Ahad, 31 Julai 2011

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 1432H

Posted: 31 Jul 2011 08:26 AM PDT

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
( Al-Baqarah : 183 )

Ramadhan menjelma lagi, musim ibadah yang menjanjikan rahmat dan keberkatan kepada orang yang berpuasa. Setiap detiknya mengandungi keampunan dan keberkatan. Kedatangannya dinanti oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW sering berdoa bermaksud, „Ya Allah berkati kami dalam Rejab dan Sya‟aban dan sampaikan kami Ramadhan.‟ Apabila sampai Ramadhan para sahabat saling mengucapkan 'Ahlan wa sahlan ya Ramadhan' bererti selamat datang Ramadhan!

Bulan Ramadhan menyingkap beberapa peristiwa yang besar untuk kita sama-sama hayati dan teladani bersama di mana pada bulan yang mulia inilah diturunkan Al-Quran yang menjadi panduan kita pada hari ini. Selain itu, berlakunya perang pertama di dalam sejarah Islam iaitu Perang Badar yang menyaksikan kemenangan umat Islam walaupun bilangan tentera Islam ketika itu hanya 313 orang berbanding tentera musuh 1000 orang. Di Bulan Ramadhan juga, Kota Mekah dapat ditawan dan dibuka kembali. Kesucian Kota Mekah dapat dirampas kembali dengan pertolongan Allah S.W.T..

Saya mengajak seluruh warga Lembah Pantai dan Umat Islam umumnya untuk kita sama-sama menghayati kedatangan Bulan Ramadhan yang mulia ini dengan pengisian yang sebaik mungkin. Melakukan muhasabah diri, menolak politik fitnah dan perkauman sempit. Mudah-mudahan ibadah yang kita jalani di bulan yang mulia ini akan diberkati dan diterima oleh Allah S.W.T..

Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak 1432H dan selamat menjalani Ibadah Puasa di bulan Ramadhan.

"Bersama Menegakkan Keadilan"

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Naib Presiden KEADILAN

Waktu Operasi Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai sepanjang Ramadhan 1432H

Posted: 31 Jul 2011 08:18 AM PDT

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera…

Saya ingin memaklumkan semua bahawa Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai beroperasi di waktu baru sepanjang bulan Ramadhan 1432H ini ;

Isnin-Jumaat : 9.00 pagi – 4.30 petang

Sekiranya ada sebarang aduan atau permohonan atau aduan yang perlu dibuat, bolehlah dikemukakan pada waktu operasi seperti di atas atau menghubungi 03-22409475/9476.

Saya berharap Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dapat berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat Lembah Pantai di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Sekian, terima kasih.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan1432H untuk Masjid & Surau di Lembah Pantai

Posted: 31 Jul 2011 08:12 AM PDT


Dalam menyambut kedatangan Bulan Ramadhan 1432H yang mulia ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah bersama-sama Team Keadilan Lembah Pantai telah mengadakan satu Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadhan bagi tahun ini. Sumbangan ini diberikan kepada semua Masjid-masjid dan Surau di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Majlis yang diadakan pada 30 Ogos 2011 ( Sabtu ) bertempat di Perkarangan Blok P21, Taman Bukit Angkasa itu dihadiri oleh Pengerusi setiap Masjid dan Surau atau wakil. Sebanyak 6 Masjid dan 44 surau menerima bantuan sumbangan untuk Moreh pada kali ini. Walaupun dalam keadaan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak diberikan tetapi berkat usaha,doa dan sumbangan orang ramai, Allah SWT memberikan jalan dan permudahkan kerja-kerja, sedikit sebanyak dapat memberikan sumbangan pada tahun ini.

Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis ini dan Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak. Mudah-mudahan segala Ibadat kita dilipatgandakan terutama di dalam bulan yang mulia ini.

Tiada ulasan:

Nuffnang