Rabu, 7 Disember 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


PEKELILING SBPA KELUAR HARI INI

Posted: 07 Dec 2011 03:21 PM PST


PUTRAJAYA, 7 Dis — Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan dakwaan bahawa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) memberi kenaikan gaji yang terlalu tinggi bagi penjawat Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Premier berbanding mereka di kumpulan sokongan yang kini dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, andaian dan tanggapan sedemikian adalah tidak betul kerana kadar upah di bawah sistem saraan mengambil kira semua aspek agar ia dapat memenuhi sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Sambil mengakui memang ada cakap-cakap sedemikian dalam dunia siber, Abu Bakar memberitahu, kakitangan awam kena melihat secara menyeluruh dan manfaat jangka panjang daripada SBPA.

"Apa yang mereka lihat adalah jangka pendek... itu persepsi mengenai manfaat jangka pendek. Mereka kena melihat kemudahan dan gaji dari segi jangka panjang," kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran Pekeliling SBPA di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau ditanya soalan sama ada ada kebenaran berhubung rungutan dan aduan sestengah pihak bahawa kakitangan peringkat rendah hanya menerima perubahan gaji yang kecil manakala pegawai di Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Premier sebaliknya.

SBPA mewujudkan empat hierarki perkhidmatan awam iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

Di bawah SBPA yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini, peruntukan gaji secara 'single point' tanpa kenaikan gaji tahunan diberikan kepada Kumpulan Premier dan konsep Jadual Gaji Minimum-Maksimum kepada Kumpulan Pengurusan Tertinggi dengan kenaikan gaji tahunan diberi mengikut pencapaian prestasi.

SBPA juga menyediakan peruntukan jadual gaji sebaris kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Sekarang mereka berada dalam sistem gaji tiga baris atau tiga lapisan.

Kesemua 1.4 juta kakitangan awam termasuk mereka yang masih di bawah Sistem Saraan Baru (SSB), yang diperkenalkan pada 1991 sebelum digantikan dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM) akan diberi opsyen sama ada mahu menerima SBPA ataupun sebaliknya.

Jika mereka memlih untuk kekal dalam SSB dan SSM, mereka akan menikmati sistem saraan lama.
Tempoh opsyen selama dua minggu akan berakhir 31 Disember dan Abu Bakat menyifatkan masa itu memadai untuk membuat keputusan.

Mengulas lanjut mengenai rungutan bahawa Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Premier menerima perubahan gaji sehingga RM5,000, Abu Bakar tidak menolak kemungkinan ia dikaitkan dengan kedudukan gaji peringkat maksimum.

Misalnya kata beliau, seorang pemandu yang kini menerima gaji bersama elaun sebanyak RM1,222, di bawah SSM, akan dibayar RM1,425 di bawah SBPA.

"Itu adalah kadar minimum. Maksimum pula RM2,965 di bawah SBPA berbanding RM1,882 di bawah SSM... jadi ada kenaikan lebih RM1,100," katanya.

Bagi kakitangan di bawah Gred 48, gaji minimum adalah RM4,431 manakala SBPA pula RM4,520. Dalam pada itu gaji maksimum gred itu di bawah SSM dan SBPA masing-masing RM6,439 dan RM8,840 iaitu perbezaan sekitar RM2,400.

"Jadi kita kena melihat jangka panjang dengan kemajuan kerjaya penjawat-penjawat awam," kata beliau lagi.

Sambil menegaskan SPBA bukannya satu pelarasan gaji, Abu Bakar menambah, secara purata perubahan gaji adalah antara tujuh sehingga 13 peratus.

Pekeliling berkenaan pelaksanaan SBPA dikeluarkan hari ini.(malaysianinsider)

UGUTAN NAJIB BUKTI UMNO SEDAR AKAN HILANG KUASA

Posted: 07 Dec 2011 05:51 AM PST


KUALA LUMPUR, 7 Dis: PAS menyifatkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Perdana Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Isnin lalu sebagai berbaur ugutan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, kenyataan Najib bahawa orang Melayu dan umat Islam mesti menyokong Umno BN jika mahu masa depan yang cerah, jelas bertujuan menimbulkan ketakutan kepada orang Melayu.

Ia sekaligus menggambarkan Umno BN seolah-olah semakin sedar mereka akan hilang kuasa selepas pilihan raya umum ke -13 nanti.

"Ada sesuatu yang tidak sihat daripada ucapan itu. Ada kecenderungan di kalangan pemimpin BN, seolah-olah mereka tak boleh terima kalau mereka kalah dalam pilihan raya.

"Kalau ucapan yang dibuat berbau kekerasan kerana nak pertahankan kuasa, ini sesuatu yang sangat berbahaya," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga berkata, Umno BN sebaliknya harus memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan di peti undi, bukan mengugut masa depan mereka menjadi malap sekiranya memilih Pakatan Rakyat.

"Semua pihak sama ada Perdana Menteri ataupun institusi keselamatan seperti polis dan tentera bahkan badan bukan kerajaan seperti Pekida, Perkasa dan sebagainya harus akur dengan mandat yang diberi rakyat.

"Jika dalam pilihan raya umum rakyat beri kepercayaan selain kerajaan yang sedia ada, rakyat harus menghormatinya," katanya.

Tambah Mazlan lagi, beliau yakin ucapan Najib itu mempunyai maksud tersirat iaitu memberi isyarat kepada Pekida agar tidak sekali-kali "belot" dengan parti pemerintah.

Justeru katanya, semua pihak harus berhati-hati dengan ucapan berbaur ancaman dan provokasi itu.

"Saya yakin apa yang diungkapkan Najib ada maksud tersirat yang nak disampaikan kepada pertubuhan seperti Pekida itu.

"Jadi saya harap ucapan yang berbau ancaman dan provokasi ini dapat diteliti oleh pihak polis supaya ini tidak menjadi satu galakan kepada budaya samseng dalam negara kita seperti yang ditunjukkan oleh BN melalui siri gangguan dalam ceramah Pakatan Rakyat yang semakin kerap berlaku," katanya.

Selain itu, tegas Mazlan, ugutan bahawa Melayu akan menjadi bangsa yang bangsat dan merempat jika tidak diperintah Umno BN langsung tidak berasas.

Sebaliknya beliau berkata, nasib Melayu sekarang ini memang sudah tidak terbela angkara Umno sendiri yang mengaut kekayaan untuk kroni mereka.

"Pakatan belum diberi peluang mengambil alih Putrajaya lagi, bagaimana Najib kata orang Melayu akan jadi bangsa yang bangsat, merempat?

"Hari ini pun kalau senaraikan isu orang Melayu, memang dah jadi bangsat pun. Angkara siapa kalau bukan angkara Umno.

"Kononnya kalau bagi kuasa kepada Pakatan Rakyat Melayu akan bangsat, akan merempat, ini kenyataan yang melampau dan tak patut keluar dari mulut Perdana Menteri," katanya.(harakahdaily)

Tiada ulasan:

Nuffnang