Selasa, 6 September 2011

.

.


UCAPAN MOHAMAD SABU TENTANG KOMUNIS - Mat Indera?

Posted: 05 Sep 2011 03:50 PM PDT

Ucapan Mohamad Sabu tentang komunis
Mohamad Sabu

Transkrip ucapan Mohamad Sabu di Padang Menora , 21 Ogos 2011 yang dijadikan isu oleh media dan pemimpin Umno...Editor

Assalamualaikum.

Alhamdulillahirobbil Alamin, Wassalatuwassalamu Ala Ambiya'i Walmursalin, Wa'ala Alihi Wasohbihi Ajma'in.

Yang Mulia Saudara Pengacara Majlis, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP yang baru meninggalkan majlis kita, Alfadhil Dato' Dr Mahfoz Muhammad, Naib Ketua Dewan Ulama PAS, juga Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Khalid Man Timbalan Pesurujaya, Seluruh Ahli-ahli Jawatankuasa Peringkat Perhubungan Negeri, Seluruh Jawatankuasa PAS Kawasan Tasik Gelugor, Seluruh Jawatankuasa Pemuda , Muslimat dan Seluruh Alim Ulama , Rakan-rakan daripada Parti Keadilan, Para hadirin hadirat, Muslimin Muslimat yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, sekali lagi kita dapat bertemu pada malam ini, Insya ALLAH lepas raya ni boleh berdiri eloklah kot, aaaa….dah seminggu saya buang kerusi roda, sekarang dah boleh pakai tongkat… aa..jadi lepas raya ni jadi Pak Maunlah , boleh buang tongkat…

Itu adalah dalam perjuangan ini, nasib saya macam tu nak buat macam mana, aaa….kalau kita nak ikut pasai apa tak kena semua orang….kita, redha dengan apa yang ALLAH uji kita dalam perjuangan ini… saya sendiri "ISA" kena 2 kali….bicara kes mahkamah ni…setakat la 5 kes…..dah menang dah … 4 , tinggal satu lagi, hak nak mai kedepan hak kita nak saman tu berlambak lagi , jadi saya hadapi nasib macam tu …dalam perjuangan ini….nak buat camna…kalau ditahan di balai polis, lokap tu ….selalu lah, Cuma kita rasa apa yang dilalui itu adalah perkara yang kadangkalanya terpaksa, untuk kita membuat pembaharuan …politik tentulah melalui perjuangan , bukan melalui hamparan permaidani merah…

Hadirin yang dihormati sekalian, sebelum saya pergi kepada perkara-perkara yang saya nak sampaikan saya lancarkan dulu kutipan derma pada malam ini, untuk tuan-tuan membantu perjuangan kita, para petugas diminta untuk bertemu dengan mereka yang hadir pada malam ini.

Alhamdulillah bulan Ramadhan, ramai begini hadir dalam majlis penerangan kita, petugas bertemu dengan setiap mereka yang hadir….ini malam sepuluh terakhir, sebarang sedekah jariah kita untuk perjuangan mendaulatkan Islam , menegakkan keadilan, menentang kemungkaran akan mendapat ganjaran di sisi ALLAH Subhanallahu Taala. Para petugas bertemu dengan setiap mereka yang hadir, saya akan cuba terus memberi ucapan.

Isu kemalangan Bersih

Hadirin hadirat yang dihormati sekalian, saya ditempat lain saya tak terangkan hal kemalangan yang saya lalui , tapi ini kampung saya….Jarak, jadi yang ada ni kawan-kawan, adik-beradik, saya terangkanlah sikit …hadirin sekalian.

Dalam televisyen itu….Pengarah Keselamatan Dalam negeri berbohong, dia tunjuk dengan tourch light yang tu….tengok….kereta pajero tak langgar pun Mohamad Sabu, …..saya buat repot polis 14 julai, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri buat kenyataan 22 , dia tak baca repot polis saya….saya dilanggar oleh kereta polis jenis waja….bukan pajero, kemudian dia kata saya jatuh langgar divider….lagi bohong….kereta polis yang belah kepala lutut saya….kemudian dia kata saya berlakon duk atas kerusi roda, dia bukan doktor….lagi dia cakap lagi dia bohong…..lagi dia cakap lagi dia bohong….sepatah tak mai minta maaf sampai hari ini…..dan dia berbohong dalam televisyen…seluruh rakyat Malaysia dengar. Saya jawab dalam majlis ceramah, dalam surat khabar Harakah, surat khabar Keadilan, tapi hadirin sekalian oleh kerana mereka berbohong terlalu banyak, sekarang ni….cakap polis pun orang tak percaya…betui ke dak? ….tambah cakap Najib lagi bohong…aaa tu lah….apa….siakap senohong gelama ikan duri, selalu cakap bohong, lama-lama jadi menteri….

Hadirin sekalian, saya sebut bahawa semasa saya dibawa ke hospital….General Hospital , berada dalam lokap di Jinjang, nak ambik wudhu' , nak pegi bilik air…nak buat statement polis….nak cop jari….semua dipapah oleh polis…..2 orang kiri-kanan, sebab tak boleh jalan…..dan polis yang papah saya tu….saya ucap terima kasihlah….mereka khidmat sungguh, saya nak bergerak ja dia tau saya tak boleh jalan, dia mai angkat…aaa sampai dah dibebaskan 10 malam….saya diletakkan dihadapan lokap…..orang lain semua berjalan kaki keluar, saya tak keluar …..kereta masuk ambik….itu pada hari sabtu, hari isnin saya pergi ke doktor pakar….doktor pakar …aaa..KPJ Hospital dekat rumah di Shah Alam….dia check , didapati ligament hak orang panggil … urat belakang lutut tu terkoyak…..kena buat pembedahan. Dia nak buat pembedahan hari tu, dia tak boleh buat sebab darah saya cayak….duk makan desprin (sebenarnya Aspirin)….pasal ada hal jantung…..dia kata kena berhenti makan desprin (sebenarnya Aspirin)….4 hari , mai sini , kita nak buat pembedahan….hari Jumaat 15 hari bulan…masuk bilik pembedahan…..pukul 2 petang….pukul 4 keluar dari bilik pembedahan….iaitu dia bubuh satu skru….2 inci setengah….ke dalam lutut ni…jadi saya suruh doktor bubuh skru sebab saya nak berlakon….hadirin sekelian…pelak….sampai rupa ni….pemain sampai macam tu….jadi hadirin sekelian lepas bubuh skru tu….3 hari lepas tu baru boleh lah menapak…dan Alhamdulillah sekarang dah boleh berjalan dah…..Cuma nak naik …..naik tangga turun tangga tu kenalah bantuan tongkat sikit… Alhamdulillah, lepas raya ni kembali pulih lah kot….boleh berjalan dan boleh bekerja lagi dalam ….dalam parti , dalam perjuangan ini….

Hadirin hadirat yang dihormati sekelian….Oleh kerana dia tak minta maaf sampai hari ni, lepas ni akan diikuti lah dengan tindakan mahkamah….Saya sepanjang dalam perjuangan ni tak meniaga , jadi nak kaya lepas ni …dengan saman jer lah….haaa ….Insya ALLAH….peguam-peguam duk kata …kami banyak dah orang yang nak ambik kes saya ni….hak kes pecah cermin kereta tu…menang di peringkat Juru, kemudian pihak pendakwa buat rayuan di Mahkamah Tinggi….5 hari bulan ogos, bulan puasa ni jugak….hakim Mahkamah Tinggi mengatakan…keputusan Mahkamah Majistret Nibung Tebal…betul…..iaitu Saudara Mohamad Sabu ni perlu dibebaskan….dan tak perlu membela diri….kita tengoklah , kalau keadaan sesuai peguam kita akan dakwa pulak….kita akan tuntut…pecah cermin dan juga sebagainya….itu serah lah pada peguam hadirin sekelian….jadi saya….terima kasihlah kepada doa tuan-tuan semua….sebab saya banyak melalui kes-kes mahkamah….haaa …..Dato' Seri Anwar teruk lagi…jadi saya ni peringkat yang agak …kawan-kawan kata banyaklah juga hadapi kes-kes …mahkamah. Tapi, janganlah bimbanglah …kita takut pun mati, berani pun mati…..

Menjelang Merdeka

Hadirin yang dihormati sekelian….sekarang ini pemikiran rakyat….sudah mula berubah….mereka tidak lagi di awal merdeka dulu…aaa…sekarang kita ni….suasana nak sambut merdeka, kita tengok takda orang pun bawa bendera di kereta,…. Ada… setengah tu kereta dia bubuh dekat 200 bendera, tu hak jenis masuk ayak dalam kepala tu….haa…hak jenis tu ada….tapi orang biasa , saya tak nampak pun….sebab rakyat tak berasa sambut merdeka….sambut merdeka seolah-olah perayaan umno….betul ke dak? Sepatutnya tokoh pejuang kemerdekaan kena masuk dalam televisyen….kalau nak buh Tengku Abdul Rahman, Dato' Onn pun takpalah…..kena letak juga Dr Burhanudin, kena letak juga Ustaz Abu Bakar Al Bakir, kena letak juga Dato' Ahmad Bustamam, kena letak juga Dato' Ibrahim Yaakob, kena letak juga perjuangan-perjuangan seperti Mat Kilau dan sebagainya…..ini penentang-penentang British….tapi bila merdeka , Tengku Abdul Rahman , Dato' Onn , Tengku Abdul Rahman , Dato' Onn…..kalau gitu umno lah yang layak…..betul ke dak?

Di negeri orang lain , sambut merdeka rakyat ambik bendera letak di pintu rumah masing-masing ….kalau kita pegi Indonesia, di Thailand….tak kira parti politik, pembangkang ke …..kerajaan ke , bila merdeka ni rakyat yang menyambutnya….di Malaysia ni kita tak rasa sambut merdeka, rakyat sambut …..macam umno sambut , bahkan berlaku beberapa tahun lepas di mana Majlis Daerah Raub mintak supaya semua parti politik buat perarakan hari merdeka, maka ….aaa….PAS di Raub itu kebetulan ahlinya banyak bekas-bekas tentera berlatih lah berkawat….elok tak kiralah berkawat puak-puak tentera ni…..banyak duk dalam PAS….nak sambut merdeka di majlis bandaran, sehari sebelum merdeka….mai surat….PAS tak boleh terlibat dalam sambut merdeka….haaa…..ni hadirin sekelian yang berlaku…..

Ertinya sambut merdeka ni seolah-olah kepunyaan umno….sebab tu kita lihat tulisan-tulisan, blog-blog kebelakangan ni….anak-anak muda kata …umph sambut buat apa…bendera pun dia kata serupa bendera Amerika….lagu negaraku pulak….lagu Hawai….kemudian diterjemahkan lagu jadi Terang Bulan di Indonesia….kemudian jadi lagu Negaraku…mula-mula saya ingat budak-budak ni melawak….hari tu anak saya tunjuk…dia bukak YouTube…dia kata ayah dengak….ini lagu Terang Bulan di Indonesia….ini lagu Negaraku….hundred percent serupa……ertinya lagu ni lagu di ambik daripada lagu Terang Bulan , bukan lagu patriotik apa-apa pun….sebab tu kita harap….takpalah dah guna pakai nak buat macamana

…tapi kita lihat cara yang dibuat itu memang banyak yang tak kena….bila hari merdeka nanti tunjuklah filem Bukit Kepong….Bukit Kepong polis itu….polis British…hak serang Bukit Kepong tu lah pejuang kemerdekaan….ketuanya Mat Indera….Melayu…..tetapi semua sejarah itu ditutup…..Jins Samsudin buat filem….Jins Samsudin tu umno….cerita Bukit Kepong hak serang Balai Polis tu penjahat…..polis tu polis British, sebelum merdeka, negara kita diperintah oleh British…..tapi dibuat filem yang hero hak pertahan balai polis, hak serang tu pengganas, padahal Mat Indera….ketua penyerang balai polis itu….dan akhirnya dia dihukum gantung di Jail Taiping ….

Begitulah jugak…Tok Janggut , Tok Janggut ni lawan British….tapi sebelum British nak….nak bunuh dia, dia menghasut Sultan Kelantan …untuk mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka….bila isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka , barulah Tok Janggut di hukum gantung di Pasir Puteh, Kelantan.

Semua sejarah negara kita mohong….bohong ada, dulu kita duk menyanyi di Jarak tu….rupanya cikgu tu mohong (bohong) kita….cikgu tu pulak Kemeterian Pelajaran mohong dia….jadi , depa duk lawan mohong lah para hadirin sekalian….jadi sejarah kemerdekaan tak kena hadirin sekelian….sebab tu kita tengok pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi jahat….siapa pegawai British? Dato' Onn , Tengku Abdul Rahman. Itu pegawai British…hak lawan British…hak tu pula jadi pengganas… Abu Bakar Bakir pengganas… Dr Burhanudin pengkhianat, kemudian Rashid Maidin komunis….semua hak lawan British jahat…hak sokong British hero….ini pelik bin ajaib….hak lawan British tulah pejuang kemerdekaan…

Takpalah kita ambik alih Malaysia esok…kita ubah balik sejarah nie….boleh ke dak? Bukan kita nak memihak pada siapa….bagi hak betul…kalau kemerdekaan di tangan Tengku Abdul Rahman….ya!....tapi perjuangan kemerdekaan bukan mereka….pejuang-pejuang kemerdekaan kebanyakannya merengkok dalam penjara, di antara mereka lari menyelamatkan diri ke Indonesia, termasuklah Ibrahim Yaakob…kerana nak ditangkap oleh pihak British….......ADA SAMBUNGAN LAGI. Panjang ucapan Hj Mohamad Sabu nie.....

Siapakah Mat Indera?

Posted: 05 Sep 2011 08:07 AM PDT

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera
Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri.
Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.
Siapa Mat Indera
Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.
Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis.
Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.
Mat Indera dan Bukit Kepong
Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis.
Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.
Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.
Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan
Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.
Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".
Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.
Rasional bukan emosi
Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.
Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang?
...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat ?

Tiada ulasan:

Nuffnang