Isnin, 5 Disember 2011

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


ADUN CHANGKAT JONG ZIARAH MANTAN KETUA CAWANGAN

Posted: 05 Dec 2011 06:16 AM PST


TELUK INTAN, 5 Disember - Jarang beliau menangguhkan sesuatu perkara apatah lagi apabila melibatkan soal kebajikan. Itulah antara budaya kerja ADUN Changkat Jong, YB Hj. Mohd. Anuar Sudin semasa menangani permasalahan rakyat.

Sebaik sahaja menerima maklumat melalui SMS, YB Anuar terus menziarahi mantan Ketua Cawangan PAS Taman Seri Setia, Ustaz Alias bin Malik,72, yang telah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan sejak 2 Disember yang lalu. Beliau telah dimasukkan ke hospital setelah mengalami masalah gatal kulit di samping menjalani rawatan susulan setelah menjalani pembedahan tonsil tahun lalu.

Kehadiran YB Anuar dan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan, Rahmat Maliki telah disambut mesra oleh isterinya. YB Anuar mengambil kesempatan berbual-bual ringan dengan Ustaz Alias yang kelihatan masih memerlukan rehat secukupnya.

Ustaz Alias dan isteri mengucapkan terima kasih atas kunjungan ziarah YB Anuar itu.

intanhijau.blogspot.com

UMNO IBARAT ' KERETA TAK ADA BREK' - MURSYIDUL AM PAS

Posted: 04 Dec 2011 06:26 PM PST


SHAH ALAM, 5 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno sebagai 'kereta tiada brek' kerana tidak mempedulikan suruhan dan larangan Allah SWT.

Ini kerana, katanya Umno berpegang kepada dasar kebangsaan dan membelakangkan Islam dalam perjuangannya sehingga menyebabkan tidak ada kawalan dalam melakukan perkara duniawi.

Katanya, kerana membelakangkan Islam, maka Umno menolak mukallaf iaitu seseorang itu dipertanggungjawab menjalankan perintah dan larangan-Nya setelah mencapai usia dewasa atau akil baligh.

"Mukallaf ini Umno tak peduli. Kerana apa? Kerana Umno ini dasarnya kebangsaan. Agama kemudian. Jadi mana mukallaf? Umno sudah buang satu kerja yang ditetapkan oleh Allah bahawa tiap-tiap manusia bila akil baligh mesti buat ini, dan mesti tinggal itu.

"Dalam Umno, sebab dia singkir Islam dan ambil kebangsaan, maka tidak ada mukallaf. Sebab itu timbul rasuah, timbul dadah, pecah rumah, rompak, jual bayi, timbul macam-macam perkara kerana rakyat di bawah pemerintahan Umno sudah hilang brek. Kereta tak ada brek. Kereta lumba pun ada brek," kata beliau sewaktu berucap di majlis Rapat Rakyat di perkarangan Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.

Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, brek bagi seseorang manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum ialah takwa kepada Allah.

Jika tiada takwa katanya, manusia akan melakukan apa sahaja yang disukainya.

"Brek ialah takwa kepada Allah. Tiap-tiap manusia Allah bekalkan dengan nafsu. Ada nafsu amarah dan nafsu-nafsu lain.

"Nafsu amarah, kerja dia turut nafsu. Apa sahaja yang nafsu nak, kena buat. Breknya apa? Tak ada.

"Sebab itu Allah suruh bertakwa. Melayu ke kamu, Cina ke, India ke, Orang Asli ke, kena bertakwa. Ini brek. Brek ini ialah bila ada rasa sayang kepada Allah.

"Mahu tidak mahu, Melayu khususnya Melayu muslim kena ingat, takwa kepada Allah ialah brek untuk mengikat nafsu amarah," katanya sambil mengingatkan, syurga dan neraka tetap wujud sama ada manusia yakin atau tidak dengan kewujudannya.

"Syurga, neraka ini bukan projek kerajaan, projek Allah," katanya di hadapan kira-kira 10,000 yang hadir.

Rapat Rakyat itu diadakan sebagai menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin Umno sepanjang perhimpunan agung parti itu yang berakhir Sabtu lalu.

Turut berucap ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan ahli jawatankuasa DAP, Teresa Kok.(harakahdaily)

Tiada ulasan:

Nuffnang