Sabtu, 12 November 2011

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


‘Zikir agung’ : Kenapa Jais lambat bertindak?

Posted: 11 Nov 2011 07:27 PM PST

Marang : "Sepatutnya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) gembira dengan penyertaan ramai pendakwah yang ingin menyebarkan agama Islam.

Akan tetapi sayangnya kebanyakan pejabat agama seolah-olah tidak selesa dengan senario terkini dan seperti membenci pendakwah-pendakwah serta bertindak seperti mengikut telunjuk pihak ketiga pula.

Jika salah apa yang diajar (oleh pendakwah-pendakwah itu), maka perbetulkan," kata ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas isu berkaitan 'zikir agung' yang menyebut nama bekas pemimpin al-Arqam Ashaari Muhammad di sebuah asrama kebajikan di Puchong yang sehingga kini masih tidak diambil tindakan oleh Jais.

Sedangkan ketika bekas artis Bob Lokman sedang memberikan tazkirah, Jais dengan pantas bertindak menghalang beliau pada hari yang sama.

Waran tangkap kepada Bob Lokman juga telah dikeluarkan baru-baru ini atas kesalahan mengajar tanpa tauliah.

Semalam didalam laporan sebuah akhbar tempatan, bekas orang kanan al-Arqam Sheikh Hussien Sheikh Omar telah membuat laporan polis terhadap Pengarah Jais, Marzuki Hussin atas kenyataannya berhubung isu 'zikir agung' ini.

Dalam kenyataannya, Marzuki mendakwa pihaknya telah mengetahui mengenai 'zikir agung' ini sejak setahun yang lalu tetapi masih belum mengambil tindakan sehingga kini.

Bertolak dari kenyataan Marzuki itu, Sheikh Hussien mendesak agar Marzuki meletak jawatan atas kegagalannya bertindak kerana ini adalah isu akidah.

"Jais sudah mengetahui berkenaan isu 'zikir agung' ini sejak setahun lalu. Sampai bila mahu siasat perkara ini?" beliau dipetik sebagai berkata.

Sheikh Hussien yang juga Timbalan Presiden Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) dilaporkan akan membawa perkara ini ke peringkat antarabangsa.

'Zikir agung' ini seperti yang dijelaskan oleh kakitangan asrama kebajikan itu, ialah menyebut-nyebut nama Abuya (Ashaari Muhammad) sebagai zikir selepas solat.
Mereka akan mengadu dan meminta pertolongan kepada Abuya dengan cara bertawassul.

Tambah Ustaz Mohd Nor lagi, sekiranya pendakwah-pendakwah ini tiada tauliah, maka berikan kepada mereka, sehingga terbukti penyelewengan agama telah dilakukan, barulah tindakan diambil.

Tetapi apa yang berlaku sekarang menurut beliau tindakan itu bagaikan salah diberi keutamaan diantara isu akidah dan isu tauliah.

"Jika hal seperti yang terjadi kepada saudara Bob berterusan, kita bimbang masyarakat akan membuat anggapan bahawa pejabat agama suka masyarakat menjadi jahil agama.

Jika tidak diselesaikan(tangkapan terhadap pendakwah-pendakwah tanpa tauliah), kita bimbang masyarakat akan terus tinggal dalam keadaan batil.

Dan yang paling kita tidak mahu, takut-takut ialah tindakan-tindakan ini dibayangi oleh tangan-tangan politik di belakang Jais," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu itu mengakhiri perbualan.

Gesa umum pilihan raya lebih awal

Posted: 11 Nov 2011 06:17 PM PST

Petikan Sinar Harian:


Kuala Terengganu – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan pilihan raya umum lebih awal bagi memberi peluang kepada pengundi membuat penilaian.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, penetapan tarikh lebih awal juga melambangkan sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara lebih telus selain memberi peluang kepada semua pihak bersiap sedia.

Menurutnya pilihan raya adalah perkara yang besar dan tidak harus disembunyikan daripada pengetahuan umum dengan mengadakan pilihan raya secara mengejut.

"Perkara ini menjadi persoalan besar kepada masyarakat yang sepatutnya ditentukan awal supaya masyarakat boleh berfikir dan membuat penilaian kerana mereka mempunyai hak memilih," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Bagaimanapun, Mohd Nor menjelaskan bahawa tarikh pilihan raya di negara ini tidak pernah diumumkan lebih awal, sebaliknya pilihan raya mengejut bertujuan memberi kelebihan kepada satu pihak.

Mengulas mengenai ramalan pembangkang mengenai tarikh pilihan raya yang dijangka berlaku tahun ini, beliau berkata PAS bersedia bila-bila masa sahaja menghadapi kemungkinan tersebut.

Pihaknya tetap menyerahkan perkara berhubung tarikh sebenar pilihan raya kepada Najib.

Bagaimanapun beliau tidak menolak pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa sahaja termasuk musim banjir memandangkan Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami banjir besar tahun ini.

Berdasarkan sejarah katanya, pilihan raya di negara ini pernah berlaku pada musim haji, namun menjelaskan Umno sebenarnya mendapat pandangan tertentu untuk memastikan pilihan raya menyebelahi mereka.

"PAS bersedia bila-bila masa dan melihat suasana ketika ini, banyak isu berlaku termasuk laporan audit yang didedahkan baru-baru ini di Parlimen," katanya

Tiada ulasan:

Nuffnang