

Kami bertolak kembali ke Kaherah pada 24 tengah hari. Kami sampai di Kaherah pada lewat malam dan terus dibawa ke Hotel Piramisa. Pada pagi esoknya, iaitu hari Jumaat, kami telah singgah di Medan Tahrir bagi melihat keadaan rakyat Mesir sedang berkumpul untuk berdemonstrasi. Sebelum masuk waktu Jumaat, kami telah bertolak ke rumah para pelajar dan solat berhampiran rumah mereka.

Petang itu, sebelum bertolak ke LTA Kaherah, kami telah sempat mengadakan program bersama pelajar Malaysia. Bersama ini disertakan beberapa keping gambar lawatan ke Mesir dan ke Gaza untuk tatapan pengunjung.



WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang